Sunday, March 14, 2010

Pagi di Restoran Mamak


Kuselak tirai pagi, menapak di atas dada jalan. Pagi lengang, tidak macat.

Nun di seberang jalan, ada restoran mamak. Roti canai dan teh tarik bertandang di ruang mata. Malu? Ah, pedulikan! Haruskah kantung perut yang bergendang dibiar kosong hanya kerana sepatah malu? Tidak!

“Kaki aku penat. Letih dan lemah. Baiklah berhenti minum dulu. Apa salahnya rehat sekejap. Perut aku lapar. Tekak aku haus. Aku makan aku bayar. Aku minum aku bayar. Tidak ada guna mempedulikan tentang kata-kata orang. Satu sen pun tidak guna!” Itu kata-kata Imrah dalam Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu.

Ya, tidak ada gunanya mempedulikan kata-kata orang. Tapi… siapa pula yang mahu peduli?

“Roti canai telur dan teh tarik!”

Mamak senyum, angkat ibu jari. “Siap!”

Seketika, terlupa di mana berada. Kusangka di India. Alunan lagu Hindustan berkumandang dari corong radio. Mm, sedap juga.

Teh tarik tiba. Kuah kari tiba. Roti canai tiba. Panas.

Perut yang lapar memaksa aku menghabiskan kesemuanya. Tidak ada sisa, kecuali sedikit buih-buih di dalam cawan dan baki kuah kari.

Alhamdulillah. DIA telah menyuap rezeki ke kantung perut yang kosong ini.

Alhamdulillah, ada rezeki yang melimpah-ruah sejak bermulanya pagi.

Alhamdulillah.


Saturday, March 13, 2010

Aku Ingin Menjadi Pohon


Aku ingin menjadi pohon

dirempuh angin, sabar

dicalit najis, biar.

Aku ingin menjadi pohon

melempar batu dengan buah

membalas pahit dengan manis

memberi madu pada yang mencirit najis.

Aku ingin menjadi pohon

tumbuh dengan sabar

mengakar kukuh ke dasar bumi

biar dirembat badai duga

ia terus teguh berdiri

mandiri.

13 Mac 2010,

Kuala Nerang.


Friday, March 12, 2010

Menanti Hujan

Petang yang bahang. Aku mendongak langit, mencari hujan. Ah, langit masih cerah, sekalipun guruh melaung sesekali. Awan perak kemilau di lengkung langit, petanda harapan kian suram.

Aku masih tetap menanti hujan.

Datanglah hujan, siramilah tanah hati ini.

Datanglah hujan, hanyutkan danur yang bersalut pada diri ini.

Datanglah hujan, aku menantimu, agar rintik-rintik dinginmu mampu mengusap rasa hati ini.

Datanglah hujan…!


Thursday, March 11, 2010

Perkongsian Pembaca Tentang Tawajuh Cinta


Dari blog seorang teman pencinta sastera, Fandy Taher. Beliau menukilkan sebagaimana berikut:


Sebuah buku yang menghimpunkan 13 cerpen hasil tulisan seorang penulis muda, Juwairiah Md Jamil. Tawajuh Cinta.

Mari berkenalan dengan penulis muda ini terlebih dahulu. Nama, Juwairiah Md Jamil. Atau juga dikenali sebagai diariungu. Dipanggil Ju bagi kenalan-kenalan rapat. Asal, Kuala Nerang, Kedah. Penulis ini menerima pendidikan awalnya di negeri Kedah. Negeri kelahirannya. Membesar juga di negeri Kedah, negeri yang banyak menghimpunkan guru-guru silat dari pelbagai persatuan silat. Dan sekarang penulis sedang meneruskan pengajiannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Seorang yang mempunyai cinta dan suka kepada warna ungu. Seorang yang mudah mesra dengan teman-teman. Kadang berkebolehan juga untuk membuat lawak sehingga mengalir air mata menahan tawa.

Untuk kenal lebih dengan penulis muda ini, sila lawati laman blog beliau di sini.

Kembali kepada buku himpunan cerpen penulis muda ini.

Kali pertama melihat muka depan buku ini, saya merasakan ianya menarik. Jika diletakkan sebaris dengan buku-buku yang lain di atas rak, tentu buku yang ini pertama-tama dapat memikat anak mata untuk diambil, dipegang, dibelek-belek.

Muka depan sesebuah buku sangat penting. Ianya merupakan daya pemikat yang pertama kepada para pembeli. Lebih-lebih lagi untuk penulis baru yang sedang cuba meletakkan nama mereka dalam dunia penulisan kreatif. Dengan lambakan buku di kedai-kedai buku sekarang ini, daya penarik pertama ini sangatlah penting tanpa dinafikan kepentingan isinya juga.

Dan bagi saya kulit buku Tawajuh Cinta ini berjaya memancing pandangan mata saya.

Tawajuh Cinta

Judul cerpen pada susunan ketiga daripada 13 buah cerpen dalam buku ini telah dpilih untuk menjadi judul buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd ini.

Cerpen Tawajuh Cinta adalah tentang kebencian umat Islam terhadap Israel. Kebencian yang meluap dizahirkan dengan mengadakan protes terhadap Israel. Mengadakan himpunan aman tanda tidak bersetuju dengan Israel yang terus terusan menindas umat Islam di Palestin.

Pada pendapat saya, judul cerpen ini diangkat menjadi tajuk buku ini bukanlah kerana kekuatan cerpen itu sendiri. Ada lagi beberapa buah cerpen di dalam buku ini yang pada hemat saya lebih terasa intinya. Kemungkinan Tawajuh Cinta ini diletakkan sebagai judul buku ini kerana nilai komersialnya. Tawajuh Cinta, suatu nama yang enak didengar.

Sejak novel Ayat-ayat Cinta memecahkan angka-angka jualan novel di Indonesia dan Malaysia, ramai yang menggunakan judul yang seakan-akan Ayat-Ayat Cinta itu. Kita ada Tasbih-tasbih Cinta, Zikir-zikir Cinta, Doa-doa Cinta, Lafaz-lafaz Cinta, Takbir-takbir Cinta, dan beberapa lagi novel yang memiripi Ayat-ayat Cinta. Dan yang ironinya, tidak sedikit novel yang seakan Ayat-ayat Cinta ini menggondol Best Seller sehingga terjual lebih dari 50,000 naskah. Jadi tidak ada hairannya jika Tawajuh Cinta dijadikan judul buku ini.

Antara cerpen yang terdapat di dalam Tawajuh Cinta ini yang saya merasa senang apabila membacanya, salah satunya adalah Mentari Di Hujung Senja. Cerpen pada susunan ke 4 dari 13 buah cerpen di dalam buku ini. Di muka surat 29.

Berkisah tentang seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan bernama Nadiah. Hidupnya sebagai seorang pelajar, seperti juga pelajar-pelajar yang lain, hanyalah dengan bergantung kepada sumber kewangan daripada PTPTN. Dalam masa yang sama, Nadiah juga menjaga seorang bayi, anak kepada kakak dan abang iparnya. Kakak dan abang iparnya tidak mahu menjaga anak mereka itu kerana mereka juga sedang belajar dan dengan alasan tidak mempunyai kewangan yang kukuh, mereka tidak mahu memelihara anak mereka sendiri.

Nadiah dengan rela telah mengambil anak itu dan menjaganya walau dirinya sendiri bakal menanggung beban yang bukan sedikit. Berkali juga ibunya menasihati Nadiah supaya diserahkan sahaja anak itu ke rumah anak-anak yatim agar lebih terurus kehidupannya memandangkan mereka bukanlah dari keluarga yang senang. Keluarga mereka juga tidak mampu untuk memberi keselesaan kepada anak yang masih kecil itu. Di rumah anak-anak yatim itu ibunya melihat anak itu bisa dibesarkan dengan baik dibawah jagaan pengasuh-pengasuh yang terlatih.

Namun Nadiah tidak mampu untuk kehilangan anak kecil itu. Biarlah sesusah mana pun dirinya, tetapi dia tidak rela berpisah dengan anak yang telah dianggap sebagai anaknya sendiri itu.

Sehingga pada suatu hari selang beberapa tahun, ibu dan ayah kandung kepada anak itu datang untuk mengambil semula anak mereka. Setelah mereka mendapat kesenangan hidup kini mereka bersedia untuk menjaga anak kecil itu. Nadiah berkeras tidak mahu memberi anak itu kepada mereka. Keengganan Nadiah untuk menyerahkan anak kecil itu kepada kakak dan abang iparnya membuatkan mereka mengugut untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

Nadiah berasa sangat marah dan kecewa dengan sikap kakak dan abang iparnya. Membuang anak dikala susah dan hanya mencari bila hidup telah senang. Hanya tahu berkahwin, berseronok, beranak, tapi anak itu dibiarkan tidak terjaga, dengan alasan masalah kewangan.

Ini jugalah yang sebenarnya sedang berlaku dalam realiti kehidupan di sekeliling kita. Lihat bagaimana bayi-bayi yang masih bersalut darah merah, berlendir-lendir dengan tali pusat panjang terburai, di buang begitu sahaja di dalam tong-tong sampah, ditinggalkan di masjid-masjid, dicampakkan ke dalam semak-semak tanpa ada rasa secalit simpati pun.

Ini semua menunjukkan bahawa masyarakat kita sedang dalam proses penyalinan kulit dan wajah. Dari wajah kemanusian kepada kebinatangan. Atau sebenarnya haiwan-haiwan juga tidak sezalim dan sebuta hati seperti masyarakat kita. Haiwan-haiwan yang melahirkan anak hasil dari hubungan kelamin samada secara rela atau paksa, juga tidak tergamak membuang anak yang baru lahir itu. Mereka, haiwan-haiwan ini, juga mempunyai rasa kasih kepada anak-anak mereka sendiri.

Jadi adalah tidak wajar jika kita letakkan label 'kebinatangan' kepada manusia yang sekejam ini. Yang layak bagi mereka adalah keiblisan. Manusia-manusia yang banyak disekeliling kita telah perlahan-lahan bertukar wajah dan kulit dari wajah dan kulit manusia kepada wajah dan kulit iblis. Wajah keiblisan.

Nadiah akhirnya terpaksa mengalah. Anak itu diserahkan semula kepada ibu dan ayah kandungannya dengan perasaan yang tidak rela.

Penulis yang menulis dengan rasa dan hati terhadap sesuatu tulisan, maka perasaan yang cuba disampaikan itu akan mudah diselami pembaca. Saya membaca dan terkesan dengan pengorbanan Nadiah yang akhirnya pengorbanan itu dirampas dengan majuh sekali oleh kakak dan abang iparnya. Nadiah ditinggalkan keseorangan dan dilihat sebagai seorang yang bersalah pula kerana enggan memulangkan anak itu kepada ibu dan ayah kandungnya.

Seorang penulis yang baik, perlu menguasai perbendaharaan kata dengan baik juga. Perlulah memperbanyakkan bahan bacaan untuk menakluki setiap kosa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dan saya dapat merasakan penulis Tawajuh Cinta ini seorang yang banyak bahan bacaannya dalam usaha untuk memperkayakan lagi setiap bahasa yang digunakan dalam tulisannya. Lihat beberapa contoh ayat yang saya petik dari dalam buku ini :

"...Radangnya memanjut jeluk hati. Dia sudah tidak betah melihat Bazilah menyakiti diri." (ms 11)

"Matahari berpucuk di lengkung langit. Biru nila ditebari tompokan awan nipis. Udara kering. Hujan telah sekian lama keputusan khabar, seakan-akan tidak mahu lagi singgah ke bumi." (ms 41)

"Peluh mengucur ke seluruh tubuh. Melengas. Penghawa dingin kereta yang gagal berfungsi bagai menyalai batinnya yang sedia diasapi amarah." (ms 95)

"Roman muka pengetua yang merah dek berang masih terakam dalam cembul kepala."
(ms 95)

Buku Tawajuh Cinta ini merupakan buku pertama bagi penulis. Diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Dengan harga RM 12.00 buku ini sesuatu yang tidak merugikan untuk dimiliki.

Selamat membeli dan membaca.

Selamat mengambil manfaat.

Kepada Ju, teruskan menulis untuk buku yang kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya.


Sumber: http://melihatbuku.blogspot.com


Ulasan Juwairiah:

-Sebenarnya anak kelahiran Kuala Lumpur. Hospital Bersalin Kuala Lumpur :-)

-Mempunyai cinta? Tentu! Setiap orang pastinya. Cuma cinta itu dipandang dari sudut mana :-)

-Tidak sangka dianggap berkebolehan membuat lawak :-)

-Cerpen Mentari di Hujung Senja terhasil daripada rakaman kisah sebenar seseorang, tetapi dengan olahan dan imaginasi tambahan.

-Tawajuh Cinta tercipta bukan terpengaruh oleh Ayat-ayat Cinta dan seumpamanya. Ia terhasil setelah kebuntuan memikirkan judul sesuai bagi cerpen tersebut, yang kebetulan sedang leka membelek-belek Kamus Dewan. Setelah mendapati bahawa maksud tawajuh itu ialah 'penumpuan diri (akal, fikiran, perasaan) pd Allah; hati ~ hati yg dihadapkan kpd Tuhan; bertawajuh memusatkan (menumpukan, mengarahkan) segenap fikiran dll pd Tuhan' (Kamus Dewan Edisi Keempat), saya rasa ia sesuai untuk diangkat sebagai judul. Lagi pula, yang difokuskan dalam cerpen itu sendiri adalah penumpuan arah atau kiblat kehidupan kepada Allah, bukanlah cinta manusia. Cinta manusia di dalamnya hanyalah selingan atau 'hiasan' serta 'tempelan' semata-mata.

Hakikatnya, saya sendiri sudah 'muak' dengan judul yang berangkaian dengan perkataan 'cinta'. Tetapi, dalam sesetengah situasi, kita tidak dapat mengelaknya, mungkin.


Terima kasih, Fandy!

Friday, December 4, 2009

Pengarang Islam Wajib Ikhlas Kepada Allah


Malam-malam begini – sunyi, yang terdengar hanyalah suara angin berkesiuran, dingin dan mendakap kujur tubuh, aku membelek-belek kantung e-mel.

Sekonyong-konyong, aku ketemu deretan e-mel yang suatu ketika kerap memenuhi peti masuk (inbox). Namun kini, setelah meluahkan segala ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya (si pengirim), dia lebih banyak menyepi. Hanya sesekali menghadirkan diri bertanyakan khabar. Aku masih ingat kata-katanya; kita tidak berhubung bukan bererti tali persahabatan (malah persaudaraan) ini terputus. Tidak sekali-kali. Ya, memang benar. Aku sentiasa menggenggam kata-katanya. Aku sangat percaya itu.

Aku juga tahu, dia sering mengikuti perkembangan ‘kami’ dalam diam. Justeru, aku berharap, dia tidak akan memarahiku lantaran memaparkan kiriman e-melnya yang sarat ilmu di sini. Aku yakin dia tidak akan radang kerana aku sangat percaya dia turut berpegang bahawa ilmu bukan untuk disorok, tetapi wajar dikongsi.

Nah, inilah kiriman e-melnya, yang menurutku ialah warkah bisu, dan ditambah oleh Saudara Zulkifli Khair; ada suara lunak daripada warkah yang hakikatnya tidak bisu!


Assalamualaikum wa rahmatullah.

Saudaraku,

Setiap detik degup jantung dan hidupnya insan, hati kecil yang beriman tidak melupakan Allah: Tuhan yang sedia memberikan apa sahaja ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada seseorang hamba-Nya dalam menempuh liku-liku hidup di dunia ini: apalagi ganjaran kepada seseorang pengarang yang menghamburkan bahan-bahan ilmu yang berguna dan mengajak pembaca mendekati dan menyembah Allah `Azza Wa Jall, Tuhan Yang Maha Besar lagi Maha Mengurnia.

Apabila kita menyedari bahawa semua gerak dan diam itu adalah berpunca daripada Allah dan tiadalah seseorang mampu memperoleh kehendak dan kemahuannya tanpa diikut serta dengan kehendak Allah, maka segala sesuatu urusan hidup ini yang semuanya adalah bersifat ‘keagamaan’ (ibadah) hendaklah diniatkan kerana mencari keredaan Allah SWT semata-mata. Tanpa niat ikhlas, maka amalan kita tertolak dan tidak dipahalai; dan sesungguhnya `Umar B. Al-Khattab RA memberitakan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya segala amalan (kegiatan hidup) itu (diterima dan dipahalai) dengan niat.”
[H.R. At-Turmudzi:Shahiih]

Jadi, semua kegiatan dan urusan semasa hidup di dunia ini memerlukan hati yang ikhlas; lebih-lebih lagi dalam kerja suci menulis dan mengarang serta menterjemah buku-buku agama (keislaman); suatu kerja yang paling tinggi nilainya dan paling berat serta sukar untuk dilakukan dengan sesempurnanya.

Saudara,

Sesuatu kerja yang berat itu akan mudah dipikul apabila diurus dengan hati yang ikhlas dengan mengharapkan pahala lumayan daripada Allah SWT sendiri serta pertolongan-Nya; jika tidak, maka dia akan tinggal terbengkalai, tinggal nama dan tajuknya sahaja; sedang isinya sebaik-baik terkumpul sebahagiannya, maka dia menjadi terhenti. Mungkin ada unsur-unsur positif yang mendatang.

Seseorang pengarang yang beriman itu menulis dan mengarang semata-mata kerana mencari keredaan Allah SWT dan ganjaran pahala yang berganda-ganda apabila dia termasuk menunjuk atau mendakwahkan orang lain ke jalan Allah sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Siapa menunjukkan (manusia) agar melakukan sesuatu kebaikan, maka dia juga akan memperoleh pahala seperti pahala orang yang melakukannya.”
[H.R. Muslim]

“Orang yang menunjuk agar melakukan kebaikan adalah (berpahala) seperti pelakunya (yang mengikut petunjuknya); dan orang yang menunjuk agar melakukan kejahatan adalah berdosa seperti pelakunya.”
[H.R. At-Tabraani]

Seseorang pengarang Islam yang bertanggungjawab tidaklah berani untuk menulis bagi mengajak manusia menderhakai Allah atau melakukan kejahatan; apalagi untuk menyesatkan manusia daripada jalan agama-Nya: antiIslam, antihadis, antihudud, menghalalkan pancaragam dan berbuat bid`ah; sebab dia akan menanggung risikonya pada akhirat dengan menanggung segala dosa pelakunya dan orang-orang yang disesatkannya sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Sesiapa yang mengajak (manusia) melakukan petunjuk, dia akan memperoleh pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tidaklah terkurang (dikurangi) pahalanya daripada pahala-pahala mereka sedikit pun; dan (sebaliknya) sesiapa mengajak manusia melakukan kesestan, dia memperoleh dosa seperti dosa orang yang mengikutinya; tidaklah terkurang daripada dosa-dosa mereka suatu pun.”
[H.R. Muslim dan At-Turmudzi (Hasan-Shahiih)]

Sebagai ekoran kepada hadis ini, Ibnu Mas`uud menyebut Nabi SAW bersabda:

“Tiadalah suatu jiwa terbunuh secara aniaya, melainkan anak Adam yang pertama (Qaabil) mendapat bahagian (dosa) daripada pertumpahan darah itu (sebab dialah manusia pertama yang membunuh manusia; Haabil, saudaranya sendiri); kerana sesungguhnya dialah yang pertama membuka jalan membunuh (sesama manusia, lalu diikuti manusia lain).”
[H.R. Al-Bukhari, Muslim, dan At-Turmudzi (Hasan-Shahiih)]

Teman-teman sekalian,

Sebenarnya, hadis-hadis inilah yang menjadi pendorong utama bagi seseorang sanggup membuang masa untuk menulis dan mengarang bagi mengejar pahala akhirat yang wujudnya berantai-rantai atau bersambung sehingga hari kiamat; sebagaimana juga Qaabil akan menanggung segala dosa semua pembunuh di dunia ini yang mengikut perbuatannya yang kejam itu.

Suatu pantang bagi penulis bahawa kerja penulisan ini hendaklah dilakukan secara rahsia dengan merahsiakan judul buku yang akan ditulis; disebabkan syaitan akan menghalangi kerja-kerja ini daripada berterusan sehingga siap; juga dia memberi peluang kepada syaitan menimbulkan rasa riak dalam hati seseorang.

Benarlah kata-kata:

Al-ikhlashu asaasu an-najaahi
Ikhlas itu asas segala kejayaan.

Surat Tuk Kenali kepada Majlis Agama Islam Kelantan yang dengan ikhlas menyatakan bahawa beliau bukanlan kaki hadis, mendorong rasa keikhlasan seseorang untuk menulis dengan rasa ikhlas: janganlah cuba menulis jika diri bukan ahli dalam sesuatu bidang; akibatnya boleh memesongkan dan menyesatkan orang lain daripada perkara yang benar; atau jalan yang lurus.

Saudaraku penulis yang budiman,

Bagi menjamin diperoleh keikhlasan hati serta terjauh daripada riak (sifat menunjuk-nunjukkan amalan), maka kala berpagi-pagi seseorang pengarang perlu lebih dahulu berdoa dengan sepotong doa perlindungan yang paling berkesan sebagaimana yang diajarkan Rasulullah SAW:

Allahumma inni `audzubika an usyrika bika wa anaa a`lamu, wa astaghfiruka limaa laa a`lamu
Wahai Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan Engkau daripada saya (terlibat) melakukan syirik kepada Engkau dalam keadaan saya tahu (sedar); dan saya memohon keampunan daripada Engkau terhadap perkara yang saya tidak ketahui.
(Dibacakan 3 kali pada setiap pagi).
[H.R. Al-Hakiim At-Turmudzi]

Wallahua`lam bissawab.
Wassalam.

Wednesday, December 2, 2009

Meratah bahasa


Contoh 1: "Awak ngah wat per tew? Busy ker? Macam busy jew?"

Contoh 2: "Aper ni bro? Kitorang tak hingin ha nak wat bender-bender camtu!"

Sekali fikir, rasa hati mahu jadi guru bahasa Melayu. Berkali-kali fikir, hasrat itu semakin kuat pula. Tiba-tiba sahaja ada keinginan melonjak terinjak-injak untuk sambung pengajian dalam jurusan kesusasteraan Melayu (pendidikan juga). Wallahua'lam. Masa depan seringkali sukar ditelah.

Seorang teman yang pada suatu ketika sedang menjalani praktikal mengajar di sebuah sekolah di ibu negara menceritakan kepadaku berkenaan pelajar-pelajarnya yang sering mengirim sms menggunakan bahasa slanga. Contoh bahasa slanga yang aku bawakan ada tertera di atas. Rasa tergeliat lidah tak ketika menyebutnya?

Bahasa slanga merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat ialah kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma sebutan atau tatabahasa.

Huh, geram! Apa hendak jadi dengan remaja hari ini, aku pun tidak tahu. Identiti Melayu kian terhakis sedikit demi sedikit akibat diratah westoksikasi (meminjam istilah Faisal Tehrani). Lihatlah sahaja perempuan-perempuan Melayu kita. Tiada lagi yang benar-benar 'Melayu Islamnya'. Tidak ada. Hendak cari wanita-wanita berbaju kurung sopan pun sukar sekali untuk ditemui, hatta di desa-desa. Mak cik-mak cik sendiri lebih gemar mengenakan baju sendat dan seluar ketat, sudah mulai berasa segan jika baju kurung yang disarung menampakkan 'kekunoan.' Mak cik, mak cik...

Westoksikasi
ini juga turut menggerit bahasa ibunda kita; bahasa Melayu (sebenarnya seluruh aspek hidup) sehingga muncul pelbagai sebutan yang aneh-aneh dan janggal bunyinya. Semakin luas penggunaan teknologi dalam negara, maka negara menjadi semakin membangun. Duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, tetapi tidak sedar yang duduknya terlenyek tahi dan bangunnya terhantuk atap.

Andai nanti aku benar menjadi guru bahasa Melayu (ustazah pun boleh juga), aku ingin 'mencuci' hingga calat minda pelajar-pelajarku. Dan kalian! Kalian yang sudah dewasa, ayuhlah belajar menulis menggunakan bahasa Melayu baku yang sungguh santun, cantik dan menggugah jiwa (duhai...!).

Aku sangat tertarik dengan kata-kata Faisal Tehrani di bawah. Ia bukan ditujukan sebatas penulis atau bakal penulis sahaja, tetapi semua orang, khususnya orang Melayu:


"Bahasa slanga seelok-eloknya dielakkan. Bahasa slanga atau bahasa metropolitan adalah bahasa yang merosakkan citra bangsa kita. Ini terlihat pada novel popular, gaya bahasa tersebut tidak dapat menyumbangkan markah dalam peperiksaan subjek bahasa Melayu, maka dalam cerpen juga tentulah ia tidak dapat diterima. Janganlah juga anda memuatkan ungkapan-ungkapan atau bentuk perkataan yang biasa dilakukan dalam sms. Saya juga ingin menasihatkan anda menghindari penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang terlalu banyak. Anda boleh menguasai bahasa bukan bahasa ibunda, tetapi itu bukan bermakna anda perlu menggunakannya tidak kena tempat."
Faisal Tehrani, Karya Nan Indah, hlm. 169.

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com