Friday, February 27, 2009

Zubir Ali-Siapa Tak Pernah Menangis

Rinduku Pada Seorang Guru


Manik-manik hujan kedengaran jatuh bertaburan di luar bangunan SKET. Langit kelam dan awan sarat mengandung air. Kedinginan kian menggigit kulit. Ah, di manakah guruku? Belum pernah beliau selewat ini. Saya dan sahabat menanti penuh setia.

Tiba-tiba, seorang wanita berseluar jeans dengan baju hitam ketat membalut tubuhnya memasuki bilik kuliah. Melempar salam. Saya mula dijentik resah. Takkanlah wanita itu akan mengajar hari ini? Tidakkk!

"Semua tahu kan, Ayah Zubir tak sihat. Dia masuk wad. Jadi, dalam sebulan atau dua ni, saya akan gantikan Ayah Zubir."

Semangat saya mula merudum dan jatuh bertimpa-timpa, tergolek-golek di lantai hati. Aduh, tertekannya! Tak tahu nak gambarkan bagaimana tekanan itu menjerit-jerit dalam dada, kerana saya 'tidak dapat apa yang saya inginkan' dari kelas puisi itu. Betul. Saya bukan hendak merasakan diri hebat, tetapi saya betul-betul tidak mendapat seperti apa yang diinginkan.

Dua bulan? Ya Tuhan! Sehari ini pun saya sudah mulai lemah, inikan pula sebulan atau dua bulan! Hmm. Persepsi saya pada tutor Fakulti Bahasa dan Linguistik tersebut ialah beliau bukannya ahli dalam bidang ini. Apa yang 'diajar' (kalau boleh dikatakan mengajar) hanyalah membuka lembar-lembar puisi, membaca dan sekadar bertanya, "Apakah yang kamu faham?"

Entahlah. Minat saya sudah lesap. Entah melayang ke mana. Saya rasa tidak tahan kerana saya tidak mendapat apa yang diingini.

Guruku, aku rindu pada setiap pengajaranmu! Segeralah sihat dan lekaslah kembali mengajar kami!

Tuesday, February 24, 2009

Nova

Sekali ini

Aku berdiri lagi

Di bawah bumbung malam

Menggagar bintang

Paling benderang

Yang berpendar di dada kelam

Suatu waktu dulu.



Rinduku meredap

Pada kerlipan cahayanya

Menyuluh indera

Menerobos sukma

Memabuk rasa.



Sebutir bintang

Paling gemerlap

Yang kuharap kedipnya

Berpanjangan malam

Kini tak muncul lagi.



10.32 p.m.,

7 Februari 2009,

Berkandilkan bulan.

Sunday, February 22, 2009

Bakal diterbitkan..........



Setiap orang punya impian. Maka impian saya sejak sekian lama adalah mahu menjadi seorang penulis punya wibawa, di samping menerbitkan sebuah buku hasil karya sendiri. Tetapi untuk merealisasikan sebuah impi bukanlah ibarat meneguk minuman sekaligus menghilang rasa dahaga. Impian bukanlah angan-angan. Ada usaha harus dituang. Ada keringat perlu diperah. Ada duri terpaksa dipijak. Dengan kata lain, bukan mudah untuk menerbitkan sebuah buku yang dikategorikan sebagai berkualiti.

Makanya, penerbitan buku yang saya idamkan masih hanya sebuah impian-yang bakal saya kota sedaya mungkin. Buat masa ini, saya masih berusaha mengumpul segenap tenaga untuk melahirkan karya-karya berkualiti. Hingga pada saat ini, 5 cerpen dan 2 puisi saya berjaya mendapat tempat di akhbar tempatan mahupun majalah. Ini bermakna, masih banyak takah-takah yang perlu saya lintasi demi merealisasi sebuah impi.

Lakaran ini dihasilkan buat menaikkan alun semangat, agar impian saya terus mekar berjambangan di taman hati...

Friday, February 20, 2009

Menjejak Parlimen




Bergambar kenangan bersama Pensyarah-Puan Wirdati, dan rakan-rakan Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) di hadapan pintu masuk ke bangunan Parlimen.




Bakal-bakal guru yang rencam rupa dan tingkah (^^,)

Jom ke SIDANA '09




Info-info SIDANA '09:

Perasmian : Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris
(TNC HEPA Universiti Malaya)

3 Panelis untuk Forum 28 Feb 2009
Masa: 9 - 11 malam
Tajuk: "Mahasiswa Malaysia vs Mahasiswa Luar Negara"

1) Ustaz Ramadhan Fitri Elias (Mantan YDP PMIUM 2004/05)
2) YB Dato' Dr. Puad Zarkashi (MP Batu Pahat)
3) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (Profesor UM)

Moderator : Sdr. Ridzuan Mohamad (YDP MPMUM)

4 Pembentang Kertas Kerja pada 1 Mac 2009
Masa: 9 pagi - 5 petang

1) YB Saifuddin Nasution (MP Machang)
Tajuk: "Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat"

2) Prof Dato' Mohammad Abu Bakar (Dekan FSSS UM)
Tajuk: "Kampus, Keresahan Intelek dan Kebangkitan Mahasiswa"

3) Sdr Md. Hisommudin Bakar (Mantan YDP MPMUM 2001/02)
Tajuk: "Ke Arah Kesatuan Mahasiswa Islam Malaysia"

4) Dato' Mohd Nadzmi Mohd Salleh (Pengerusi Holding Berhad)
Tajuk: "Mahasiswa Islam Sebagai Pemain Ekonomi Penting Masa Hadapan"

Ucaptama : Datuk Paduka Ibrahim Ali (Presiden PERKASA)

Pendaftaran adalah percuma.

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com