Friday, August 29, 2008

Purnakarya Faisal Tehrani: 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun




Dibalut dingin nakal yang menggigit tubuh, aku dan sahabat serumah serta dua orang junior dari sekolah lamanya bergegas ke Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Niat di hati adalah untuk menonton teater purnakarya Faisal Tehrani. “2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun.” Aku dan sahabat memilih tarikh 28 haribulan di antara sekian banyak tarikh; bermula 25-29 Ogos 2008.

Teater tersebut bermula pada pukul 8.45 malam. Sebelum persembahan tersebut bermula, aku sudah berkesempatan untuk bertemu dengan sifuku, hak punya karya teater itulah. Lucu juga ‘kerteserempakan’ itu terjadi.

Kebanyakan para penonton terdiri daripada orang-orang luar. Pelajar-pelajar UM adalah ‘seciput’ dua. Lumrahlah. Kalau ada alun-alun suara yang gemersik-gemersik, barulah kaki mereka nak bergedik datang. Tak ada pula godaman dram atau aneka muzik yang mampu mengetuk sukma. Biasalah…..jangan harapkan mereka datang. Sesekali jangan.

Selaku orang yang tidak memahami selok-belok teater, malah ini merupakan kunjungan pertamaku, maka aku rasakan persembahan teater itu sampai kepada maksud dan tujuannya dalam khalayak penonton. Maya Longoria. Nama watak inilah yang paling kusuka dengar.




Sinis, realiti dan sejarah. Itulah kesimpulanku. Di sebalik tema utamanya mengenai kisah 2 jam sebelum Sultan Alauddin syahid diracun, teater tersebut kelihatan sinis memperli berkaitan hal-hal yang kini hangat berlaku dalam negara, seperti isu liwat dan sumpah contohnya. Kemudian, pemaparan tentang kisah sebenar masyarakat hari ini, dan dalam hal ini tertumpu kepada dunia artis atau pelakon teater itu sendiri. Teater itu aku simpulkan sebagai kisah 3 dalam 1 (3 in 1) kerana penyampaian kisah kemangkatan Sultan Alauddin masih mampu terselit untuk dibongkarkan.

Paling kukagumi tentang pementasan teater ini adalah kerana para pelakonnya terdiri daripada golongan kumbang belaka! Yang lelaki menjadi lelaki, sementara yang lelaki juga menjadi perempuan. Bukanlah mereka berubah menjadi perempuan secara total seperti berpakaian perempuan dan sebagainya, tetapi sekadar melakonkan gerak-geri yang lembut terliuk-liuk. Persembahan ini dikira berjaya kerana para penonton dapat memahaminya. Teater ini boleh dianggap sebagai salah satu metod dakwah kepada para pemilik atau pengarah teater bahawa pergaulan bebas dalam pementasan itu sememangnya boleh dilakukan.

Teater tersebut berakhir dalam lingkungan jam 10.45 malam. Betullah seperti terkaanku-2 jam. Sesuai pula dengan tajuknya. Sebelum beredar, aku sempat berdepan dua mata dengan yang purnakarya-Faisal Tehrani.

Saturday, August 23, 2008

Menelusuri Cerpen "Nangka 10 Tinggal 9"




Dalam kegersangan dan kekontangan ilham, rasanya agak baik juga andai aku merentangkan sebuah cerpen yang amat menyentuh hatiku. Bukanlah karyaku, akan tetapi sudah pasti karya seseorang yang lebih hebat dan berpengalaman luas dalam arena sastera. Karya yang tersiar itu kudapati daripada Berita Harian edisi Sabtu.

Sudah menjadi adatku apabila melihat karya-karya yang hebat begini untuk kucarik cermat, lalu disimpan dan dilipat kemas ke dalam buku ilhamku.

Karya cerpen yang begitu menyentuh hatiku itu begini. Semoga manfaat dan teladannya buat kita semua:


Oleh Sabri Hashim

AWANG berdiri diam. Terhendap-hendap memandang ke dalam surau. Tiada siapa perasan dia di situ. Di tepi pintu masuk. Suara kanak-kanak mengaji Muqadam riuh-rendah. Bising seperti di pasar ikan. Itu Awang tidak peduli. Dia begitu asyik melihat mereka mengaji Muqadam dan al-Quran. Dia berasa seronok dan terhibur. Dia teringin sangat hendak bersama mereka. Nanti dia akan khabarkan kepada ibu. Itu cita-citanya sekarang.

"Ibu, adik nak belajar baca Muqadam," kata Awang perlahan, tapi jelas lepas makan malam.

Tersentak si ibu mendengarnya. Mata perlahan-lahan tunduk merenung lantai rumah setinggan yang tidak bersimen itu.
"Awang... Awang.... manalah ibu mampu. Kita miskin. Serba-serbi kekurangan. Manalah nak cari duit. Kalau bapa adik masih hidup...." Si ibu berhenti bercakap di situ. Sedih. Awang satu-satu anaknya di dunia ini. Dialah intan. Dialah payung segala-galanya.

Sementelah Awang telah lama berhenti sekolah. Bantu si ibu bekerja. Bekerja di bandar. Basuh pinggan dan gelas di restoran nasi kandar. Usianya kini baru 10 tahun.

Terkebil-kebil mata Awang seperti cicak telan kapur.
"Tapi bu, bapa Hassan bagi pulut kuning je hari itu. Tiada duit pun boleh mengaji," kata Awang merajuk. Dia masih kecil. Tidak mengerti makna salam bersampul dalam kehidupan kini.

"Hmm... kita makan nasi pun tak cukup. Inikan pula nak kasi pulut kuning kepada orang."

Dua beranak itu diam seketika. Tiba-tiba Awang melompat ceria. Menerkam ibunya di muka. Terkejut si ibu.

"Apa kata bu, kita bagi nangka kepada Tok Guru sebagai...."
Belum habis Awang bercakap ibunya mencelah pantas.

"Hish! Tak pernah orang buat. Mana boleh. Malulah sikit. Sekarang zaman canggih. Ada duit semua beres."

"Belum cuba belum tahu. Awang cuma mahu keizinan daripada bu saja. Bolehkan?"

Entah daripada mana idea datang pun tak tahu. Kalau niat baik mesti ada jalan. Itulah terjadi ke atas Awang. Si ibu mengalah. Keinginan Awang terlalu kuat.

Esok awal-awal pagi lagi Awang sudah berada di bawah pohon nangka. Pokok itu terletak di belakang rumahnya. Dia tengok ada sebiji nangka sebesar bola bergayut di batang pokok. Bau harum semerbak mencucuk deria hidungnya. Dia tahu nangka itu sudah masak ranum. Boleh dipetik. Dia bawa masuk ke dalam rumah. Dia belah buah nangka itu. Dia lihat ada 10 ulas isi nangka. Dia beri seulas kepada si ibu untuk merasa. Baki sembilan habuan untuk Tok Guru.

Petang hari Awang siap sedia dengan baju Melayu lusuh. Songkok kelabu tertenggek di atas kepala. Di tangan sebungkus nangka. Dalam beg plastik hitam. Si ibu sediakan tadi. Dibalut dengan surat khabar. Awang tunggu semua kanak-kanak meninggalkan surau dulu. Baru dia masuk menemui Tok Guru. Awang bersila tertib di hadapan Tok Guru. Tok Guru memandang Awang dengan mata membulat.

"Assalamualaikum Tok Guru. Saya Awang. Tinggal di rumah setinggan sana. Datang sini ingin belajar dengan Tok Guru," kata Awang sedikit gementar, tapi yakin.

Tok Guru tak percaya dengan mata kepala sendiri. Dia bangkit. Tanpa haram sepatah kata pun dia tinggalkan Awang seorang diri. Tok Guru jalan ke paip. Kemudian terus menunaikan sembahyang fardu Asar bersama jemaah yang sedang menunggunya tadi.

Keesokan harinya, peristiwa serupa berlaku lagi ke atas diri Awang. Dia tidak marah. Apatah lagi putus asa. Dia pernah dengar orang kata: "Hendak menuntut ilmu Tuhan ini kena banyak sabar." Itu yang dia lakukan sekarang - sabar. Satu ujian.

Masuk hari ketiga baru Tok Guru ingin bercakap dengan Awang. Awang menanti. Tekun dan berdebar.

"Mana ayah kamu?" tanya Tok Guru keras.

"Ayah sudah meninggal. Eksiden," kata Awang jujur.

Terkejut Tok Guru. Rasa tiada daya lagi untuk menepis. Tok Guru terpaksa menerima Awang sebagai anak muridnya. Hatinya sungguh geram.

"Apa itu?" kata Tok Guru sambil menjuihkan bibirnya ke arah bungkusan sebelah Awang.

"Untuk Tok Guru. Nangka 10 tinggal sembilan," sambut Awang dengan penuh bangga.

Tok Guru pun mengambilnya. Dia buka bungkusan itu. Memang benar nangka. Hanya nangka. Tiada kertas not biru dan merah. Dia kecewa.

"Baik, Tok Guru ajar kamu petang ini. Ikut Tok Guru lepas bacaan ini," kata Tok Guru tegas.

Awang mengangguk kepala sekali sahaja sebagai tanda akur.

"Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan," sebut Tok Guru dengan penuh lagu.

Lepas sekali dengar, Awang pun sebut dengan penuh gaya dan semangat. Sampai terpejam mata. Ikut seperti Tok Guru buat. Dia disuruh ulang beberapa kali bacaan itu. Tanpa disedari, Tok Guru sudah lama meninggalkannya seorang diri.

Semenjak hari itu, ke mana Awang pergi dia akan mengalunkan lagu itu juga. Ada ketika orang tersenyum sinis kepadanya. Lebih-lebih lagi ketika membasuh pinggan di restoran - "Bismillahirrahmannirrahim , nangka 10 tinggal sembilan." Kerja siap sepantas kilat. Awang sungguh seronok. Hajat di hati tercapai sudah.

Apabila Awang berjalan di sekitar rumahnya, ada orang bertanya, "Dari mana adik belajar lagu itu?" Dengan penuh bangganya dia akan menceritakan kepada mereka dari A hingga Z. Dia tidak malu. Itu adalah usahanya.

"Tok Guru tak ajar komputer dengan adik?" tanya si ibu pada suatu malam.

"Apa bu!?" jawab Awang kuat seolah kurang dengar. Dia sedang asyik mengulang bacaan itu supaya menjadi lebih lancar dan sedap.

"Komputer... eh, apa tu....? Orang sekarang kata kom-pu-ter," ulang si ibu latah sambil menggaru epidermis kepala yang tidak gatal.

"Belum lagi. Tok Guru suruh pandai yang ini dulu."

"Ibu tengok adik bukan main seronok sekarang."

"Mestilah bu. Adik nak jadi pandai."

"Ikut suka hati kamulah adik. Ibu tumpang gembira."

Lepas itu, tidak lagi dengar suara Awang. Dia terlena dengan mulut terlopong. Perlahan-lahan si ibu ambil kain batik basahan menutup tubuh Awang yang tak berbaju itu. Si ibu menarik nafas lega sambil menggeleng-geleng kepala. Kemudian si ibu beredar meninggalkan Awang tidur seorang diri untuk esok.

Petang ini Tok Guru mengajar seperti biasa. Tapi dia rasa tidak sihat sikit. Badan seram sejuk. Nak kata demam, dia tak rasa panas. Kadang-kadang terasa kebas di hujung jari tangan. Peluh memanik di dahi. Dia mula buka kancing baju Melayu lima butir itu dari atas. Satu demi satu. Serban di kepala ditariknya turun untuk menyapu peluh di muka. Tiba-tiba dadanya dicengkam kesakitan. Dia mula sesak nafas. Tok Guru mengerang kuat kesakitan. Terkejut kanak-kanak yang hadir. Kemudian dia rebah pengsan tak sedar diri. Seluruh taman gempar.

Tok Guru dihantar ke hospital dengan kadar segera. Wayar berselerak di tubuh. Dada turun naik perlahan. Mata pejam rapat seperti orang tidur. Alat ECG berdecip lemah di atas kepalanya. Urat tangan kiri ditusuk dengan jarum Normal Saline dan Dextrose . Dia terkedang di atas katil. Tidak sedar diri. Tiada kepastian bila Tok Guru akan sedar. Begitu kata doktor yang merawatnya.

Isteri dan anak-anak silih berganti menemani Tok Guru. Siang dan malam mereka berada di sisi. Harap dan doa semoga dia kembali sihat. Tapi hampa. Tok Guru sedikit pun tak berubah. Keadaan seperti hari pertama masuk wad. Mata pejam. Badan terbujur kaku keras.

Walau bagaimanapun, Tok Guru dibawa pulang juga. Jasad sungguh uzur. Sudahlah kurus, tulang dada tersembul keluar. Mata cengkung dan hitam di sekelilingnya. Rambut jarang, gugur. Kuku jari dan kaki tumbuh panjang. Seluruh badan kelihatan lebam di sana sini. Dalam rongga mulut berkerak Candida tumbuh seperti orang mengidap AIDS .

Amat pelik sekali ialah badan Tok Guru berbau busuk macam mayat. Siapa yang datang melawat pasti termuntah. Tak boleh tahan lama. Mereka berpandangan antara satu sama lain dan bertanya dalam hati kecil masing-masing, "Kenapa begini? Macam orang mati!" Jawapannya tiada siapa tahu.

Kalut kawan-kawan Tok Guru baca Yasin di rumah. Tak cukup itu, sembahyang hajat beramai-ramai. Semua harap Tok Guru dapat pergi dengan tenang bertemu Tuhan. Tak sanggup lagi melihat Tok Guru menderita. Tapi nyawa Tok Guru liat. Ketegar tak mahu pergi meninggal badan. Entah apa lagi yang tak kena. Sungguh mereka bingung. Cari jalan tak ke sudah.

Kali ini mereka kumpul semua sanak saudara, handai taulan, jiran, kawan-kawan dan anak-anak muridnya. Mereka semua pakat menziarah Tok Guru. Semasa itu, kemaafan dibisikkan ke telinga Tok Guru. Masih begitu juga. Tiada perubahan. Dia terkedang di atas katil seperti diseksa. Semua orang bingung mati akal. Tidak tahu apa lagi yang harus dibuat. Akhirnya, lawan tengok sesama sendiri.

"Siapa lagi yang tak datang?" tanya seorang ustaz kepada sekumpulan orang taman.

"Rasa-rasanya semua dah dipanggil," jawab salah seorang daripada mereka.

"Apa lagi agaknya?" rungut ustaz dalam menungan.

Tiba-tiba.

"Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan."

Semua orang memanggung kepala seperti ayam memanggung kepala apabila nampak sewah dalam rumah itu. Cepat-cepat mereka pergi tengok di luar. Nun, di sana mereka nampak Awang. Terkedek-kedek seorang diri berjalan menuju ke bandar. Dia dipujuk datang cepat. Lepas itu, jenazah Tok Guru selamat dikebumikan. Tiada halangan lagi. Awang pun kembali bergerak seperti biasa. Yang tinggal hanya sunyi sepi. Sayup-sayup kedengaran, "Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan."

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com