Thursday, March 11, 2010

Perkongsian Pembaca Tentang Tawajuh Cinta


Dari blog seorang teman pencinta sastera, Fandy Taher. Beliau menukilkan sebagaimana berikut:


Sebuah buku yang menghimpunkan 13 cerpen hasil tulisan seorang penulis muda, Juwairiah Md Jamil. Tawajuh Cinta.

Mari berkenalan dengan penulis muda ini terlebih dahulu. Nama, Juwairiah Md Jamil. Atau juga dikenali sebagai diariungu. Dipanggil Ju bagi kenalan-kenalan rapat. Asal, Kuala Nerang, Kedah. Penulis ini menerima pendidikan awalnya di negeri Kedah. Negeri kelahirannya. Membesar juga di negeri Kedah, negeri yang banyak menghimpunkan guru-guru silat dari pelbagai persatuan silat. Dan sekarang penulis sedang meneruskan pengajiannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Seorang yang mempunyai cinta dan suka kepada warna ungu. Seorang yang mudah mesra dengan teman-teman. Kadang berkebolehan juga untuk membuat lawak sehingga mengalir air mata menahan tawa.

Untuk kenal lebih dengan penulis muda ini, sila lawati laman blog beliau di sini.

Kembali kepada buku himpunan cerpen penulis muda ini.

Kali pertama melihat muka depan buku ini, saya merasakan ianya menarik. Jika diletakkan sebaris dengan buku-buku yang lain di atas rak, tentu buku yang ini pertama-tama dapat memikat anak mata untuk diambil, dipegang, dibelek-belek.

Muka depan sesebuah buku sangat penting. Ianya merupakan daya pemikat yang pertama kepada para pembeli. Lebih-lebih lagi untuk penulis baru yang sedang cuba meletakkan nama mereka dalam dunia penulisan kreatif. Dengan lambakan buku di kedai-kedai buku sekarang ini, daya penarik pertama ini sangatlah penting tanpa dinafikan kepentingan isinya juga.

Dan bagi saya kulit buku Tawajuh Cinta ini berjaya memancing pandangan mata saya.

Tawajuh Cinta

Judul cerpen pada susunan ketiga daripada 13 buah cerpen dalam buku ini telah dpilih untuk menjadi judul buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd ini.

Cerpen Tawajuh Cinta adalah tentang kebencian umat Islam terhadap Israel. Kebencian yang meluap dizahirkan dengan mengadakan protes terhadap Israel. Mengadakan himpunan aman tanda tidak bersetuju dengan Israel yang terus terusan menindas umat Islam di Palestin.

Pada pendapat saya, judul cerpen ini diangkat menjadi tajuk buku ini bukanlah kerana kekuatan cerpen itu sendiri. Ada lagi beberapa buah cerpen di dalam buku ini yang pada hemat saya lebih terasa intinya. Kemungkinan Tawajuh Cinta ini diletakkan sebagai judul buku ini kerana nilai komersialnya. Tawajuh Cinta, suatu nama yang enak didengar.

Sejak novel Ayat-ayat Cinta memecahkan angka-angka jualan novel di Indonesia dan Malaysia, ramai yang menggunakan judul yang seakan-akan Ayat-Ayat Cinta itu. Kita ada Tasbih-tasbih Cinta, Zikir-zikir Cinta, Doa-doa Cinta, Lafaz-lafaz Cinta, Takbir-takbir Cinta, dan beberapa lagi novel yang memiripi Ayat-ayat Cinta. Dan yang ironinya, tidak sedikit novel yang seakan Ayat-ayat Cinta ini menggondol Best Seller sehingga terjual lebih dari 50,000 naskah. Jadi tidak ada hairannya jika Tawajuh Cinta dijadikan judul buku ini.

Antara cerpen yang terdapat di dalam Tawajuh Cinta ini yang saya merasa senang apabila membacanya, salah satunya adalah Mentari Di Hujung Senja. Cerpen pada susunan ke 4 dari 13 buah cerpen di dalam buku ini. Di muka surat 29.

Berkisah tentang seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti tempatan bernama Nadiah. Hidupnya sebagai seorang pelajar, seperti juga pelajar-pelajar yang lain, hanyalah dengan bergantung kepada sumber kewangan daripada PTPTN. Dalam masa yang sama, Nadiah juga menjaga seorang bayi, anak kepada kakak dan abang iparnya. Kakak dan abang iparnya tidak mahu menjaga anak mereka itu kerana mereka juga sedang belajar dan dengan alasan tidak mempunyai kewangan yang kukuh, mereka tidak mahu memelihara anak mereka sendiri.

Nadiah dengan rela telah mengambil anak itu dan menjaganya walau dirinya sendiri bakal menanggung beban yang bukan sedikit. Berkali juga ibunya menasihati Nadiah supaya diserahkan sahaja anak itu ke rumah anak-anak yatim agar lebih terurus kehidupannya memandangkan mereka bukanlah dari keluarga yang senang. Keluarga mereka juga tidak mampu untuk memberi keselesaan kepada anak yang masih kecil itu. Di rumah anak-anak yatim itu ibunya melihat anak itu bisa dibesarkan dengan baik dibawah jagaan pengasuh-pengasuh yang terlatih.

Namun Nadiah tidak mampu untuk kehilangan anak kecil itu. Biarlah sesusah mana pun dirinya, tetapi dia tidak rela berpisah dengan anak yang telah dianggap sebagai anaknya sendiri itu.

Sehingga pada suatu hari selang beberapa tahun, ibu dan ayah kandung kepada anak itu datang untuk mengambil semula anak mereka. Setelah mereka mendapat kesenangan hidup kini mereka bersedia untuk menjaga anak kecil itu. Nadiah berkeras tidak mahu memberi anak itu kepada mereka. Keengganan Nadiah untuk menyerahkan anak kecil itu kepada kakak dan abang iparnya membuatkan mereka mengugut untuk membawa perkara ini ke mahkamah.

Nadiah berasa sangat marah dan kecewa dengan sikap kakak dan abang iparnya. Membuang anak dikala susah dan hanya mencari bila hidup telah senang. Hanya tahu berkahwin, berseronok, beranak, tapi anak itu dibiarkan tidak terjaga, dengan alasan masalah kewangan.

Ini jugalah yang sebenarnya sedang berlaku dalam realiti kehidupan di sekeliling kita. Lihat bagaimana bayi-bayi yang masih bersalut darah merah, berlendir-lendir dengan tali pusat panjang terburai, di buang begitu sahaja di dalam tong-tong sampah, ditinggalkan di masjid-masjid, dicampakkan ke dalam semak-semak tanpa ada rasa secalit simpati pun.

Ini semua menunjukkan bahawa masyarakat kita sedang dalam proses penyalinan kulit dan wajah. Dari wajah kemanusian kepada kebinatangan. Atau sebenarnya haiwan-haiwan juga tidak sezalim dan sebuta hati seperti masyarakat kita. Haiwan-haiwan yang melahirkan anak hasil dari hubungan kelamin samada secara rela atau paksa, juga tidak tergamak membuang anak yang baru lahir itu. Mereka, haiwan-haiwan ini, juga mempunyai rasa kasih kepada anak-anak mereka sendiri.

Jadi adalah tidak wajar jika kita letakkan label 'kebinatangan' kepada manusia yang sekejam ini. Yang layak bagi mereka adalah keiblisan. Manusia-manusia yang banyak disekeliling kita telah perlahan-lahan bertukar wajah dan kulit dari wajah dan kulit manusia kepada wajah dan kulit iblis. Wajah keiblisan.

Nadiah akhirnya terpaksa mengalah. Anak itu diserahkan semula kepada ibu dan ayah kandungannya dengan perasaan yang tidak rela.

Penulis yang menulis dengan rasa dan hati terhadap sesuatu tulisan, maka perasaan yang cuba disampaikan itu akan mudah diselami pembaca. Saya membaca dan terkesan dengan pengorbanan Nadiah yang akhirnya pengorbanan itu dirampas dengan majuh sekali oleh kakak dan abang iparnya. Nadiah ditinggalkan keseorangan dan dilihat sebagai seorang yang bersalah pula kerana enggan memulangkan anak itu kepada ibu dan ayah kandungnya.

Seorang penulis yang baik, perlu menguasai perbendaharaan kata dengan baik juga. Perlulah memperbanyakkan bahan bacaan untuk menakluki setiap kosa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dan saya dapat merasakan penulis Tawajuh Cinta ini seorang yang banyak bahan bacaannya dalam usaha untuk memperkayakan lagi setiap bahasa yang digunakan dalam tulisannya. Lihat beberapa contoh ayat yang saya petik dari dalam buku ini :

"...Radangnya memanjut jeluk hati. Dia sudah tidak betah melihat Bazilah menyakiti diri." (ms 11)

"Matahari berpucuk di lengkung langit. Biru nila ditebari tompokan awan nipis. Udara kering. Hujan telah sekian lama keputusan khabar, seakan-akan tidak mahu lagi singgah ke bumi." (ms 41)

"Peluh mengucur ke seluruh tubuh. Melengas. Penghawa dingin kereta yang gagal berfungsi bagai menyalai batinnya yang sedia diasapi amarah." (ms 95)

"Roman muka pengetua yang merah dek berang masih terakam dalam cembul kepala."
(ms 95)

Buku Tawajuh Cinta ini merupakan buku pertama bagi penulis. Diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Dengan harga RM 12.00 buku ini sesuatu yang tidak merugikan untuk dimiliki.

Selamat membeli dan membaca.

Selamat mengambil manfaat.

Kepada Ju, teruskan menulis untuk buku yang kedua, ketiga, keempat, dan seterusnya.


Sumber: http://melihatbuku.blogspot.com


Ulasan Juwairiah:

-Sebenarnya anak kelahiran Kuala Lumpur. Hospital Bersalin Kuala Lumpur :-)

-Mempunyai cinta? Tentu! Setiap orang pastinya. Cuma cinta itu dipandang dari sudut mana :-)

-Tidak sangka dianggap berkebolehan membuat lawak :-)

-Cerpen Mentari di Hujung Senja terhasil daripada rakaman kisah sebenar seseorang, tetapi dengan olahan dan imaginasi tambahan.

-Tawajuh Cinta tercipta bukan terpengaruh oleh Ayat-ayat Cinta dan seumpamanya. Ia terhasil setelah kebuntuan memikirkan judul sesuai bagi cerpen tersebut, yang kebetulan sedang leka membelek-belek Kamus Dewan. Setelah mendapati bahawa maksud tawajuh itu ialah 'penumpuan diri (akal, fikiran, perasaan) pd Allah; hati ~ hati yg dihadapkan kpd Tuhan; bertawajuh memusatkan (menumpukan, mengarahkan) segenap fikiran dll pd Tuhan' (Kamus Dewan Edisi Keempat), saya rasa ia sesuai untuk diangkat sebagai judul. Lagi pula, yang difokuskan dalam cerpen itu sendiri adalah penumpuan arah atau kiblat kehidupan kepada Allah, bukanlah cinta manusia. Cinta manusia di dalamnya hanyalah selingan atau 'hiasan' serta 'tempelan' semata-mata.

Hakikatnya, saya sendiri sudah 'muak' dengan judul yang berangkaian dengan perkataan 'cinta'. Tetapi, dalam sesetengah situasi, kita tidak dapat mengelaknya, mungkin.


Terima kasih, Fandy!

No comments:

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com