Thursday, October 11, 2007

Pereka Indonesia rancang eksport permainan bercirikan Islam




JAKARTA: Seorang wanita Indonesia menghasilkan satu alternatif kepada anak patung Barbie dinamakan Salma yang menepati ciri-ciri Islam untuk pasaran penduduk Muslim.

Salma bermaksud 'damai' dalam bahasa Arab dan menampil pelbagai imej menerusi pakaian daripada tudung 'abaya' kepada pakaian solat.

Semua pakaian Salma bertangan panjang dan labuh ke tumit serta bertudung kepala.

Penciptanya adalah seorang ahli perniagaan, Sukmawati Suryaman, yang memberitahu dia mendapat inspirasi mencipta anak patung itu tahun lalu selepas melihat anak saudaranya bermain Barbie.

"Saya terus teringat pada masa itu bahawa alangkah baiknya jika kami ada anak patung bercirikan Muslim seperti itu kerana semua orang tahu kanak-kanak suka meniru gaya anak patung mereka," katanya.

Indonesia adalah negara Islam terbesar dunia dengan 85 peratus daripada 226 juta penduduknya adalah Muslim dan kebanyakannya berhaluan sederhana.

Ramai wanitanya turut menutup kepala menjadikan gaya pakaian anak patung Salma ala konservatif memudahkan kanak-kanak mengenalinya berbanding gaya umpama bintang pop patung Barbie atau Bratz, kata Reuters.

Sukmawati yang mempelajari bidang kejuruteraan, mengendalikan perniagaannya dari rumah.

Dia mengimport patung plastik dari China dan mereka cipta serta menjahit pakaian serta aksesori Salma dengan bantuan dua jirannya.

Anak patung itu dimasukkan dalam bungkusan dan dijual menerusi pemborong atau melalui laman web di alamat www.bonekasalma.com, lapor agensi berita itu.

Di laman web berkenaan, Salma diberi gelaran anak 'patung Muslim Barbie.'

Sukmawati menjual kira-kira 200 anak patung itu sebulan dan kebiasaannya ia meningkat menjelang sambutan Aildifitri kerana ramai yang suka bertukar-tukar hadiah.

Dia juga merancang mengeksport patung itu ke Malaysia dan Brunei kerana percaya akan mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya rasa Salma boleh menjadi contoh dan pilihan baru. Patung Barbie memakai pakaian yang terlalu ringkas manakala Salma lebih sederhana dan memakai tudung," kata Tina, seorang wanita yang ditemui ketika membeli patung itu untuk anaknya. – Reuters

Petikan dari Berita Harian Online

Saturday, October 6, 2007

Cerpen: Sentimen Daerah Malar Hijau



CERPEN: SENTIMEN DAERAH MALAR HIJAU


Assalamualaikum,

Azz, sahabatku… Deruan angin yang menampar-nampar pipiku seakan-akan memaksaku mencoret khabar buatmu. Panahan bilah-bilah suria telah sekian lama menghunjamku agar memancar lakaran cerita tentangku di sini. Bunga-bunga yang memekar harum di laman sering membuatku cemburu pada sang lebah yang mengunjungnya saban pagi, membawa cerita dari istana madu. Namun, aku dan kau hanya mampu dikiaskan sebagai angin. Wujudnya tak selalu diungkap, tapi dinginnya tetap terus membelai.

Adakah kau masih ingat tentang Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pernah aku khabarkan kepadamu lewat bicara kita yang lalu? Ia dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 16 Januari 2007 tahun ini sebagai usaha untuk melonjakkan taraf pendidikan negara dan mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai dalam sistem pendidikan. Aku juga berharap agar masih segar di ingatanmu berkenaan enam teras strategi PIPP yang juga pernah kusebutkan dulu, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Sementara itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menetapkan ‘Pembangunan Modal Insan Berminda Kelas Pertama’ yang banyak bergantung pada kualiti sistem pendidikan negara. Apakah yang terbayang di ruang fikirmu setelah aku menyatakan semua ini? Oh, beratnya tugas yang terpaksa dipikul oleh seorang guru! Walaupun aku baru bergelar ‘bakal guru,’ tetapi aku sudah dapat merasakan cabaran besar yang bakal kuhadapi kelak.

Aku tahu kau bukan seorang guru, malah bukan pula bakal guru, tetapi kau akan tetap menjadi seorang guru tak bertauliah yang diiktiraf keluarga buat anak-anakmu nanti. Jadi, aku suka untuk berkongsi cerita denganmu selaku bakal guru yang sering mahu mencungkil pengalaman-pengalaman seseorang yang bernama guru. Kau tahu, aku telah membuat sedikit kajian melalui bahan-bahan dari majalah ilmiah, keratan akhbar dan sumber-sumber maklumat dari internet. Apa yang kudapati? Sebelum itu, tentu kau sedia maklum tentang dasar KPM yang mewajibkan guru-guru baru memulakan perkhidmatan mereka di kawasan pedalaman. Kau fikir, kerana apa dasar itu dibuat? Hmm… Malu untuk aku katakan: ‘bagi menangani masalah guru-guru yang tidak mahu ke pedalaman.’ Sebab itu, tidak hairanlah jika masyarakat hari ini heboh mengatakan ‘guru semakin hilang taraf kualitinya.’ Berasas juga kenyataan itu. Cuba kau bandingkan guru-guru sekarang dengan guru-guru zaman dulu. Mereka rela dihantar mengajar ke ceruk mana pun, hatta ke dalam gua!

Berbalik kepada apa yang telah kuperolehi hasil daripada penyelidikan tak rasmiku tadi. Dari sumber maklumat yang telah kudapati, ramai guru meluahkan perasaan ketidaksanggupan dan keengganan mereka untuk dihantar berkhidmat di pedalaman. Aku akui, apa yang mereka rasakan turut aku rasakan. Tetapi menurut ayahku ketika aku berbincang dengannya sebentar tadi, katanya: “Kalau kita ditanya: sanggup atau tidak untuk dihantar mengajar di pedalaman? Katakan saja: Saya tidak sanggup. Sesiapa pun tidak sanggup, atau kebanyakannya tidak sanggup, tetapi oleh kerana tugas yang telah ditaklifkan, saya rela dihantar walau ke ceruk mana sekalipun! Bohonglah jika ada yang mengatakan ‘sanggup’, sedangkan dia sebenarnya hanya hipokrit dan berpura-pura! Itulah kebenaran.” Aku merenung kata-kata sarat makna dari bibir ayahku, seorang guru berpengalaman puluhan tahun dalam sistem pendidikan negara. Ya, memang benar apa yang dikatakannya. Kerana kehipokritan itu jugalah, taraf kualiti guru semakin pudar. Dulu, dan sehingga kini, guru diibaratkan lilin yang membakar diri, tetapi sekarang, hakikat itu semakin merosot. Api yang meliuk-liuk pada sumbu lilin itu kian malap dan bernyala kecil-kecil, sedangkan batang lilin masih panjang!

Aku sangat mengerti, malah memahami perasaan guru-guru yang enggan dihantar mengajar di pedalaman. Tugas mereka bukan sekadar mengajar pelajar menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira), tetapi juga perlu berperanan sebagai ‘ibu dan ayah kedua’ buat pelajarnya. Aku bawakan satu cantoh di sini. Ada sesetengah pelajar pedalaman, seperti murid darjah satu dan dua, ada yang datang ke sekolah dengan tidak mandi pagi. Jadi, guru-guru terpaksa memandikan mereka, ajar cara memberus gigi dan pakaikan mereka dengan pakaian yang bersih. Mungkin ini satu cabaran yang terlalu hebat bagi guru-guru yang baru setahun jagung dan baru hendak mengenali dunia pendidik.

Azz, bunyi kuakan lembu di kampungku saat aku mengarang coretan ini kepadamu rasanya tetap tak mengurangkan debaran yang bakal kuhadapi kala menjejakkan kaki di daerah malar hijau di pedalaman sana. ‘Sekampung-kampung’ kampungku ini, masih ada kampung yang lebih ‘kampung’ daripada kampungku. Tentu kau hairan kenapa aku berkata begitu. Tetapi apa lagi yang dapat kau ungkapkan jika kau sendiri ditugaskan sebagai seorang guru, terpaksa berjalan kaki selama lapan jam dari jalan utama meredah hutan, memanjat bukit dan merentas sungai untuk sampai di sekolah tempat kau mengajar? Sehinggakan kau pernah tergelincir ke dalam sungai yang berarus deras ketika mahu ke sekolah. Bayangkanlah ketika itu kau hanya seorang diri, dengan baju yang basah kuyup dan sakit-sakit seluruh tubuh, terpaksa juga meneruskan perjalanan ke sekolah untuk mengajar. Apa kau rasa? Aku yakin, itu sebenarnya yang menghantui guru-guru sekarang ini. Mereka sudah tidak tega untuk berdepan dengan ranjau sehebat itu!

Aku juga pernah membaca pengalaman seorang guru yang terpaksa menaiki bot meredah sungai berarus deras selama dua hingga tiga hari untuk ke sekolah, bergantung pada keadaan air. Jalan perhubungan pula hanyalah sungai. Beliau dan orang kampung hanya keluar ke pekan membeli barang keperluan tiga atau enam bulan sekali, kerana kos untuk perjalanan keluar masuk dengan bot ke pekan itu sahaja mencecah RM700. Jumlah yang cukup besar untuk seorang guru bergaji kecil. Jika ketika itu aku mengajar di Borneo, kos sebanyak itu tentu sudah cukup sebagai tambangku untuk pulang ke Semenanjung! Kerana itulah, pengorbanan seseorang guru itu penting. Guru dimuliakan kerana pengorbanannya. Kau bersetuju denganku?

Semua kisah pengalaman yang kucoretkan di sini hanyalah sekelumit daripada 1001 pengalaman yang dilalui oleh hampir 14 000 orang guru yang mengajar di pedalaman negara ini. Apa yang kau rasa? Aku tahu, tentu terselit risau di hatimu memikirkan keselamatanku ketika mengajar nanti. Tentu bertambah risau setelah mendengar tragedi kematian seorang ustazah dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil di Sarawak baru-baru ini. Manusia makin hari makin kejam, kan? Namun, itulah hakikat yang terpaksa ditelan. Pahit.

Sebenarnya, kesemua fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini membuatkan aku sering berfikir panjang. Entahlah… memang ya, ingin mencurahkan bakti buat anak bangsa, tetapi dengan dunia yang kian hari, setiap detik dan saat semakin tak kenal peri kemanusiaan, meniup badai resah hatiku, Azz. Risau hati emak dan ayah dengan keselamatan diriku nanti, tambahan pula apabila terpaksa berjauhan sehingga merentasi Laut China Selatan. Namun, aku sering teringat nasihat emak. Kata emak, jangan biarkan diri terlalu takut untuk melakukan apa-apa. Yakinlah bahawa setiap perkara; ajal, jodoh pertemuan dan rezeki kita telah ditakdirkan. Kata-kata itu sangat berbekas di hatiku, Azz. Setiap kali badai resah melanda, aku akan menepisnya dengan kata-kata keramat emak. Sungguh mujarab di hatiku! Bisa membuang gundah gulana dan rasa walang. Aku mula yakin, jika ajalku sudah ditakdirkan mati begitu, begitulah. Jika begini, beginilah. Aku berserah diri kepada-Nya. Cuma aku harap, matiku dalam keadaan yang baik. Husnul khatimah.

Itulah rencam dunia pendidikan. Macam kehidupan kita juga; ada pahit, manis, masam dan masin. Itu semua citra kehidupan. Hmm… ini satu lagi titik resah yang bertompok di sudut hatiku. Apa pendapat kau tentang pelajar-pelajar kita sekarang? Sedih aku, Azz. Pelajar sekarang semakin kurang rasa hormat kepada guru, tak macam zaman dulu-dulu. Inilah realiti yang harus diterima. Adikku yang menuntut di maktab perguruan pernah menceritakan kepadaku tentang pelajar-pelajar lelaki kelasnya (bakal guru) yang tidak menghormati pensyarah. Pensyarah mengatakan mereka sombong dan pernah mendenda mereka. Kemudian, ketika pensyarah itu menyambung syarahannya, ada seorang pelajar berkata: “Straight to the point, Encik…” Jika kau yang bersyarah ketika itu, apa yang kau rasa? Kau rasa bakal guru itu biadab kan? Itu bakal guru yang akan ditauliahkan sebagai ‘guru.’ Jika guru biadab, anak-anak murid nanti…? Tentu kau tahu tentang peribahasa ini: ‘Bapa borek, anaknya rintik.’ ‘Jika guru kencing berdiri, pasti muridnya akan kencing berlari.’ Itulah yang merisaukan aku. Agaknya, itu salah satu punca pelajar-pelajar kita semakin tidak berakhlak dan hilang hormat pada guru. Disebabkan guru sendiri. Ketam yang berjalan bengkok takkan mampu untuk meluruskan cara berjalan anaknya, Azz.

Aku teringat kenyataan Ibn Khaldun dalam bukunya yang terkenal- Muqaddimah. Menurut beliau, sesebuah tamadun itu tidak akan kekal lama sekiranya elemen kerohanian tidak diambil kira dalam pelan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah peranan aku kelak, Azz. Aku selaku guru suatu hari nanti perlu mengubah masyarakat di sekelilingku yang seterusnya mampu membaiki taraf hidup manusia. Aku perlu terap dan tanam pelajar-pelajarku dengan kepekaan rohani agar mereka berhasil menjadi modal insan cemerlang, iaitu aset penting ke arah mencapai kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Bukan mudah, Azz. Bukan mudah untuk melakukan semua itu. Berat! Sememangnya lebih mudah untuk berkata daripada cuba mengotakannya. Namun, aku bertekad dengan azam yang padu untuk berusaha semampuku merealisasikan harapan yang maha berat itu!

Azz, temanku… begitulah ranjau kehidupan seorang pendidik yang bakal kutempuhi. Ya, aku tahu aku perlukan persiapan untuk menghadapi semua itu. Aku sedar aku tak boleh hanya duduk bergoyang kaki menanti detik itu. Aku perlu melengkapkan diri dengan kelengkapan yang sepatutnya ada pada seorang guru. Aku tahu, aku sedar. Tapi, aku tetap perlukan sokongan agar aku tak rebah. Sokongan emak ayah, adik-adik, dan sokonganmu juga, Azz. Sedangkan Rasulullah perlukan sayap kiri dan sahabat-sahabat untuk menyokong dan mendokong perjuangan Baginda, inikan aku hanya insan kerdil lagi lemah.

Azz, sudah banyak kukongsikan denganmu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kulalui. Aku pula akan menanti perkhabaran darimu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kau tempuhi. Apa, ya? Penulis bebas? Kaunselor? Pakar motivasi? Atau…??? Yang mana satu, Azz? Ceritalah padaku… Azz, sebelum mengakhiri coretanku, aku sertakan di sini sebuah sajak untuk kau renungi.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulai oleh seorang guru biasa
Yang dengan tulus ikhlasnya mengajar tulis baca!

Sahabatmu,
Jue

Penulisan Cerpen Mengikut Teknik Surah Yusof

Teknik surah Yusof (teknik cerita indah)

Keindahan cerita Nabi Yusof, menagapa?

BAHAGIAN 1: CERITA
Antara guidelines nya:

1) cerita benar

2) tentang seorang lelaki- sebagai watak utama

3) cerita dari kecil- dewasa

4) hero- watak yang ideal
- tidak boleh bagi kemenangan pada watak jahat, walaupun
bermula dengan watak nakal, at the end jadi baik disebabkan
sesuatu peristiwa yg sedarkan mereka.

5) watak baik sedikit - e.g: Nabi Yusof, Nabi Bunyamin,Nabi Yaakob
etc.
Watak jahat, ramai - e.g: abang2 Nabi Yusof, Zulaikha, suami
Zulaikha etc.

6) cerita tentang sekeluarga- watak utama mesti ada asal usul, tak
boleh hidupkan watak nya tanpa keluarga... tiba2 hidupkan watak utama
tanpa ceritakan asal usul kuarganya.

7) jumlah watak yang banyak- e.g dalam surah Yusof ada 20 watak.

8) mesti ada konflik
e.g: Nabi Yusof berkonflik dgn 5 watak- abg2nya,
Zulaikha, suami Zulaikha, rakan sepenjara, pedagang yg jual nabi Yusof.

- dalam citer Nabi Yusof, Nabi sentiasa rujuk ayahnya
Nabi yaakob bila ada konflik, cthnya bila dia mimpi pasal
bintang,bulan dan matahari sujud pada dia.
-so, dalam cerita yg indah, watak mesti rujuk pd keluarga
bila ada masalah, bukan pada kawan2- ini watak yg ideal dan
cerita yg islamik, sentiasa rujuk dgn keluarga.

9) ada 3 mimpi dlm surah Yusof : mimpi Yusof, mimpi rakan sepenjara.
Mimpi Raja mesir.

10) watak jahat tak dihukum, tapi insaf sendiri- berdasarkan
peristiwa yg menyedarkan dia. (so, pengajarannya Allah Maha Pengampun, walau
berdosa macamana pun pintu taubat sentiasa terbuka)


BAHAGIAN 2: BAHASA

1) apa yg tak boleh ditulis:
1. huraian tentang tubuh badan watak- cth dalam surah
Yusof, tak digambarkan tentang tubuh badan Yusof dan Zulaikha. Nabi Yusof
dicerita sebagai lelaki yg hensem tapi tak diceritak tentang details
warna kulit, hidung, mata etc.

2. pakaian- tak ada keterangan pada pakaian.

3. romance atau asmara- cinta boleh ditulis tapi tak
boleh tulis pasal asmara, tak leh ada babak2 yg go against syariah
compliance e.g: dating, peganag tangan, sentuh2 etc. even masa babak Zulaikha
goda nabi Yusof, cuma diceritakan Zulaikha tarik baju Nabi, tapi tak
bersentuh kulit.

2) ayat yang digunakan :
1. ayat naratif - ayat keterangan. Kurangkan ayat
keterangan. Dlm surah yusof hanya ade lebih kurang 10 ayat keterangan

2. ayat dialog - banyakkan ayat ini. Dalam surah Yusof,
ada 86 ayat dialog dan semua watak jahat digambarkan dengan dialog.
Cthnya: gambaran tentang watak jahat Zulaikha dlm dialog mengumpat
dikalangan isteri2 para pembesar... sila rujuk surah tersebut utk
kefahaman yg lebih jelas.

3) ayat2 yang tidak ada dlm surah yusof:
1. ttg alam semulajadi
- beri kebebasan pada pembaca utk imaginasi sendiri
- penulis bebas bawa watak ke mana saja walapun ke tempat
yg dia takpenah pegi.

2. tak ada tentang physical setting
- takda gambaran ttg istana raja mesir, tak diceritakan
tentang keluasan telaga tempat nabi Yusof dibuang.

4) susunan episod:
- dlm surah Nabi yusof, ada 60 episod
- episod disusun mengikut chronology atau susunan natural
dan tak ada flash back.


-Perkongsian daripada e-mel

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com