Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, January 30, 2009

Dihimpit Bayangan



Qibtiyyah memandangnya aneh. Sebaik pulang dari hospital pagi tadi, adiknya itu berwajah murung. Tingkahnya juga bisu. Mukanya moyok sahaja. Terjentik juga butir-butir persoalan di nubari; apakah adiknya itu punya masalah? Sakitkah dia? Tetapi katanya, masih belum mendapat kepastian daripada doktor. Minggu depan dia perlu lagi ke hospital untuk rawatan susulan.

“Fikah, kenapa ni? Dari tadi asyik diam. Fikir apa?” Qibtiyyah menyentuh lembut bahu Syafikah dari belakang. Adiknya itu sedang termenung menjuntai kaki di kepala tangga.

Angin petang berkibar deras. Derunya seakan-akan di tepian pantai. Nyanyian bunyi wau di udara bergemersik di telinga. Anak-anak kampung leka bermain wau pada rembang petang begini kerana musim tiupan angin kencang.

Syafikah senyum hambar. “Tak ada apa-apalah, kak. Fikah rasa letih saja.” Matanya dikenyit-kenyit dirobek angin kencang yang membawa pepasir halus.

“Letih? Atau Fikah risau fikirkan keputusan pemeriksaan tu nanti?” Qibtiyyah menebak.

Syafikah mengerling kakaknya sambil menghambur lantunan ketawa anak. Terpamer barisan gigi yang rapi menyerlah. “Kakak ni, tak adalah. Kenapa Fikah nak risau? Tadi pun doktor tu dah cakap, kemungkinan besar tak ada apa-apa. Fikah tak rasa risau apa pun, kak. Betul.”

Qibtiyyah mengerutkan kening. Bercantum. “Hmm, kalau dah macam tu tak apalah. Kakak cuma risau tengok Fikah murung. Kalau letih, rehatlah. Turun ke bawah ambil angin petang. Kata Ibnu Qayyim, melihat warna hijau, tengok air mengalir, buah-buahan, dedaun serta sesuatu yang disukai boleh menerangkan penglihatan.” Qibtiyyah mengulum senyum, menyentuh lembut kepala adiknya sambil turun ke tanah.

Minggu berikutnya, Syafikah ke hospital lagi untuk mendapatkan rawatan susulan. Qibtiyyah berhasrat ingin mengikut, tetapi disebabkan hari itu hari Isnin; harinya mengajar, maka Syafikah meminta sahabat baiknya, Anis, untuk menemani. Tercalit tompok-tompok kesal di hatinya kerana tidak berupaya menemani adiknya pada saat-saat yang dirasakan genting seperti itu.

Sebaik pulang dari sekolah, dia bergegas ke bilik Syafikah, tidak sabar bertanya itu dan ini. Syafikah sekadar tersenyum di birai katil sambil mendakap bantal peluk berbentuk pensil panjang. “Macam mana? Lekaslah cerita,” gesa Qibtiyyah sambil menampar lembut paha Syafikah.

“Tak ada apa pun, kak. Alhamdulillahlah. Doktor kata tadi, ketulan kat ketiak Fikah tu cuma masalah kelenjar. Bukan barah. Tapi dia cakap, selepas period, ketulan tu lebih terasa. Sebelum ni dia rasa macam kepala tulang.”

Qibtiyyah melopongkan mulut berbentuk ‘O’ mendengarkan penjelasan adiknya. Terasa bagai semilir sejuk sedang mengusap-usap kerisauannya selama ini. “Alhamdulillah… Doktor bagi ubat?”

“Dah tak sakit. Buat apa nak ubat!” Syafikah mengekeh ketawa. Qibtiyyah tenang melihat senyuman manis adiknya itu. Dia tahu, Syafikah tentu sangat lega mengetahui hasil pemeriksaan tersebut. Dia tidak perlu gusar lagi.

Beberapa hari berlalu. Qibtiyyah diterpa keanehan sekali lagi. Syafikah dilihatnya asyik terperuk di dalam bilik. Hanya sesekali keluar untuk makan dan mandi. Drama bersiri Korea yang menjadi kegilaannya setiap Isnin hingga Jumaat itu pun tidak dilayannya. Selaku kakak, Qibtiyyah berasa tidak tenang, sementelah emaknya juga menyuarakan kehairanan tersebut kepadanya. Mereka hanya dua beradik, dan Syafikah rapat dengan kakaknya sahaja, berbanding dengan emak dan ayah.

Lima minit sebelum drama bersiri Korea yang digilai Syafikah bermula, Qibtiyyah mengetuk pintu bilik adiknya itu. Daun pintu dikuak, dan dia menjengah kepala memandang Syafikah sedang berbaring di katil sambil mencerlungnya dengan separuh kaget.

“Dik, drama Korea tu dah nak start. Tak nak tengok?”

Syafikah menggeleng laju.

“Ait, kenapa? Bukankah Fikah minat sangat dengan hero dalam drama tu?” Qibtiyyah menguntum senyum di bibir sambil mengangkat kening sebelah.

Syafikah tergelak. “Zaman Ziana Zain dah berlalulah, kak.”

Qibtiyyah merasakan soalannya tidak berjawab. Dia tidak puas hati melihat keanehan yang berlaku pada diri adiknya. Dia terus memboloskan diri ke dalam kamar kecil itu, lalu berteleku di bangku meja solek menghadap wajah ke arah Syafikah.

“Kenapa ni, Fikah? Cuba terus-terang dengan kakak. Kakak rasa Fikah mesti ada masalah. Selalunya tak macam ni pun. Dulu kakak tengok, Fikah mesti gopoh-gopoh makan malam sebab takut terlepas tengok cerita Korea tu. Tapi, kenapa sekarang kakak dah tak nampak semua tu? Bukan kakak saja, tahu? Tapi mak dan ayah juga.” Kening Qibtiyyah bertaut. Mata bundar itu menikam tajam anak mata adiknya.

Syafikah tunduk, tidak berani menentang tikaman tajam kakaknya. Jari-jemarinya dibelek-belek dan ditilik kosong.

“Fikah bergaduh dengan Adib ya?” Qibtiyyah melempar serkap untuk menebak. Dia tiba-tiba terfikir akan kemungkinan adiknya itu mempunyai konflik dengan tunangnya, Adib. Tempoh bertunang lazimnya sering dilanda ombak duga yang bergulung-gulung. Begitu fikirnya.

Syafikah geleng. “Eh, tak adalah, kak. Mana ada. Adib baik orangnya. Dia selalu bertolak ansur dengan Fikah. Kami jarang bergaduh.” Syafikah cuba meyakinkan kakaknya.

“Habis?”

“Entahlah, kak. Fikah pun tak tahu kenapa dengan Fikah ni. Tapi Fikah kadang-kadang jadi gerun bila fikir nak berumahtangga. Agaknya sebab tulah, kak. Fikah rasa semacam takut,” luahnya sambil membelek-belek lagi jemari yang runcing bagai batang serai itu.

Seulas senyum tersungging di bibir Qibtiyyah. Dia mulai mengerti mengapa adiknya seolah murung dan berkelakuan aneh sejak beberapa hari ini. Urusan hendak mendirikan masjid sememangnya perkara besar yang tidak boleh dipandang enteng. Dan, sewajarnyalah Syafikah bertingkah demikian. “Dik, lumrahlah begitu bagi orang yang nak jadi raja sehari. Walaupun kakak belum berpengalaman, tapi menurut pengalaman kawan-kawan kakak, begitulah. Jangan risau, dik. Segala-galanya akan baik,” ujar Qibtiyyah selaku menenangkan hati Syafikah.

“Ya, kak… Kakak, mak dan ayah janganlah risau. Fikah cuma nak mencari kekuatan saja buat masa ni.” Syafikah merenung lembut wajah persih Qibtiyyah sambil menangkupkan telapak tangan di atas tangan kakaknya.

Qibtiyyah mengangguk. Lega mendengar pengakuan adiknya.

Hujung minggu itu, Qibtiyyah tidak ke mana-mana. Dia hanya menghabiskan hari dengan menulis puisi dan menyemak buku-buku latihan para pelajarnya.

Tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyikan nada dering ‘Azab Ilahi’ daripada kumpulan nasyid Irsyadee. Tertera nama ‘Adib’ pada skrin telefon, dia segera menjawab. “Ya, Adib? Ada apa?”

“Kakak sihat?” Adib berbasa-basi di hujung talian.

“Alhamdulillah. Kenapa telefon kakak ni? Jarang telefon. Kalau telefon, selalunya mesti ada masalah dengan Fikah. Betul tak?” Teka Qibtiyyah.

“Kakak memang tukang nujum.” Adib mengaku.

“Jadi, apa masalahnya?”

Adib lalu menceritakan perihal masalah yang sedang melanda hubungannya dengan Syafikah. Kakaknya begitu terperanjat apabila mendapat tahu Syafikah bersikap endah tidak endah apabila mahu menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan mereka. Syafikah juga meminta Adib menangguhkan dahulu tarikh perkahwinan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.

“Saya tengah pening kepala, kak. Tak tahu kenapa dia macam tu.”

“Mm, sabar ya, Dib. Nanti kakak cakap dengan dia. Kakak rasa dia tengah runsing fikir urusan nak kahwin ni. Baru-baru ni pun dia ada cakap pada kakak yang dia tengah mencari kekuatan untuk membina hidup berumahtangga. Sabar ya. Nanti kakak cakap,” janji Qibtiyyah, berusaha melegakan gelombang tekanan yang bersipongang dalam dada Adib.

Fikiran Qibtiyyah serasa berkecamuk dan berselirat. Kenapa dengan Syafikah? Urusan perkahwinan melibatkan urusan antara dua pihak, iaitu dua belah keluarga pihak lelaki dan perempuan. Tindak-tanduknya begitu hanya akan mengundang rasa tidak puas hati pihak yang lain, dan ini tentu akan menimbulkan rasa amarah serta dendam. Keluarga juga akan mendapat malu. Tetapi dia perlu bersabar. Dia sendiri mungkin tidak mengerti apa masalah sebenar yang diperam adiknya.

Seusai makan malam, Qibtiyyah mengekor adiknya ke bilik. “Ada benda kakak nak cakap,” katanya. Syafikah memandangnya penuh tanda tanya.

Sebaik kedua-duanya melabuhkan punggung di tilam empuk, Qibtiyyah mencapai tangan adiknya, menggenggam sambil mengusap-usap. Matanya setentang menjunam ke dalam anak mata Syafikah. “Beritahu kakak dengan jujur. Apa masalah Fikah dengan Adib?”

Syafikah menelan liur. Pandangannya dijatuhkan ke cadar ungu yang membalut tilam tidurnya. Lidahnya kelu untuk berkata.

“Kenapa, dik?” Qibtiyyah cuba berlembut memujuk. “Kakak ada untuk menolong Fikah. Kakak bersedia mendengar apa pun masalah Fikah.” Qibtiyyah cuba meyakinkan. Dia memaut lengan kanan adiknya dengan melempar pandangan redup.

Syafikah menarik nafas dalam-dalam. Kemudian mengeluh perlahan. Dia masih ragu-ragu untuk memuntahkan apa sebenarnya yang bergalau di telaga hati. Tetapi melihatkan renungan kakaknya yang sering meneduhkan segala risau dan serabut itu telah melonjakkan alur rasanya ke paras bersedia dan rela. Maka kotak akalnya mulai menyusun irama bicara yang bakal terlantun dari kedua-dua bibirnya sebagai dendangan bernada untuk diterjemah sendiri oleh pendengaran Qibtiyyah.

“Kak… Mm, sebenarnya Fikah rasa tak tenang sekarang ni. Bukan sebab fikirkan tanggungjawab bila berumahtangga nanti, tapi ni tentang hal lain.”

“Hal apa, dik?” Qibtiyyah bertanya lembut.

Syafikah memakukan pandangannya ke mata Qibtiyyah. “Kak, perasaan Fikah sekarang ni terlalu kacau. Fikah rasa sangat terganggu hari demi hari. Semuanya bermula sejak Fikah ke hospital hari tu…” Dia diam, cuba melihat respon kakaknya.

Qibtiyyah mengerutkan kening, menuntut penjelasan lanjut.

Syafikah mula gugup. “Kakak tahu, masa Fikah ke hospital kali pertama, Fikah takut jugak kalau-kalau doktor yang periksa Fikah nanti doktor lelaki. Tapi Fikah doa, minta-mintalah doktor perempuan. Bukan apa, Fikah rasa malu.” Syafikah menelan liur sebelum menyambung. “Tapi permintaan Fikah tu tak dimakbulkan. Sebaik masuk ke dalam bilik rawatan, Fikah agak gementar bila tengok doktor yang akan rawat Fikah ialah lelaki muda belia. Mujur Anis temankan masuk sekali.”

“Doktor cek kat bahagian mana?” Qibtiyyah tidak sabar ingin tahu.

“Dia cek kat ketiak Fikah yang ada ketulan tu lah. Tapi dia cek juga kat tempat-tempat berkaitan.” Syafikah malu untuk menerangkan. Dia sekadar menunjukkan isyarat bahagian dada.

Qibtiyyah angguk. “Memanglah ada kaitan. Lepas tu?”

“Tu kali pertama. Waktu tu Fikah period, jadi doktor suruh Fikah datang lagi minggu depan. Masa kali kedua pula, Anis temankan masuk sekali juga. Tapi doktor tu bawa Fikah ke sebuah bilik rawatan lain sebab kat bilik yang mula-mula tak cukup peralatan. Waktu tu Anis tak ikut sekali sebab doktor suruh dia tunggu kat bilik rawatan pertama.”

“Nurse?”

“Nurse pun tak ikut sebab dia keluar sekejap urus sesuatu waktu Fikah mula-mula masuk tu.”

“Jadi, Fikah dengan doktor sajalah dalam bilik tu?” Teka Qibtiyyah.

Syafikah mengiyakan.

“Salah tu, dan membahayakan. Kalau ikut etika perubatan Islam pun salah berdua-duaan dengan pesakit kalau berlainan jantina. Antara syarat yang ulama Islam telah tetapkan untuk mengharuskan seseorang doktor lelaki merawat pesakit wanita ialah mestilah pesakit tu ditemani oleh mahramnya, suami, ataupun wanita lain yang dipercayai,” terang Qibtiyyah bersandarkan pengetahuan yang diterimanya sewaktu belajar di universiti dahulu.

“Yakah, kak?” Syafikah seolah-olah terkejut. Sebelum ini dia langsung tidak pernah ambil endah.

“Ya, betul. Satu lagi, doktor lelaki hanya boleh merawat pesakit wanita jika tidak ada doktor wanita lain yang dapat mengambil alih tugas seseorang doktor lelaki tu, sama ada dari segi ilmu atau pengkhususannya. Kenapa Fikah tak minta doktor perempuan?”

“Fikah tak tahu semua tu, kak.”

“Mm, yalah. Tapi kadang-kadang memang kita terpaksa diperiksa oleh doktor lelaki sebab tak ada pilihan. Kakak teringat sebuah hadis. Maksudnya begini: ‘Ummu Salamah telah meminta izin daripada Rasul untuk berbekam, maka Rasul pun menyuruh Abu Thaibah untuk melakukan bekam itu.’ Hadis ni diriwayatkan oleh Bukhari.” Qibtiyyah meneguk liur, dan meneruskan. “Dalam Kitab Al-Fatah, Al Hafiz telah berkata: ‘Diperbolehkan mengubati orang-orang yang berlainan jantina pada waktu darurat. Dan hal-hal yang berhubungan dengan melihat, memegang dengan tangan hendaklah dilakukan sekadar keperluan sahaja.’ Berkata pula Ibn Hamdan: ‘Jika tidak ada orang yang akan mengubati seseorang pesakit lelaki melainkan doktor wanita, dia boleh melihat kepada anggota pesakit yang perlu dilihatnya, walaupun pada kemaluannya.’”

Syafikah terdiam lama mencerna butir-butir maklumat yang baru diterimanya.

“Berbalik kepada masalah Fikah tadi. Kenapa Fikah rasa tak tenang dan kacau?” Qibtiyyah kembali melontar buah persoalan.

Syafikah merenung di kejauhan. Matanya tidak berkedip.

“Waktu berdua dengan doktor dalam bilik tu, doktor ulang cek tempat yang sama macam dia cek masa kali pertama. Tapi kali ni lebih ‘menyeluruh.’” Syafikah sengaja menggantung bingkai persoalan di benak kakaknya.

“Maksud ‘menyeluruh’?”

Syafikah mengunci bibir. Dia hanya mengisyaratkan bahagian leher sehingga lutut.

“Tempat-tempat tu ada kaitankah? Sebab syarat nak rawat ni mestilah dibuka dan dilihat anggota-anggota yang perlu dan berkaitan saja.” Qibtiyyah bingung dan hatinya mulai berwap panas.

“Doktor kata ada kaitan sebab kat bahagian-bahagian tu ada kelenjar. Kadang-kadang ada sangkut-paut dengan kelenjar-kelenjar lain. Untuk memastikan secara betul-betul, dia terpaksa cek seluruh badan yang terdapat kelenjar, dan juga di bahagian… err…” Syafikah diserbu malu untuk meneruskan kata-kata. Pipinya merona merah.

Qibtiyyah mengerti bahagian mana yang dimaksudkan oleh adiknya itu. Dia mengangguk.

“Sekarang ni masalahnya kalau kakak nak tahu, selepas kena cek kali pertama dan kedua tu, Fikah jadi macam terawang-awang. Bagai tak berpijak di bumi nyata.”

“Kenapa?”

“Fikah asyik teringatkan doktor tu saja, kak. Bukan Fikah nak macam tu. Tapi Fikah ni masih anak dara. Fikah rasa dihantui oleh bayangan dia saja, kak. Kakak faham tak macam mana?” Dia bungkam.

“Ya, kakak faham. Maksudnya, Fikah asyik teringat dan terfikir perbuatan doktor tu saja, kan?”

Syafikah angguk. “Sebab tu Fikah tertekan sangat, kak. Fikah jadi lupa pada Adib. Setiap masa, Fikah hanya akan ingat pada doktor. Fikah tak tahu macam mana nak jelaskan pada kakak.” Syafikah mengukir garis buntu dan celaru di wajahnya.

“Hmm, begitulah akibatnya kalau tak ikut panduan Islam sebenar. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tak kisah dirawat oleh siapa pun kerana tujuan hanya semata nak berubat. Tapi bagi orang yang memiliki perasaan yang halus dan sensitif macam adik kakak ni, boleh jadi trauma. Dan kakak tahu Fikah memang sedang trauma.” Qibtiyyah menggenggam jari adiknya yang dibalut dingin. Mungkin rasa gemuruhnya masih bergayutan di dahan hati.

“Fikah pun rasa macam tu. Tapi sekarang ni Fikah cuma rasa bersalah sangat pada Adib. Fikah bukan tak nak kahwin, tapi fikiran Fikah ni tengah serabut. Fikah tak boleh nak fikir hal perkahwinan lagi buat masa ni. Fikah cuma nak ambil sedikit masa untuk pulihkan semula diri Fikah,” luah Syafikah, mengharapkan simpati kakaknya.

“Tak apa, dik. Bertenanglah dulu. Ingat Allah banyak-banyak, tingkatkan amal ibadat dan berdoalah supaya dikuatkan hati. Mungkin ini ujian. Tempoh bertunang memang lagi banyak duga dan cabaran. Pasal Adib, biar kakak uruskan. Janganlah risau.” Qibtiyyah melirik senyum.

Syafikah lega. Hatinya mula ditiup damai dari perbukitan indah kata-kata kakaknya. “Kak, terima kasih.”


TAMAT

Thursday, January 29, 2009

Menunggu Di Batas Waktu



Pagi itu dia bangun awal sebelum cahaya putih bertompok di ufuk langit kelam. Sesekali ayam jantan berkokok nyaring bersahut-sahutan. Daun tingkap dibiar nganga terbuka. Dia berasa segar sewaktu angin dingin mengusap-usap lembut pipinya yang cengkung tidak berisi.

Cincin emas belah rotan di jari manis direnungnya. Dia memutar-mutar cincin itu seraya menciumnya. “Inilah tanda kasihnya kepadaku.” Bibir mungilnya mengucup lagi simbol kasih yang diulang-ulang sejak sekian waktu kala menatap batang tubuh cincin itu. Dia masih leka membelek-belek. Langsung tidak tahu erti jemu.

Setelah puas menilik, mencium dan membelek, dia menalakan wajahnya menghadap cermin di meja solek. Satu set lengkap alat solek telah sedia menanti di atas meja tersebut. Sejak lama dahulu, dia hanya kenal dengan alat solek jenama ‘Safi.’ Dia yakin tanpa was-was. Maka, jenama itulah juga yang disiapkannya sempena hari yang dinanti-nantikan.

Dia mula menyapu krim asas solek di kedua-dua belah pipi, dahi, hidung dan dagu. Dia merata-ratakan dengan hujung jari. Bedak kompak dibukanya, lalu dengan menggunakan puff, ditempek-tempek dan dipedap-pedapkan ke seluruh muka. Celak pensil berwarna coklat kehitaman digaris di bawah mata. Terakhir, dia mencalit bibir kusam dengan sedikit lipstick mengikut warna bibirnya. Selesai. Dia merenung dirinya di dalam cermin. Tersenyum. “Cantik.” Dia memuji sendiri.

Dia kemudian bangkit menuju ke almari baju. Sepasang jubah berwarna krim dengan kerawang biru muda di leher, dada, pergelangan tangan dan kedua-dua belah belahan jubah bahagian luar yang tersangkut rapi dicapainya. Jubah itu telah ditempah khas sejak tiga bulan lalu demi semata untuk menanti hari bahagia dalam hidupnya bergelar raja sehari. Tanpa lengah, dia menyarung persalinan tersebut ke tubuhnya yang tinggi gemalai.

Dia menggaya-gayakan badan seperti model di hadapan cermin. Dia menatap puas dirinya sambil tersungging-sungging senyum. Tiba-tiba angin kencang mulai membadai hatinya. Ada ngilu dan perit yang merobek-robek dalam dada.

Dia bersimpuh kembali di bangku meja solek dan menatap wajahnya di dalam cermin. Terpamer gurat-gurat luka yang berakar tunjang di ladang hatinya. Bagai litar pintas yang merenjat, kelukaan itu telah merayap-rayap memanjat relung-relung hati, kepala, dan seluruh tubuhnya.

Ada gugus manik jernih berjuraian tali-temali di birai pipinya.

“Maaf, Haura’. Bukan ini yang saya inginkan. Saya juga terluka, tapi begitulah keputusan keluarga saya.” Bibir itu bergerak-gerak sambil anak mata menjilat lantai.

Dia masih gamam. Kata-kata Aqil umpama belati yang membidas dan meremukkan seluruh jiwanya. Sedaya mungkin, dia cuba menahan benteng air mata daripada terbongkah.

Mulutnya terkumat-kamit sambil menahan getar dalam dada. “Kita nak akad saja dulu, tak bolehkah? Dua, tiga bulan lepas tu saya pun dah graduate. Bukan saya nak awak terus tanggung saya. Tapi tunggu saya graduate dulu. Lagipun, masa tu awak pun dah kerja.” Dia beranikan diri untuk meluah.

Aqil memandang matanya mulai berkaca. Dia kasihan pada gadis itu. Dia tahu bahawa Haura’ telah lama menunggunya, dan telah banyak pula melalui kegetiran bersama. Tetapi ketegasan emak dan ayahnya untuk tidak membenarkan dia mengahwini gadis itu selagi belum menamatkan pengajian, benar-benar membungkam suaranya.

“Bukan macam tu, Haura’. Sekarang ni ekonomi negara kita merudum. Pendapatan bulanan emak dan ayah pun tak seberapa. Mereka kata tak ada duit nak buat kenduri. Takkan saya nak paksa. Sebagai anak, takkanlah saya tak faham. Mak dan ayah suruh saya kerja dulu, sekurang-kurangnya setahun.”

“Saya cuma nak awak selamatkan saya. Saya sekadar nak kita akad saja, untuk menghalang saya daripada kena posting ke Borneo…” Dia mengukir mimik simpati.

Aqil diam. Lama. Kepalanya terasa berdenyut-denyut hendak meletup.
“Saya tak dapat buat apa. Keputusan ada di tangan mak dan ayah saya…”

Rohnya bagai melayang-layang, membawa jiwa raganya terbang bersama-sama. Kekecewaan yang menghempuk hatinya menjadikan dia cedera parah. Dia telah bertindak mengikut sepenuh emosi yang memandu akalnya ketika luka merabit di hati. Dia mahu membatalkan majlis pertunangan yang dirancang dalam tempoh tiga bulan lagi meski cincin tunang sudah dibeli dan persalinan juga sudah tersedia. Dia meminta kembali cincin tunang yang disimpan oleh emak Aqil dan membayar harga cincin itu kerana mahu menyimpan untuk dirinya. Aqil pada mulanya keberatan untuk memenuhi permintaannya, tetapi akhirnya akur lantaran sikapnya yang semakin dingin.

Fikirannya mulai berserabut, kusut dan berselirat. Dia sengaja mengambil keputusan untuk tidak meneruskan majlis pertunangan tersebut kerana dia sudah bosan dan jemu menjadi ‘penunggu.’ Hatinya remuk-redam apabila dirinya tidak dapat ‘diselamatkan’ oleh putera yang diharap-harapkannya selama ini. Dia rasa tiada apa-apa makna lagi meski dapat berkahwin dengan Aqil, tetapi mereka terpaksa berpisah sekurang-kurangnya selama lima tahun setelah berkahwin. Baginya, tiada erti sesebuah perkahwinan dengan berjarak dan berpisah begitu.

Dalam situasi apa pun, dia sedar yang dia sering menjadi ‘penunggu.’ Menunggu kawan, menunggu bermulanya sesuatu majlis, hatta menunggu untuk disunting. Dia sangat sakit menjadi ‘penunggu’ kerana orang yang ditunggu lazimnya tidak merasakan perasaan orang yang menunggu. Kata-kata bahawa ‘penantian itu suatu penyiksaan’ benar-benar satu realiti. Dia sendiri sudah mengunyah sehinggah hadam hakikat kata-kata itu.

Setelah melewati tempoh perpisahan dengan Aqil, dia semakin ‘tenat.’ Emosinya seolah-olah tidak mampu dikawal lantaran parahnya sebuah hati luka yang disimbah cuka. Berahinya pada makanan tidak ada lagi. Setiap apa yang ditelan akan termuntah keluar semula dengan linangan air mata. Malah, secara tidak sedar, dia sering menghentak-hentak betisnya pada meja berkaki rotan. Kesan lebam yang memanjat betis bagaikan tidak terasa lagi sakitnya kerana luka di hati lebih memakan diri.

Kewarasannya mula dirantai emosi. Dia seperti hidup dalam khayalan. Tindak-tanduknya sering menambahkan lagi sebuah siri duka. Mula-mula, dia menempah jubah pengantin dengan duit PTPTN secara senyap-senyap, takut dihidu emaknya. Kemudian, dia memesan cadar, sarung bantal dan pakaian-pakaian baru melalui katalog sebagai persiapan perkahwinan. Kesemua barangan itu disimpan secara sembunyi dalam almari berkunci.

Aqil sesekali datang ke rumah untuk menjengah setelah mendapat tahu daripada ibu dan abahnya mengenai perubahan sikapnya yang semakin menggusarkan. Tetapi dia tidak pernah melangkah bendul kamarnya ketika jejaka itu datang. Dia berasa dendam. Perasaannya sukar sekali untuk ditelah.

Dia juga tidak lagi ke universiti tempat dia belajar. Ibu dan abahnya telah membuat permohonan kepada pihak universiti untuk menangguhkan semester pengajian lantaran emosinya yang begitu mengekang. Segala-gala yang dilakukan hanyalah mengurus perihal perkahwinannya yang tidak kesampaian disebabkan ketidaksabaran serta kegoyahannya untuk setia menjadi ‘sang penunggu.’

Dia kembali merenung muka bujur yang cengkung, suram dan dilinangi air mata dalam cermin di hadapannya. Menyedari mukanya mulai berbahang hangat, cepat-cepat dia menyeka air mata yang berjujuhan di pipi. Segera dia bangun, mencapai kamera digital di atas rak buku dan menangkap gambarnya sendiri beberapa keping.

Puas. Dia menanggalkan jubah tersebut dan menggantikan dengan pakaian biasa. Jubah itu digantung dengan penyangkut, kemudian disimpan ke dalam almari untuk dipakai semula keesokan harinya, dan hari-hari seterusnya.


‘Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.’-Hamka

TAMAT

Monday, September 8, 2008

Kasus Belenggu





Kak Fara baru tiba di rumah. Dia baru pulang dari rumah Tok Leha, berdekatan dengan jambatan tasik bekas lombong di hujung kampung. Dia membantu Tok Leha di situ secara sukarela untuk mengajar budak-budak kampung mengaji al-Quran dalam tempoh cuti semester pengajiannya di universiti.

Kak Fara nampak benar-benar kelelahan. Wajahnya dimamah lesu sehingga kelopak matanya terbuka layu. Bajunya lencun bermandi keringat. Kak Fara buru-buru masuk ke bilik, sejurus kemudian keluar semula membawa tuala mandi dan terus masuk ke dalam bilik air.

Burr! Burr!

Curahan air berdebur menimpa lantai betul-betul jelas di telinga adiknya, Farid yang berusia 15 tahun. Kak Fara mandi? Eh, bolehkah mandi pada waktu ini? Kak Fara tak takut kurang pahala puasa? Soalan-soalan itu menerjah kotak akal Farid.

Tiba-tiba emak muncul dari dalam biliknya. Dia terpinga-pinga sambil anak mata memanah pintu bilik air.

“Kakak engkau mandikah, Farid?” Soal emak sambil matanya membutang merenung Farid. Farid mengangkat bahu. “Apa kena kakak engkau ni? Kan makruh mandi siang-siang hari ni.” Emak mengomel sambil menapak ke bilik air. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu itu sambil tangan memalu keras.

Dum! Dum! Dum!

“Fara, kau mandikah?”

“Ya, mak,” jawab Kak Fara sambil terus menyiram tubuh. Kak Fara seperti dapat menerka apa yang berlegar-legar dalam fikiran emak. Selepas dua, tiga kali mencedok air, dia berhenti. Kak Fara tersembul di muka pintu dengan berkain batik dan tuala menutup tubuh.

“Yang kau mandi waktu dah nak dekat senja ni kenapa, Fara? Kan makruh. Tak takut batal puasa?” Emak bercekak pinggang. Dia memang pantang jika merasakan anak-anaknya berbuat sesuatu menyalahi dasar pegangan dan amalannya selama ini.

Kak Fara sekadar mengukir senyum. “Tak apa, mak. Tak batal puasa. Makruh pun tidak. Fara mandi sebab terlalu letih dan dahaga. Fara rasa badan ni kering saja. Lepas ni Fara nak goreng cempedak pula. Bila terkena bahang api, tentu lagi letih rasa badan ni. Jadi, Fara mandilah.” Kak Fara merenung emak, lalu memandang pula kepada Farid.

“Kalau termasuk air ke dalam telinga, bukankah akan terbatal puasa?” Balas emak.

“Tak batal, mak. Sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak akan batal.” Kak Fara menjawab yakin.

“Tapi, kak. Bukankah mandi selepas matahari sudah tinggi atas kepala itu hukumnya makruh?” Farid tidak puas hati.

“Boleh, dik. Tak makruh pun. Kurang pahala puasa pun tidak. Sebabnya, Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala baginda sewaktu bulan puasa lantaran terlalu haus dan panas. Tak ada ayat al-Quran atau hadis yang menyebut makruh atau kurang pahala puasa. Dik, Islam tu rasional. Kita boleh mandi untuk tujuan mengembalikan kesegaran dan mahu meneruskan pekerjaan lain. Mungkin jika tidak mandi, badan kita terlalu lesu dan hanya mahu terbaring. Islam itu tidak suka umatnya hanya terlantar di katil dalam keadaan lemah 24 jam!”

Kak Fara turut membacakan terjemahan hadis yang menyebut tentang keadaan Rasulullah mencurahkan air ke kepala baginda itu. “Abu Bakar bin Abdul Rahman meriwayatkan: Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah s.a.w di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Ahmad dan Abu Daud.”

Farid mengangguk-angguk mendengar penjelasan Kak Fara. Dia bertambah yakin setelah Kak Fara mengemukakan hadis. Sebab setahunya, hadis itu merupakan suatu hujah atau dalil yang kuat selepas al-Quran.

Farid menoleh melihat emak. Emak mendengus marah. “Setahu aku, memang tak boleh mandi bila matahari dah tegak atas kepala. Makruh! Bukan aku yang kata, tapi Ustaz Deraman yang kata. Dia orang alim yang kaya ilmu, tentulah kata-katanya itu betul. Yang kau ni, baru saja aku hantar ke universiti, dah berlagak pandai nak ubah macam-macam!” Emak memicit kepala seraya berlalu ke dapur.

Farid kembali bingung. Jawapan Kak Farakah yang betul, atau emak yang salah? Dia mencerlung kakaknya itu, menagih diuraikan kekeliruan yang berselirat.

Kak Fara seperti memahami erti tagihan pandangan Farid. “Dik, al-Quran dengan al-Sunnah atau hadis, yang mana lebih tinggi autoritinya?”

“Al-Quran.”

“Al-Sunnah, dengan maksud kata-kata Nabi, mana lebih tinggi kebolehpercayaannya berbanding kata-kata sahabat?”

“Kata-kata Nabi, kak.”

“Jadi, kata-kata Nabi dengan kata-kata ustaz biasa?” Kak Fara tersenyum. Farid juga turut mengulum senyum. Dia sudah mendapat jawapan.


***********************************************


Sahur itu satu rumah terlewat bangun. Berbaki 10 minit sebelum bermula waktu imsak. Emak hanya meneguk air kosong dan menjamah Kurma Maryami. Ayah pula sempat mengepal nasi sejuk lalu dikunyah dengan sedikit telur dadar semalam. Farid melihat Kak Fara mencapai pinggan, lalu disenduknya nasi putih sejuk bersama-sama dengan kuah asam pedas ikan pari. Farid mengikut telatah kakaknya meski dia tahu waktu imsak hampir tiba.

“Eh, yang kau berdua makan nasi ni kenapa? Dah tak sempat ni. Lagi 5 minit saja tinggal. Mana sempat nak habiskan nasi tu,” tegur emak. Ayah hanya mengerling sahaja sambil menghirup kopi pekat yang sempat dibancuh oleh emak.

Farid memandang Kak Fara. Kak Fara perasan itu. Sambil mengunyah, Kak Fara cuba menjelaskan. “Boleh, mak. Waktu imsak seperti yang tertulis dalam takwim solat tu hanyalah sebagai garis panduan agar kita sedar waktu sahur sudah hampir habis. Tapi yang sebetulnya, waktu sahur hanya akan tamat setelah masuknya subuh. Jadi, kita boleh makan selagi belum masuk waktu subuh, mak.”

“Apa kau merepek ni? Takwim tu kan dikeluarkan oleh orang yang ahli. Jangan kau nak memandai-mandai mengubah hukum,” marah emak.

“Saya tak merepek, mak. Saya juga tak mengubah hukum. Buktinya, Allah sendiri telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 187: Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. Di samping itu, baginda Nabi juga telah bersabda: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar. Kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa kita boleh makan dan minum selagi mana belum tibanya waktu fajar, iaitu subuh.” Kak Fara berhenti mengunyah.

“Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya, iaitu, boleh teruskan minum,” tambah Kak Fara.

“Ooo…” Ayah melopong mulut mendengar penjelasan Kak Fara. “Mah, ambilkan abang kuih seri muka dalam peti ais tu,” pinta ayah kepada emak. Emak mencuka memandang ayah. Tetapi dia memotong juga kuih seri muka dalam pelengat untuk ayah.

Kak Fara dan Farid saling berbalas senyuman.


***********************************************



Pintu bilik diketuk perlahan. Kak Fara memulas tombol pintu biliknya. Farid di muka pintu. Matanya kemerah-merahan dan sembab.

“Baru bangun tidur ya?” Kak Fara meneka. Farid angguk.

“Ada apa ni?”

“Nak tanya kakak. Boleh tak gosok gigi waktu tengah hari macam ni? Farid baru bangun tidur, nak sembahyang. Rasa tak sedap pula dalam mulut selepas bangun tidur.” Matanya masih terpisat-pisat dihurung sisa kantuk.

“Boleh, adikku. Rasulullah sendiri menggalakkan umatnya supaya bersiwak atau bersugi setiap kali hendak berwuduk, malah tidak terdapat larangan dalam al-Quran atau hadis tentang bersiwak pada bulan Ramadan. Jadi, memang bolehlah memberus gigi pada bila-bila masa, terutamanya ketika hendak berwuduk, dik.” Farid mengangguk perlahan mendengar penjelasan yang memuaskan hatinya.

“Islam itu mudah,” bisik hati kecilnya.

“Eh, dik. Lepas Asar temankan kakak pergi pekan sekejap ya. Nak beli ramuan bahan untuk buat kuih raya,” pinta Kak Fara.

“Okey. Kita pergi dengan kereta ayah ya, kak?”

Kak Fara mengangguk.

Seusai solat asar, mereka berdua ke pekan yang sedikit jauh dari kampung tempat tinggal mereka. Pekan berdekatan terlalu kecil dan tidak banyak barang-barang pilihan. Kebetulan, keadaan pekan pada waktu itu sangat sesak kerana bertembung dengan orang yang baru pulang dari pejabat. Mereka hanya sempat berbuka puasa di dalam kereta dengan Kurma Iran yang dibeli oleh Kak Fara.

“Dik, kita terus ke masjid ya,” unjur Kak Fara.

“Eh, kan kakak tak bawa telekung. Tak nak balik rumah dulu?”

“Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti terlepas pula waktu maghrib.” Kak Fara terus membelok ke kawasan masjid berdekatan.

Setelah berwuduk, Kak Fara pergi ke almari telekung di penjuru dalam masjid. Tidak ada. Semuanya sedang digunakan oleh para jemaah wanita yang hadir. Mereka sedang menunggu masuknya waktu Isyak untuk bersama-sama bersolat Isyak dan terawih berjemaah. Kak Fara lantas menyarung stokin bersih yang sering dibawa dalam beg tangannya. Pergelangan tangan dikancing dengan butang agar tidak terbuka. Kerongsang kecil dilekatkan di belakang tudung bidang 60 yang dipakainya supaya tudung itu tidak terselak dan melurut ke tengkuk ketika sujud. Dia lalu mengangkat takbiratul ihram.

Kelihatan banyak mata yang memandang aneh melihat Kak Fara bersolat tanpa telekung khas sembahyang. Dalam hati mereka, Kak Fara mungkin pengikut mazhab yang lain. Malah ada yang berfikiran, Kak Fara membawa bid’ah.

“Bolehkah sembahyang macam tu? Tak tutup sempurna,” bisik seorang wanita yang sudah lanjut usia.

“Entah. Nak sembahyang, mestilah pakai telekung sembahyang. Tak sah sembahyang dia tu,” bisik seorang yang lain.

Selesai berdoa, Kak Fara tiba-tiba dikuit oleh seorang wanita yang agak gempal dan hitam manis. Wanita itu bersalaman sambil tersenyum mesra.

“Anak dari mana?” Soalnya.

“Dari pekan tadi. Kebetulan, sesak pula di jalan. Tak sempat sampai di rumah. Ini pun cepat-cepat singgah sini nak sembahyang, takut terlepas maghrib.”

Wanita itu mengangguk.

“Maaflah, mak cik nak tanya. Kenapa sembahyang tak pakai telekung? Bolehkah macam tu?”

Kak Fara tersenyum. “Memang niat nak pakai telekung tadi, tapi semua dah habis dipakai. Saya pula tak bawa spare. Ya, boleh sembahyang tanpa telekung asalkan telah cukup syarat-syarat sahnya, termasuklah menutup aurat dan suci daripada hadas kecil dan besar.”

“Ooo…” Mulut wanita itu melopong mendengar penjelasan Kak Fara.

“Islam itu fleksibel, mak cik, iaitu kita tidak terikat pada adat atau budaya untuk melakukan ibadat. Contohnya, hukum bersolat itu adalah wajib kepada setiap orang, tapi Islam tidak menetapkan yang kita wajib memakai telekung sembahyang berwarna putih, hitam atau seumpamanya. Cuma, bila mana telah cukup syarat-syarat yang boleh menyebabkan solat itu sah, seperti telah menutup aurat dengan sempurna, maka teruslah bersembahyang. Kita tidak terikat pada telekung sembahyang, dan ia bukan syarat sah solat.” Kak Fara cuba meleraikan kekeliruan yang sememangnya dia tahu telah mendarah daging dalam masyarakat.

“Ya, betul tu. Orang kita selalunya bila keluar dari rumah berpakaian tak cukup kain, atau menutup aurat, tapi tidak sempurna, itu tidak dipandang salah. Tapi bila nampak orang lain menunaikan sembahyang tanpa telekung pun mahu dipersoalkan, sedangkan syarat untuk bersembahyang itu sudah sempurna.” Seorang gadis muda berwajah persih tiba-tiba mencelah. Wanita tua tadi hanya tersenyum, sedang di dalam hatinya merasa terpukul dengan ujaran gadis muda itu.

Kak Fara hanya menyepi. Dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa dengan kata-katanya. Dia sekadar mahu berkongsi ilmu dan kefahaman yang telah dipelajari. Dia kemudian meminta diri untuk pulang.

Farid telah sedia menunggu dalam kereta. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Kak Fara menceritakan situasi tadi kepada Farid. Farid juga tidak pernah terfikir akan hal itu. Selama ini memang dia menyangka bahawa ‘uniform’ solat itu wajib jika mahu bersembahyang.

“Baru Farid tahu…” Ujarnya.

“Itulah masyarakat kita hari ini. Mudah terikut-ikut dengan kata-kata orang, pantang menyalahi adat kebiasaan walaupun ketika nak beribadat. Sedangkan Islam itu mudah sahaja. Cuba kita tengok dalam bab nak bersembahyang juga. Kalau tak ada telekung, ada yang tak sembahyang. Sanggup qada’ di rumah sebab mentaliti mereka sendiri yang mewajibkan pemakaian telekung tu. Sedangkan dalam Islam tidak begitu. Cuma, jika ada telekung, sebaiknya gunalah telekung sebab ia lebih selesa dan menutup aurat dengan lebih sempurna pula.”

“Betul tu, kak. Baru Farid perasan macam mana keadaan masyarakat hari ni. Tapi, Farid tak tahulah macam mana nak ubah mentaliti mak tu.”

Kak Fara berpaling kepada Farid sambil menguntum senyum.

“Mm, mak tu kuat berpegang pada kata-kata orang yang dipandang tinggi dalam masyarakat, contohnya ustaz. Tapi ustaz pun kadang-kadang bukan semuanya ahli dalam semua bidang, khususnya zaman sekarang. Ada yang mahir bab usuluddin, tapi lemah bab fikah. Yang kuasai al-Quran, tapi kontang hadis, sedangkan al-Quran dan hadis tu saling lengkap-melengkapi.” Kak Fara diam sejurus. “Sesekali, Farid bukalah kuliah-kuliah ilmu kat tv tu. Halaqah atau al-Kuliyyah bagus juga. Ustaz-ustaz yang dijemput lazimnya mempunyai ilmu yang diperakui. Biar mak dengar. Moga-moga pemikirannya berubah.”

“Betul juga tu. Kadang-kadang ustaz yang selalu dijemput kat surau kampung kita tu terlalu konservatif, sehinggakan perkara adat pun sudah dianggap syariat. Farid dah menilai semua tu bila dengar hujah kakak,” balas Farid sambil memandang kosong kenderaan-kenderaan yang bertali arus.

“Perkara yang dah menjadi adat kebiasaan ni memanglah tak boleh diubah dalam sehari dua, dik. Perlahan-lahan. Step by step kata orang putih. Kena bersabar dan hati-hati kalau nak tarik rambut dalam tepung,” ujar Kak Fara sambil meneruskan pemanduan.

Farid diam. Dia terus meladeni kata-kata kakaknya itu. Ada kobaran semangat yang mengasak hati. Ada pancang tekad mulai tercacak padu.



TAMAT

Friday, July 4, 2008

Mentari di Hujung Senja





“Tak teh, tak teh…”


Ketawa kecil terkekeh-kekeh berderai. Lengan yang masih dibalut kulit lembut putih bersih berpaut pada pergelangan tangan Nadiah. Lekas-lekas Nadiah menangkap tubuh si kecil ke dalam pelukan sambil membenam puncak hidung ke pipinya.


“Mm, sayang adik kakak… Sayang, sayang, sayang, sayang... Sayang-sayang Allah, sayang-sayang Nabi…..” Nadiah melagukan nasyid sambil menggeletek badan si kecil. Si kecil terus-terusan ketawa dengan mata yang mencerlang galak.


“Sayang Tehah…” Nadiah mencium lagi si kecil, kemudian turut berbaring di sebelah bayi bernama Fatihah yang berusia hampir satu tahun.


Letih. Letih sungguh-sungguh! Nadiah hampir terlelap ketika terdengar ketukan di pintu yang diiringi salam.


“Assalamualaikum. Nadiah, Nadiah…”


Nadiah mencapai tudung hitam tanpa corak yang tersidai di besi ampaian, lalu menyarungnya ke kepala. Dia bergegas membuka pintu.


“Waalaikumussalam. Oh, Suria. Ingatkan siapa. Jemputlah masuk.” Nadiah mempelawa.
Suria, jiran satu kursus dengannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang tinggal di blok bersebelahan dengan blok kawasan perumahan tempat dia tinggal.


“Awalnya kau balik. Kau naik bas kan? Cepatnya sampai.” Suria duduk bersimpuh menghadap Fatihah yang sedang memandangnya dengan seulas senyuman. Suria mencubit lembut pipi Fatihah sambil mengacah.


“Ya, aku risaukan Tehah ni. Kawan-kawan lain pun ada kuliah. Tak ada siapa yang menjaga dia. Tak bolehlah nak berlengah-lengah. Habis saja kuliah, aku terus jumpa Kak Rossa, minta tolong hantarkan.” Panjang Nadiah menjelaskan.


Suria mengangguk. Tangannya tidak lepas memegang Fatihah yang comel dengan mata bulat beralis lentik hitam.


“Kesian aku tengok Tehah ni. Tak tahulah apa kesudahan masa depannya nanti,” luah Suria penuh simpati.


Nadiah sekadar melepaskan keluhan berat yang sekian lama terperam dalam dadanya. Dia mengangkat Fatihah ke atas ribaan.


“Aku bukannya apa, Nadiah. Kesiankan Tehah, kesiankan kau juga. Sanggup ya kau jaga Tehah dengan keadaan kau yang macam ni. Dahlah masih belajar. Lagi setahun. Lama lagi tu. Hidup pun dengan tanggungan duit PTPTN saja. Bayar yuran pengajian pun dengan duit tu, makan minum lagi, kos-kos pergi balik ke kuliah, assignment… Ni ha, lagi satu beban kau, terpaksa beli makan pakai Fatihah pulak. Ya Allah, aku…” Suria tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia memegang bahu Nadiah yang hanya mampu menunduk. Ada air hangat bergenang di kelopak mata. Seboleh mungkin dia menahan agar air matanya tidak tumpah. Dia tidak mahu menzahirkan hempedu rasa di hadapan Suria.


“Tak apalah, Suria. Inilah suratan takdir. Mungkin berat untuk kau terima. Ya, berat mata melihat, berat lagi pundakku yang terpaksa memikul. Tapi Suria, aku tak kesal dengan tindakanku ini. Aku sendiri merelakannya. Malah, aku sangat sayangkan Tehah. Aku tak boleh kehilangannya,” luah Nadiah sambil ditahan-tahankan perasaan sebak yang seakan menikam ulu hati. Perit.


“Nadiah…” Suria menggenggam tangan Nadiah, kelu tanpa kata.


Nadiah mengangguk. “Jangan risau, Suria. Terima kasih ya kerana keprihatinan kau. Aku hargai. Kau jangan risaukan aku ya?” Nadiah kembali menggenggam jemari Suria sambil merenung matanya yang berona coklat kehitaman.


Suria melakar senyum hambar yang sarat simpati.


Beberapa minit kemudian, Suria meminta izin untuk pulang. Dia sengaja tidak mahu mengganggu Nadiah yang kelelahan. Ketika bersalaman, dia menghulurkan not biru RM 50. Nadiah keberatan untuk menerima.


“Ambillah Nadiah. Tolonglah ambil jika kau tak mahu aku dilanda serba salah. Hanya ini yang mampu aku tolong,” pujuk Suria.


Nadiah mengangguk sambil tersenyum tipis. “Terima kasih, Suria. Kau dah banyak tolong aku. Allah saja yang mampu membalas jasa kau.” Suara Nadiah sedikit bergetar dihurung sebak. Dia terharu.


Sebaik Suria menapak pergi, Nadiah mengambil kesempatan berehat seketika di sisi Fatihah yang terlantar kekenyangan. Si kecil itu juga turut terlena melihatkan dirinya sepi tidak diagah manja oleh si kakak.



********************************************



Nadiah baru usai menunaikan solat Maghrib. Dengan al-Quran yang ditekapkan ke dada, dia melangkah ke rak buku. Mencapai telefon bimbit yang sebentar tadi nyaring menjerit.


“Ait, ada miss called dari mak? Mak nak apa pulak ni?” Hati Nadiah dikerumuni tanda soal.


Dia kemudian melihat ada satu mesej. Juga daripada emaknya.


“Nadiah, bila kau nak balik? Mak ada hal nak bincangkan. Tentang Tehah. Bawak budak tu balik.”


Gulp! Nadiah tertelan liur.


“Aduh, mak ni tak habis-habis. Hmm…” Nadiah mengeluh sambil tangannya memicit kepala yang mula terasa berat. Dia tahu maksud emaknya itu. Dia tidak menjawab soalan emaknya, juga tidak menelefon semula. Dia terus duduk bersila dan mula menekuni al-Quran.


"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Aku kusut. Tenangkanlah hatiku dengan ayat-ayat-Mu…” Doa Nadiah di dalam hati, mendamba secebis ketenangan daripada Pemilik segala hati.


Kira-kira jam 10 malam, telefon bimbit Nadiah berdering lagi. Ketika itu Nadiah sedang menaip tugasan menggunakan komputer riba sambil si kecil Fatihah meniarap di sisinya. Leka bermain patung beruang panda yang sederhana besar. Nadiah mencapai telefon bimbitnya dan menekan punat ‘answer.’


“Ya, mak?”


“Hah, kenapa tak jawab panggilan mak tadi? Kau buat apa?” Suara emaknya agak tinggi.


“Tadi Nadiah solat, mak.”


“Bila kau nak balik? Mak nak bincang dengan kau ni.”


“Belum lagi cuti semester. Macam mana Nadiah nak balik? Tugasan pun banyak, tak siap-siap lagi.” Nadiah sengaja mereka alasan.


“Yalah, macam mana nak siap? Dah kau asyik melayan budak tu saja 24 jam! Dah, mak tak kira. Apa pun, hujung minggu ni kau balik!” Lantang suara emaknya, berbaur sedikit amarah. Nadiah terpukul.


“Mak, tapi Nadiah…..”


“Dah, mak tak mahu dengar lagi. Yang penting kau mesti balik, atau mak yang akan ke sana!” Tambah emaknya lagi, memberi kata dua.


“Mm, yalah mak. Nadiah akan cuba balik,” balas Nadiah lemah.


“Jangan lupa bawak budak tu sama!”


“Mm…”


Hati Nadiah mula diselirati rencam rasa. Dia memandang Fatihah yang masih leka bermain sambil diselang-seli ketawa kecil. Dia mengusap-usap belakang Fatihah. Tugasannya terus ditinggalkan. Dia buntu.


Sebagai menuruti permintaan ibunya, Nadiah terpaksa jua pulang ke kampung halaman yang terletak di Pantai Timur Semenanjung. Tetapi dia tidak pula membawa Fatihah bersama. Kawan-kawan serumahnya boleh diharap untuk menjaga Fatihah selama tempoh pemergiannya. Sengaja dia tidak memenuhi kemahuan emaknya itu. Dia tahu apa yang bakal berlaku sekiranya permintaan itu dipenuhi. Bukanlah niatnya mahu menderhaka, tetapi sebagai seorang manusia yang berperikemanusiaan, dia rasa perlu untuk terus memikul tanggungjawab yang sedang digalasnya.


Langkah Nadiah terhenti sebaik memasuki halaman rumahnya. Dia mengitari suasana petang yang redup. Indah dipandang mata. Mendamai resah dan menyejuk rasa. Namun, petang yang indah itu tidak dikibar angin seperti selalu. Mungkin menandakan musim kemarau sudah tiba.


“Kenapa kau tak bawak Tehah balik?” Emaknya bertanya ketika dua beranak itu duduk di ruang tamu.


“Susahlah nak bawak budak kecil naik bas, mak.” Nadiah menganyam sepotong alasan. Dia sudah menduga soalan apa yang bakal direjam kepadanya.


“Alasan kaulah, Nadiah. Bukan mak tak kenal kau.” Emaknya diam sejurus. “Nadiah, sebenarnya mak ni risaukan kau. Kau kan anak mak. Marah-marah mak ni pun sebab mak sayangkan kau. Mak tak sanggup tengok anak mak pikul beban orang lain,” luah emaknya bernada sayu.


Emaknya merenung wajah Nadiah yang semakin cengkung. Nadiah membalas renungan emaknya sambil menyungging senyum hambar.


“Nadiah tahu, mak," jawab Nadiah pendek.


“Bawaklah Tehah balik ke sini. Jangan biar beban tu makan diri kau, Nadiah.” Emaknya berusaha memujuk.


“Mak, Nadiah ni bukan apa. Kalau ada ahli keluarga kita yang sanggup menjaga Tehah, Nadiah terima, mak. Tapi Nadiah tak sanggup tengok Tehah dihantar ke rumah anak-anak yatim sedangkan dia masih ada ibu bapa. Dia masih kecil, mak. Dia perlukan kasih sayang yang cukup. Kalau ada orang yang nak ambil dia sebagai anak angkat, Nadiah tak mahu, mak. Nadiah takut kita akan terpisah dengan Tehah selama-lamanya.” Nadiah bertegas.


“Mampukah kau bagi kasih sayang yang cukup? Kasih sayang seorang ibu dan seorang ayah, mampukah Nadiah?”


Nadiah kelu tanpa kata. Dia sering tiada upaya menjawab persoalan emaknya.


“Lagipun, dah mak ayah budak tu sendiri yang tak mahukan dia, kita nak buat macam mana lagi? Kalau budak tu dihantar ke rumah anak-anak yatim, mak yakin hidupnya akan lebih baik.”


“Mak? Tak mahukah mak yang menjaga Tehah?”


“Nadiah, kalau ikutkan hati mak ni, ya, mak nak jaga Tehah. Mak pun sayangkan dia. Tapi kehidupan kita dengan sumber rezeki pun tak menentu, mak tak sanggup. Kesian budak tu, terpaksa menderita macam kita.”


Nadiah mengakui kata-kata emaknya. Ya, kehidupan mereka sekeluarga sememangnya susah. Ayahnya hanya seorang nelayan dengan pendapatan tidak menentu. Sebuah bot kecil untuk menangkap ikan, tidak menjanjikan kehidupan seindah impian. Sekadar mencukupi buat mengalas perut siang dan malam.


“Kurang ajar betul Kak Mia dengan Abang Sufi tu, mak! Nadiah geram, mak. Geram!” Meletus juga kemarahan Nadiah yang selama ini puas diperam-jeruk terhadap sepupunya suami isteri. “Tahu kahwin dan beranak saja. Lepas tu anak dibuang! Tak guna langsung!” Nadiah betul-betul mendidih.


“Sabarlah, Nadiah. Mak yakin, mereka pasti akan menyesal.” Emaknya cuba meredakan badai amarahnya.


“Mak, Nadiah tetap akan jaga Tehah. Biarlah apa nak jadi, jadilah!” Nadiah membulat tekad. Emaknya hanya mampu terpinga. Tiada lagi bantahan.


**********************************************



Dua tahun kemudian.


Langit cerah dipalit lukisan awan nipis. Kawanan burung bernyanyi ceria di dahan-dahan pokok mata kucing, pokok kekabu, pokok kuini, pokok rambutan dan pokok-pokok lain di sekitar kampung. Beberapa ekor ayam peliharaan hanya berdiri kaku tidak bergerak melainkan sesekali kepala sahaja mengitari suasana. Tanda ia sudah pasif. Sudah hampir menjelang waktu tidurnya kala alam mulai diserkup kelam.


“Tehah, dah. Masuk mandi cepat! Dah maghrib ni,” laung Nadiah dari muka jendela.


“Sekejaplah, kak. Tehah nak mandikan baby Tehah ni,” balas Fatihah sambil memangku anak patung perempuan yang comel. Sebesen baldi kecil mengandungi air bersih untuk jirusan pokok-pokok bunga dicelup dengan tangannya yang kecil. Tangan itu menyapu rambut anak patung di dalam pangkuan.


“Ha, sudah! Buat apa nak mandikan patung tu? Ee, ‘mak’ dia pun busuk tak mandi, ada hati nak mandikan ‘baby.’ Ee, Tehah busuk!” Nadiah mengusik.


“Alah, kakak ni! Yalah… Uh!” Fatihah berpura-pura merajuk sambil berlari lincah ke dalam rumah. Nadiah tersenyum.


Nadiah menutup jendela dan pintu yang ternganga. Senja-senja begitu tentu banyak ‘makhluk’ lain yang berkeliaran. Wajarlah baginda Nabi melarang umatnya berpeleseran di luar rumah pada waktu begini. Nadiah berbisik dalam sepi.


“Nadiah, mak nak beritahu sesuatu.” Tiba-tiba emaknya menyentuh lembut bahunya dari belakang. Nadiah sedikit terperanjat.


“Aduh, mak. Terkejut Nadiah.” Nadiah mengurut dada. “Kenapa mak? Nak beritahu apa?”


Emaknya tidak terus menjawab. Dia menyeluruhi wajah bujur Nadiah yang kian ceria. Tidak lama lagi Nadiah akan berkahwin dengan pemuda aturan keluarga.


“Nadiah, tadi Mia telefon.” Sepotong ayat ibunya benar-benar membuatkan air muka Nadiah keruh.



***********************************************




“Baru sekarang kakak dan abang ingatkan anak? Selepas kalian berjaya kumpul kejayaan dan kekayaan di atas derita orang lain?” Nadiah benar-benar marah. Dia ingin memuntahkan rasa marah yang telah lama meloyakan hatinya.


“Maafkan kami, Nadiah. Bukan macam tu. Nadiah tahu kan kami berkahwin waktu tengah belajar. Nak ambil M.A. Kami rasa tertekan dengan situasi masa tu.” Mia cuba menepis tuduhan Nadiah. Dia mengerling suaminya di sisi. Sufi mengangguk sahaja bagai belatuk.


“Ah, alasan kunolah, kak! Habis, saya ni tak belajarkah? Waktu saya menjaga Tehah dulu, saya tak belajarkah, kak? Abang?” Nadiah terus memulangkan paku buah keras.


“Ya, itu kami tahu. Tapi masa tu kami tak ada duit, Nadiah. Selepas bayar duit pengajian, duit hanya cukup untuk makan minum kami saja. Kami tak mampu.” Mia masih mempertahankan diri.


“Kakak, abang. Saya dulu pun tak ada duit. Saya menyara hidup dengan bantuan PTPTN saja. Kakak dan abang ingat banyak manalah sangat duit PTPTN tu? Sudahlah! Sebenarnya kakak dan abang tak layak jadi ibu bapa kalau tak sanggup menanggung susah. Habis, kalau ditakdirkan suatu hari nanti kakak dan abang jatuh papa, anak-anak kakak dan abang hendak dibuang sebab susah? Begitu? Hei, banyak lagilah orang yang lebih susah dari kakak dan abang. Kenapa mereka boleh pula menjaga anak-anak yang ramai?!” Nadiah bercekak pinggang.


“Nadiah, sabar!” Ayah Nadiah yang sedari tadi hanya melihat perbalahan itu mula bersuara. Dia bimbang akan terjadi tumbuk-menumbuk pula.


“Ayah, maafkan Nadiah. Nadiah dah lama terluka dengan perangai Kak Mia dan Abang Sufi ni. Tak berguna!” Nadiah terus masuk ke biliknya, meninggalkan Mia dan Sufi dengan perasaan benci.


Di bilik, dia duduk di samping Fatihah yang sedang nyenyak tidur. Seharian bermain membuatkan Fatihah keletihan. Nadiah merenung Fatihah dengan perasaan kasihan bercampur sedih.


Setelah kunjungan Mia dan Sufi pada malam itu, emak dan ayah Nadiah sering memujuk dan menasihatinya agar menyerahkan kembali Fatihah kepada ibu bapanya yang lebih berhak. Nadiah sering menangis disebabkan itu.


“Nadiah tak sanggup berpisah dengan Tehah. Nadiah yang menjaga Tehah sejak bayi. Nadiah yang bersusah-payah selama ni. Nadiah tak boleh, mak, ayah.” Air mata Nadiah berjuraian di pipinya.


Fatihah juga turut menangis melihatkan kakak kesayangannya yang kerap menumpahkan air mata sejak akhir-akhir ini. Dia seolah dapat merasakan kesedihan yang merajai atma Nadiah. Cuma dia masih belum mampu memahami.


Mia dan Sufi juga tidak putus-putus datang ke rumah Nadiah demi menuntut anak mereka kembali. Sehinggalah disebabkan keengganan Nadiah yang tersimpul mati, mereka terpaksa mengugutnya untuk membawa kes itu ke mahkamah. Melihatkan perkara yang bertambah rumit, emak dan ayah Nadiah bermati-matian memujuk Nadiah agar menyerahkan semula Fatihah ke pangkuan keluarganya.


Pernah ayahnya ‘naik darah’ pada suatu hari apabila Nadiah tetap berdegil.


“Kau bagi balik budak tu, Nadiah!” Marah ayahnya.


“Ayah tak fahamkah hati Nadiah?”


“Oh, nak faham hati kau? Hati mak ayah ni kau tak nak faham? Dah lama kami bersabar dengan kedegilan kau tu! Lebih baik kau serahkan balik Tehah. Kalau tak…..”


“Apa, ayah? Kalau tak, apa?”


“Jangan mengaku kami ni mak ayah kau! Kami tak ada anak yang degil, tak dengar cakap orang tua!”


“Ayah!” Nadiah terkedu mendengar kata-kata yang terluah dari bibir ayahnya. Dia menangis tersedu-sedu kerana merasakan telah berdosa menjadi anak derhaka. Apabila seorang ayah mengucapkan sedemikian kepada anaknya, maka tidakkah itu dinamakan telah menderhaka? Menderhaka kepada ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah!
Nadiah cepat-cepat mengucup tangan ayah dan emaknya. Dia meminta ampun.


“Maafkan Nadiah, ayah, mak. Ampunkan Nadiah… Ya, Nadiah berjanji akan serahkan Tehah kepada Kak Mia. Ampunkan Nadiah.” Nadiah memeluk ayah dan emaknya dengan terisak-isak. Bahunya turun naik dipalu sedu.


“Sudahlah tu, Nadiah. Kami maafkan,” ujar emaknya lembut sambil mengusap rambutnya yang menjurai.


Fatihah tiba-tiba muncul dari luar.


“Kakak, jom teman Tehah mandikan baby Tehah ni.”




TAMAT

Saturday, October 6, 2007

Cerpen: Sentimen Daerah Malar Hijau



CERPEN: SENTIMEN DAERAH MALAR HIJAU


Assalamualaikum,

Azz, sahabatku… Deruan angin yang menampar-nampar pipiku seakan-akan memaksaku mencoret khabar buatmu. Panahan bilah-bilah suria telah sekian lama menghunjamku agar memancar lakaran cerita tentangku di sini. Bunga-bunga yang memekar harum di laman sering membuatku cemburu pada sang lebah yang mengunjungnya saban pagi, membawa cerita dari istana madu. Namun, aku dan kau hanya mampu dikiaskan sebagai angin. Wujudnya tak selalu diungkap, tapi dinginnya tetap terus membelai.

Adakah kau masih ingat tentang Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pernah aku khabarkan kepadamu lewat bicara kita yang lalu? Ia dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 16 Januari 2007 tahun ini sebagai usaha untuk melonjakkan taraf pendidikan negara dan mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai dalam sistem pendidikan. Aku juga berharap agar masih segar di ingatanmu berkenaan enam teras strategi PIPP yang juga pernah kusebutkan dulu, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Sementara itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menetapkan ‘Pembangunan Modal Insan Berminda Kelas Pertama’ yang banyak bergantung pada kualiti sistem pendidikan negara. Apakah yang terbayang di ruang fikirmu setelah aku menyatakan semua ini? Oh, beratnya tugas yang terpaksa dipikul oleh seorang guru! Walaupun aku baru bergelar ‘bakal guru,’ tetapi aku sudah dapat merasakan cabaran besar yang bakal kuhadapi kelak.

Aku tahu kau bukan seorang guru, malah bukan pula bakal guru, tetapi kau akan tetap menjadi seorang guru tak bertauliah yang diiktiraf keluarga buat anak-anakmu nanti. Jadi, aku suka untuk berkongsi cerita denganmu selaku bakal guru yang sering mahu mencungkil pengalaman-pengalaman seseorang yang bernama guru. Kau tahu, aku telah membuat sedikit kajian melalui bahan-bahan dari majalah ilmiah, keratan akhbar dan sumber-sumber maklumat dari internet. Apa yang kudapati? Sebelum itu, tentu kau sedia maklum tentang dasar KPM yang mewajibkan guru-guru baru memulakan perkhidmatan mereka di kawasan pedalaman. Kau fikir, kerana apa dasar itu dibuat? Hmm… Malu untuk aku katakan: ‘bagi menangani masalah guru-guru yang tidak mahu ke pedalaman.’ Sebab itu, tidak hairanlah jika masyarakat hari ini heboh mengatakan ‘guru semakin hilang taraf kualitinya.’ Berasas juga kenyataan itu. Cuba kau bandingkan guru-guru sekarang dengan guru-guru zaman dulu. Mereka rela dihantar mengajar ke ceruk mana pun, hatta ke dalam gua!

Berbalik kepada apa yang telah kuperolehi hasil daripada penyelidikan tak rasmiku tadi. Dari sumber maklumat yang telah kudapati, ramai guru meluahkan perasaan ketidaksanggupan dan keengganan mereka untuk dihantar berkhidmat di pedalaman. Aku akui, apa yang mereka rasakan turut aku rasakan. Tetapi menurut ayahku ketika aku berbincang dengannya sebentar tadi, katanya: “Kalau kita ditanya: sanggup atau tidak untuk dihantar mengajar di pedalaman? Katakan saja: Saya tidak sanggup. Sesiapa pun tidak sanggup, atau kebanyakannya tidak sanggup, tetapi oleh kerana tugas yang telah ditaklifkan, saya rela dihantar walau ke ceruk mana sekalipun! Bohonglah jika ada yang mengatakan ‘sanggup’, sedangkan dia sebenarnya hanya hipokrit dan berpura-pura! Itulah kebenaran.” Aku merenung kata-kata sarat makna dari bibir ayahku, seorang guru berpengalaman puluhan tahun dalam sistem pendidikan negara. Ya, memang benar apa yang dikatakannya. Kerana kehipokritan itu jugalah, taraf kualiti guru semakin pudar. Dulu, dan sehingga kini, guru diibaratkan lilin yang membakar diri, tetapi sekarang, hakikat itu semakin merosot. Api yang meliuk-liuk pada sumbu lilin itu kian malap dan bernyala kecil-kecil, sedangkan batang lilin masih panjang!

Aku sangat mengerti, malah memahami perasaan guru-guru yang enggan dihantar mengajar di pedalaman. Tugas mereka bukan sekadar mengajar pelajar menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira), tetapi juga perlu berperanan sebagai ‘ibu dan ayah kedua’ buat pelajarnya. Aku bawakan satu cantoh di sini. Ada sesetengah pelajar pedalaman, seperti murid darjah satu dan dua, ada yang datang ke sekolah dengan tidak mandi pagi. Jadi, guru-guru terpaksa memandikan mereka, ajar cara memberus gigi dan pakaikan mereka dengan pakaian yang bersih. Mungkin ini satu cabaran yang terlalu hebat bagi guru-guru yang baru setahun jagung dan baru hendak mengenali dunia pendidik.

Azz, bunyi kuakan lembu di kampungku saat aku mengarang coretan ini kepadamu rasanya tetap tak mengurangkan debaran yang bakal kuhadapi kala menjejakkan kaki di daerah malar hijau di pedalaman sana. ‘Sekampung-kampung’ kampungku ini, masih ada kampung yang lebih ‘kampung’ daripada kampungku. Tentu kau hairan kenapa aku berkata begitu. Tetapi apa lagi yang dapat kau ungkapkan jika kau sendiri ditugaskan sebagai seorang guru, terpaksa berjalan kaki selama lapan jam dari jalan utama meredah hutan, memanjat bukit dan merentas sungai untuk sampai di sekolah tempat kau mengajar? Sehinggakan kau pernah tergelincir ke dalam sungai yang berarus deras ketika mahu ke sekolah. Bayangkanlah ketika itu kau hanya seorang diri, dengan baju yang basah kuyup dan sakit-sakit seluruh tubuh, terpaksa juga meneruskan perjalanan ke sekolah untuk mengajar. Apa kau rasa? Aku yakin, itu sebenarnya yang menghantui guru-guru sekarang ini. Mereka sudah tidak tega untuk berdepan dengan ranjau sehebat itu!

Aku juga pernah membaca pengalaman seorang guru yang terpaksa menaiki bot meredah sungai berarus deras selama dua hingga tiga hari untuk ke sekolah, bergantung pada keadaan air. Jalan perhubungan pula hanyalah sungai. Beliau dan orang kampung hanya keluar ke pekan membeli barang keperluan tiga atau enam bulan sekali, kerana kos untuk perjalanan keluar masuk dengan bot ke pekan itu sahaja mencecah RM700. Jumlah yang cukup besar untuk seorang guru bergaji kecil. Jika ketika itu aku mengajar di Borneo, kos sebanyak itu tentu sudah cukup sebagai tambangku untuk pulang ke Semenanjung! Kerana itulah, pengorbanan seseorang guru itu penting. Guru dimuliakan kerana pengorbanannya. Kau bersetuju denganku?

Semua kisah pengalaman yang kucoretkan di sini hanyalah sekelumit daripada 1001 pengalaman yang dilalui oleh hampir 14 000 orang guru yang mengajar di pedalaman negara ini. Apa yang kau rasa? Aku tahu, tentu terselit risau di hatimu memikirkan keselamatanku ketika mengajar nanti. Tentu bertambah risau setelah mendengar tragedi kematian seorang ustazah dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil di Sarawak baru-baru ini. Manusia makin hari makin kejam, kan? Namun, itulah hakikat yang terpaksa ditelan. Pahit.

Sebenarnya, kesemua fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini membuatkan aku sering berfikir panjang. Entahlah… memang ya, ingin mencurahkan bakti buat anak bangsa, tetapi dengan dunia yang kian hari, setiap detik dan saat semakin tak kenal peri kemanusiaan, meniup badai resah hatiku, Azz. Risau hati emak dan ayah dengan keselamatan diriku nanti, tambahan pula apabila terpaksa berjauhan sehingga merentasi Laut China Selatan. Namun, aku sering teringat nasihat emak. Kata emak, jangan biarkan diri terlalu takut untuk melakukan apa-apa. Yakinlah bahawa setiap perkara; ajal, jodoh pertemuan dan rezeki kita telah ditakdirkan. Kata-kata itu sangat berbekas di hatiku, Azz. Setiap kali badai resah melanda, aku akan menepisnya dengan kata-kata keramat emak. Sungguh mujarab di hatiku! Bisa membuang gundah gulana dan rasa walang. Aku mula yakin, jika ajalku sudah ditakdirkan mati begitu, begitulah. Jika begini, beginilah. Aku berserah diri kepada-Nya. Cuma aku harap, matiku dalam keadaan yang baik. Husnul khatimah.

Itulah rencam dunia pendidikan. Macam kehidupan kita juga; ada pahit, manis, masam dan masin. Itu semua citra kehidupan. Hmm… ini satu lagi titik resah yang bertompok di sudut hatiku. Apa pendapat kau tentang pelajar-pelajar kita sekarang? Sedih aku, Azz. Pelajar sekarang semakin kurang rasa hormat kepada guru, tak macam zaman dulu-dulu. Inilah realiti yang harus diterima. Adikku yang menuntut di maktab perguruan pernah menceritakan kepadaku tentang pelajar-pelajar lelaki kelasnya (bakal guru) yang tidak menghormati pensyarah. Pensyarah mengatakan mereka sombong dan pernah mendenda mereka. Kemudian, ketika pensyarah itu menyambung syarahannya, ada seorang pelajar berkata: “Straight to the point, Encik…” Jika kau yang bersyarah ketika itu, apa yang kau rasa? Kau rasa bakal guru itu biadab kan? Itu bakal guru yang akan ditauliahkan sebagai ‘guru.’ Jika guru biadab, anak-anak murid nanti…? Tentu kau tahu tentang peribahasa ini: ‘Bapa borek, anaknya rintik.’ ‘Jika guru kencing berdiri, pasti muridnya akan kencing berlari.’ Itulah yang merisaukan aku. Agaknya, itu salah satu punca pelajar-pelajar kita semakin tidak berakhlak dan hilang hormat pada guru. Disebabkan guru sendiri. Ketam yang berjalan bengkok takkan mampu untuk meluruskan cara berjalan anaknya, Azz.

Aku teringat kenyataan Ibn Khaldun dalam bukunya yang terkenal- Muqaddimah. Menurut beliau, sesebuah tamadun itu tidak akan kekal lama sekiranya elemen kerohanian tidak diambil kira dalam pelan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah peranan aku kelak, Azz. Aku selaku guru suatu hari nanti perlu mengubah masyarakat di sekelilingku yang seterusnya mampu membaiki taraf hidup manusia. Aku perlu terap dan tanam pelajar-pelajarku dengan kepekaan rohani agar mereka berhasil menjadi modal insan cemerlang, iaitu aset penting ke arah mencapai kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Bukan mudah, Azz. Bukan mudah untuk melakukan semua itu. Berat! Sememangnya lebih mudah untuk berkata daripada cuba mengotakannya. Namun, aku bertekad dengan azam yang padu untuk berusaha semampuku merealisasikan harapan yang maha berat itu!

Azz, temanku… begitulah ranjau kehidupan seorang pendidik yang bakal kutempuhi. Ya, aku tahu aku perlukan persiapan untuk menghadapi semua itu. Aku sedar aku tak boleh hanya duduk bergoyang kaki menanti detik itu. Aku perlu melengkapkan diri dengan kelengkapan yang sepatutnya ada pada seorang guru. Aku tahu, aku sedar. Tapi, aku tetap perlukan sokongan agar aku tak rebah. Sokongan emak ayah, adik-adik, dan sokonganmu juga, Azz. Sedangkan Rasulullah perlukan sayap kiri dan sahabat-sahabat untuk menyokong dan mendokong perjuangan Baginda, inikan aku hanya insan kerdil lagi lemah.

Azz, sudah banyak kukongsikan denganmu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kulalui. Aku pula akan menanti perkhabaran darimu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kau tempuhi. Apa, ya? Penulis bebas? Kaunselor? Pakar motivasi? Atau…??? Yang mana satu, Azz? Ceritalah padaku… Azz, sebelum mengakhiri coretanku, aku sertakan di sini sebuah sajak untuk kau renungi.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulai oleh seorang guru biasa
Yang dengan tulus ikhlasnya mengajar tulis baca!

Sahabatmu,
Jue

Friday, August 3, 2007

cerpen: dilema




Judul Cerpen: Dilema

Dia mengacau secawan Nescafe hangat berasap yang dicampuri dua sudu kecil serbuk Coffemate berdebu putih mulus di dalam cawan besar. Kemudian kaki diatur ke meja studi. Dia menyemak helaian demi helaian sebuah buku berjudul ‘Ada Apa Dengan Buku’, mencari perhentian terakhir pembacaannya sebelum ini. Dia mengeluh. Buku di tangan ditutup perlahan. Dia mencapai cawan besar tersebut, lalu menghirup isinya yang masih panas berasap. Pahit.
Dia melepaskan keluhan berat. Hatinya rusuh. Sebetulnya, jiwanya membuncah hebat lantaran mencerna buah tutur yang luruh dari bibir sahabat baiknya, Zinnirah lewat petang tadi. Tangan dan kakinya tiba-tiba terasa sejuk dan peluh dingin mula merenik di dahi.
“Khaulah, kenapa ni? Tiba-tiba saja pucat?”
Dia hanya mendiamkan diri.
“Khaulah…?”
“Kenapa kau tolong dia, Ira?” Lirih suaranya.
“Dia yang minta sangat-sangat agar aku menolongnya, Khaulah. Pada mulanya aku tak mahu, tapi dia beria-ia dan bersungguh-sungguh, aku tak sampai hati. Lagipun dah lama dia suarakan keinginannya itu, Cuma aku yang tak beritahu kau kerana aku takut kau tak bersedia. Maafkan aku…” Zinnirah menekur meja Café bersisa air manis yang dihurungi beberapa ekor semut. Perasaan bersalah bertebaran ke langit rasa.
“Kau tahukan aku tak suka keadaan macam ni?”
“Maafkan aku, Khaulah. Aku faham perasaan kau, tapi…tapi Hakim lelaki yang sangat baik. Dia kaya thaqofah, punyai karisma sebagai pemimpin dan manis peribadinya. Dia memang memiliki ciri-ciri lelaki yang selayaknya untuk menjadi suami dari sisi agama sekalipun. Khaulah…?” Zinnirah separuh memujuk.
“Kau sebenarnya tak fahami aku, Ira. Kau tak mengerti perasaan yang bersarang dalam hatiku ini. Kau memang tak tahu!” Matanya mula digenangi air hangat. Dadanya sebu diasak sebak yang berombak. “Aku pulang dulu!” Dia bingkas meninggalkan Zinnirah yang terpinga-pinga.
Dia menghirup lagi Nescafe pahit yang mula bertukar suam. Hatinya masih dihurung sebak. Wajah Faris tiba-tiba mengisi ruang. Lelaki berkulit kuning langsat bermata pasak dan berwajah persih dek simbahan wuduk yang pernah mencuri hatinya…

************************************************************


Tuk! Tuk!
Ketukan bertalu-talu yang bertingkah dengan suara halus merdu memberi salam memaksanya bingkas ke pintu kamar sambil menggenyeh mata yang masih terpisat. Pintu kamar dibuka lalu tersembul wajah bujur Zinnirah sambil menyungging senyum. Zinnirah yang bertudung litup kian terserlah manisnya apabila mengenakan mini jubah berona hijau lembut.
“Tidur siang-siang hari, Khaulah? Kenapa, letih sangatkah?” Zinnirah menapak membuntutinya lalu duduk di atas tilam asrama yang agak keras.
Dia mengikat rambut yang sedikit kusut dengan getah berenda di tangan. “Letih, Ira. Tidur lewat sangat semalam. Siapkan assignment.” Matanya kuyu memandang Zinnirah yang masih mengulum senyum. Sisa mengantuk masih menghambat diri. Dia menguap.
“Pergilah basuh muka! Teruk sangat aku tengok.”
Dia menguap lagi. Bantal peluk bercorak abstrak dipeluk, lalu merebahkan dirinya ke tilam keras. Matanya dipejam, berkira-kira mahu menyambung tidur.
“Khaulah?! Cepatlah basuh muka. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni,” gesa Zinnirah. Dia memekakkan telinga dan pura-pura berdengkur. Zinnirah bingkas merebut bantal peluk dalam dakapan sahabatnya itu lalu digeletek pinggangnya dengan jemari yang runcing.
Dia terjerit kegelian. “Jahatlah kau! Suka betul ganggu aku tidur.” Dia merampas kembali bantal peluknya dari tangan Zinnirah. “Apa dia? Apa benda yang kau nak cakap dengan aku?”
Zinnirah menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan sesuatu dari kocek bajunya. Sekeping sampul surat berona merah jambu dihulur.
“Apa ni?” Dia terpinga.
“Hakim. Dia minta aku serahkan kepada kau. Ada pesanan untuk kau dalam tu. Ambillah!” Zinnirah mengunjukkan sampul itu lebih hampir ke tangannya.
Air mukanya mula berubah. Dia diam tidak berkutik.
“Khaulah? Ambil ni. Baca dulu apa yang dia nak katakan tu.” Zinnirah meletakkan sampul itu ke dalam genggaman sahabatnya.
Ibarat disihir, dia patuh. Jemari yang lentik mengoyak perlahan tepi sampul bergam. Sehelai kertas persih mulus yang dilipat kemas dibuka berhati-hati, lalu dibaca untaian kata yang beberapa ayat cuma.


“Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum,
Pertama sekali inginku memohon maaf seandainya kedatangan warkah ini bisa mengocak tenang tasik hatimu. Bukan niatku untuk menuba kejernihan air yang mungkin sudah sedia rusuh di dasarnya, tetapi sekadar mengharap agar kail yang kulemparkan ke perutmu bisa terbalas dek khazanahmu yang tak ternilai. Kiranya tiada rezeki buatku, aku pasrah menjunjung takdir. Namun, aku tetap mengharap agar kailku bisa tersangkut jua sekalipun oleh serpihan kayu buruk. Agar tetap terubat hatiku melihat hasil yang pasti daripada hanya memandang sepi kail yang tidak berusik.
Berilah jawapanmu barang sejuring buat aku yang setia menunggu.
-Hakim Al-Qudsi”

Dia melipat kembali surat itu dengan hati kecamuk. Surat berkalih tangan dan Zinnirah pula tekun membaca. Dia terus mendakap erat bantal peluk di tangan sambil mata mencerling Zinnirah yang sesekali mengerut dahi cuba memahami isi surat yang puitis.
“Rupa-rupanya Hakim juga seorang pujangga. Serba mahir dia ini ya, Khaulah?” Zinnirah cuba memancingnya yang masih menyepi sedari tadi.
Dia terus merebahkan badan ke bantal empuk bercorak bunga tulip ungu. Dia berkalih badan membelakangkan Zinnirah yang masih memuji-muji Hakim seakan mahu mempengaruhinya agar menerima kehadiran lelaki itu. Dia tetap membatukan diri.
“Dia bukan sebarangan orang, Khaulah. Lelaki baik. Kaki masjid, petah berpidato. Nah, kau sendiri pun selalu mendengar dia memberi kuliah di masjid, kan? Kaya ilmu orangnya tu. Rupa pun ada. Apa lagi kau nak?” Zinnirah tersenyum sambil menepuk-nepuk bahunya persis mendodoikan anak kecil. “Ha, lagi satu, baru aku tahu dia juga seorang pujangga. Kau kan suka orang macam tu…”
“Khaulah, kau kena beri jawapan. Dia menagih jawapan daripada kau. Jangan buat dia lama menunggu.” Zinnirah memujuk. Digosoknya perlahan lengan sahabat yang dikasihi.
Dia tetap keras membatu.
“Khaulah, jangan menyeksa hatinya. Kalau nak, katakan ya! Kalau tak mahu, katakan tidak! Kau tak boleh membisu macam ni. Kau kena beri jawapan!” Zinnirah sedikit menekan suara, geram memandang sahabat yang tidak mengendahkan buah tuturnya.
Tiba-tiba dia terperasan bahu sahabatnya terhinggut-hinggut. Dia pantas menarik badan sahabatnya itu agar berpaling wajah menghadapnya.
“Khaulah, kenapa ni?” Zinnirah terkejut memandang mukanya yang merona merah dengan mata bengkak digenangi air. Berjujuhan mengaliri pipinya yang putih gebu. Rasa bersalah mula menghambat hati lantaran meninggi suara kepada sahabat yang tidak diketahuinya sedang bermandi duka.
“Khaulah, kenapa menangis ni? Adakah kata-kataku mengguris hati kau?” Zinnirah menggoncang badannya yang masih terhinggut-hinggut dihurung tangis. “Aku buat salahkah? Kalau aku bersalah, aku minta maaf banyak-banyak. Khaulah…?” Rasa sebak mula menghurung dada Zinnirah. Perlahan-lahan manik-manik mutiara halus mula berjuraian dari tubir matanya.
Dia menyentuh lembut bahu Zinnirah yang diasak bersalah. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara. “Ira, kau tak bersalah. Tak ada pun salah kau padaku. Aku menangis bukan kerana termakan hati dengan kata-kata atau perlakuan kau. Tidak sama sekali. Jangan menangis, Ira,” pujuknya sambil cuba melakar senyum.
“Habis, kenapa kau tiba-tiba menangis? Kenapa kau menangis, Khaulah? Beritahu aku…”
“Sampai masanya nanti aku akan beritahu kau juga, tapi bukan sekarang. Bukan hari ni. Sekarang ni biarlah aku tenangkan diri aku dulu ya?”
Zinnirah tidak puas hati mendengar kenyataan sahabatnya itu, tetapi digagahinya juga untuk mengangguk. Bagaimanapun, hatinya tetap diserbu risau. Dia bingkas lalu mengucup dahi Khaulah yang sudah reda tangisnya.
“Ira,” panggilnya sebelum Zinnirah melangkah ke pintu. “Beritahu Hakim. Katakan padanya, aku tak dapat terima lamarannya. Maafkan aku.” Dia tersenyum pahit memandang Zinnirah yang berkerut-kerut dahi. Segera dia berpaling melarikan pandangan daripada tunak dicerlung Zinnirah yang sedikit terkejut mendengar permintaannya.
Zinnirah meninggalkan kamar sahabatnya dengan hati celaru.
Dia mengesat air mata yang masih bersisa di pelupuk mata yang sedikit bengkak. Mukanya terasa berkuap dek hangat air mata. Dia menarik nafas panjang. Dalam-dalam. Kemudian dilepas perlahan buat meredakan keserabutan yang bergumpal di dada. Tampang Faris mewajah di benaknya tiba-tiba. Dalam beberapa hari ini, wajah jernih itu sering menjelma, menambah kekusutan yang sedia berserabut.
Lelaki yang berasal dari Terengganu itu merupakan lelaki pertama yang berjaya mencuri sekeping hatinya. Dia mengenali lelaki itu ketika sama-sama menuntut di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebelum dia mendapat tawaran belajar di sini- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebaik sahaja tamat SPM, dia telah melanjutkan pelajaran di KUSZA sementara menunggu tawaran daripada universiti-universiti lainnya. Faris. Dia juga lelaki yang baik. Mekar santun harum budi. Namun begitu, bukan mudah pula untuk dia menerima lamarannya. Baginya, lamaran bukan bermaksud main-main atau sekadar suka-suka bagi mengisi kekosongan hati yang tak berpenghuni. Puas dia berfikir, jenuh dia berkira-kira, sehinggalah jaminan Faris pada akhirnya mahu mengikat tali pertunangan sebaik sahaja cuti semester terdekat membulatkan hatinya agar menerima lamaran itu.
Dia memejam mata. Rapat. Mahu melupakan segalanya. Faris. Hakim. Zinnirah. Dia terlelap.

*********************************************************************

Cuti hujung minggu, Zinnirah mengajaknya agar makan tengah hari di rumahnya di Ampang. Dia tidak menolak memandangkan tiada sesiapa di rumahnya selain ibu, ayah dan Zinnirah sendiri. Zinnirah merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Jika tidak, segan juga dia.
“Macam mana asam pedas ikan tenggiri tadi? Sedap?” Soal Zinnirah ketika mereka duduk bersantai di bangku bawah pohon mempelam di belakang rumah. Suasana yang redup berangin terasa nyaman dan menyegarkan.
“Sedap tu sedap, tapi pedas sangatlah kau masak, Ira. Pijar lidah aku ni masih tak hilang.” Dia menunjukkan lidah yang seakan terbakar dirasakannya.
Zinnirah mengekeh ketawa. “Pedas macam tu pun kau tak tahan. Macam mana nak kahwin dengan orang Negeri Sembilan nanti? Belajar-belajarlah makan pedas, Khaulah…” Usik Zinnirah.
Dia tersenyum kelat mendengar ocehan sahabatnya itu. Dia dapat mengagak, Zinnirah seolah sengaja mengaitkan dirinya dengan Hakim. Masakan dia tidak tahu, Hakim Al-Qudsi sememangnya orang Negeri Sembilan.
“Khaulah, maaflah kalau aku bertanya.” Zinnirah merenung lembut riak wajahnya yang mula bertukar mendung. Dia membalas renungan itu, kemudian menekur ke tanah, seakan telah dapat membaca soalan yang bakal luruh dari kantung suara sahabatnya itu. “Kenapa kau menolak lamaran orang sebaik Hakim? Kau sendiri pun tahu, bukan senang nak jumpa orang sebegitu. Satu dalam seribu dalam dunia ni, Khaulah!” Zinnirah merenungnya tajam, menagih jawapan.
Dia mematung. “Panaslah duduk di sini, Ira. Jom masuk!” Dia sengaja mencari alasan. Saat dia ingin bangkit, Zinnirah sempat menahan.
“Khaulah?!” Zinnirah memaut lengannya. Redup renung mata Zinnirah memaksanya duduk kembali.
“Kau tak percayakan akukah, Khaulah? Dah lama kita bersahabat. Sejak di UIA Petaling Jaya membawa hingga ke sini, kita di tahun akhir UIA Gombak. Apa lagi yang kau sembunyikan daripada aku? Sebelum ini, kau sering sahaja meluahkan segalanya padaku. Kalau kau terpaksa telan pahit hempedu, aku sudi telan bersama. Begitu juga jika diberi manisan madu. Tapi hari ini, kau nak telan pahit seorang diri? Kau lupakan aku, Khaulah?”
“Tidak, Ira! Bukan macam tu.” Dia menggenggam erat jemari Zinnirah sambil menahan sebak yang mula memenuhi rongga dada. Rasa terharu dengan kemurnian hati seorang sahabat. “Aku bukan sengaja menyembunyikan rasaku ini daripada pengetahuan kau, tapi…” Dia keputusan kata-kata diasak sebak yang tak terbendung. Dia diam sejenak sambil mengesat manik-manik jernih di tubir mata. “Aku tak mahu buat kau bimbang. Lagipun masalahku ini sebenarnya kecil metah, Ira. Tak wajar aku merunsingkan akal fikir kau dengan masalah yang sebesar zarah ni.” Tangisannya sedikit reda. Dia menarik nafas dalam-dalam.
“Jika benar sebesar zarah, masakan kau sampai menangis tiap kali aku menyebut tentang lamaran Hakim?” Zinnirah tidak percaya. “Adakah hati kau sebenarnya masih terpaut pada Faris? Benarkah Khaulah?”
Dia menggeleng. “Tidak, Ira. Sudah lama aku lupakan dia meski ia bukan perkara mudah. Cinta pertama dalam hidupku, Ira. Kata orang, itulah yang paling diingati dan dikenang-kenang. Tapi semua itu sekadar kenangan yang tak bererti buatku kini. Tak baik mengenang suami orang, Ira.” Dia terasa seakan menelan jadam yang terlekat di kerongkong.
Ya, Faris sudah bergelar suami orang. Dalam usia seawal 20-an dan masih belum tamat pengajian, dia telah dikurniai seorang cahaya mata. Di matanya, Faris tetap lelaki yang baik meski suri hidupnya kini bukanlah dia. Dia anak yang taat kerana sanggup mengenepikan perasaan sendiri dan berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya demi mengeratkan tali kekeluargaan kedua-dua belah pihak yang bersahabat baik.
“Habis, kenapa kau menolak lamaran Hakim?”
“Sebahagian diriku terasa seakan sudah mati, Ira.” Dia tidak menjawab soalan yang ditanya.
“Kenapa?”
“Aku sebenarnya tidak sanggup untuk memberi dan menerima cinta lagi. Kau sendiri tahu aku pernah bercinta kan?”
Zinnirah mengangguk tenang.
“Orang sebaik Hakim…Semurni nama dan sesuci jiwanya. Setulus cintanya tidaklah layak untuk insan sehina aku, Ira.”
“Kenapa kau cakap begitu? Adakah kau merendah diri?”
“Bukan. Aku insan hina kerana pernah membenarkan seorang lelaki yang bukan suamiku untuk menghirup madu cinta dari kelonsong hatiku. Takkanlah aku sanggup membiarkan suamiku menelan sisanya? Dia yang patut aku utamakan, tapi aku telah tersilap langkah, Ira.”
“Jadi, apa yang kau nak buat dengan sisa cinta itu?”
“Biarlah aku simpan sendiri.”
“Takkan selama-lamanya kau ingin terus begini?”
“Selagi aku mampu berterusan begini, beginilah aku, Ira.”
Zinnirah mengeluh berat. Rasa simpati datang bertimpa-timpa menghempap pundaknya. Dia memaut bahu sahabatnya itu.
“Khaulah, kau gadis paling baik pernah aku temui. Kau gadis berakhlak, tertib adabmu, mulia peribadi… Aku tahu kau menyesal kerana pernah mencintai lelaki lain, dan aku yakin hati kau terseksa dengan apa yang telah berlaku.” Zinnirah melentokkan kepalanya ke bahu Khaulah. “Tidakkah kau tahu, Allah paling suka orang yang berbuat dosa, lalu dia bertaubat?”
Zinnirah mengangkat kepalanya lalu merenung muka sahabat yang bergerimis. Dia menyeka air mata yang bertamu di pipi.
“Orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah. Kau juga kena ingat, perempuan yang baik hanya layak untuk lelaki yang baik, begitu juga lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik. Kau adalah gadis yang baik. Dan Hakim juga lelaki baik. Dia lelaki baik yang diutus Allah untuk terus membimbing kau sepanjang hayat ini, Insya-Allah. Takkan kau tak mahu hidup kau dibimbing oleh lelaki soleh?” Zinnirah cuba meyakinkan.
“Siapa kata aku tak mahu?”
“Habis?”
“Cuma aku takut seandainya hubungan ini juga tidak menjadi. Jika sungguh terjadi begitu, siapa lagi yang sanggup menghirup sisa cintaku?”
“Insya-Allah tidak akan terjadi begitu.” Zinnirah tersenyum.
“Kenapa kau seolah begitu yakin?”
“Lebih kurang seminggu sahaja lagi kita akan cuti semester. Dalam tempoh cuti selama seminggu itu, Hakim akan menghantar keluarganya untuk mengikat tali pertunangan dengan kau.”
Dia melongo tidak percaya. Matanya bulat membutang.
“Sekarang kita di tahun akhir pengajian. Lagi dua bulan kita akan graduate. Selepas tu, pandai-pandailah kamu berdua merancang!” Zinnirah ketawa mengekeh.
“Ira, kau biar betul! Bukankah kau dah beritahu Hakim yang aku menolak lamarannya? Ira?!” Dia seakan tidak percaya.
Zinnirah menyungging senyum. “Aku belum beritahu. Aku tak puas hati selagi belum tahu sebab sebenar kau menolak lamarannya. Lagipun, aku dapat rasakan kau juga ada hati terhadapnya.”
Dia tersenyum, kemudian matanya merenung sesuatu yang tidak pasti di kejauhan.
“Kenapa Khaulah?” Zinnirah ingin memecahkan bongkah persoalan yang menambak laut fikir sahabatnya.
“Kalau dia tahu aku pernah memberi cinta kepada orang lain sebelum dia, adakah dia masih menagih cintaku?” Dia memandang Zinnirah dengan pandangan sugul.
Zinnirah mengangguk.
“Kenapa kau sangat pasti, Ira?” Dia diterpa kehairanan.
“Kerana dia sudah tahu tentang latar belakang kau sebelum ini.”
Matanya terjegil.
“Siapa yang beritahu?”
Zinnirah tersenyum dan mengenyit mata sebelum membuka langkah seribu. Dia mengejar di belakang dengan hati berbunga riang.


TAMAT

Tuesday, May 22, 2007

Warkah Rindu Buatmu Kekasih


Temanku…
Aku tahu, kala ini kita belum mempunyai pertalian yang sah. Maka, warkah ini kukirimkan kepadamu di angin lalu. Kita berbicara dengan kalam sepi melalui rasa hati.

Temanku…
Warkah ini kuutus kerana aku tidak tertahan lagi menanggung rindu terhadapmu. Aku tahu, kerinduan ini juga adalah kerinduan yang palsu. Lantaran itu, aku tidak akan sesekali mengungkapkannya secara terus kepadamu selagi kita belum ‘disatukan.’ Aku sebenarnya malu pada diriku saat aku mengarang bait-bait kata ini. Tapi fahamilah, temanku… Aku sekadar mahu melepaskan ombak rindu yang menghempas sekeping hatiku saban waktu. Aku mengerti, kau juga turut merasakan apa yang aku rasa. Namun, kau tetap menyembunyikan rasa hatimu terhadapku. Demi Dia yang lebih dicintai.

Temanku sayang…
Tidak aku nafikan, dalam detik-detik waktu yang berlalu, wajahmu sering muncul dalam hidupku. Bukan itu pintaku. Aku sedih kerana tertumpas oleh godaan syaitan. Bertambah sedih seandainya kau alpa disebabkan aku. Lantaran itu, tingkatkanlah mujahadahmu. Meski mujahadah itu perit, temanku, namun hikmah yang tersirat tak terperi manisnya.

Temanku yang kukasihi…
Bersabarlah untuk sedetik waktu lagi. Bermujahadahlah menahan rasa rindumu terhadapku. Masa itu akan kian pantas berlalu andai banyak waktu diperuntukkan untuk bermadu asmara dengan-Nya, Sang Kekasih Tercinta… Salurkan semua rasa cinta dan rindu dendammu hanya bila saat indah itu menjelma. Kala mahligai Muslim indah terbina bertiangkan Cinta-Nya, megah bernaung berbumbungkan Redha-Nya.

Temanku yang kurindu…
Mengertilah bicara rindu hatiku. Meski aku rindu padamu, tetapi aku lebih rindu kepada Sang Pencipta yang mencipta rasa rinduku ini. Aku berhajat hidup di sampingmu berlandaskan cinta suci yang terpelihara di atas landasan Syariat. Berdoalah semoga kita dapat bertemu kelak. Jika tidak di dunia, nun di Syurga sana…

Aku yang merinduimu



Sumber: dari laman web

Oleh: Mariah Qibtiyyah

Thursday, March 22, 2007

Hembusan Hidayah


Aku berteleku di muka jendela yang luas ternganga. Angin malam yang segar nyaman menyapa lembut wajahku yang terpalit ketenangan menyaksikan kepermaian keindahan kampung datukku. Aman daripada kesibukan kota dan sepi daripada kebisingan deruman enjin kenderaan. Jarang sekali aku dapat menikmati suasana sebegini ketika berada di bandar. Yang ada hanya bangunan-bangunan pencakar langit yang kian menyesak padat dan kepulan-kepulan asap yang termuntah daripada corong-corong kilang gergasi. Aku lemas!
Aku persis orang yang tiada arah tujuan setelah selesai menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Tidak tahu apa yang perlu aku lakukan untuk mengisi masa cuti yang terlalu panjang. Puas aku ke hulu ke hilir tanpa tujuan sehingga akhirnya aku sendiri bosan dengan suasana di sekelilingku. Lantaran itu, ibu yang kasihan melihat keadaanku mengusulkan cadangan agar aku bercuti di kampung datuk.
“Amin, dah solat maghrib?” Suara datuk yang muncul secara tiba-tiba menjadikan lamunanku tergendala. Aku berpaling ke belakang dan melihat datuk sedang berdiri di muka pintu kamarku yang ternganga tanpa secalit senyuman. Aku menelan liur. Gulp!
“Su…sudah, tuk!” Terdengar suaraku bergetar.
“Hmm..bagus! Sekarang mari makan!” Ujar datuk sambil melemparkan segaris senyuman.
Aku sedikit lega memandang senyuman mesra datuk itu. Meredakan kekalutan yang mencucuk-cucuk tangkai hati. Aku segera mengekori datuk ke dapur.
“Ha, Amin. Duduklah makan…” Pelawa nenek yang sedang menyendukkan nasi ke dalam pinggan kaca bercorak bunga-bunga merah kecil.
Aku menarik kerusi dan duduk di sebelah datuk. Nenek menghulurkan semangkuk ikan tenggiri masak asam pedas kepadaku.
“Makan kenyang-kenyang, Min. Lepas makan nanti ikut tuk ke surau. Kita dengar kuliah maghrib. Lepas tu kita terus solat isyak berjemaah,” kata datuk sambil memandangku yang leka menyudu kuah asam pedas ke dalam pinggan.
“Apa tuk? Kuliah maghrib? Kuliah apa tu, tuk?” Aku memandang datuk penuh persoalan.
“Kuliah agama. Cakap pasal Islam, iman, tauhid,feqah dan macam-macam lagi. Makanlah dulu. Nanti kau tahulah…” Datuk terus menyuapkan nasi ke dalam mulutnya tanpa memandang ke arahku.
Seusai makan malam, aku dan datuk berjalan beriringan ke surau yang tidak jauh dari rumah datuk bersuluhkan lampu picit. Ketika memijak anak tangga masjid, aku terdengar suara seorang lelaki sedang menyampaikan kuliah agamanya. Aku dan datuk pantas duduk bersila di barisan ketiga jemaah yang hadir. Aku memandang datuk. Datuk khusyuk menghayati setiap bait kata yang sedang disampaikan oleh ustaz tersebut.
“Dengar dan hayati apa yang ustaz tu cakap!” Datuk berbisik perlahan ke telingaku, tetapi tegas. Aku merasakan itu seakan-akan arahan buatku, lantas aku mematuhinya.
“Islam telah menetapkan supaya seluruh hidup manusia dipelihara agar ianya menjadi ibadah dan taat kepada Allah, sepertimana firman-Nya dalam surah Az-Zaariyat ayat 56.” Kemudian ustaz muda berwajah bersih yang kepalanya dililiti serban putih berjalur hitam itu membacakan ayat al-Quran yang dimaksudkan, dan disusuli pula dengan terjemahannya sekali. Aku kian tekun mendengar.
“Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku…Seterusnya Allah berfirman lagi dalam surah Al-An’am ayat 162, yang mana maksudnya: Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku semata-mata untuk Allah, Tuhan semesta alam… Oleh itu, kita hendaklah memastikan ibadah kita mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Inilah yang dikatakan martabat keihsanan dalam beribadah. Bagi menjelaskan makna ihsan ini, Rasulullah sendiri pernah ditanya oleh malaikat Jibril tentang martabat ihsan, lalu Rasulullah bersabda: Ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya sekalipun, sebenarnya Dia melihat engkau.”
Aku kian seronok mendengar kuliah ustaz muda tersebut. Sempat aku mengerling ke arah datuk. Datuk masih khusyuk mendengar dan menanti bicara selanjutnya daripada ustaz muda itu.
Ustaz muda membasahkan tekak dengan meneguk segelas air sebelum menyambung kuliahnya. “Kita mestilah melakukan ibadah dengan penuh khusyuk sehingga kita dapat merasai kelazatan dan kemanisannya, malah mendatangkan kekuatan kepada kita untuk berterusan mengerjakannya. Sebagai contoh, Rasulullah melakukan solat dengan khusyuk seolah-olah Baginda tidak lagi mengenali manusia di sekelilingnya. Tumpuannya ketika itu hanyalah kepada Allah.”
Ustaz muda berhenti seketika dan memandang jemaah yang hadir.
“Tetapi bagaimana solat kita? Adakah solat yang kita lakukan selama ini telah sampai kepada martabat ihsan? Adakah solat kita selama ini khusyuk? Rasulullah pernah memberitahu kita bahawa kebanyakan orang yang solat hanya mendapat penat dan letih. Ini menunjukkan solat yang tidak khusyuk! Hassan Al-Basri meriwayatkan, iaitu setiap solat yang tidak disertai kehadiran hati, maka ia lebih hampir kepada siksaan…Allah telah menjanjikan neraka bagi orang yang lalai dalam solatnya. Jadi, bagaimana pula dengan orang yang langsung tak mengerjakan solat?” Ustaz muda merenung muka-muka di hadapannya satu persatu. “Tentulah balasannya lebih lagi!” Ustaz muda sengaja menekan suara.
Mukaku menjadi merah padam. Terasa kata-kata itu ditujukan kepadaku. Terkena pada diri sendiri. Aku sempat memerhati orang-orang di sekelilingku. Semua turut menundukkan kepala. Aku memandang datuk. Aku terkejut. Pandanganku bertaut dengan pandangan datuk. Datuk merenungku. Aku terus menunduk.
Aku diserbu rasa takut mengenangkan kata-kata ustaz muda. Orang yang lalai dalam solat akan masuk neraka. Orang yang langsung tak melakukan solat juga akan masuk neraka, malah lebih lagi!
Neraka? Aku tidak tahu apa itu khusyuk dan bagaimana mahu khusyuk dalam solat. Aku tidak pernah diberitahu dan diajarkan tentangnya oleh sesiapa. Aku juga pernah meninggalkan solat. Banyak kali. Ibu dan ayah tidak pernah bertanya sama ada aku solat atau tidak. Jadi, aku hanya solat jika aku rasa mahu solat. Tetapi di rumah datuk, aku bersolat setiap hari sebab datuk akan bertanyaku tentangnya pada setiap kali waktu solat. Datuk garang. Aku takut! Tapi setelah mendengar kuliah ustaz muda, aku mahu solat bukan kerana takut kepada datuk, tapi aku takut kepada Allah. Aku takut neraka Allah. Aku tak mahu masuk neraka! Sebab itu, ketika solat isyak secara berjemaah, aku cuba menumpukan perhatianku sepenuhnya kepada Allah. Seolah-olah aku melihat Dia. Tetapi aku tidak melihat-Nya. Cuma aku yakin Dia melihatku. Selesai solat, aku berdoa banyak-banyak agar Allah tidak masukkan aku ke dalam neraka-Nya.
“Tuk… Apa itu khusyuk?” Soalan itu meletus dari kedua-dua bibirku ketika aku dan datuk beriringan berjalan pulang meredah kegelapan malam.
Datuk memandangku sekilas dan tersenyum. “Khusyuk ialah merasakan kehadiran Allah di dalam hati…Kalau kita sedang solat, kita merasakan yang kita sedang berhadapan dengan Allah. Sedang berhubung dan berkomunikasi dengan-Nya.”
“Bagaimana nak khusyuk, tuk?”
“Kalau nak khusyuk, Amin kena faham setiap bacaan dalam solat. Amin kena tahu makna bacaan tu. Ketika membaca bacaan-bacaan tu, Amin kena hayati pula apa yang Amin baca. Semasa solat, pandang tepat ke tempat sujud agar Amin boleh fokuskan hati dan fikiran hanya kepada Allah. Faham, Amin?”
“Faham, tuk!” Jawabku sambil memikir-mikirkan jawapan yang datuk berikan.
Sesampai di rumah, aku masuk ke kamar dan berteleku di sisi jendela sambil merenung bintang-bintang yang bergemerlapan di dada langit. Kata-kata ustaz muda masih berbekas di hatiku. Masih terngiang-ngiang di cuping telingaku. Aku harap aku akan ingat kata-katanya sampai bila-bila kerana aku tak mahu masuk neraka!
“Min, tak salin baju lagi? Cepat salin baju solat tu. Lepas tu pergi minum dengan atuk dekat depan ya?” Nenek tiba-tiba tersembul di muka pintu kamarku.
Aku mengangguk lantas menyarung T-shirt dan berseluar pendek warna biru muda separas lutut. Aku terus mendapatkan datuk dan nenek yang sedang menghirup secangkir kopi di ruang tamu. Aku duduk di hadapan datuk yang leka menggetis karipap berinti daging. Tiba-tiba datuk merenungku tajam. Hatiku mula digayuti kerisauan.
“Minum, Min. Makanlah karipap tu. Masih panas lagi,” Pelawa nenek.
Aku mengangguk lalu mencapai sebiji karipap yang masih panas.
“Amin, atuk nak cakap sikit.” Datuk memandangku yang sedang mengunyah karipap perlahan-lahan. Aku mengangguk penuh debaran sambil menanti bicara datuk selanjutnya.
“Amin tahu tak apa itu aurat?”
Aku memikir-mikir seketika soalan datuk itu. “Urat ke, tuk?”
Datuk dan nenek tergelak mendengar pertanyaanku.
“Bukan. Aurat, bukan urat…Tak biasa dengar, Min?” Soal datuk lagi.
Aku menggeleng. “Entahlah tuk. Tak pasti.” Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Dengar apa yang atuk nak cakapkan ni baik-baik ya, Min?” Datuk merenung tepat ke mukaku. Aku mengangguk. “Aurat ialah anggota badan yang tidak boleh dilihat atau wajib ditutup, baik lelaki mahupun perempuan.” Datuk berhenti daripada meneruskan bicaranya untuk melihat reaksi dan penerimaanku. Aku mengangguk tanda faham.
Datuk menarik nafas pendek. “Aurat bagi lelaki ialah anggota di antara pusat hingga lutut. Ertinya, lelaki diwajibkan menutup bahagian badan di antara pusat hingga lutut. Lutut pun wajib ditutup.”
Aku memandang diriku yang berseluar pendek dengan lutut terdedah. Pipiku merona merah. Malu.
“Tak apa. Lepas ni Amin salin pakai seluar panjang ya?” Nenek cuba meredakan ombak malu yang melanda diriku. Aku mengangguk.
“Aurat lelaki sesama lelaki serupa dengan aurat lelaki di hadapan perempuan yang halal untuk kita kahwini. Kena tutup dari pusat hingga lutut. Begitu juga dengan aurat perempuan sesama perempuan. Wajib tutup dari pusat hingga lutut. Tapi itu untuk sesama perempuan Islam saja.”
“Kalau perempuan Islam dengan perempuan kafir, tuk?”
“Auratnya sama seperti auratnya di hadapan lelaki, iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.”
“Oo…” Kataku sambil mengangguk faham. Nenek tersenyum melihat keletahku. “ Amin salin seluar sekarang ya, tuk?” Aku meminta izin datuk sambil bangun penuh sopan. Datuk mengangguk sambil tersenyum.
Ya Allah, aku merasakan betapa jahilnya aku selama ini! Banyak perkara asas dalam Islam yang aku tidak tahu sedangkan aku seorang Muslim. Banyak amalan wajib yang sepatutnya aku kerjakan, tetapi aku abaikan. Mengapa ibu dan ayah tidak pernah menitikberatkan soal ini?
“Nek, kenapa ibu dan ayah tak pernah ajar Min apa yang atuk ajar Min? Banyak yang Min tak tahu selama ni, nek.” Aku bertanya nenek pada suatu pagi ketika nenek sedang menyediakan sarapan.
Nenek tersenyum hambar. Aku diserbu rasa bersalah pula kerana menyentuh perasaan nenek dengan soalanku. Nenek melepaskan keluhan berat, seolah-olah menyesali sesuatu.
“Itulah, Min…Itulah salah atuk dan nenek dulu. Tak terapkan ayah Min didikan agama. Tak asuh ayah Min nilai-nilai Islam. Kami terlalu manjakan dia. Dulu kami sendiri pun kurang faham agama. Nak ajar sendiri tak reti. Jahil. Sudahlah jahil, hantar ke sekolah Inggeris pula. Bukan hantar sekolah agama. Sekarang, jadilah ayah Min macam tu.” Mata nenek mula bergenang air mata. Nenek cuba tahan sebak yang berkumpul di dada.
“ Atuk dan nenek bila dah tua tak larat macam ni baru nak belajar balik agama. Baru nak faham.Mujurlah Allah bagi hidayah, buka pintu hati kami yang gelap ni…” Nenek kesat air mata yang mula menuruni pipi tuanya dengan lengan baju Kedah yang membalut tubuh. “Sebab tu bila Amin datang ke sini, atuk dan nenek nak ambil kesempatan untuk ajar Min ilmu agama. Biar Min kenal agama. Faham Islam betul-betul. Lepas tu Min bolehlah luruskan ayah dan ibu Min yang masih berjalan bengkok tu.”
“Nek, Min nak belajar ilmu agama. Min nak faham Islam betul-betul. Min nak luruskan ibu dan ayah, nek. Boleh nenek dan atuk ajar Min nanti? Min takut, nek. Min tak nak masuk neraka. Min tak nak ibu dan ayah masuk neraka. Ajar Min, nek.Ajar Min…” Aku menangis hiba sambil mencium tangan nenek.
Nenek mengangguk dan air matanya kian lebat mengalir.
“Atuk dan nenek akan cuba ajar Min nanti, insya-Allah…” Nenek menepuk-nepuk bahuku.
Sepanjang aku berada di rumah datuk dan nenek, aku telah turun naik surau setiap hari. Solat fardhu secara berjemaah dan mendengar setiap kuliah agama yang diadakan. Tidak cukup dengan itu, datuk dan nenek juga mencurahkan serba sedikit ilmu yang telah mereka pelajari kepadaku.
“Amin, kalau Amin betul-betul nak dalami ilmu agama, atuk syorkan Amin belajarlah di sekolah agama. Di sana ada ramai ustaz ustazah yang arif dalam pelbagai bidang ilmu agama. Mereka boleh bimbing Amin,” usul datuk sebelum aku meninggalkan perkarangan rumahnya.
“Insya-Allah, tuk. Amin akan pertimbangkan kata-kata tuk tu…” Aku meninggalkan datuk dan nenek yang telah banyak berjasa itu dengan azam yang kuat untuk meluruskan hidupku, dan meluruskan ibu dan ayahku. Mahu menerangi kehidupan kami yang selama ini diselubungi kegelapan dengan sejalur sinar iman.
Ibu dan ayah saling berpandangan dengan wajah yang merona merah apabila aku mengajak mereka bersolat secara berjemaah pada hari pertama kepulanganku.
“Err, tak apalah. Min solatlah. Ayah dan ibu dah solat tadi.” Ayah gugup memberikan alasan.
Aku tidak jemu mengajak mereka. Aku tetap mengajak walaupun mereka menolak. Aku melakukan pelbagai cara agar mereka sedar dan insaf. Agar mereka lurus dan betul. Aku belikan kaset-kaset dan CD-CD agama buat mereka. Kadang-kadang aku mengajak juga mereka mendengarnya bersama-samaku. Sedikit demi sedikit, aku mula ternampak perubahan yang mereka lakukan. Mereka mula memenuhi ajakanku untuk bersolat jemaah walaupun aku sendiri yang menjadi imamnya. Kemudian kami mendengar ceramah-ceramah agama melalui kaset dan CD bersama-sama. Adakalanya jika terluang, ayah akan membawa aku dan ibu mendengar kuliah-kuliah agama di masjid-masjid.
Aku benar-benar gembira dan terharu dengan perubahan yang telah berlaku, lalu aku khabarkan kepada datuk dan nenek di kampung. Mereka juga bersyukur dan gembira menerima berita baik tersebut. Berita yang memang telah sekian lama mereka nanti-nantikan.
Keputusan PMR diumumkan. Aku mendapat keputusan yang baik. Ibu dan ayah sangat gembira lantas menyuruh aku memohon ke sekolah berasrama penuh. Aku hanya mendiamkan diri.
“Ibu, ayah…Min nak sambung belajar di sekolah agama!” Terluah juga keinginan hatiku dan hasrat datuk juga nenek. Ibu dan ayah saling berpandangan. “Min nak belajar di sekolah agama. Min nak dalami agama, ibu, ayah.” Ibu dan ayah masih menyepi. “Ibu dan ayah jangan risau. Min akan tetap masuk sekolah asrama penuh. Min nak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) …”
Ibu dan ayah akhirnya memahami keinginanku untuk belajar agama. Alhamdulillah, aku diterima belajar di SMKA. Aku menaruh harapan yang tinggi agar aku dapat memahami agama dengan lebih baik di sini. Aku bertekad, walau apapun bidang dan lapangan yang aku ceburi nanti, biarlah berlandaskan agama. Menepati syarak. Urusan duniawi seiring dengan urusan ukhrawi. Seiring dan sejalan.
TAMAT

Hasil Nukilan,

diariungu@gmail.com

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com