Friday, July 4, 2008
Mentari di Hujung Senja
“Tak teh, tak teh…”
Ketawa kecil terkekeh-kekeh berderai. Lengan yang masih dibalut kulit lembut putih bersih berpaut pada pergelangan tangan Nadiah. Lekas-lekas Nadiah menangkap tubuh si kecil ke dalam pelukan sambil membenam puncak hidung ke pipinya.
“Mm, sayang adik kakak… Sayang, sayang, sayang, sayang... Sayang-sayang Allah, sayang-sayang Nabi…..” Nadiah melagukan nasyid sambil menggeletek badan si kecil. Si kecil terus-terusan ketawa dengan mata yang mencerlang galak.
“Sayang Tehah…” Nadiah mencium lagi si kecil, kemudian turut berbaring di sebelah bayi bernama Fatihah yang berusia hampir satu tahun.
Letih. Letih sungguh-sungguh! Nadiah hampir terlelap ketika terdengar ketukan di pintu yang diiringi salam.
“Assalamualaikum. Nadiah, Nadiah…”
Nadiah mencapai tudung hitam tanpa corak yang tersidai di besi ampaian, lalu menyarungnya ke kepala. Dia bergegas membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Oh, Suria. Ingatkan siapa. Jemputlah masuk.” Nadiah mempelawa.
Suria, jiran satu kursus dengannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang tinggal di blok bersebelahan dengan blok kawasan perumahan tempat dia tinggal.
“Awalnya kau balik. Kau naik bas kan? Cepatnya sampai.” Suria duduk bersimpuh menghadap Fatihah yang sedang memandangnya dengan seulas senyuman. Suria mencubit lembut pipi Fatihah sambil mengacah.
“Ya, aku risaukan Tehah ni. Kawan-kawan lain pun ada kuliah. Tak ada siapa yang menjaga dia. Tak bolehlah nak berlengah-lengah. Habis saja kuliah, aku terus jumpa Kak Rossa, minta tolong hantarkan.” Panjang Nadiah menjelaskan.
Suria mengangguk. Tangannya tidak lepas memegang Fatihah yang comel dengan mata bulat beralis lentik hitam.
“Kesian aku tengok Tehah ni. Tak tahulah apa kesudahan masa depannya nanti,” luah Suria penuh simpati.
Nadiah sekadar melepaskan keluhan berat yang sekian lama terperam dalam dadanya. Dia mengangkat Fatihah ke atas ribaan.
“Aku bukannya apa, Nadiah. Kesiankan Tehah, kesiankan kau juga. Sanggup ya kau jaga Tehah dengan keadaan kau yang macam ni. Dahlah masih belajar. Lagi setahun. Lama lagi tu. Hidup pun dengan tanggungan duit PTPTN saja. Bayar yuran pengajian pun dengan duit tu, makan minum lagi, kos-kos pergi balik ke kuliah, assignment… Ni ha, lagi satu beban kau, terpaksa beli makan pakai Fatihah pulak. Ya Allah, aku…” Suria tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia memegang bahu Nadiah yang hanya mampu menunduk. Ada air hangat bergenang di kelopak mata. Seboleh mungkin dia menahan agar air matanya tidak tumpah. Dia tidak mahu menzahirkan hempedu rasa di hadapan Suria.
“Tak apalah, Suria. Inilah suratan takdir. Mungkin berat untuk kau terima. Ya, berat mata melihat, berat lagi pundakku yang terpaksa memikul. Tapi Suria, aku tak kesal dengan tindakanku ini. Aku sendiri merelakannya. Malah, aku sangat sayangkan Tehah. Aku tak boleh kehilangannya,” luah Nadiah sambil ditahan-tahankan perasaan sebak yang seakan menikam ulu hati. Perit.
“Nadiah…” Suria menggenggam tangan Nadiah, kelu tanpa kata.
Nadiah mengangguk. “Jangan risau, Suria. Terima kasih ya kerana keprihatinan kau. Aku hargai. Kau jangan risaukan aku ya?” Nadiah kembali menggenggam jemari Suria sambil merenung matanya yang berona coklat kehitaman.
Suria melakar senyum hambar yang sarat simpati.
Beberapa minit kemudian, Suria meminta izin untuk pulang. Dia sengaja tidak mahu mengganggu Nadiah yang kelelahan. Ketika bersalaman, dia menghulurkan not biru RM 50. Nadiah keberatan untuk menerima.
“Ambillah Nadiah. Tolonglah ambil jika kau tak mahu aku dilanda serba salah. Hanya ini yang mampu aku tolong,” pujuk Suria.
Nadiah mengangguk sambil tersenyum tipis. “Terima kasih, Suria. Kau dah banyak tolong aku. Allah saja yang mampu membalas jasa kau.” Suara Nadiah sedikit bergetar dihurung sebak. Dia terharu.
Sebaik Suria menapak pergi, Nadiah mengambil kesempatan berehat seketika di sisi Fatihah yang terlantar kekenyangan. Si kecil itu juga turut terlena melihatkan dirinya sepi tidak diagah manja oleh si kakak.
********************************************
Nadiah baru usai menunaikan solat Maghrib. Dengan al-Quran yang ditekapkan ke dada, dia melangkah ke rak buku. Mencapai telefon bimbit yang sebentar tadi nyaring menjerit.
“Ait, ada miss called dari mak? Mak nak apa pulak ni?” Hati Nadiah dikerumuni tanda soal.
Dia kemudian melihat ada satu mesej. Juga daripada emaknya.
“Nadiah, bila kau nak balik? Mak ada hal nak bincangkan. Tentang Tehah. Bawak budak tu balik.”
Gulp! Nadiah tertelan liur.
“Aduh, mak ni tak habis-habis. Hmm…” Nadiah mengeluh sambil tangannya memicit kepala yang mula terasa berat. Dia tahu maksud emaknya itu. Dia tidak menjawab soalan emaknya, juga tidak menelefon semula. Dia terus duduk bersila dan mula menekuni al-Quran.
"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Aku kusut. Tenangkanlah hatiku dengan ayat-ayat-Mu…” Doa Nadiah di dalam hati, mendamba secebis ketenangan daripada Pemilik segala hati.
Kira-kira jam 10 malam, telefon bimbit Nadiah berdering lagi. Ketika itu Nadiah sedang menaip tugasan menggunakan komputer riba sambil si kecil Fatihah meniarap di sisinya. Leka bermain patung beruang panda yang sederhana besar. Nadiah mencapai telefon bimbitnya dan menekan punat ‘answer.’
“Ya, mak?”
“Hah, kenapa tak jawab panggilan mak tadi? Kau buat apa?” Suara emaknya agak tinggi.
“Tadi Nadiah solat, mak.”
“Bila kau nak balik? Mak nak bincang dengan kau ni.”
“Belum lagi cuti semester. Macam mana Nadiah nak balik? Tugasan pun banyak, tak siap-siap lagi.” Nadiah sengaja mereka alasan.
“Yalah, macam mana nak siap? Dah kau asyik melayan budak tu saja 24 jam! Dah, mak tak kira. Apa pun, hujung minggu ni kau balik!” Lantang suara emaknya, berbaur sedikit amarah. Nadiah terpukul.
“Mak, tapi Nadiah…..”
“Dah, mak tak mahu dengar lagi. Yang penting kau mesti balik, atau mak yang akan ke sana!” Tambah emaknya lagi, memberi kata dua.
“Mm, yalah mak. Nadiah akan cuba balik,” balas Nadiah lemah.
“Jangan lupa bawak budak tu sama!”
“Mm…”
Hati Nadiah mula diselirati rencam rasa. Dia memandang Fatihah yang masih leka bermain sambil diselang-seli ketawa kecil. Dia mengusap-usap belakang Fatihah. Tugasannya terus ditinggalkan. Dia buntu.
Sebagai menuruti permintaan ibunya, Nadiah terpaksa jua pulang ke kampung halaman yang terletak di Pantai Timur Semenanjung. Tetapi dia tidak pula membawa Fatihah bersama. Kawan-kawan serumahnya boleh diharap untuk menjaga Fatihah selama tempoh pemergiannya. Sengaja dia tidak memenuhi kemahuan emaknya itu. Dia tahu apa yang bakal berlaku sekiranya permintaan itu dipenuhi. Bukanlah niatnya mahu menderhaka, tetapi sebagai seorang manusia yang berperikemanusiaan, dia rasa perlu untuk terus memikul tanggungjawab yang sedang digalasnya.
Langkah Nadiah terhenti sebaik memasuki halaman rumahnya. Dia mengitari suasana petang yang redup. Indah dipandang mata. Mendamai resah dan menyejuk rasa. Namun, petang yang indah itu tidak dikibar angin seperti selalu. Mungkin menandakan musim kemarau sudah tiba.
“Kenapa kau tak bawak Tehah balik?” Emaknya bertanya ketika dua beranak itu duduk di ruang tamu.
“Susahlah nak bawak budak kecil naik bas, mak.” Nadiah menganyam sepotong alasan. Dia sudah menduga soalan apa yang bakal direjam kepadanya.
“Alasan kaulah, Nadiah. Bukan mak tak kenal kau.” Emaknya diam sejurus. “Nadiah, sebenarnya mak ni risaukan kau. Kau kan anak mak. Marah-marah mak ni pun sebab mak sayangkan kau. Mak tak sanggup tengok anak mak pikul beban orang lain,” luah emaknya bernada sayu.
Emaknya merenung wajah Nadiah yang semakin cengkung. Nadiah membalas renungan emaknya sambil menyungging senyum hambar.
“Nadiah tahu, mak," jawab Nadiah pendek.
“Bawaklah Tehah balik ke sini. Jangan biar beban tu makan diri kau, Nadiah.” Emaknya berusaha memujuk.
“Mak, Nadiah ni bukan apa. Kalau ada ahli keluarga kita yang sanggup menjaga Tehah, Nadiah terima, mak. Tapi Nadiah tak sanggup tengok Tehah dihantar ke rumah anak-anak yatim sedangkan dia masih ada ibu bapa. Dia masih kecil, mak. Dia perlukan kasih sayang yang cukup. Kalau ada orang yang nak ambil dia sebagai anak angkat, Nadiah tak mahu, mak. Nadiah takut kita akan terpisah dengan Tehah selama-lamanya.” Nadiah bertegas.
“Mampukah kau bagi kasih sayang yang cukup? Kasih sayang seorang ibu dan seorang ayah, mampukah Nadiah?”
Nadiah kelu tanpa kata. Dia sering tiada upaya menjawab persoalan emaknya.
“Lagipun, dah mak ayah budak tu sendiri yang tak mahukan dia, kita nak buat macam mana lagi? Kalau budak tu dihantar ke rumah anak-anak yatim, mak yakin hidupnya akan lebih baik.”
“Mak? Tak mahukah mak yang menjaga Tehah?”
“Nadiah, kalau ikutkan hati mak ni, ya, mak nak jaga Tehah. Mak pun sayangkan dia. Tapi kehidupan kita dengan sumber rezeki pun tak menentu, mak tak sanggup. Kesian budak tu, terpaksa menderita macam kita.”
Nadiah mengakui kata-kata emaknya. Ya, kehidupan mereka sekeluarga sememangnya susah. Ayahnya hanya seorang nelayan dengan pendapatan tidak menentu. Sebuah bot kecil untuk menangkap ikan, tidak menjanjikan kehidupan seindah impian. Sekadar mencukupi buat mengalas perut siang dan malam.
“Kurang ajar betul Kak Mia dengan Abang Sufi tu, mak! Nadiah geram, mak. Geram!” Meletus juga kemarahan Nadiah yang selama ini puas diperam-jeruk terhadap sepupunya suami isteri. “Tahu kahwin dan beranak saja. Lepas tu anak dibuang! Tak guna langsung!” Nadiah betul-betul mendidih.
“Sabarlah, Nadiah. Mak yakin, mereka pasti akan menyesal.” Emaknya cuba meredakan badai amarahnya.
“Mak, Nadiah tetap akan jaga Tehah. Biarlah apa nak jadi, jadilah!” Nadiah membulat tekad. Emaknya hanya mampu terpinga. Tiada lagi bantahan.
**********************************************
Dua tahun kemudian.
Langit cerah dipalit lukisan awan nipis. Kawanan burung bernyanyi ceria di dahan-dahan pokok mata kucing, pokok kekabu, pokok kuini, pokok rambutan dan pokok-pokok lain di sekitar kampung. Beberapa ekor ayam peliharaan hanya berdiri kaku tidak bergerak melainkan sesekali kepala sahaja mengitari suasana. Tanda ia sudah pasif. Sudah hampir menjelang waktu tidurnya kala alam mulai diserkup kelam.
“Tehah, dah. Masuk mandi cepat! Dah maghrib ni,” laung Nadiah dari muka jendela.
“Sekejaplah, kak. Tehah nak mandikan baby Tehah ni,” balas Fatihah sambil memangku anak patung perempuan yang comel. Sebesen baldi kecil mengandungi air bersih untuk jirusan pokok-pokok bunga dicelup dengan tangannya yang kecil. Tangan itu menyapu rambut anak patung di dalam pangkuan.
“Ha, sudah! Buat apa nak mandikan patung tu? Ee, ‘mak’ dia pun busuk tak mandi, ada hati nak mandikan ‘baby.’ Ee, Tehah busuk!” Nadiah mengusik.
“Alah, kakak ni! Yalah… Uh!” Fatihah berpura-pura merajuk sambil berlari lincah ke dalam rumah. Nadiah tersenyum.
Nadiah menutup jendela dan pintu yang ternganga. Senja-senja begitu tentu banyak ‘makhluk’ lain yang berkeliaran. Wajarlah baginda Nabi melarang umatnya berpeleseran di luar rumah pada waktu begini. Nadiah berbisik dalam sepi.
“Nadiah, mak nak beritahu sesuatu.” Tiba-tiba emaknya menyentuh lembut bahunya dari belakang. Nadiah sedikit terperanjat.
“Aduh, mak. Terkejut Nadiah.” Nadiah mengurut dada. “Kenapa mak? Nak beritahu apa?”
Emaknya tidak terus menjawab. Dia menyeluruhi wajah bujur Nadiah yang kian ceria. Tidak lama lagi Nadiah akan berkahwin dengan pemuda aturan keluarga.
“Nadiah, tadi Mia telefon.” Sepotong ayat ibunya benar-benar membuatkan air muka Nadiah keruh.
***********************************************
“Baru sekarang kakak dan abang ingatkan anak? Selepas kalian berjaya kumpul kejayaan dan kekayaan di atas derita orang lain?” Nadiah benar-benar marah. Dia ingin memuntahkan rasa marah yang telah lama meloyakan hatinya.
“Maafkan kami, Nadiah. Bukan macam tu. Nadiah tahu kan kami berkahwin waktu tengah belajar. Nak ambil M.A. Kami rasa tertekan dengan situasi masa tu.” Mia cuba menepis tuduhan Nadiah. Dia mengerling suaminya di sisi. Sufi mengangguk sahaja bagai belatuk.
“Ah, alasan kunolah, kak! Habis, saya ni tak belajarkah? Waktu saya menjaga Tehah dulu, saya tak belajarkah, kak? Abang?” Nadiah terus memulangkan paku buah keras.
“Ya, itu kami tahu. Tapi masa tu kami tak ada duit, Nadiah. Selepas bayar duit pengajian, duit hanya cukup untuk makan minum kami saja. Kami tak mampu.” Mia masih mempertahankan diri.
“Kakak, abang. Saya dulu pun tak ada duit. Saya menyara hidup dengan bantuan PTPTN saja. Kakak dan abang ingat banyak manalah sangat duit PTPTN tu? Sudahlah! Sebenarnya kakak dan abang tak layak jadi ibu bapa kalau tak sanggup menanggung susah. Habis, kalau ditakdirkan suatu hari nanti kakak dan abang jatuh papa, anak-anak kakak dan abang hendak dibuang sebab susah? Begitu? Hei, banyak lagilah orang yang lebih susah dari kakak dan abang. Kenapa mereka boleh pula menjaga anak-anak yang ramai?!” Nadiah bercekak pinggang.
“Nadiah, sabar!” Ayah Nadiah yang sedari tadi hanya melihat perbalahan itu mula bersuara. Dia bimbang akan terjadi tumbuk-menumbuk pula.
“Ayah, maafkan Nadiah. Nadiah dah lama terluka dengan perangai Kak Mia dan Abang Sufi ni. Tak berguna!” Nadiah terus masuk ke biliknya, meninggalkan Mia dan Sufi dengan perasaan benci.
Di bilik, dia duduk di samping Fatihah yang sedang nyenyak tidur. Seharian bermain membuatkan Fatihah keletihan. Nadiah merenung Fatihah dengan perasaan kasihan bercampur sedih.
Setelah kunjungan Mia dan Sufi pada malam itu, emak dan ayah Nadiah sering memujuk dan menasihatinya agar menyerahkan kembali Fatihah kepada ibu bapanya yang lebih berhak. Nadiah sering menangis disebabkan itu.
“Nadiah tak sanggup berpisah dengan Tehah. Nadiah yang menjaga Tehah sejak bayi. Nadiah yang bersusah-payah selama ni. Nadiah tak boleh, mak, ayah.” Air mata Nadiah berjuraian di pipinya.
Fatihah juga turut menangis melihatkan kakak kesayangannya yang kerap menumpahkan air mata sejak akhir-akhir ini. Dia seolah dapat merasakan kesedihan yang merajai atma Nadiah. Cuma dia masih belum mampu memahami.
Mia dan Sufi juga tidak putus-putus datang ke rumah Nadiah demi menuntut anak mereka kembali. Sehinggalah disebabkan keengganan Nadiah yang tersimpul mati, mereka terpaksa mengugutnya untuk membawa kes itu ke mahkamah. Melihatkan perkara yang bertambah rumit, emak dan ayah Nadiah bermati-matian memujuk Nadiah agar menyerahkan semula Fatihah ke pangkuan keluarganya.
Pernah ayahnya ‘naik darah’ pada suatu hari apabila Nadiah tetap berdegil.
“Kau bagi balik budak tu, Nadiah!” Marah ayahnya.
“Ayah tak fahamkah hati Nadiah?”
“Oh, nak faham hati kau? Hati mak ayah ni kau tak nak faham? Dah lama kami bersabar dengan kedegilan kau tu! Lebih baik kau serahkan balik Tehah. Kalau tak…..”
“Apa, ayah? Kalau tak, apa?”
“Jangan mengaku kami ni mak ayah kau! Kami tak ada anak yang degil, tak dengar cakap orang tua!”
“Ayah!” Nadiah terkedu mendengar kata-kata yang terluah dari bibir ayahnya. Dia menangis tersedu-sedu kerana merasakan telah berdosa menjadi anak derhaka. Apabila seorang ayah mengucapkan sedemikian kepada anaknya, maka tidakkah itu dinamakan telah menderhaka? Menderhaka kepada ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah!
Nadiah cepat-cepat mengucup tangan ayah dan emaknya. Dia meminta ampun.
“Maafkan Nadiah, ayah, mak. Ampunkan Nadiah… Ya, Nadiah berjanji akan serahkan Tehah kepada Kak Mia. Ampunkan Nadiah.” Nadiah memeluk ayah dan emaknya dengan terisak-isak. Bahunya turun naik dipalu sedu.
“Sudahlah tu, Nadiah. Kami maafkan,” ujar emaknya lembut sambil mengusap rambutnya yang menjurai.
Fatihah tiba-tiba muncul dari luar.
“Kakak, jom teman Tehah mandikan baby Tehah ni.”
TAMAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Perhatian
Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com
1 comment:
good story..
mmg menusuk jiwa dan terkesan dengan hasil penulisan..mabruk!!
tade sambungan ke?
Post a Comment