Friday, January 30, 2009
Dihimpit Bayangan
Qibtiyyah memandangnya aneh. Sebaik pulang dari hospital pagi tadi, adiknya itu berwajah murung. Tingkahnya juga bisu. Mukanya moyok sahaja. Terjentik juga butir-butir persoalan di nubari; apakah adiknya itu punya masalah? Sakitkah dia? Tetapi katanya, masih belum mendapat kepastian daripada doktor. Minggu depan dia perlu lagi ke hospital untuk rawatan susulan.
“Fikah, kenapa ni? Dari tadi asyik diam. Fikir apa?” Qibtiyyah menyentuh lembut bahu Syafikah dari belakang. Adiknya itu sedang termenung menjuntai kaki di kepala tangga.
Angin petang berkibar deras. Derunya seakan-akan di tepian pantai. Nyanyian bunyi wau di udara bergemersik di telinga. Anak-anak kampung leka bermain wau pada rembang petang begini kerana musim tiupan angin kencang.
Syafikah senyum hambar. “Tak ada apa-apalah, kak. Fikah rasa letih saja.” Matanya dikenyit-kenyit dirobek angin kencang yang membawa pepasir halus.
“Letih? Atau Fikah risau fikirkan keputusan pemeriksaan tu nanti?” Qibtiyyah menebak.
Syafikah mengerling kakaknya sambil menghambur lantunan ketawa anak. Terpamer barisan gigi yang rapi menyerlah. “Kakak ni, tak adalah. Kenapa Fikah nak risau? Tadi pun doktor tu dah cakap, kemungkinan besar tak ada apa-apa. Fikah tak rasa risau apa pun, kak. Betul.”
Qibtiyyah mengerutkan kening. Bercantum. “Hmm, kalau dah macam tu tak apalah. Kakak cuma risau tengok Fikah murung. Kalau letih, rehatlah. Turun ke bawah ambil angin petang. Kata Ibnu Qayyim, melihat warna hijau, tengok air mengalir, buah-buahan, dedaun serta sesuatu yang disukai boleh menerangkan penglihatan.” Qibtiyyah mengulum senyum, menyentuh lembut kepala adiknya sambil turun ke tanah.
Minggu berikutnya, Syafikah ke hospital lagi untuk mendapatkan rawatan susulan. Qibtiyyah berhasrat ingin mengikut, tetapi disebabkan hari itu hari Isnin; harinya mengajar, maka Syafikah meminta sahabat baiknya, Anis, untuk menemani. Tercalit tompok-tompok kesal di hatinya kerana tidak berupaya menemani adiknya pada saat-saat yang dirasakan genting seperti itu.
Sebaik pulang dari sekolah, dia bergegas ke bilik Syafikah, tidak sabar bertanya itu dan ini. Syafikah sekadar tersenyum di birai katil sambil mendakap bantal peluk berbentuk pensil panjang. “Macam mana? Lekaslah cerita,” gesa Qibtiyyah sambil menampar lembut paha Syafikah.
“Tak ada apa pun, kak. Alhamdulillahlah. Doktor kata tadi, ketulan kat ketiak Fikah tu cuma masalah kelenjar. Bukan barah. Tapi dia cakap, selepas period, ketulan tu lebih terasa. Sebelum ni dia rasa macam kepala tulang.”
Qibtiyyah melopongkan mulut berbentuk ‘O’ mendengarkan penjelasan adiknya. Terasa bagai semilir sejuk sedang mengusap-usap kerisauannya selama ini. “Alhamdulillah… Doktor bagi ubat?”
“Dah tak sakit. Buat apa nak ubat!” Syafikah mengekeh ketawa. Qibtiyyah tenang melihat senyuman manis adiknya itu. Dia tahu, Syafikah tentu sangat lega mengetahui hasil pemeriksaan tersebut. Dia tidak perlu gusar lagi.
Beberapa hari berlalu. Qibtiyyah diterpa keanehan sekali lagi. Syafikah dilihatnya asyik terperuk di dalam bilik. Hanya sesekali keluar untuk makan dan mandi. Drama bersiri Korea yang menjadi kegilaannya setiap Isnin hingga Jumaat itu pun tidak dilayannya. Selaku kakak, Qibtiyyah berasa tidak tenang, sementelah emaknya juga menyuarakan kehairanan tersebut kepadanya. Mereka hanya dua beradik, dan Syafikah rapat dengan kakaknya sahaja, berbanding dengan emak dan ayah.
Lima minit sebelum drama bersiri Korea yang digilai Syafikah bermula, Qibtiyyah mengetuk pintu bilik adiknya itu. Daun pintu dikuak, dan dia menjengah kepala memandang Syafikah sedang berbaring di katil sambil mencerlungnya dengan separuh kaget.
“Dik, drama Korea tu dah nak start. Tak nak tengok?”
Syafikah menggeleng laju.
“Ait, kenapa? Bukankah Fikah minat sangat dengan hero dalam drama tu?” Qibtiyyah menguntum senyum di bibir sambil mengangkat kening sebelah.
Syafikah tergelak. “Zaman Ziana Zain dah berlalulah, kak.”
Qibtiyyah merasakan soalannya tidak berjawab. Dia tidak puas hati melihat keanehan yang berlaku pada diri adiknya. Dia terus memboloskan diri ke dalam kamar kecil itu, lalu berteleku di bangku meja solek menghadap wajah ke arah Syafikah.
“Kenapa ni, Fikah? Cuba terus-terang dengan kakak. Kakak rasa Fikah mesti ada masalah. Selalunya tak macam ni pun. Dulu kakak tengok, Fikah mesti gopoh-gopoh makan malam sebab takut terlepas tengok cerita Korea tu. Tapi, kenapa sekarang kakak dah tak nampak semua tu? Bukan kakak saja, tahu? Tapi mak dan ayah juga.” Kening Qibtiyyah bertaut. Mata bundar itu menikam tajam anak mata adiknya.
Syafikah tunduk, tidak berani menentang tikaman tajam kakaknya. Jari-jemarinya dibelek-belek dan ditilik kosong.
“Fikah bergaduh dengan Adib ya?” Qibtiyyah melempar serkap untuk menebak. Dia tiba-tiba terfikir akan kemungkinan adiknya itu mempunyai konflik dengan tunangnya, Adib. Tempoh bertunang lazimnya sering dilanda ombak duga yang bergulung-gulung. Begitu fikirnya.
Syafikah geleng. “Eh, tak adalah, kak. Mana ada. Adib baik orangnya. Dia selalu bertolak ansur dengan Fikah. Kami jarang bergaduh.” Syafikah cuba meyakinkan kakaknya.
“Habis?”
“Entahlah, kak. Fikah pun tak tahu kenapa dengan Fikah ni. Tapi Fikah kadang-kadang jadi gerun bila fikir nak berumahtangga. Agaknya sebab tulah, kak. Fikah rasa semacam takut,” luahnya sambil membelek-belek lagi jemari yang runcing bagai batang serai itu.
Seulas senyum tersungging di bibir Qibtiyyah. Dia mulai mengerti mengapa adiknya seolah murung dan berkelakuan aneh sejak beberapa hari ini. Urusan hendak mendirikan masjid sememangnya perkara besar yang tidak boleh dipandang enteng. Dan, sewajarnyalah Syafikah bertingkah demikian. “Dik, lumrahlah begitu bagi orang yang nak jadi raja sehari. Walaupun kakak belum berpengalaman, tapi menurut pengalaman kawan-kawan kakak, begitulah. Jangan risau, dik. Segala-galanya akan baik,” ujar Qibtiyyah selaku menenangkan hati Syafikah.
“Ya, kak… Kakak, mak dan ayah janganlah risau. Fikah cuma nak mencari kekuatan saja buat masa ni.” Syafikah merenung lembut wajah persih Qibtiyyah sambil menangkupkan telapak tangan di atas tangan kakaknya.
Qibtiyyah mengangguk. Lega mendengar pengakuan adiknya.
Hujung minggu itu, Qibtiyyah tidak ke mana-mana. Dia hanya menghabiskan hari dengan menulis puisi dan menyemak buku-buku latihan para pelajarnya.
Tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyikan nada dering ‘Azab Ilahi’ daripada kumpulan nasyid Irsyadee. Tertera nama ‘Adib’ pada skrin telefon, dia segera menjawab. “Ya, Adib? Ada apa?”
“Kakak sihat?” Adib berbasa-basi di hujung talian.
“Alhamdulillah. Kenapa telefon kakak ni? Jarang telefon. Kalau telefon, selalunya mesti ada masalah dengan Fikah. Betul tak?” Teka Qibtiyyah.
“Kakak memang tukang nujum.” Adib mengaku.
“Jadi, apa masalahnya?”
Adib lalu menceritakan perihal masalah yang sedang melanda hubungannya dengan Syafikah. Kakaknya begitu terperanjat apabila mendapat tahu Syafikah bersikap endah tidak endah apabila mahu menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan mereka. Syafikah juga meminta Adib menangguhkan dahulu tarikh perkahwinan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.
“Saya tengah pening kepala, kak. Tak tahu kenapa dia macam tu.”
“Mm, sabar ya, Dib. Nanti kakak cakap dengan dia. Kakak rasa dia tengah runsing fikir urusan nak kahwin ni. Baru-baru ni pun dia ada cakap pada kakak yang dia tengah mencari kekuatan untuk membina hidup berumahtangga. Sabar ya. Nanti kakak cakap,” janji Qibtiyyah, berusaha melegakan gelombang tekanan yang bersipongang dalam dada Adib.
Fikiran Qibtiyyah serasa berkecamuk dan berselirat. Kenapa dengan Syafikah? Urusan perkahwinan melibatkan urusan antara dua pihak, iaitu dua belah keluarga pihak lelaki dan perempuan. Tindak-tanduknya begitu hanya akan mengundang rasa tidak puas hati pihak yang lain, dan ini tentu akan menimbulkan rasa amarah serta dendam. Keluarga juga akan mendapat malu. Tetapi dia perlu bersabar. Dia sendiri mungkin tidak mengerti apa masalah sebenar yang diperam adiknya.
Seusai makan malam, Qibtiyyah mengekor adiknya ke bilik. “Ada benda kakak nak cakap,” katanya. Syafikah memandangnya penuh tanda tanya.
Sebaik kedua-duanya melabuhkan punggung di tilam empuk, Qibtiyyah mencapai tangan adiknya, menggenggam sambil mengusap-usap. Matanya setentang menjunam ke dalam anak mata Syafikah. “Beritahu kakak dengan jujur. Apa masalah Fikah dengan Adib?”
Syafikah menelan liur. Pandangannya dijatuhkan ke cadar ungu yang membalut tilam tidurnya. Lidahnya kelu untuk berkata.
“Kenapa, dik?” Qibtiyyah cuba berlembut memujuk. “Kakak ada untuk menolong Fikah. Kakak bersedia mendengar apa pun masalah Fikah.” Qibtiyyah cuba meyakinkan. Dia memaut lengan kanan adiknya dengan melempar pandangan redup.
Syafikah menarik nafas dalam-dalam. Kemudian mengeluh perlahan. Dia masih ragu-ragu untuk memuntahkan apa sebenarnya yang bergalau di telaga hati. Tetapi melihatkan renungan kakaknya yang sering meneduhkan segala risau dan serabut itu telah melonjakkan alur rasanya ke paras bersedia dan rela. Maka kotak akalnya mulai menyusun irama bicara yang bakal terlantun dari kedua-dua bibirnya sebagai dendangan bernada untuk diterjemah sendiri oleh pendengaran Qibtiyyah.
“Kak… Mm, sebenarnya Fikah rasa tak tenang sekarang ni. Bukan sebab fikirkan tanggungjawab bila berumahtangga nanti, tapi ni tentang hal lain.”
“Hal apa, dik?” Qibtiyyah bertanya lembut.
Syafikah memakukan pandangannya ke mata Qibtiyyah. “Kak, perasaan Fikah sekarang ni terlalu kacau. Fikah rasa sangat terganggu hari demi hari. Semuanya bermula sejak Fikah ke hospital hari tu…” Dia diam, cuba melihat respon kakaknya.
Qibtiyyah mengerutkan kening, menuntut penjelasan lanjut.
Syafikah mula gugup. “Kakak tahu, masa Fikah ke hospital kali pertama, Fikah takut jugak kalau-kalau doktor yang periksa Fikah nanti doktor lelaki. Tapi Fikah doa, minta-mintalah doktor perempuan. Bukan apa, Fikah rasa malu.” Syafikah menelan liur sebelum menyambung. “Tapi permintaan Fikah tu tak dimakbulkan. Sebaik masuk ke dalam bilik rawatan, Fikah agak gementar bila tengok doktor yang akan rawat Fikah ialah lelaki muda belia. Mujur Anis temankan masuk sekali.”
“Doktor cek kat bahagian mana?” Qibtiyyah tidak sabar ingin tahu.
“Dia cek kat ketiak Fikah yang ada ketulan tu lah. Tapi dia cek juga kat tempat-tempat berkaitan.” Syafikah malu untuk menerangkan. Dia sekadar menunjukkan isyarat bahagian dada.
Qibtiyyah angguk. “Memanglah ada kaitan. Lepas tu?”
“Tu kali pertama. Waktu tu Fikah period, jadi doktor suruh Fikah datang lagi minggu depan. Masa kali kedua pula, Anis temankan masuk sekali juga. Tapi doktor tu bawa Fikah ke sebuah bilik rawatan lain sebab kat bilik yang mula-mula tak cukup peralatan. Waktu tu Anis tak ikut sekali sebab doktor suruh dia tunggu kat bilik rawatan pertama.”
“Nurse?”
“Nurse pun tak ikut sebab dia keluar sekejap urus sesuatu waktu Fikah mula-mula masuk tu.”
“Jadi, Fikah dengan doktor sajalah dalam bilik tu?” Teka Qibtiyyah.
Syafikah mengiyakan.
“Salah tu, dan membahayakan. Kalau ikut etika perubatan Islam pun salah berdua-duaan dengan pesakit kalau berlainan jantina. Antara syarat yang ulama Islam telah tetapkan untuk mengharuskan seseorang doktor lelaki merawat pesakit wanita ialah mestilah pesakit tu ditemani oleh mahramnya, suami, ataupun wanita lain yang dipercayai,” terang Qibtiyyah bersandarkan pengetahuan yang diterimanya sewaktu belajar di universiti dahulu.
“Yakah, kak?” Syafikah seolah-olah terkejut. Sebelum ini dia langsung tidak pernah ambil endah.
“Ya, betul. Satu lagi, doktor lelaki hanya boleh merawat pesakit wanita jika tidak ada doktor wanita lain yang dapat mengambil alih tugas seseorang doktor lelaki tu, sama ada dari segi ilmu atau pengkhususannya. Kenapa Fikah tak minta doktor perempuan?”
“Fikah tak tahu semua tu, kak.”
“Mm, yalah. Tapi kadang-kadang memang kita terpaksa diperiksa oleh doktor lelaki sebab tak ada pilihan. Kakak teringat sebuah hadis. Maksudnya begini: ‘Ummu Salamah telah meminta izin daripada Rasul untuk berbekam, maka Rasul pun menyuruh Abu Thaibah untuk melakukan bekam itu.’ Hadis ni diriwayatkan oleh Bukhari.” Qibtiyyah meneguk liur, dan meneruskan. “Dalam Kitab Al-Fatah, Al Hafiz telah berkata: ‘Diperbolehkan mengubati orang-orang yang berlainan jantina pada waktu darurat. Dan hal-hal yang berhubungan dengan melihat, memegang dengan tangan hendaklah dilakukan sekadar keperluan sahaja.’ Berkata pula Ibn Hamdan: ‘Jika tidak ada orang yang akan mengubati seseorang pesakit lelaki melainkan doktor wanita, dia boleh melihat kepada anggota pesakit yang perlu dilihatnya, walaupun pada kemaluannya.’”
Syafikah terdiam lama mencerna butir-butir maklumat yang baru diterimanya.
“Berbalik kepada masalah Fikah tadi. Kenapa Fikah rasa tak tenang dan kacau?” Qibtiyyah kembali melontar buah persoalan.
Syafikah merenung di kejauhan. Matanya tidak berkedip.
“Waktu berdua dengan doktor dalam bilik tu, doktor ulang cek tempat yang sama macam dia cek masa kali pertama. Tapi kali ni lebih ‘menyeluruh.’” Syafikah sengaja menggantung bingkai persoalan di benak kakaknya.
“Maksud ‘menyeluruh’?”
Syafikah mengunci bibir. Dia hanya mengisyaratkan bahagian leher sehingga lutut.
“Tempat-tempat tu ada kaitankah? Sebab syarat nak rawat ni mestilah dibuka dan dilihat anggota-anggota yang perlu dan berkaitan saja.” Qibtiyyah bingung dan hatinya mulai berwap panas.
“Doktor kata ada kaitan sebab kat bahagian-bahagian tu ada kelenjar. Kadang-kadang ada sangkut-paut dengan kelenjar-kelenjar lain. Untuk memastikan secara betul-betul, dia terpaksa cek seluruh badan yang terdapat kelenjar, dan juga di bahagian… err…” Syafikah diserbu malu untuk meneruskan kata-kata. Pipinya merona merah.
Qibtiyyah mengerti bahagian mana yang dimaksudkan oleh adiknya itu. Dia mengangguk.
“Sekarang ni masalahnya kalau kakak nak tahu, selepas kena cek kali pertama dan kedua tu, Fikah jadi macam terawang-awang. Bagai tak berpijak di bumi nyata.”
“Kenapa?”
“Fikah asyik teringatkan doktor tu saja, kak. Bukan Fikah nak macam tu. Tapi Fikah ni masih anak dara. Fikah rasa dihantui oleh bayangan dia saja, kak. Kakak faham tak macam mana?” Dia bungkam.
“Ya, kakak faham. Maksudnya, Fikah asyik teringat dan terfikir perbuatan doktor tu saja, kan?”
Syafikah angguk. “Sebab tu Fikah tertekan sangat, kak. Fikah jadi lupa pada Adib. Setiap masa, Fikah hanya akan ingat pada doktor. Fikah tak tahu macam mana nak jelaskan pada kakak.” Syafikah mengukir garis buntu dan celaru di wajahnya.
“Hmm, begitulah akibatnya kalau tak ikut panduan Islam sebenar. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tak kisah dirawat oleh siapa pun kerana tujuan hanya semata nak berubat. Tapi bagi orang yang memiliki perasaan yang halus dan sensitif macam adik kakak ni, boleh jadi trauma. Dan kakak tahu Fikah memang sedang trauma.” Qibtiyyah menggenggam jari adiknya yang dibalut dingin. Mungkin rasa gemuruhnya masih bergayutan di dahan hati.
“Fikah pun rasa macam tu. Tapi sekarang ni Fikah cuma rasa bersalah sangat pada Adib. Fikah bukan tak nak kahwin, tapi fikiran Fikah ni tengah serabut. Fikah tak boleh nak fikir hal perkahwinan lagi buat masa ni. Fikah cuma nak ambil sedikit masa untuk pulihkan semula diri Fikah,” luah Syafikah, mengharapkan simpati kakaknya.
“Tak apa, dik. Bertenanglah dulu. Ingat Allah banyak-banyak, tingkatkan amal ibadat dan berdoalah supaya dikuatkan hati. Mungkin ini ujian. Tempoh bertunang memang lagi banyak duga dan cabaran. Pasal Adib, biar kakak uruskan. Janganlah risau.” Qibtiyyah melirik senyum.
Syafikah lega. Hatinya mula ditiup damai dari perbukitan indah kata-kata kakaknya. “Kak, terima kasih.”
TAMAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Perhatian
Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com
4 comments:
salam ziarah....
Assalamu 'alaikum kak.
Datang menjenguk blog akak yang penuh 'cerita' ini :)
Suspenlah baca cerita ni.
Besss (^_^)V
ok cerpen tu. Teruskan menulis. Kami dah baca dh. Semoga berjaya dalam peperiksaan nanti.
cerpen yg bagus...
teruskan menulis dan semoga banyak lg menghasilkan cerpen yg bagus2.
Post a Comment