Sunday, December 2, 2007

BAGAIMANA SASTERA ISLAM MENEPATI KONSEP DAKWAH



DEFINISI DAN KONSEP DAKWAH

Dakwah berasal daripada perkataan Bahasa Arab da’a yang bermaksud menjemput, mempelawa, mengajak. Dari segi istilah, dakwah didefinisikan oleh Doktor Abdul Karim Zaydan dalam bukunya Usul al-Da’wah sebagai “pelawaan, ajakan dan jemputan untuk mengikuti ajaran Islam.”

Dalam al-Quran dan Hadith, terdapat beberapa konsep yang mempunyai hubungan yang kuat dengan konsep dakwah contohnya al-jihad fi sabil Allah (berjihad di jalan Allah), al-amr bil ma’ruf wa al-nahi ‘an al-munkar (melakukan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan yang salah), al-Islah (memperbaiki), al-tadhkir (memperingati), al-tabligh (menyampaikan), al-ta’wun ‘ala al-birr (bantu-membantu ke arah kebenaran) dan lain-lain.

Bertitik-tolak daripada itu, sastera Islam seperti yang telah dihuraikan sebelum ini dilihat sebagai menepati konsep-konsep di atas. Dalam kertas projek yang terhad ini, kami akan cuba menghubung-kaitkan teori sastera Islam dengan salah-satu konsep dakwah iaitu amar ma’ruf nahi munkar (mengajak melakukan amalan kebaikan dan meninggalkan amalan kejahatan) bagi menjelaskan lagi kaitan antara kedua-dua konsep ini.

HUBUNG-KAIT ANTARA SASTERA ISLAM DAN KONSEP AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR

Pendekatan sastera Islam seperti yang ditekankan oleh A.Hasjmy dan Shahnon Ahmad adalah lebih kepada pendekatan amar ma’ruf nahi munkar. Sastera Islam cuba merangkumkan ilmu dan amalan agama dalam konteks kesusasteraan serta mengambil kira konsep amar ma’ruf nahi munkar yang terkandung dalam ajaran Islam untuk diterapkan dalam karya sastera. Ini amat berbeza dengan konsep sastera Barat yang cuba memisahkan kesusasteraan daripada agama.

Untuk melihat dengan lebih jelas lagi hubung-kait antara sastera Islam dan konsep amar ma’ruf nahi munkar ini, kami akan cuba menghuraikannya dengan merujuk kepada beberapa aspek penting dalam sesebuah karya sastera iaitu penulis, mesej serta bahasa dan teknik penceritaan.

.1 Penulis

Dalam konsep dakwah amnya dan amar maruf nahi munkar khasnya, setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan amalan kebaikan dan mencegah segala amalan kejahatan dan kemaksiatan. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110:

Anda adalah umat pilihan, yang ditampilkan untuk manusia (Dengan ketentuan agar anda) menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar dan beriman kepada Allah...

Sehubungan dengan itu, penulis yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya juga adalah tergolong dari kalangan umat pilihan ini yang turut sama memikul tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah amalan kejahatan menerusi karya dan tulisan-tulisannya. Ciri-ciri penulis atau sasterawan Muslim seperti yang telah diperincikan oleh A.Hasjmy menunjukkan betapa sastera Islam tidak mengabaikan keperibadian penulis. Ini kerana, penulis yang mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan pasti akan menampilkan kebenaran dan kebaikan dalam karya-karyanya.

Sastera Islam adalah hasil ilham penulis yang dikurniakan oleh Allah kepada penulis. Oleh sebab itu, penulis harus menggunakan dan memanfaatkan kurniaan Ilahi ini dengan rasa tanggungjawab, ikhlas, jujur dan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dengan tidak menghasilkan karya yang memaparkan kisah-kisah yang dibenci Allah, sebaliknya menghasilkan karya yang dapat mengajak para pembaca untuk melakukan amal kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan kemaksiatan. Ini adalah selari dengan konsep amar ma’ruf nahi munkar yang tidak menggunakan kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita ke arah jalan yang menyimpang dari landasan-Nya.

Selain itu, berbalik kepada firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110 seperti yang disebutkan tadi, konsep amar ma’ruf nahi munkar ini hanya dikhususkan kepada umat Islam sahaja. Maka bertitik-tolak dari inilah, sastera Islam mestilah dihasilkan oleh umat Islam sendiri supaya kebenaran Islam itu dapat dilihat dalam karya mereka secara jujur dan jelas. Sebaik-baiknya sastera Islam adalah hasil penulis yang kuat berpegang kepada ajaran Islam dan mempraktiskannya dalam penulisan.

Para penulis Islam juga disarankan untuk membentuk organisasi atau kelompok dari kalangan mereka serta bekerjasama dan saling membantu bagi memastikan misi dakwah melalui karya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104:

Perlu ada di antara anda, satu kekuatan organisasi, yang tugasnya mengajak ke jalan kebaikan, menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar. Mereka itulah yang berjaya.

2. Mesej

Hubung-kait yang paling jelas antara konsep amar ma’aruf nahi mungkar ialah pada mesej yang dibawa oleh sastera Islam. Mesej utama yang dibawa oleh kedua-dua konsep ini ialah mesej Tauhid. Dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar khasnya dan dakwah amnya, mesej yang ingin dibawa ialah mengimani kewujudan Allah, mengimani keesaan-Nya serta mengimani bahawa Dialah Tuhan sekalian alam selain menyeru sekalian manusia untuk mengikuti ajaran Islam. Justeru, setelah mengimani kewujudan Allah ini, maka segala amalan kebaikan yang kita lakukan akan menjurus kepada satu niat iaitu dilakukan hanya kerana Allah begitu juga kita menghindari diri daripada kejahatan adalah jua kerana Allah.

Sastera Islam juga turut meletakkan konsep Tauhid ini sebagai asasnya. Oleh sebab itulah, Shahnon Ahmad mendefinisikan sastera Islam sebagai Sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia, kesusteraan berakhlak yang telah ditetapkan oleh Khaliq, karya yang jelas dan satu ibadah.

Apabila mesej sastera Islam dihubungkaitkan dengan konsep Tauhid ini (sastera kerana Allah), maka penulis bakal merasakan adanya hubungan dengan Allah. Penulis yang menjiwai Islam dan mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, tidak mungkin akan menghasilkan karya yang bertentangan dengan ajaran Islam sebaliknya akan menghasilkan karya amar ma’ruf nahi mungkar.

Hubungan antara penulis dan Penciptanya inilah yang telah memperlihatkan keistimewaan dan keunikan konsep sastera Islam berbanding konsep sastera bukan Islam.

Setelah perhubungan antara penulis dan Penciptanya jelas, maka karya yang dihasilkan dalam sastera Islam tentulah akan menepati konsep amar ma’ruf nahi mungkar, sejajar dengan firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 71:

Mereka menyuruh mengerjakan amar ma’ruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Radul-Nya.

Salah satu isi penting dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar ialah prinsip akhlak dan moral. Prinsip ini harus disuburkan dalam karya sastera Islam. Karya sastera Islam harus tampil sebagai satu karya moral dengan jalan pilihan ke arah kebaikan yang jelas. Justeru, karya-karya sastera yang tidak ada nilai dan etika serta moral, picisan dan sia-sia, dan membawa kepada kerosakan tidak termasuk dalam kategori Sastera Islam. Bahkan karya sastera yang mendorong lahirnya masyarakat yang tidak bermoral dengan menampilkan kehidupan watak yang bergelumang dosa dan penulis pula tidak menjelaskan bahawa kehidupan sebegitu adalah bertentangan dengan Islam bahkan memuja watak tersebut juga tidak termasuk dalam Sastera Islam.

Penulis sastera Islam yang berpegang kepada konsep amar ma’ruf nahi mungkar ini tentu sahaja akan menyebarkan nilai-nilai keIslaman, membanteras kejahatan, membongkar ketidakadilan, penindasan, korupsi dan memperjuangkan kebenaran melalui karya-karyanya supaya kebenaran ini dapat ditegakkan dalam masyarakat seperti yang dikehendaki dalam Islam. Penulis haruslah menegakkan ajaran Allah dengan menampilkan watak-watak yang beriman dan beramal soleh dalam karya-karyanya, karyanya berterusan membenarkan yang benar dan mengharamkan yang haram, mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur serta tidak memberi hak kepada watak-wataknya untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsunya sebaliknya berlandaskan hukum dalam Islam.

Justeru dapat kita simpulkan di sini bahawa sastera Islam meletakkan mesej di tempat teratas. Di samping itu, sekiranya penulis mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, atau dengan kata lain, penulis menjiwai Islam dalam kehidupan sehariannya, maka keimanan dan keperibadian penulis ini akan terjelma dalam karya-karyanya yang bakal mengajak pembaca melakukan amal kebaikan dan mencagah amal kemaksiatan dan kemungkaran.

3. Bahasa dan Teknik Penceritaan

Dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar khasnya dan konsep dakwah amnya, terdapat beberapa metodologi dakwah yang telah diberi garis panduan oleh Islam. Imam Fakhrul Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghaib telah menggariskan tiga metod dakwah berdasarkan ayat 125 daripada Surah al-Nahl yang bermaksud:

Ajaklah ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan dengan cara yang baik dan berdebatlah dengan baik.

Melalui ayat ini, dapat kita simpulan tiga metod atau cara dakwah yang berbeza iaitu hikmah, mau`izah dan mujadalah.

Menurut Imam Fakhrul Razi, hikmah ialah cara menyampaikan dakwah yang pertama dan ia merupakan cara yang harus disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh dan bebas daripada sebarang kecacatan serta kontradiksi. Manakala mau`izah pula ialah cara menyebarkan dakwah secara menyebarkan dan memberi nasihat. Caranya boleh dikatakan sebagai suatu cara memujuk. Mujadalah pula ialah cara menyampaikan dakwah dengan berdebat dan berdiskusi.

Maka di sini letaknya persamaan antara metod atau ‘kaedah menyampaikan’ dalam kedua-dua konsep. Seperti juga dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar yang menyampaikan sesuatu dengan cara yang jelas dan menyediakan hujah-hujah yang kukuh, Shahnon Ahmad mengatakan bahawa sastera Islam juga bukanlah suatu hasil karya yang kabur, boleh mengelirukan pembaca dan hasilnya tidak menjelaskan petunjuk yang benar.

Selain itu menurutnya lagi, penggunaan bahasa dalam sastera Islam haruslah mudah supaya maksudnya tepat dan tidak mengelirukan. Gaya bahasa yang berputar-putar ditentang oleh Islam begitu juga dengan teknik penceritaan yang melampau atau berlebih-lebihan contohnya menceritakan secara terperinci perbuatan munkar seperti zina dan khalwat dalam karya.

Justeru, dapat kita simpulkan di sini bahawa bahasa dan teknik menulis dalam sastera Islam haruslah mudah dan jelas supaya mesej yang bersifat kebenaran dan bermanfaat yang ingin disampaikan dalam karya sastera Islam itu dapat sampai dengan mudah kepada pembaca dan tidak mengelirukan mereka. Dikhuatiri, andai bahasa yang digunakan dalam sastera Islam itu sukar difahami, penuh dengan kata-kata yang kabur dan janggal, maka mesej kebenaran yang ingin disampaikan itu tidak dapat memberi kesedaran kepada pembaca sebaliknya menyesatkan mereka pula.


Kesimpulannya, keindahan sastera Islam yang meletakkan hubungan penulis dan Tuhan serta mesej dan matlamat di tempat teratas menjadikannya istimewa, unik dan mempunyai ciri-ciri dan konsep tersendiri berbanding sastera bukan Islam. Harus disebutkan di sini, mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak hanya dilakukan dengan lisan tetapi mungkin lebih berkesan melalui tulisan sepertimana sumber utama umat Islam, al-Quran yang megajarkan ayat-ayat Allah dalam kaedah cerita contohnya kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa.

Sastera Islam yang mempunyai kaitan akrab dengan Tuhan, seharusnya membawa mesej yang tidak menyesatkan pembaca sebaliknya mengutamakan kebaikan daripada kejahatan seperti yang disarankan dalam Islam.

Selain itu, sastera Islam turut mementingkan keperibadian menulis dan mengangkat prinsip moral dan akhlak. Penulis yang berperibadi mulia tentunya tidak akan menghasilkan karya-karya yang melanggar batasan agama, moral dan akhlak sebaliknya menghasilkan karya yang mengajak pembacanya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

Kesimpulannya, asas, konsep dan prinsip yang dibawa oleh sastera Islam menepati konsep dakwah daripada semua sudut; penulis, mesej, bahasa serta teknik penceritaan dan seharusnya semua penulis Muslim menyimpan hasrat untuk sedaya upaya cuba menepati konsep sastera Islam ini dalam karya-karya mereka.


Sumber: http://ghafirah-idris.blogspot.com/

Friday, November 23, 2007

Cebisan Rasa 1

23 November 2007,
2.48 p.m.

“Andai benar itu satu ketulusan, maka kau buktikanlah. Apa yang ada denganmu, lalu itulah yang perlu kau korbankan. Jika itu satu kerelaan... Benar-benar satu kepasrahan. Pengabdian.“

2.56 p.m.

“Keyakinan itu... Jika sudah kau genggami, maka teruskanlah bertempel di telapak tanganmu. Jangan kau goyah. Jangan kau biar ia berderai jatuh, berkecai...“


3.00 p.m.

“Letaklah pengharapanmu terhadap makhluk lebih rendah dari aspal yang terpijak kaku. Hulurkanlah tanganmu, gapai Cinta-Nya. Hulurkanlah semampu mungkin...“

Monday, November 5, 2007

Penguin Malaysia






Spesies burung yang sebelum ini menghuni benua Antartika berjaya ditetaskan secara semula jadi selepas pengeraman 35 hari di Langkawi

PENGUIN kini boleh menetas di Malaysia. Usaha membiakkan hidupan marin antartika itu menjadi kenyataan menjelang jam 10 pagi pada 9 September lalu di Underwater World Langkawi (UWL) di Pantai Chenang, Langkawi.

Kejayaan itu berkat kesabaran 90 kakitangan pusat pelancongan termasyhur itu selama empat tahun untuk membiakkan spesies burung tidak boleh terbang yang sebelum ini cuma menjadi penghuni tetap di Antartika.
Lebih mengagumkan anak penguin dari spesies `Rockhopper' berjaya ditetaskan dalam sarang terbuka selepas melalui proses pengeraman selama 35 hari oleh induknya.

Benua Antartika adalah tempat paling sejuk di muka bumi dengan suhu mencapai -85 hingga -90 darjah Celsius pada musim sejuk dan pada musim panas pula mencatat 30 darjah Celsius, yang mana jauh berbeza dengan suhu di negara ini.

Kejayaan itu dipercayai yang pertama di negara ini, walaupun tahun lalu UWL pernah mencipta kejutan membiakkan 11 penguin daripada spesies `Black-Footed' berasal dari Afrika Selatan menerusi pengeraman inkubator. Timbalan Pengurus Besar UWL, Mohd Hafizuddin Abdullah, berkata kejayaan menetaskan penguin seberat kira-kira 89 gram menerusi kaedah semula jadi itu membuktikan semangat `Malaysia Boleh'.

"Pada 9 September lalu tercatat satu lagi sejarah paling membanggakan kami di UWL apabila anak penguin jenis `Rockhopper' yang terkenal dengan jambul kuning dan bulu mata lebat berjaya ditetaskan.

"Diikuti dua hari kemudian seekor lagi anak penguin jenis sama ditetaskan menjadikan jumlah keseluruhan penguin `Rockhopper' dimiliki UWL kini sebanyak 21 ekor," katanya ketika ditemui di pusat pelancongan itu.

Mohd Hafizuddin berkata, penguin `Rockhopper' memiliki tabiat unik apabila membina sarangnya di tempat terbuka, ini berbeza dengan penguin `Black-Footed' yang membina sarang berbentuk seperti gua.
Tinjauan pula mendapati, penguin `Rockhopper' membina sarang menggunakan himpunan ranting dan serpihan kayu, batu karang serta kerikil yang sebelum itu dikumpul kakitangan UWL di pekarangan Penguinarium berharga RM30 juta itu.

Difahamkan, penguin `Rockhopper' juga mempunyai satu musim pembiakan setiap tahun dan akan bertelur sebanyak dua biji pada satu masa dengan perbezaan antara tiga dan lima hari bagi telur pertama dan kedua.

Bagaimanapun, hanya telur yang kedua saja mendapat perhatian induk jantan untuk menjalani proses pengeraman, manakala telur yang pertama biasanya bersaiz lebih kecil akan dimusnahkan induk betina.

Sepanjang tempoh pengeraman, penguin jantan mengambil tanggung jawab sepenuhnya untuk mengeram, manakala penguin betina dilihat berkeliaran di sekitar sarang atau berenang dengan suhu air mencecah 15 darjah Celsius.

Kuratur Kanan UWL, Tan Ean Kok, berkata sehingga kini penguin `Rockhopper' dipercayai adalah penguin terkecil di kalangan penguin yang berjambul dengan memiliki ketinggian kira-kira 47 sentimeter (sm) dan beratnya sekitar tiga kilogram.

Sehingga kini, katanya, ada kira-kira 17 spesies penguin di seluruh dunia dan pada peringkat permulaan ini UWL hanya memberi tumpuan memelihara dua spesies saja iaitu `Rockhopper' dan `Black-Footed'.

"Penguin `Rockhopper' berasal daripada rangkaian pulau kecil yang tersebar luas di kawasan perairan sub-antartika, khususnya di kepulauan Tristan De Cunha, manakala penguin `Black-Footed' dari Afrika Selatan.

"Diet semula jadi adalah ikan kecil dan sotong, manakala di UWL penguin dewasa berusia antara tiga dan lima tahun disajikan ikan selayang dan kembung dua kali sehari iaitu pada jam 10 pagi dan 3 petang," katanya.

Beliau berkata, penguin dewasa mampu menghabiskan antara 300-400 gram (gm) ikan sehari, sekali gus menjadikan tugas memastikan semua haiwan itu mendapat makanan secukupnya agak rumit dan perlukan ketelitian.

"Penempatan penguin pertama di Langkawi dilakukan UWL pada 15 Disember 2003 dengan ketibaan 19 penguin jenis `Rockhopper' dan 17 `Black-Footed' dari Johannesburg, Afrika Selatan menerusi penerbangan selama 16 jam.

"Sebaik tiba di Langkawi penguin itu dibawa ke UWL dan diletakkan dalam sebuah bilik khas seluas 570 kaki persegi bersuhu 7-11 darjah Celsius untuk dikuarantin," katanya.

Kini, `Rockhopper' dan `Black-Footed' yang ditempatkan dalam tangki khas dan dilengkapi sistem sokongan hidup yang menepati standard Jabatan Pertanian, Amerika Syarikat menjadi tarikan utama pengunjung ke pusat itu.

Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi UWL, Siti Raudhah Shaari, berkata sebagai tarikan baru di pusat pelancongan itu, ruang yang menempatkan penguin terbabit sentiasa sesak dengan pengunjung biarpun bukan pada musim cuti persekolahan.

"Namun, pengunjung jangan sesekali memasang impian untuk mendekati atau memberi haiwan ini makan kerana ia begitu sensitif dan tidak boleh didekati secara terus dengan manusia.

"Malah, petugas kami yang memberi makan atau merawat kesihatan penguin ini perlu memakai pakaian khas kerana bimbang kuman yang ada di badan manusia menjangkiti haiwan berkenaan," katanya.

Pembiakan penguin di UWL
• 15 Disember 2003 penempatan pertama membabitkan 17 penguin jenis `Blackfooted' dan 19 `Rockhopper' diterbangkan dari Johannesburg, Afrika Selatan.
• Setiap seekor berharga RM26,000 dan sebaik tiba di UWL haiwan itu ditempatkan dalam bilik khas bersuhu bawah 15 darjah Celsius.
• Penguin `Blackfooted' berasal dari Pulau Tristan de Cunha, Afrika Selatan, manakala `Rockhopper' dari perairan Sub-Antartika.
• Induk `Blackfooted' mula bertelur pada awal Februari 2006 dan menetas menerusi kaedah inkubator pada pertengahan Mac tahun itu.
• Induk `Rockhopper 'mula bertelur pada awal Ogos 2006 dan menetas menerusi kaedah pengeraman semula jadi pada 9 September lalu.
• Tempoh pengeraman inkubator selama 40 hari, manakala pengeraman semula jadi oleh penguin jantan cuma 35 hari.
• Mengikut putaran hayat, seekor penguin mampu bertelur dua kali setahun, antara Februari dan Mac serta Ogos dan September dan ia akan mula bertelur ketika berusia antara enam dan 12 tahun, selain mampu hidup sehingga 25 tahun.
• Lebih setahun lalu, sebanyak 10 telur penguin `Blackfooted' dan dua `Rockhopper' berjaya ditetaskan menerusi kaedah inkubator dan pengeraman semula jadi oleh pasangan induk masing-masing di UWL.
• Jumlah semasa penguin yang dimiliki UWL ialah 21 `Rockhopper' dan 28 `Blackfooted'

Sumber:Berita Harian Online

Vasa tenggelam 333 tahun






Armada tercanggih abad ke-17 itu muncul di permukaan Limbungan Kapal Stockholm pada 24 April 1961

SEKITAR abad 14 hingga 17, kebanyakan negara di Eropah memiliki armada atau kapal perang yang hebat termasuk Portugis, Sepanyol dan Belanda.

Satu lagi negara Eropah yang tidak kurang hebat daripada segi memiliki armada perang yang digeruni sekitar abad ke-17 adalah Sweden, yang ketika itu sibuk untuk membina empayar di perairan laut Baltic di Utara Eropah. Musuh ketat negara itu pada masa itu adalah Poland.
Dalam usaha menentang musuh ketatnya itu, pada 1625 Raja Gustavus Adolphus dari Sweden mengarahkan angkatan tentera negara itu membina beberapa kapal perang baru, termasuk Vasa. Pembinaan Vasa dilaksanakan seorang pembina kapal berpengalaman berbangsa Belanda, Henrik Hybertsson di Limbungan Kapal Stockholm.

Vasa yang dilengkapi 64 meriam dan ditempatkan di atas dua dek, siap dibina dalam masa kira-kira tiga tahun dan sedia berlepas ke medan perang pada 10 Ogos 1628. Pada pagi bersejarah itu, ribuan orang termasuk diplomat dan tetamu asing berada di Limbungan Kapal Stockholm untuk menyaksikan pelayaran sulung kapal perang yang dianggap terbesar dan tercanggih di Eropah ketika itu.

Sebaik tembakan meriam dilepaskan ke udara sebagai penghormatan kepada pelayaran Vasa dan 150 anak kapal, ia bergerak perlahan-perlahan meninggalkan dermaga sambil mendapat tepukan gemuruh.
Hanya beberapa minit selepas itu keseluruhan kapal perang gergasi itu terbenam di dasar limbungan, sekali gus meragut antara 30 hingga 50 anak kapal yang tidak sempat menyelamatkan diri.

Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku betul-betul di hadapan ribuan tetamu yang menyaksikan peristiwa bersejarah pelayaran sulung Vasa. Sebaik kejadian itu, kaptennya, Sofring Hansson ditahan pihak berkuasa Sweden untuk disoal siasat.

Pelbagai teori dikemukakan berhubung kejadian menimpa Vasa itu, termasuk tempoh pembinaannya terlalu singkat, memiliki dua dek untuk menempatkan meriam berbanding satu dek bagi kelaziman kapal perang pada zaman itu, tempat kargo (meriam) terletak di bahagian paling tinggi kapal berbanding kapal barang yang menempatkan kargo di bahagian bawah kapal dan perkiraan ukuran kapal yang dibuat berdasarkan anggaran. Semua faktor itu menyebabkan Vasa menjadi tidak seimbang apabila ia berada di atas air.

Selain kapten kapal, turut dipersalahkan ialah Hybertsson yang meninggal dunia sebelum sempat menyiapkan pembinaan Vasa, dan kerja itu disambung rakan kongsi dan adiknya; Laksamana Klas Fleming (orang kuat tentera laut) kerana tidak menghentikan segera pelayaran Vasa apabila melihatnya dalam keadaan tidak stabil; selain Raja Gustavus kerana mahukan Vasa disiapkan seberapa segera dan tidak berada di limbungan ketika pelepasan kapal malang itu.
Namun, terkuburnya Vasa di dasar laut pada tanggal 10 Ogos 1628 itu tidak berakhir begitu saja riwayatnya kerana selepas 333 tahun kemudian iaitu pada 24 April 1961, ia muncul kembali pada permukaan limbungan kapal Stockholm.

Kejayaan menimbulkan semula Vasa yang terbenam kira-kira 30 meter di dasar laut adalah kerja keras selama lima tahun pasukan yang ditubuhkan khas kerajaan Sweden bagi kerja itu, bermula pada 1956. Orang pertama menemui bangkai Vasa yang terbenam sedalam 30 meter di dasar laut ialah pakar pencari kapal karam, Andres Franzen, yang dibantu pasukan penyelam daripada tentera laut Sweden, diketuai Per Edvin Falting.

Ketika ditemui, keseluruhan badan Vasa disaluti lumpur tebal dan masih ada 25 rangka anak kapal dalamnya. Pasukan penyelam menebuk enam terowong dan memasukkan enam saluran pam untuk menyedut keluar lumpur dari bahagian dalam kapal, bagi membolehkan ia dimasuki. Dengan peralatan agak terhad ketika itu, pasukan penyelam yang memasuki bahagian dalam kapal hanya dapat melihat satu kawasan yang gelap gelita, selain suasana sejuk sehingga mencucuk tulang.

Namun, berkat kegigihan dan usaha tidak kenal penat, pasukan penyelam terbabit akhirnya berjaya juga membawa masuk kabel keluli melalui terowong yang ditebuk untuk diikat pada kerangka kapal bagi membolehkan kerja menaikkan kapal.

Akhirnya usaha menaikkan bangkai Vasa dapat dimulakan pada Ogos 1959. Bagaimanapun ketika itu timbul ketidaktentuan di kalangan mereka yang terbabit dalam usaha menimbulkan Vasa iaitu sama ada kapal itu kekal seperti bentuk asal dalam satu bahagian ataupun ia sudah terpisah antara satu sama lain.

Menakjubkan, apabila kapal itu timbul pada permukaan air di Limbungan Kapal Stockholm tepat pada jam 9.03, 24 April 1961, lebih 60 peratus masih dalam bentuk asal sebuah kapal, kecuali kerosakan pada bahagian tertentu. Penemuan Vasa bagaikan satu keajaiban iaitu bahan yang tidak disentuh pada abad ke-17 masih kekal seperti sedia kala ketika ditemui semula pada abad ke-20.

Sebaik ditimbulkan, pasukan arkeologi muzium membaiki dan memulihara semula bahagian Vasa yang mengalami kerosakan. Bahan kimia khas dikenali sebagai polyethylenglycol (PEG) digunakan untuk mengekal serta memulihara kapal berkenaan supaya tidak mengecut atau buruk apabila kapal itu dikeringkan.

Pada 1962, sebuah muzium sementara dikenali Muzium Vasa di Stockholm dibina bagi menempatkan Vasa dan ia dianggap sebagai bahan tunggal terbesar pernah dipulihara. Kini, Muzium Vasa dianggap antara muzium luar biasa dan paling popular di Eropah.


FAKTA: Vasa

Dibina: 1625
Siap: 1628
Pelayaran sulung: 10 Ogos 1628
Tenggelam: 10 Ogos 1628
Ditimbulkan semula: 24 April 1961
Panjang keseluruhan: 69 meter
Panjang petak kargo: 47.5 meter
Lebar: 11.7 meter
Tinggi: 52.5 meter
Bahagian Dalam Air: 4.8 meter
Displacememt: 1,210 tan
Kawasan Pelayaran: 1,275 meter
Kelengkapan: 64 meriam termasuk 6 motar
Anak Kapal: 445 termasuk 145 kelasi
Askar: 300 (tidak berada di atas kapal ketika Vasa tenggelam)


Oleh Mutazar Abd Ghani, yang melawat Stockholm, Sweden, baru-baru ini

sumber: Berita Harian Online

Thursday, October 11, 2007

Pereka Indonesia rancang eksport permainan bercirikan Islam




JAKARTA: Seorang wanita Indonesia menghasilkan satu alternatif kepada anak patung Barbie dinamakan Salma yang menepati ciri-ciri Islam untuk pasaran penduduk Muslim.

Salma bermaksud 'damai' dalam bahasa Arab dan menampil pelbagai imej menerusi pakaian daripada tudung 'abaya' kepada pakaian solat.

Semua pakaian Salma bertangan panjang dan labuh ke tumit serta bertudung kepala.

Penciptanya adalah seorang ahli perniagaan, Sukmawati Suryaman, yang memberitahu dia mendapat inspirasi mencipta anak patung itu tahun lalu selepas melihat anak saudaranya bermain Barbie.

"Saya terus teringat pada masa itu bahawa alangkah baiknya jika kami ada anak patung bercirikan Muslim seperti itu kerana semua orang tahu kanak-kanak suka meniru gaya anak patung mereka," katanya.

Indonesia adalah negara Islam terbesar dunia dengan 85 peratus daripada 226 juta penduduknya adalah Muslim dan kebanyakannya berhaluan sederhana.

Ramai wanitanya turut menutup kepala menjadikan gaya pakaian anak patung Salma ala konservatif memudahkan kanak-kanak mengenalinya berbanding gaya umpama bintang pop patung Barbie atau Bratz, kata Reuters.

Sukmawati yang mempelajari bidang kejuruteraan, mengendalikan perniagaannya dari rumah.

Dia mengimport patung plastik dari China dan mereka cipta serta menjahit pakaian serta aksesori Salma dengan bantuan dua jirannya.

Anak patung itu dimasukkan dalam bungkusan dan dijual menerusi pemborong atau melalui laman web di alamat www.bonekasalma.com, lapor agensi berita itu.

Di laman web berkenaan, Salma diberi gelaran anak 'patung Muslim Barbie.'

Sukmawati menjual kira-kira 200 anak patung itu sebulan dan kebiasaannya ia meningkat menjelang sambutan Aildifitri kerana ramai yang suka bertukar-tukar hadiah.

Dia juga merancang mengeksport patung itu ke Malaysia dan Brunei kerana percaya akan mendapat sambutan menggalakkan.

"Saya rasa Salma boleh menjadi contoh dan pilihan baru. Patung Barbie memakai pakaian yang terlalu ringkas manakala Salma lebih sederhana dan memakai tudung," kata Tina, seorang wanita yang ditemui ketika membeli patung itu untuk anaknya. – Reuters

Petikan dari Berita Harian Online

Saturday, October 6, 2007

Cerpen: Sentimen Daerah Malar Hijau



CERPEN: SENTIMEN DAERAH MALAR HIJAU


Assalamualaikum,

Azz, sahabatku… Deruan angin yang menampar-nampar pipiku seakan-akan memaksaku mencoret khabar buatmu. Panahan bilah-bilah suria telah sekian lama menghunjamku agar memancar lakaran cerita tentangku di sini. Bunga-bunga yang memekar harum di laman sering membuatku cemburu pada sang lebah yang mengunjungnya saban pagi, membawa cerita dari istana madu. Namun, aku dan kau hanya mampu dikiaskan sebagai angin. Wujudnya tak selalu diungkap, tapi dinginnya tetap terus membelai.

Adakah kau masih ingat tentang Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang pernah aku khabarkan kepadamu lewat bicara kita yang lalu? Ia dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 16 Januari 2007 tahun ini sebagai usaha untuk melonjakkan taraf pendidikan negara dan mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai dalam sistem pendidikan. Aku juga berharap agar masih segar di ingatanmu berkenaan enam teras strategi PIPP yang juga pernah kusebutkan dulu, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Sementara itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menetapkan ‘Pembangunan Modal Insan Berminda Kelas Pertama’ yang banyak bergantung pada kualiti sistem pendidikan negara. Apakah yang terbayang di ruang fikirmu setelah aku menyatakan semua ini? Oh, beratnya tugas yang terpaksa dipikul oleh seorang guru! Walaupun aku baru bergelar ‘bakal guru,’ tetapi aku sudah dapat merasakan cabaran besar yang bakal kuhadapi kelak.

Aku tahu kau bukan seorang guru, malah bukan pula bakal guru, tetapi kau akan tetap menjadi seorang guru tak bertauliah yang diiktiraf keluarga buat anak-anakmu nanti. Jadi, aku suka untuk berkongsi cerita denganmu selaku bakal guru yang sering mahu mencungkil pengalaman-pengalaman seseorang yang bernama guru. Kau tahu, aku telah membuat sedikit kajian melalui bahan-bahan dari majalah ilmiah, keratan akhbar dan sumber-sumber maklumat dari internet. Apa yang kudapati? Sebelum itu, tentu kau sedia maklum tentang dasar KPM yang mewajibkan guru-guru baru memulakan perkhidmatan mereka di kawasan pedalaman. Kau fikir, kerana apa dasar itu dibuat? Hmm… Malu untuk aku katakan: ‘bagi menangani masalah guru-guru yang tidak mahu ke pedalaman.’ Sebab itu, tidak hairanlah jika masyarakat hari ini heboh mengatakan ‘guru semakin hilang taraf kualitinya.’ Berasas juga kenyataan itu. Cuba kau bandingkan guru-guru sekarang dengan guru-guru zaman dulu. Mereka rela dihantar mengajar ke ceruk mana pun, hatta ke dalam gua!

Berbalik kepada apa yang telah kuperolehi hasil daripada penyelidikan tak rasmiku tadi. Dari sumber maklumat yang telah kudapati, ramai guru meluahkan perasaan ketidaksanggupan dan keengganan mereka untuk dihantar berkhidmat di pedalaman. Aku akui, apa yang mereka rasakan turut aku rasakan. Tetapi menurut ayahku ketika aku berbincang dengannya sebentar tadi, katanya: “Kalau kita ditanya: sanggup atau tidak untuk dihantar mengajar di pedalaman? Katakan saja: Saya tidak sanggup. Sesiapa pun tidak sanggup, atau kebanyakannya tidak sanggup, tetapi oleh kerana tugas yang telah ditaklifkan, saya rela dihantar walau ke ceruk mana sekalipun! Bohonglah jika ada yang mengatakan ‘sanggup’, sedangkan dia sebenarnya hanya hipokrit dan berpura-pura! Itulah kebenaran.” Aku merenung kata-kata sarat makna dari bibir ayahku, seorang guru berpengalaman puluhan tahun dalam sistem pendidikan negara. Ya, memang benar apa yang dikatakannya. Kerana kehipokritan itu jugalah, taraf kualiti guru semakin pudar. Dulu, dan sehingga kini, guru diibaratkan lilin yang membakar diri, tetapi sekarang, hakikat itu semakin merosot. Api yang meliuk-liuk pada sumbu lilin itu kian malap dan bernyala kecil-kecil, sedangkan batang lilin masih panjang!

Aku sangat mengerti, malah memahami perasaan guru-guru yang enggan dihantar mengajar di pedalaman. Tugas mereka bukan sekadar mengajar pelajar menguasai kemahiran 3M (Membaca, Menulis, Mengira), tetapi juga perlu berperanan sebagai ‘ibu dan ayah kedua’ buat pelajarnya. Aku bawakan satu cantoh di sini. Ada sesetengah pelajar pedalaman, seperti murid darjah satu dan dua, ada yang datang ke sekolah dengan tidak mandi pagi. Jadi, guru-guru terpaksa memandikan mereka, ajar cara memberus gigi dan pakaikan mereka dengan pakaian yang bersih. Mungkin ini satu cabaran yang terlalu hebat bagi guru-guru yang baru setahun jagung dan baru hendak mengenali dunia pendidik.

Azz, bunyi kuakan lembu di kampungku saat aku mengarang coretan ini kepadamu rasanya tetap tak mengurangkan debaran yang bakal kuhadapi kala menjejakkan kaki di daerah malar hijau di pedalaman sana. ‘Sekampung-kampung’ kampungku ini, masih ada kampung yang lebih ‘kampung’ daripada kampungku. Tentu kau hairan kenapa aku berkata begitu. Tetapi apa lagi yang dapat kau ungkapkan jika kau sendiri ditugaskan sebagai seorang guru, terpaksa berjalan kaki selama lapan jam dari jalan utama meredah hutan, memanjat bukit dan merentas sungai untuk sampai di sekolah tempat kau mengajar? Sehinggakan kau pernah tergelincir ke dalam sungai yang berarus deras ketika mahu ke sekolah. Bayangkanlah ketika itu kau hanya seorang diri, dengan baju yang basah kuyup dan sakit-sakit seluruh tubuh, terpaksa juga meneruskan perjalanan ke sekolah untuk mengajar. Apa kau rasa? Aku yakin, itu sebenarnya yang menghantui guru-guru sekarang ini. Mereka sudah tidak tega untuk berdepan dengan ranjau sehebat itu!

Aku juga pernah membaca pengalaman seorang guru yang terpaksa menaiki bot meredah sungai berarus deras selama dua hingga tiga hari untuk ke sekolah, bergantung pada keadaan air. Jalan perhubungan pula hanyalah sungai. Beliau dan orang kampung hanya keluar ke pekan membeli barang keperluan tiga atau enam bulan sekali, kerana kos untuk perjalanan keluar masuk dengan bot ke pekan itu sahaja mencecah RM700. Jumlah yang cukup besar untuk seorang guru bergaji kecil. Jika ketika itu aku mengajar di Borneo, kos sebanyak itu tentu sudah cukup sebagai tambangku untuk pulang ke Semenanjung! Kerana itulah, pengorbanan seseorang guru itu penting. Guru dimuliakan kerana pengorbanannya. Kau bersetuju denganku?

Semua kisah pengalaman yang kucoretkan di sini hanyalah sekelumit daripada 1001 pengalaman yang dilalui oleh hampir 14 000 orang guru yang mengajar di pedalaman negara ini. Apa yang kau rasa? Aku tahu, tentu terselit risau di hatimu memikirkan keselamatanku ketika mengajar nanti. Tentu bertambah risau setelah mendengar tragedi kematian seorang ustazah dalam keadaan separuh bogel di sebuah anak sungai terpencil di Sarawak baru-baru ini. Manusia makin hari makin kejam, kan? Namun, itulah hakikat yang terpaksa ditelan. Pahit.

Sebenarnya, kesemua fenomena yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini membuatkan aku sering berfikir panjang. Entahlah… memang ya, ingin mencurahkan bakti buat anak bangsa, tetapi dengan dunia yang kian hari, setiap detik dan saat semakin tak kenal peri kemanusiaan, meniup badai resah hatiku, Azz. Risau hati emak dan ayah dengan keselamatan diriku nanti, tambahan pula apabila terpaksa berjauhan sehingga merentasi Laut China Selatan. Namun, aku sering teringat nasihat emak. Kata emak, jangan biarkan diri terlalu takut untuk melakukan apa-apa. Yakinlah bahawa setiap perkara; ajal, jodoh pertemuan dan rezeki kita telah ditakdirkan. Kata-kata itu sangat berbekas di hatiku, Azz. Setiap kali badai resah melanda, aku akan menepisnya dengan kata-kata keramat emak. Sungguh mujarab di hatiku! Bisa membuang gundah gulana dan rasa walang. Aku mula yakin, jika ajalku sudah ditakdirkan mati begitu, begitulah. Jika begini, beginilah. Aku berserah diri kepada-Nya. Cuma aku harap, matiku dalam keadaan yang baik. Husnul khatimah.

Itulah rencam dunia pendidikan. Macam kehidupan kita juga; ada pahit, manis, masam dan masin. Itu semua citra kehidupan. Hmm… ini satu lagi titik resah yang bertompok di sudut hatiku. Apa pendapat kau tentang pelajar-pelajar kita sekarang? Sedih aku, Azz. Pelajar sekarang semakin kurang rasa hormat kepada guru, tak macam zaman dulu-dulu. Inilah realiti yang harus diterima. Adikku yang menuntut di maktab perguruan pernah menceritakan kepadaku tentang pelajar-pelajar lelaki kelasnya (bakal guru) yang tidak menghormati pensyarah. Pensyarah mengatakan mereka sombong dan pernah mendenda mereka. Kemudian, ketika pensyarah itu menyambung syarahannya, ada seorang pelajar berkata: “Straight to the point, Encik…” Jika kau yang bersyarah ketika itu, apa yang kau rasa? Kau rasa bakal guru itu biadab kan? Itu bakal guru yang akan ditauliahkan sebagai ‘guru.’ Jika guru biadab, anak-anak murid nanti…? Tentu kau tahu tentang peribahasa ini: ‘Bapa borek, anaknya rintik.’ ‘Jika guru kencing berdiri, pasti muridnya akan kencing berlari.’ Itulah yang merisaukan aku. Agaknya, itu salah satu punca pelajar-pelajar kita semakin tidak berakhlak dan hilang hormat pada guru. Disebabkan guru sendiri. Ketam yang berjalan bengkok takkan mampu untuk meluruskan cara berjalan anaknya, Azz.

Aku teringat kenyataan Ibn Khaldun dalam bukunya yang terkenal- Muqaddimah. Menurut beliau, sesebuah tamadun itu tidak akan kekal lama sekiranya elemen kerohanian tidak diambil kira dalam pelan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah peranan aku kelak, Azz. Aku selaku guru suatu hari nanti perlu mengubah masyarakat di sekelilingku yang seterusnya mampu membaiki taraf hidup manusia. Aku perlu terap dan tanam pelajar-pelajarku dengan kepekaan rohani agar mereka berhasil menjadi modal insan cemerlang, iaitu aset penting ke arah mencapai kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Bukan mudah, Azz. Bukan mudah untuk melakukan semua itu. Berat! Sememangnya lebih mudah untuk berkata daripada cuba mengotakannya. Namun, aku bertekad dengan azam yang padu untuk berusaha semampuku merealisasikan harapan yang maha berat itu!

Azz, temanku… begitulah ranjau kehidupan seorang pendidik yang bakal kutempuhi. Ya, aku tahu aku perlukan persiapan untuk menghadapi semua itu. Aku sedar aku tak boleh hanya duduk bergoyang kaki menanti detik itu. Aku perlu melengkapkan diri dengan kelengkapan yang sepatutnya ada pada seorang guru. Aku tahu, aku sedar. Tapi, aku tetap perlukan sokongan agar aku tak rebah. Sokongan emak ayah, adik-adik, dan sokonganmu juga, Azz. Sedangkan Rasulullah perlukan sayap kiri dan sahabat-sahabat untuk menyokong dan mendokong perjuangan Baginda, inikan aku hanya insan kerdil lagi lemah.

Azz, sudah banyak kukongsikan denganmu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kulalui. Aku pula akan menanti perkhabaran darimu tentang ‘dunia baru’ yang bakal kau tempuhi. Apa, ya? Penulis bebas? Kaunselor? Pakar motivasi? Atau…??? Yang mana satu, Azz? Ceritalah padaku… Azz, sebelum mengakhiri coretanku, aku sertakan di sini sebuah sajak untuk kau renungi.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulai oleh seorang guru biasa
Yang dengan tulus ikhlasnya mengajar tulis baca!

Sahabatmu,
Jue

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com