Saturday, May 3, 2008
Haiku: Anda Dari Jepang?
Dulu, sewaktu zaman awal remaja (kerana sekarang usiaku sudah menginjak permulaan alam dewasa), aku gemar menonton drama-drama bersiri Jepun. Dan, antara para pelakonnya yang masih segar di ingatanku adalah seperti Yutaka Takenouchi, Takuya Kimura, Takako Matsu, dan beberapa yang lain. Lucu juga mengenangkannya. Lain daripada itu, aku gemar meniru lukisan kartun-kartun Jepun bermata bulat dan cantik-cantik, seperti Sailormoon, Card Captor Sakura dan kartun-kartun lain. Dan, minatku sememangnya dapat dirumuskan sebagai ‘3 M’-Membaca, Menulis dan Melukis (bukan mengira, kerana aku sangat lemah dalam aspek itu, hingga boleh terketar-ketar dan trauma). Jadi, janganlah ada sesiapa yang mengimpikan aku untuk membantunya membuat kira-kira, hatta kira-kira yang amat mudah pun, aku mula berpeluh dingin. Sungguh! Aku juga takkan mengajar adikku bab-bab mengira. Oh, minta dijauhkan aku dari makhluk yang bernama ‘Matematik’ itu...
Sebenarnya aku mahu mengaitkan ‘barang-barang import’ dari Jepun itu dengan istilah ini- ‘haiku.’ Haiku. Apakah ia? Adakah ia merupakan nama bagi sebuah tempat di Jepun? Atau nama seorang tokoh berasal dari Jepun? Sebenarnya, aku sendiri baru menemui maksud ‘haiku.’ Bukankah aku ini orangnya suka menyelidiki? Begini, sebelum aku menjelaskan mengenai ‘haiku,’ aku sebenarnya telah terjumpa istilah ini, juga dari laman web ‘Taj Mahal Kata.’ Dan, aku baru mendapat jawapan mengapa ia dinamakan sebagai ‘Taj Mahal Kata.’ Sebabnya:
“Kau pinta ku bina sebuah tajmahal daripada patah-patah kata.” Ini kata-kata si suami.
Jadi menurutku, ia dinamakan ‘Taj Mahal Kata’ kerana si suami itu telah membina sebuah Taj Mahal daripada patah-patah perkataan yang puitis dan romantis buat si isteri tercinta atas permintaan si isteri sendiri. Mm, nanti aku juga ingin meminta suamiku agar membina untukku Buih-buih Kata Bosphorus, kerana aku sukakan Lautan Bosphorus di Turki. Mungkin mustahil untukku sampai menjejak tepian buih Bosphorus, tetapi memadai buatku dengan hanya dapat menikmati Buih-buih Kata Bosphorus. (Berangan!)
Berbalik kepada ‘haiku.’ Penulis bernama Irwan Abu Bakar yang merupakan si suami menulis begini:
Rindu Isteri
Jumpa isteri
sejak pagi kurindu
alam bernyanyi.
(Tak habis-habis kan tentang luahan romantis mereka berdua? Tapi aku sangat suka membaca ungkapan-ungkapan puitis begitu. Ia mengajarku lenggang-lenggok gaya bahasa yang bernada pelbagai.) Sebenarnya tiga baris kata-kata di ataslah yang dinamakan ‘haiku.’ Namun, secara lebih tepatnya, ‘haiku’ ialah sejenis puisi Jepun yang ditulis dalam tiga baris dengan tujuh belas suku kata, dan selalunya membicarakan tentang alam semula jadi (Kamus Dewan). Dan, cuba kira suku kata di atas. Ya, memang cukup dan tepat-tepat tujuh belas suku kata.
Puas hatiku puas setelah mengetahui tentang ‘haiku’ pula. Dulu, kenal cerpen dahulu (kerana suka baca buku cerita dan menulis cerita kanak-kanak pada usia 10 tahun), kemudian mula mengenal pantun, dalam setahun yang lalu pula mengenali sajak, dan terbaru ialah sajen dan ‘haiku.’ Untuk mengenal ‘haiku’ rupa-rupanya tak perlu ke Jepang…
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Perhatian
Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com
No comments:
Post a Comment