Saturday, March 1, 2008

Belia sebagai 'Kesateria Putih'




Pilihan raya merupakan suatu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai bagi mewakili rakyat di Parlimen. Mekanisme inilah yang digunakan oleh Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi demi menegakkan keadilan sejagat. Masyarakat dunia bakal menyaksikan sekali lagi proses pendemokrasian kedua belas dijalankan di Malaysia, iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 nanti. Pada saat itulah kita dapat melihat sejauh mana kesedaran berpolitik dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu apabila mereka menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan membuang undi.

Sehingga April 2007 tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan bahawa seramai 4.9 juta penduduk yang layak belum mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 21 hingga 30 tahun. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman telah menggesa dan memperingatkan rakyat Malaysia, khususnya belia, supaya mendaftar sebagai pemilih selewat-lewatnya pada Ogos 2007 bagi mengelakkan risiko tidak boleh mengundi. Hal ini demikian, golongan belia lazimnya merupakan majoriti yang tidak keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya berlangsung. Namun, adakah kita peka dengan gesaan tersebut?

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Institut Pembangunan Belia Malaysia membuktikan bahawa generasi muda berumur 21 hingga 25 tahun adalah paling ramai belum mendaftar sebagai pemilih. Sekiranya telah mendaftar, ramai daripada mereka menyatakan tidak mengundi dalam pilihan raya yang lalu. Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan bahawa belia di kawasan luar bandar lebih tinggi kesedaran berpolitik berbanding dengan belia di bandar. Begitu juga belia yang mempunyai pendidikan pasca SPM lebih peka mengenai perkembangan politik berbanding yang mendapat pendidikan lebih rendah. Dari segi jantina pula, belia lelaki adalah lebih cenderung terhadap sosialisasi politik berbanding belia perempuan. Kesemua hasil kajian ini tidak lain dan tidak bukan menunjukkan betapa kurangnya kesedaran mengundi dalam kalangan belia Malaysia.

Malah, berdasarkan hasil pemerhatian di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kalangan mahasiswa mendapati wujudnya budaya ‘tidak pedulisme’ terhadap PRU yang akan berlangsung beberapa minggu sahaja lagi. Sesetengah mahasiswa memberi alasan tiada cuti yang diperuntukkan oleh pihak universiti, sedangkan tarikh pilihan raya kali ini jatuh pada hari cuti, iaitu hari Sabtu. Ada juga yang masih berbelah bahagi untuk pulang mengundi atau pun tidak, malah lebih mengecewakan apabila ada sebahagian mahasiswa yang langsung belum mendaftar sebagai pemilih, padahal umur mereka sudah melayakkan mereka untuk mengundi. Hal ini merupakan satu kerugian yang amat besar dan bakal memberikan dampak negatif kepada masa depan negara.

Seandainya golongan belia masih berpendirian berkecuali dalam PRU akan datang, maka fikir-fikirkanlah natijah yang bakal ditanggung. Antaranya ialah kestabilan politik negara akan terjejas kerana ramai daripada kita yang tidak mahu terlibat dalam sosialisasi politik. Di samping itu, sebagai sebuah negara demokrasi, perkara ini sangat membimbangkan lantaran golongan belia merupakan pelapis negara pada masa akan datang. Jika belia tidak peka dengan sosialisasi politik bermula dari sekarang, diragui proses pengurusan dan pentadbiran negara pada masa depan akan terjejas. Selain itu, negara berkemungkinan bakal melahirkan para pemimpin, penggubal undang-undang dan pembuat polisi yang hanya mementingkan ‘periuk nasi’ sendiri. Ini mungkin terjadi sekiranya belia masih bersikap tidak cakna dengan hal-hal yang berlaku dalam negara, dan sikap ini akan terbawa-bawa jika mereka memegang tampuk kepimpinan kelak.

Persoalan yang harus direnung selaku belia ialah: mampukah kita menjadi white knight (kesateria putih) dalam memperjuangkan masalah-masalah masyarakat dan bersikap pragmatik sekiranya deria peka kita masih ‘tuli’ terhadap tanggungjawab sebagai warganegara? Hal ini kerana kualiti aktivisme belia merupakan kayu ukur kepada harapan masa depan negara. Justeru, bersama-samalah kita mengorak langkah melakukan perubahan dengan turun mengundi pada PRU akan datang.

Dunia Memerhati (sempena Hari Valentine)



Dunia Memerhati
(Sempena Hari Valentine)

Di rekahan kelam malam
Kuntuman bebunga layu di laman
Diunggis kumbang-kumbang
Dicemar kotor
Haruman pudar
Lenyap.

Pesona kian sirna
Bersama gugurnya kelopak-kelopak
Rebahnya batang nan berduri
Gontai mencium tanah
Gersang, kontang
Tiada upaya menyuburkan.

Dunia memerhati
Meski kelam tidak bersuluh
Meski buta tidak bermata.

15 Februari 2008,
10.35 p.m.,
Perumahan Pantai Permai.

Friday, February 15, 2008

Di Permukiman Resah




Resah di dada
Nafas seolah tersekat
Bahang mentari
Tambah merimaskan.

Hati
Gundah entah mengapa
Tiada apa yang menyesak
Tiada beban yang memberat.

Duhai hati,
Bertenanglah!

4.25 p.m.,
15 Februari 2008,
APIUM.

Monday, February 11, 2008

Faizal Tahir, Oh Faizal Tahir!




Siapa tidak tahu isu Faizal Tahir membuka bajunya ketika sedang menyanyi di hadapan lebih 8,000 penonton, di atas pentas 8TV di Central Park Avenue, Bandar Utama pada 13 Januari lalu. Pelbagai polemik timbul berikutan aksinya yang dikatakan terlalu ‘excited’ sehingga bertindak sedemikian. Entahlah. Naik muak dan jelek pula mendengar isu ini tidak habis-habis diperkatakan. Sewaktu pertama kali mendengarnya, saya hanya merasakan perkara itu ‘tidaklah apa-apa sangat.’ Lainlah jika yang beraksi sedemikian merupakan artis perempuan. Hairan saya hairan, sementelah isu ini heboh diperkata dan diperbesar-besarkan ke seantero Malaysia.

Bukan saya tergolong dalam kalangan peminat Faizal Tahir, lalu terus ingin ‘membelanya’, dan bukan pula cuba mahu menegakkan benang yang basah. Sesekali tidak. Cuma terpanggil untuk merekomendasikan. Iyalah, tidak dinafikan bahawa Faizal Tahir merupakan ‘sekelumit’ daripada isu salah laku artis Malaysia. Walaupun hakikatnya pada saya, perkara itu terlalu kecil untuk dihebohkan, tetapi tetap merupakan satu perilaku salah dan tidak beradab selaku orang Timur yang kaya dengan adab sopan, malah orang Islam pula. Cuma, rasanya kurang wajar bagi kita hanya memfokus kepada isu sekecil semut itu, sedangkan isu-isu lain kita pinggirkan.

Apakah kita sengaja membutakan mata terhadap artis-artis wanita Malaysia yang terang nyata berpakaian umpama berbogel? Sebagai contoh, semasa Anugerah Juara Lagu 22 (AJL22), ramai artis wanita kita yang berpakaian, tetapi bertelanjang. Memang lazimnya, waktu-waktu seperti inilah yang ditunggu oleh mereka demi memperagakan pakaian yang eksklusif dan barang-barang perhiasan yang mencapai ribuan ringgit! Bukannya kita tidak tahu. Setiap tahun, pasti akan ada acara seumpama ini, dan setiap kali itulah artis-artis kita memperagakan pakaian yang mahal-mahal sambil ‘mempromosi’ tubuh. Ini yang harus dipersoal. Kenapa pula kita tidak terpanggil untuk ‘repot-repot’? Tidak pula mahu digam, didenda atau disekat royaltinya? Yalah, sudahkan mata kita seronok memandang, tentulah kita hanya mendiamkan. Tidak betulkah begitu? Faizal Tahir… Apalah sangat yang menyedapkan mata pada tubuh seorang lelaki? Setuju tidak?

Begitulah senario masyarakat Malaysia. Peka sungguh pada isu-isu remeh, sedangkan isu-isu besar diabaikan. Tentang Faizal Tahir, usahlah terlalu kecoh dengan isu tersebut. Lebih baik kita jaga dulu pakaian artis-artis wanita kita. Ini kerana, jika hendak dibandingkan, aurat lelaki hanya di antara pusat hingga lutut. Sedangkan aurat wanita ialah seluruh tubuh, kecuali muka dan tapak tangan. Cuba-cubalah kita fikirkan…..

Thursday, January 31, 2008

Pantun Sindir Mahasiswa

Membanting tulang berpayah letih
Peluh menitik di celah padi
Sudah daftar sebagai pemilih
Namun tak mahu membuang undi.

Enak digulai sayur kundur
Terlupa membeli rempah di kedai
Hanya tahu makan dan tidur
Tak kisah walau negara tergadai.

Kail dibeli di Kedai Ah Chap
Buat mengail si ikan jerung
‘Tak mengundilah, cuti sekejap’
Setiap minggu balik ke kampung!

Mak bidan ke rumah membawa barut
Bawa bersama minyak urut
Tak mahu mengundi kerana ‘takut’
Tersalah pilih kecut perut.

Duduk bersandar di pohon angsana
Hati mengidam nak punya kereta
Pening memikir hingga terlena
Uban melata garu kepala.

27 Januari 2008,
10.39 a.m.
Perumahan Pantai Permai.

Thursday, January 10, 2008

Cebisan Rasa 2

Letih. Semester pengajian sesi ini bakal menyaksikan kehidupanku yang bergulat lelah dan payah. Benar-benar aku merasa kepayahan yang akan mengiringi setiap langkah perjalananku kali ini. Entahlah. subjek-subjeknya agak berat. Hampir kesemuanya memerlukan komitmen yang tinggi, terutamanya ketika terpaksa keluar ke universiti luar membuat soal selidik dan juga merintis soalan-soalan di sekolah-sekolah. Menurut pensyarah, sekarang ini universiti lebih menekankan kemahiran insaniah. Lantaran itulah kami terpaksa bergelut dengan kepayahan. Namun aku tetap memandang positif, kerana hasilnya kelak adalah untuk manfaatku jua orang lain. Menyeronokkan, cuma agak meletihkan.

Aku juga rasa, kemungkinan aku tidak pulang ke kampung semester ini adalah tinggi. Terpaksa. Banyak tugasan yang perlu disiapkan dalam kadar segera.

Moga-moga aku diberi kekuatan menempuh denai berliku ini...

Friday, December 7, 2007

Tertutuplah Pintu- Bahasa~ Jalaluddin Rumi

Ada kucupan yang sungguh kami ingini
pada sepanjang hidup kami,
sentuhan sang Jiwa pada tubuh kami.

Air laut memohon mutiara
agar memecahkan cengkerangnya.

Dan bunga Lili, sepenuh nafsu
menunggu Kekasih yang liar!

Ketika malam, kubuka jendela
kupinta bulan datang bertandang
dan membenamkan wajahnya pada wajahku.
bernafas ke dalam diriku.

Menutup pintu-bahasa
Membuka jendela-cinta.

Bulan yang tak memerlukan pintu
ia hanya rindu jendela yang terbuka.

~ Jalaluddin Rumi


Sumber: http://penyair.wordpress.com/2007/12/06/tertutuplah-pintu-bahasa-jalaluddin-rumi/

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com