Showing posts with label Diari Ungu. Show all posts
Showing posts with label Diari Ungu. Show all posts

Sunday, July 11, 2010

Diari Terakhir


Kukongsikan cebisan diari terakhirku di SMK Segambut Jaya atas permintaan pelajar-pelajar...


10 Julai 2010,

Sabtu,

1.49 petang.


Hari ini Hari Keluarga di SMK Segambut Jaya, tapi aku berada di Kedah. Bukit Tangga. Baru tiba semalam. Sangat merindui pelajar-pelajarku!


Aku sudah suruh Mardhiah sampaikan salamku buat mereka.


Selepas perhimpunan pagi kelmarin, aku naik ke bilik guru. Tidak lama kemudian, Omar Qayyum, Ketua Tingkatan 2A1 datang menemuiku. Dia mahu beli 2 buah bukuku bagi pihak kawan-kawannya dari 2A4 jika tidak salah. Mereka juga mahu autografku dan alamat untuk dihubungi.


Setelah Omar pergi, 2 orang pelajar 3 Cekal, iaitu Noorashikin dan Fatin Nur Wahida datang pula. Noorashikin memberiku surat dan meminta aku membalasnya hari itu juga, tapi aku tidak sempat untuk berbuat demikian.


Aku dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu, sebab waktu itu aku ada kelas di 2A1. Jam 7.30-8.45 pagi. 2 masa. Aku pun meminta izin berlalu.


Ketika hampir sampai di 2A1, Nashrul Mursyed yang dari bilik guru lagi berjalan seringan denganku (seperti mahu mengawasi aku), tiba-tiba berkata dengan air muka sedikit risau, “Ustazah, ustazah tunggu sini kejap boleh?”


“Kenapa?” soalku.


“Err, ustazah tunggulah kejap,” balasnya tanpa menjawab soalanku.


Aku terasa seperti mereka ada suatu rancangan, kerana mereka kelihatan pelik. Aku pun bersetuju menunggu berhampiran dengan tempat duduk yang menghadap ke gelanggang sukan.


Tidak lama kemudian, Nashrul datang semula, lalu menjemputku masuk ke kelas mereka. Pintu kelas mereka bertutup, dan di tingkap yang sedikit ‘rompong’, seorang pelajar bergayut di situ, seolah-olah sebagai ‘cermin tingkap’. Lucu pun ada. Serasaku Farhan.


Tiba-tiba pintu dibuka dari dalam. Syahir yang tinggi lampai sedang memegang sebiji kek sambil rakan-rakannya menyanyikan lagu “Allah selamatkan kamu…”. Fahmi menangkap gambarku yang sedang masuk. Aku diminta meniup lilin yang terpacak di atas kek itu.


Suasana di dalam kelas itu gelap. Sebaik lilin ditiup, barulah mereka membuka lampu. Terharunya!


Pada mulanya, mereka hanya mahu aku menikmati kek itu bersama kawan-kawanku, tetapi aku enggan. Aku mahu mereka juga merasa kek itu bersama-samaku. Akhirnya Syahir (dia yang bersusah payah membeli kek itu dengan bantuan ayahnya malam sebelumnya) bersetuju. Aku pun memotong kek, lalu kami makan bersama-sama. Seorang sedikit.


Mereka juga memberikan sekotak hadiah yang besar kepadaku, dan dikepil bersama sekeping kad daripada mereka. Kad itu mengandungi tandatangan dan kata-kata ucapan kesemua mereka. Sungguh bermakna bagiku.


Ada lagi kek Secret Recipe untukku. Tetapi hanya untukku seorang, pesan mereka. Tidak tahu berapa banyak duit mereka habis.


Tidak cukup dengan itu, Zulhilmi mendeklamasikan 2 buah sajak untukku. Dibacakan di hadapanku. Aku sudah mula dihurung keharuan, tapi kutahan-tahan.


Akhir sekali, aku merakam gambar dan ucapan kesemua mereka, sebagai tanda kenangan untukku. Ketika aku keluar dari kelas, mereka menangkap gambarku. Dan Syahir tolong membawakan hadiah yang besar itu ke bilik guru.


Ini hal tingkatan 4A1 pula.


Aku di kantin, sedang makan dengan dibelanja oleh Puan Mabel Ires Fernandez. Sebaik loceng berbunyi jam 9.55, aku jadi gelabah dan gemuruh lain macam. Hari ini hari terakhir pertemuanku dengan pelajar-pelajarku itu.


Aku masuk ke kelas seperti biasa. Membawa buku teks Pendidikan Syariah Islamiah, tetapi bukanlah berniat mahu mengajar. Sebelum itu, aku ternampak Nasrullah dan Ibrahim turun ke bawah. Tidak tahu mereka ke mana.


Di dalam kelas, pelajar tidak penuh. Aku pun bertanya, adakah kawan-kawan mereka itu sibuk?


“Ha’ah!” jawab mereka.


Aku merasa sedikit tidak gembira. Yalah, hari terakhirku, jadi aku mahu menghabiskan masa bersama-sama mereka, berkongsi sesuatu dengan mereka.


Aku pun menyuakan kameraku kepada Akma, dan menyuruh dia dan rakan-rakannya melihat video mereka yang Mukhlis rakam Rabu lalu sewaktu jamuan. Mereka pun berkumpul beramai-ramai di meja Khairi.


Tiba-tiba Ibrahim dan Mukhlis datang dari luar. “Assalamualaikum…” Ibrahim bersuara kuat. Dari jauh, aku sudah dapat mengecam dia, walaupun rupanya dengan Ismail itu serupa. Sikap merekalah yang membezakan.


Mukhlis masuk sambil tersenyum simpul kepadaku.


“Ustazah, Explorace Bahasa Arab hari tu, kumpulan saya dapat no. 1 ke?” soal Ibrahim.


“Ha’ah, kumpulan Ibrahim no. 1.”


“Ha, betullah. Hari tu diorang tipu, kata kitorang dapat nombor last,” ceritanya.


“Memang diorang banyak tipu pun hari tu…” Aku tergelak. “No. 1 4A1, no. 2 4A2, no. 3 4A3 dan no. 4 4A1.”


Azim memanggilku, dan menunjukkan ayat yang aku tulis di dalam Tawajuh Cinta. Buku Ismail yang aku hadiahkan kepadanya sempena mendapat markah tertinggi PSI. Dia bertanya kepadaku, bagaimana aku boleh menulis. Aku katakan kepadanya yang aku minat menulis sedari kecil. Dia juga memuji-muji ayatku.


Sewaktu menjawab soalan Azim berkenaan bentuk cincin belah rotan dan bila digunakan, Ibrahim (ingat-ingat lupa) mendekatiku.


“Ustazah, kitorang kena turun ke dewan terbuka sekarang jugak,” beritahunya.


Aku tiba-tiba berasa sedih, kerana menyangka tidak akan dapat untuk bersama-sama mereka.


“Ustazah pun kena turun sekali,” tambahnya lagi. Aku mula rasa pelik.


“Eh, kenapa pulak ustazah nak kena turun sekali? Ustazah tak terlibat apa-apa,” balasku.


“Diorang suruh turun,” balasnya.


Tiba-tiba Ismail datang kepadaku, lalu meminta aku menandatangi buku yang aku hadiahkan kepadanya itu. Dia minta aku tandatangan pada gambarku di muka surat akhir buku itu. Aku tandatangan di situ, juga menulis sesuatu di halaman pertama buku itu. Semua mereka berkumpul mengerumuniku ketika itu.


Kemudian, kesemua mereka beratur panjang di koridor hadapan kelas dan menantiku. Aku jadi segan, seperti hendak mengiring puteri raja. Mereka mempersilakan aku untuk berjalan dahulu, tapi aku menyuruh seseorang menjadi ketua di hadapan. Ibrahim dan Hazwan pun sukarela berjalan di hadapanku.


Kami semua menuju ke dewan terbuka. Di belakang dewan itu, ada pondok rehat atau wakaf. Dari jauh, sudah terlihat ketua tingkatan mereka, Nasrullah bersama beberapa yang lain. Juga kelihatan makanan dihidangkan di atas meja di situ.


Aku sudah mengagak yang mereka akan adakan jamuan.


Kami semua duduk di bangku simen di situ, dan kemudian Hazwan bangun mempengerusikan majlis.


“Kami sangat mengharapkan agar ustazah dapat hadir ke Hari Keluarga esok,” katanya.


Aku tidak mampu berkata apa-apa, kerana ketika itu, abang, emak dan ayah sudah pun tiba di KL.


Kemudian, Nasrullah berucap mewakili kawan-kawannya. Dia meminta maaf sekiranya dia dan kawan-kawan ada berbuat salah atau bersikap nakal.


Ustazah Azmini pula, guru tingkatan mereka, tiba-tiba datang. Barulah aku tahu yang mereka berpakat dengan Ustazah Azmini untuk mengadakan jamuan untukku. Ustazah Azminilah yang banyak membantu menjayakan jamuan itu. Dialah yang tolong membelikan kek, membuat cendawan goreng, menggoreng cucur yang rasanya seperti nugget ayam, agar-agar laici dan air sirap.


Aku kemudiannya diminta berucap.


Aku mengatakan bahawa aku sangat terkilan dengan kelas mereka. “Dalam banyak-banyak kelas yang ustazah masuk, kelas inilah yang ustazah paling terkilan. Tahu sebab apa? Sebabnya… Ibrahim tulah selalu tak dengar cakap ustazah,” gurauku.


“Ha, Baem…” usik kawan-kawannya.


“Ha, mana Ibrahim ni?” kata Ustazah Azmini pula.


Aku tergelak. “Tak adalah… ustazah sebenarnya terkilan sebab masa dengan kamu sangat terhad. Kalau hari Isnin, waktu perhimpunan ambil banyak sangat masa ustazah, jadi ustazah rasa sangat sekejap dapat bersama kamu, tak tahulah kamu macam mana kan… Pasal kenakalan, biasalah. Ustazah pun ada adik, memang sebaya kamu. Kenakalan kamu samalah juga macam kenakalan dia. Nakal ni perlu ada juga, barulah ceria, kan? Standardlah…”


Mereka ketawa mendengar aku berkata ‘standard’.


Setelah itu, mereka meminta Ustazah Azmini menyampaikan cenderamata buatku daripada kelas mereka. Istimewa hadiah itu; tudung labuh. Macam tahu-tahu.


Kemudian, aku dijemput memotong kek. Kek coklat (patutlah Hafiz bertanyaku tentang perisa yang aku sukai Rabu lalu, dan dia meminta maaf kerana tiada kek keju). Mereka menyanyikan lagu perpisahan pengakap, ‘Bertemu dan Berpisah’:


‘Bertemu dan berpisah adat manusia biasa,

hilang di mata tapi di hati tidak lupa,

berdoalah kita agar aman dan sentosa,

moga panjang umur kita akan jumpa lagi…”


(sedih sangat dengar nyanyian mereka). Tapi kedengaran sayu di hatiku.


Kami menjamu selera bersama-sama.


Aku berbual-bual dengan ustazah. Aku bertanya perihal Ibrahim dan Ismail; adakah mereka boleh membaca al-Quran? Ustazah yang mengajar mereka PQS, mengatakan bahawa mereka berdua, juga adik mereka, Akmal di tingkatan 2, memang pandai membaca al-Quran. Malah Ibrahim dan Ismail itu pandai berzanji. Pernah memenangi anugerah sebagai rawi terbaik (jika aku tidak salah pendengaran).


Aku melihat Ibrahim yang kecil itu makan begitu berselera. Pinggan polisterinnya penuh.

Aku tersenyum.


Ketika aku bertanya mereka; sudah ada cita-cita dan impian selepas SPMkah? Ada yang menjawab ada, dan ada yang diam. Mukhlis mahu ke USIM, Azim mahu menyambung medik. Nasrullah pula tiba-tiba datang dan duduk berhampiranku, bertanya bagaimana mahu menyambung pengajian ke Timur Tengah, mengambil Usuluddin? Aku pun menjelaskan kepadanya; perlu ambil STAM. Mungkin sebagai calon persendirian. Dia tidak terlalu berminat menyambung pengajian di dalam negara. Ya, melihatnya, aku sudah tahu dia punya cita-cita besar dan mulia.


Kami bergambar bersama-sama, dan bersurai.


Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka, dan kami bersurai setelah bergambar.


Mereka kini aku tinggalkan…



Wednesday, September 16, 2009

Berbuka Puasa di Rumah PENA

15 September 2009,

Kak Ila telefon. Empat kali, tapi tidak sempat dijawab kerana aku mengambil wuduk. Lantas aku kembali mendail nombornya. Katanya, dia sudah hampir sampai. Aku mula kelam-kabut, cepat-cepat bersiap dan bersolat Asar. Kak Ila telefon lagi. Bertanya; sudah siap? “Ya, kak. Sudah.” Dia menungguku di taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahanku. Aku gesit menuruni tangga, mencari-cari kelibatnya. Itu dia, ayu dengan baju kurung hijaunya.

Kami berjalan kaki ke bazar Ramadan berdekatan. Kak Ila mahu beli kuih. Dengan anggaran untuk 25 orang. Dia meminta 15 biji karipap dan 15 biji popia goreng. Jumlah keseluruhan RM 12. Kami terus bergerak ke Rumah PENA dengan Proton Saga ungunya. Aku tahu betul hati seorang kakak seperti Kak Ila ini. Kataku: ‘Jalan sesak.’ Balasnya: ‘Akak rasa tak adalah sesak sangat pun di situ.’ Alasannya, mahu beli kuih di bazar. Terima kasih, kakak! Aku sangat terhutang budi padamu.

Jalan tidak terlalu sesak. Masih boleh meluncur laju. Kami tiba sebelum jam 5 petang, serasaku. Saudara Lutfi Ishak juga kebetulan tiba pada waktu yang sama. Sementara menanti Kak Ila bersolat di tingkat atas Rumah PENA yang masih lengang itu, aku membelek-belek majalah yang pelbagai di situ. Tiba-tiba kedengaran suara wanita memberi salam. Kak Wan Zaida!

“Mujur Ju datang. Lega Kak Wan,” katanya, sambil mengusap pipiku.

D’rimba datang, diikuti Ustaz Azman (Ibnu Ahmad al-Kurauwi). Pertama kali bertemu Ustaz Azman di Rumah PENA. Tapi termasuk kali ini, sudah 3 kali kami bertemu. Di Kota Bharu, Ayer Keroh dan di sini (Kuala Lumpur). Setelah itu, datang pula seorang lelaki yang agak berusia, tersenyum memandang kami. Rupa-rupanya, dia ialah Malim Ghozali Pk. Penulis kecintaanku jua. Aduh, novel Redangnya itu membuatkan aku betul-betul tenggelam dalam sampan papannya! Sungguh-sungguh seperti berada di Pos Dala. Terasa-rasa belitan ular sawa!

Bunga tiga kuntum, dikelilingi oleh kumbang berbelas-belas. Patutlah Kak Wan beriya sangat suruh datang. Antara yang hadir ialah Rahimidin Zahari, S.M. Zakir, Nazmi Yaakub, Hasmora Masnuri (Hasbullah), Datuk Baha Zain, dan beberapa orang yang lain tidak kukenali (mungkin sekadar mengenal nama). Keseluruhan yang datang tidak mencapai angka 25 pun, jika aku tidak salah. Sekitar 20 orang sahaja.


Bersiap-siap untuk berbuka puasa, sebaik usai sebuah perbincangan. Bacaan doa oleh Ustaz Azman, dan kami terus menikmati juadah berbuka. Ada pelbagai makanan yang terdiri daripada nasi dan lauk-pauk berserta ulam-ulaman, buah-buahan, juga kuih-muih yang dibawa sendiri oleh mereka yang hadir. Aku hanya makan nasi, dan sedikit kuih tahi minyak (atau kole kacang – panggilan di Utara). Kenyang dan sendat kantung perut!


Baik. Mahu solat Maghrib. Tiba-tiba… Aduh! Sekali lagi kejadian ‘pelik’ menimpaku. Masakan tidak, terpaksa menjadi spider woman. Lucu sangat bila memikirkannya. Tak mahu cerita lebih lanjut. Tutup buku.

Asalnya bercadang mahu solat terawih bersama-sama, sekalipun tinggal aku dengan Kak Ila sahaja mewakili sang bunga. Tetapi, disebabkan kejadian pelik yang menimpaku itu, sehingga sedikit luka tapak tangan ini, maka kami terus pulang sebaik usai solat Maghrib. Tinggallah kumbang-kumbang sahaja di situ.

Di dalam kereta, kami ketawa kelucuan. Dan gelakku masih bersisa sebaik aku tiba di kamar.

Friday, September 11, 2009

Diari Ramadan Gadis Ungu


10 September 2009,

Sebaik usai kelas tutorial jam 5 petang, aku dan teman baikku menghala ke surau. Bersantai-santai dan berehat seketika sementara menanti waktu berbuka. Iftar jama’ie bersama-sama rakan Muslimat Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI), major Pengajian Islam (PI). Mungkin buat kali terakhir, lantaran Ramadan tahun hadapan, kami akan memandu layar haluan sendiri-sendiri.


Jam 6.30 petang, kami semua yang berada di surau bersiap-siap untuk ke Blok C (Akademi Pengajian Islam). Makanan yang telah ditempah baru tiba dengan sebuah kereta milik keluarga rakan sekursusku (kerana makanan ditempah dengan catering milik keluarganya). Sambil tolong mengangkat makanan, kami memasuki bangunan Blok C. Rakan-rakan sudah ramai. Sekitar 20 lebih, atau mungkin menghampiri angka 30. Riang rasa hati dalam suasana begini. Pasti akan menjadi satu memori indah yang akan sering kurindui kelak.

Tikar dibentang, dan kami bersila di atasnya. Menjadi bulatan lonjong. Mendengar tazkirah ringkas yang juga disampaikan oleh rakan sekursus, mengenai Lailatul Qadar. Isinya, carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil di sepuluh terakhir Ramadan. Dan untuk mencari malam al-Qadar itu, kita juga harus berusaha dengan berdoa.

Sambil menadah telinga, makanan diedarkan. Masing-masing mendapat satu plastik rona merah jambu berisi dua polisterin besar dan kecil yang mengandungi kuih-muih dan nasi… nasi apa ya? Tomato? Ya, serasaku nasi tomato. Kecur liur meskipun hanya melihat plastik luarnya sahaja. Ada teman yang rajin menjual kerepek sempena hari lebaran turut menyumbang kerepek untuk dirasa, sambil mempromosi lagi kerepeknya. Ada juga buah limau sebagai pencuci mulut (Wah, berbuka juga ada pencuci mulut!)

Waktu berbuka hampir tiba. Kurma diedarkan. Minuman oren juga. Ada yang sempat bercanda, bertanya; ada sesiapa lagi yang mahu kahwin? Dan gelak tawa berderai. Usik-mengusik, cucuk-mencucuk dan geletek-menggeletek. Aduhai, indahnya saat ini!

Menyedari waktu berbuka telah sedikit terlajak, maka lekas-lekas kami menggesa supaya dibacakan doa. Amin… dan kami berbuka bersama-sama. Ada seorang, dua yang tidak menyertai, leka merakam gambar, katanya; ABC. Aku terpinga-pinga. Apakah itu ABC? Jawab seorang teman: Allah Bagi Cuti! Aku tertawa lucu.

Sambil makan, sambil bergambar. Kenangan yang sukar untuk diulang semula setelah masing-masing membawa diri. Semester hadapan juga tidak menjanjikan kami untuk kerap bersua begini, memandangkan jam kredit hanya berbaki sedikit. Aku sendiri akan melengkapkan baki 9 jam kredit atau 3 subjek sahaja.

Sedar tidak sedar, aku kian hampir meninggalkan universiti tercinta ini. Juga meninggalkan episod suka duka bersama teman-teman di segenap sudut dan ruang Universiti Malaya, khasnya Akademi Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan.

Akan berpeluangkah aku untuk menjejakkan kaki ke universiti ini lagi, dengan ‘status’ yang lain?


Thursday, September 10, 2009

secebis Diari Pagi

10 September 2009,

Sudah lama tidak menulis di sini. Tumpuan lebih banyak mengarah kepada longgokan tugasan yang tidak akan bernoktah selagi mana kuliah tidak berakhir. Letih, kusut, serabut dan kecamuk di hati sering sangat meraja dalam diri. Semakin hari menginjak menuju lebaran, semakin aku berhati kecut. Libang-libu.

Hakikatnya, agak banyak waktu yang aku peruntukkan untuk berkarya pada semester ini, di Kuala Lumpur (kerana aku jarang dapat menghasilkan karya dalam resah kecamuk Kuala Lumpur). Aku tidak peduli sama ada karya itu tersiar di media apa tidak, asalkan aku tetap terus menulis. Mengasah mata pena biar lebih tajam. Kelak, akan lebih lancar berkarya. Tetapi entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, aku kian menjadi pelupa. Asyik menulis sehingga lupakan tugasan yang perlu dihantar – sekalipun tugasan ringkas. Mujur aku punyai teman yang baik. Terpaksalah aku menjadi ‘budak jahat’. Aduhai…!

Lebaran kian hampir. Kad raya belum sempat kubeli. Terkilan. Seringnya dahulu, tatkala masuk sahaja bulan puasa, aku sudah mengepos kad raya buat ayahanda dan bonda di kampung, juga buat teman-teman, terutamanya dengan teman yang semakin bertambah, aku jadi teruja mahu kirim tanda ingatan. Malang, kesempatan itu tidak ada pada kali ini. Rindu untuk melorek kata-kata di atas kad raya yang putih bersih. Ah, rindu! Kad raya elektronik bukankah ada? Ah, aku inikan penggemar tradisi dahulu kala. Bagiku, sesuatu yang tidak dapat disentuh, dipegang dan dibelek-belek itu, kurang menimbulkan rasa. Tiada usaha yang terpamer di situ.

Sudah. Tidak mahu mengoceh seorang diri. Pamit.



Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com