Usai menonton Laskar Pelangi, filem bermutu penuh makna hidup made in Indonesia. Sekolah daif dengan pelajar seramai 10 orang (yang akhirnya menjadi 11 orang).
Serasa-rasa aku persis terbang ke alam persekolahan lalu. Ya, aku sendiri pernah mengalami situasi yang sama seperti anak-anak dalam Laskar Pelangi. Sehingga sekarang, masih jelas di ingatanku jumlah murid-murid sekelasku pada tahun 1998. Ketika itu aku di Tahun 6. Jumlah kami 10 orang- 4 lelaki dan 6 perempuan.
Persekitaran sekolahku kurang lebih seperti sekolah agama dalam filem tersebut, cuma bangunan sekolahku (jika boleh dikira bangunan) lebih baik. Bangunannya batu bercampur papan, bukan semata-mata papan seperti sebuah 'kandang kambing' (bukan bertujuan menghina) dalam Laskar Pelangi. Tetapi bayangkanlah. Laskar pelangi itu mungkin boleh diterima kerana latar masanya sekitar tahun 1970-an, tetapi dalam tahun 1990-an pun, sekolahku- sebuah sekolah rendah agama swasta tidak pernah merasa untuk belajar di atas kerusi dan meja seperti kebanyakan murid sekolah kebangsaan. Aku dan teman-teman hanya merasa duduk di atas lantai dengan sebuah meja kecil bertulis nama kami masing-masing. Meja kayu berupa bangku.
Lagu Negaraku tidak pernah dinyanyikan ketika perhimpunan. Yang kami tahu-lagu Panji Islam. Malah, sehingga masuk ke sekolah menengah jua, maaflah, aku tak pernah tahu lagu Negeri kedah (sehingga sekarang).
Serupa Laskar Pelangi, murid-murid sekolah kami akan hanya dapat mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah lain. Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang. Di situlah tempat aku berjuang menggunakan pensil dan kertas.
Juga seperti Laskar Pelangi, masyarakat sekeliling kurang yakin dengan potensi sekolah kami. Aku dan teman-teman hanya menyaksikan kawan-kawan yang semakin berkurang lantaran berpindah ke sekolah kebangsaan. Aku ketika itu punya semangat mahu berjaya. Aku sudah pandai berfikir-aku pasti akan membuktikan pelajar sekolah agama boleh berjaya!
Aku marah andai sekolah daifku dihina. Aku melenting. Aku geram bila mana orang-orang yang berstatus 'ustaz' sendiri tidak pernah yakin untuk menghantar anak-anak ke situ. Tidak bersedia menerapkan ilmu-ilmu al-Quran, hadith, sirah dan fikah di situ. Mereka lebih rela mendaftar anak-anak mereka di sekolah kebangsaan. Sehingga hari ini aku melihat perangai-perangai 'ustaz' banyak yang begitu. Majoriti murid-murid di sekolah kami hanyalah anak penoreh getah, pesawah, peniaga, dan aku anak guru bahasa Inggeris.
Enam tahun setia di sekolah penuh daif, aku mungkin sedikit lemah dalam subjek akademik. Tetapi aku senang sekali dan terasa 'ringan' melayang-layang bila belajar subjek-subjek agama di sekolah menengah, kerana kebanyakan yang diajar sudah aku pelajari di sekolah rendah. Aku sudah biasa menghafal al-Quran, hadith, sirah, fikah, khat dan seumpamanya. Aku tersenyum sahaja kala kawan-kawanku didenda ustaz dan ustazah kerana tidak dapat menghafal dengan baik. Dalam hati, aku bersyukur kerana aku sudah diberi pendedahan awal tentang itu di sekolah rendah.
Persis Laskar pelangi juga, ketika di sekolah menengah, aku pernah hadapi saat-saat perpindahan guru-guruku ke sekolah rendah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan. Aku sering berfikir waktu itu; kenapa nasib sekolah agama seperti ini? Kenapa tidak ada yang mahu membelanya? Bertakunglah air mata seorang aku lantaran menghitung peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya berbaki 2, 3 bulan, sedang kami 'ditinggalkan.'
Mujurlah aku tidak patah semangat. Langsung! Alhamdulillah, bukan aku sahaja rupa-rupanya, tetapi teman-teman lain juga.
Akhirnya.... keputusan peperiksaan pada tahun itu menggemparkan satu daerah, hatta para Yang Berhormat (YB). Mereka sendiri datang ke sekolah memberikan pelbagai 'anugerah'.
Kini, aku mendapat tahu, daripada seramai 10 orang murid-murid sekelasku pada Tahun 6 dahulu, hanya 3 orang berjaya ke menara gading. Alhamdulillah, lebih baik daripada Laskar Pelangi yang hanya seorang.
Sekolah agama; benarkah tiada masa depan, atau kita sendiri yang tiada yakin?
5 comments:
Salam, kak.
Bil nak publish novel?
Ana tunggu karya akak di pasaran, kedai-kedai buku ya...
Terima kasih atas tunjuk ajar selama ini.
Aizat: Novel? Hmm... Kalau novel, akak belum buat. Tapi perancangan ke situ memang ada. Insya-Allah, nak juga terbit.
Nanti kalau karya akak dah kat pasaran, tak payah beli kat kedai bukulah. Beli kat akak. Insya-Allah ada harga istimewa untuk Aizat ;-)
aliran agama sepatutnya utk orang yg tbaik dikalangan yang ada bukan sebagai pilihan terakhir seperti apa yg dlakukan ramai org kita pd masa ini. yang tbaik dhantar mjadi doktor dan sebagainya manakala yg kurang dihantar bljr agama.
bukan saya yang kata.
seorang ustaz yg dikenali ramai yg bkomentar begitu
sar tidak mjadi phatian kerana yang di atas pun tidak mpedulikan. mudah difahami sentimen masyarakat pula bagaimana
Dr. Rostam: Hmm, memang itulah yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini. Ini disebabkan sekolah agama dipandang sebagai tidak mampu pergi lebih jauh. Sebenarnya tidak begitu. Apabila pemimpin masyarakat sendiri yang sering memomokkan 'sekolah agama (khususnya SAR) hanya melahirkan golongan pemberontak, pengganas' di samping menganaktirikan dan tidak memberi pembelaan sewajarnya seperti mana pembelaan mereka terhadap sekolah-sekolah kristian, Cina dan Tamil, maka terpinggirlah sekolah agama, terpinggir.
Cuba lihat di Kelantan. Sekolah ma'ahad mereka mampu melahirkan golongan Islam profesional kerana apa?
Ya, pembelaan itu mestilah bermula dari akarnya-pemimpin.
Post a Comment