Kira-kira jam 3.30 petang, saya tiba di sekolah. Sekolah lama yang sudah bertahun tidak dijengah. Bukan melupakan, bahkan wajah dan nadinya sentiasa hidup dalam desah nafas dan darah saya. Cuma kerana malas dan malu tak bertempat, sering saya tidak ikut serta dalam perjumpaan-perjumpaan bekas pelajar yang diadakan, meskipun ketika tahun-tahun awal berada di alam kampus, saya selalu menziarahi guru-guru di sekolah. Hendak kata teruk atau ‘kacang lupakan kulit’ pun boleh juga. Terserah. Tetapi saya tahu hati saya.
Saya kirimi sebuah SMS. “Cikgu, saya dah sampai.”
“Tunggu. Cikgu masih di rumah.” Jawapan balas daripada cikgu yang selamanya akan di hati dan jiwa saya-Cikgu Sharifah Zainon! Sehingga bila-bila, saya akan tetap mengingatinya sebagai guru Bahasa Melayu yang pernah melorongi dan mendorong saya ke ‘jalan ini’.
Saya memerhatikan khemah-khemah yang didirikan di hadapan bangunan sekolah. Di penjuru kiri dan kanan bangunan terdapat penjaja-penjaja menjual makanan ringan, juga pakaian. Tetapi tidaklah ramai. Saya membandingkan keadaan itu dengan kondisi zaman persekolahan saya suatu waktu dulu– meriah dengan kunjungan orang ramai dan penjaja-penjaja yang setia menjual sehingga ke malam hari. Hari Ihtifal (perayaan ulang tahun sekolah) musim ini tidak serupa lagi dengan musim-musim yang telah berlalu. Sewaktu zaman saya masih comot dengan baju kurung putih dan berkain hijau, malah dengan cermin mata pula (betul-betul seperti ulat buku), saya merasakan itulah di antara zaman-zaman kegemilangan sekolah, sama ada dari aspek pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, malah akhlak juga. Tidak seperti sekarang. Inilah realiti yang harus saya terima.
Cikgu belum datang. Suasana lengang. Saya kematian punca. Khemah-khemah hanya dihuni oleh kerusi-kerusi kosong. Saya ke bilik guru, sengaja mahu melihat kalau-kalau ada guru yang masih belum pulang. Tiada. Saya mengambil keputusan untuk menemani kerusi-kerusi kosong di bawah khemah. Memerhatikan pentas yang dibina khas untuk majlis penutup ihtifal dan anugerah pelajar cemerlang, saya kembali menyulam kenangan di kanvas memori. Suatu waktu dulu, saya juga pernah beberapa kali menaiki pentas itu sambil diperhatikan oleh emak dan ayah. Malah, pernah sekali bersama-sama emak mengambil hadiah. Indahnya kenangan!
Di pentas seperti itu jugalah dahulunya berlaku pelbagai peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Mengambil hadiah daripada tangan ‘seseorang’ (kerana ketika itu saya tidak tahu bahawa saya dapat tempat ketiga kategori terjemahan bahasa Arab. Kemudian terpaksa berlari-lari anak ke pentas) sambil direnung cemburu oleh ‘seseorang’. Sungguh lucu!
Saya teringat pula kepada teman-teman sekelas ketika itu. Antara yang memberi kesan besar dalam hidup saya ialah Rosmariati, Norshuhadah, Norliza, Siti Zaleha, Basiroh, Nurul Shahida, Suriani, Aniza, Sopiah dan teman-teman perempuan lain (sengaja menyebutkan) seperti Rashida, Suryati, Solehah, dan ramai lagi. Teman-teman sekelas lelaki pula amat ‘takut’ mahu menyapa saya, apatah lagi mahu rapat. Namun, yang turut mempengaruhi hidup saya ketika itu (dengan berkata jujur) ialah jejaka berwajah ala-ala Cina (Chinese look), iaitu Jamaludin, Safuan Fatih, Yusri, Shahril, Afwan dan Hafiz. Tetapi sekarang, yang mungkin baik (meskipun jarang sekali berhubung) dengan saya ialah Yusri sahaja. Apa cerita kalian selain daripada Wan Rahim yang baru bergelar ‘suami’?
Kenangan saya terhempas ke lantai hakikat.
“Cikgu sudah sampai. Datanglah ke pejabat!” Saya membaca SMS yang cikgu kirimkan. Ketika itu, saya sedang rancak berbual dengan seorang adik lelaki, bekas pelajar sekolah itu juga. Kami bubar.
Berjalanlah seorang saya ke pejabat sekolah. Melihat ada sepasang kasut. Menjenguk ke dalam, tiada sesiapa. Salam saya hulurkan. Ada sahutan kecil dari dalam bilik Penolong Kanan. Dan tiba-tiba, cikgu keluar dari bilik itu. Senyuman manis terpamer.
“Cikgu!”
Kami bersalaman dan berpelukan. Pertemuan ini sememangnya kami rancang, tetapi tidak akan terjadi juga tanpa keizinan daripada-Nya. Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah lebih hebat!
Mulailah kami berbual panjang. Menyentuh seputar sekolah, rakan-rakan lama, guru-guru, pencapaian sekolah, masalah sekolah, sastera– novel picisan, novel popular, novel berbudaya tinggi, puisi dan sebagainya, sehingga tidak sedar jam hampir ke pukul 5 petang. Emak kirimi SMS, bertanya; Sudah selesai?
Telefon bimbit bernyanyi nyaring. Ayah menelefon. “Sudah siap?” Dan saya mengiyakan. ‘Anak ini’, entah sampai bila mahu berkepit di bawah ketiak emak dan ayah?
Cikgu mengajak saya keluar melihat gerai-gerai jualan di hadapan sekolah sementara menanti ketibaan ayah.
“Ju minum air ais?” Soal cikgu.
“Minum! Saya bukan nak deklamasi puisi. Hehe.” Dan kami ketawa bersama.
Cikgu belanja saya minum. Air lengkong. Itu bahasa di sini. Jika bahasa standard– air bandung cincau, mungkin. Dan kami menikmati air sambil mengopek kulit kacang rebus di bawah khemah. Tidak lama kemudian, ayah tiba.
Saya dan cikgu berpelukan, dan kemudian kami berpisah. Entah bila akan saya jejak lagi ke sekolah ini? Sedikit terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan guru-guru saya yang lain– Ustaz Rejab, Ustazah Ramlah, Cikgu Ali, dan..... Saya sendiri tidak tahu apakah guru-guru yang pernah mencurah ilmu kepada saya suatu ketika dulu masih mengajar di situ. Cuma, jasa mereka akan saya kenang selagi jantung ini masih berdetak!
No comments:
Post a Comment