Tuesday, August 3, 2010

Tinta Pagi


Semalam sudah bubar. Hari ini menyapa dengan wajah baru. Sewaktu burung-burung bertenggek di ranting pepohon dan mendendang alunan zikir, kala daun-daun yang segar hijau terlentok-liuk dipuput angin sambil bertasbih perlahan, saya masih dipagut rindu yang padu. Tak pernah mahu berlalu.

Satu suara seolah-olah bergaung dalam kepala, meresap ke dada, "Sekali kita dipanggil 'guru', maka selamanya kita akan bergelar 'guru'..." Ya, itu suara seorang 'guru'. Suara itu makin bergema. Kali ini bagai terdengar-dengar di luar diri. "Tidak ada orang yang mengatakan, 'Itu bekas guru saya... atau 'itu bekas murid saya...' Sekali kita menjadi guru, sehingga mati kita tetap guru, dan mereka yang diberi pengajaran itu adalah murid. Tidak ada istilah 'bekas' dalam hakikat sebenarnya."

Angin sejuk berpuput lembut. Nyamannya sebuah pagi. Dan kerinduan saya kian subur. Bunga kasih turut merimbun.

Sunday, July 11, 2010

Diari Terakhir


Kukongsikan cebisan diari terakhirku di SMK Segambut Jaya atas permintaan pelajar-pelajar...


10 Julai 2010,

Sabtu,

1.49 petang.


Hari ini Hari Keluarga di SMK Segambut Jaya, tapi aku berada di Kedah. Bukit Tangga. Baru tiba semalam. Sangat merindui pelajar-pelajarku!


Aku sudah suruh Mardhiah sampaikan salamku buat mereka.


Selepas perhimpunan pagi kelmarin, aku naik ke bilik guru. Tidak lama kemudian, Omar Qayyum, Ketua Tingkatan 2A1 datang menemuiku. Dia mahu beli 2 buah bukuku bagi pihak kawan-kawannya dari 2A4 jika tidak salah. Mereka juga mahu autografku dan alamat untuk dihubungi.


Setelah Omar pergi, 2 orang pelajar 3 Cekal, iaitu Noorashikin dan Fatin Nur Wahida datang pula. Noorashikin memberiku surat dan meminta aku membalasnya hari itu juga, tapi aku tidak sempat untuk berbuat demikian.


Aku dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu, sebab waktu itu aku ada kelas di 2A1. Jam 7.30-8.45 pagi. 2 masa. Aku pun meminta izin berlalu.


Ketika hampir sampai di 2A1, Nashrul Mursyed yang dari bilik guru lagi berjalan seringan denganku (seperti mahu mengawasi aku), tiba-tiba berkata dengan air muka sedikit risau, “Ustazah, ustazah tunggu sini kejap boleh?”


“Kenapa?” soalku.


“Err, ustazah tunggulah kejap,” balasnya tanpa menjawab soalanku.


Aku terasa seperti mereka ada suatu rancangan, kerana mereka kelihatan pelik. Aku pun bersetuju menunggu berhampiran dengan tempat duduk yang menghadap ke gelanggang sukan.


Tidak lama kemudian, Nashrul datang semula, lalu menjemputku masuk ke kelas mereka. Pintu kelas mereka bertutup, dan di tingkap yang sedikit ‘rompong’, seorang pelajar bergayut di situ, seolah-olah sebagai ‘cermin tingkap’. Lucu pun ada. Serasaku Farhan.


Tiba-tiba pintu dibuka dari dalam. Syahir yang tinggi lampai sedang memegang sebiji kek sambil rakan-rakannya menyanyikan lagu “Allah selamatkan kamu…”. Fahmi menangkap gambarku yang sedang masuk. Aku diminta meniup lilin yang terpacak di atas kek itu.


Suasana di dalam kelas itu gelap. Sebaik lilin ditiup, barulah mereka membuka lampu. Terharunya!


Pada mulanya, mereka hanya mahu aku menikmati kek itu bersama kawan-kawanku, tetapi aku enggan. Aku mahu mereka juga merasa kek itu bersama-samaku. Akhirnya Syahir (dia yang bersusah payah membeli kek itu dengan bantuan ayahnya malam sebelumnya) bersetuju. Aku pun memotong kek, lalu kami makan bersama-sama. Seorang sedikit.


Mereka juga memberikan sekotak hadiah yang besar kepadaku, dan dikepil bersama sekeping kad daripada mereka. Kad itu mengandungi tandatangan dan kata-kata ucapan kesemua mereka. Sungguh bermakna bagiku.


Ada lagi kek Secret Recipe untukku. Tetapi hanya untukku seorang, pesan mereka. Tidak tahu berapa banyak duit mereka habis.


Tidak cukup dengan itu, Zulhilmi mendeklamasikan 2 buah sajak untukku. Dibacakan di hadapanku. Aku sudah mula dihurung keharuan, tapi kutahan-tahan.


Akhir sekali, aku merakam gambar dan ucapan kesemua mereka, sebagai tanda kenangan untukku. Ketika aku keluar dari kelas, mereka menangkap gambarku. Dan Syahir tolong membawakan hadiah yang besar itu ke bilik guru.


Ini hal tingkatan 4A1 pula.


Aku di kantin, sedang makan dengan dibelanja oleh Puan Mabel Ires Fernandez. Sebaik loceng berbunyi jam 9.55, aku jadi gelabah dan gemuruh lain macam. Hari ini hari terakhir pertemuanku dengan pelajar-pelajarku itu.


Aku masuk ke kelas seperti biasa. Membawa buku teks Pendidikan Syariah Islamiah, tetapi bukanlah berniat mahu mengajar. Sebelum itu, aku ternampak Nasrullah dan Ibrahim turun ke bawah. Tidak tahu mereka ke mana.


Di dalam kelas, pelajar tidak penuh. Aku pun bertanya, adakah kawan-kawan mereka itu sibuk?


“Ha’ah!” jawab mereka.


Aku merasa sedikit tidak gembira. Yalah, hari terakhirku, jadi aku mahu menghabiskan masa bersama-sama mereka, berkongsi sesuatu dengan mereka.


Aku pun menyuakan kameraku kepada Akma, dan menyuruh dia dan rakan-rakannya melihat video mereka yang Mukhlis rakam Rabu lalu sewaktu jamuan. Mereka pun berkumpul beramai-ramai di meja Khairi.


Tiba-tiba Ibrahim dan Mukhlis datang dari luar. “Assalamualaikum…” Ibrahim bersuara kuat. Dari jauh, aku sudah dapat mengecam dia, walaupun rupanya dengan Ismail itu serupa. Sikap merekalah yang membezakan.


Mukhlis masuk sambil tersenyum simpul kepadaku.


“Ustazah, Explorace Bahasa Arab hari tu, kumpulan saya dapat no. 1 ke?” soal Ibrahim.


“Ha’ah, kumpulan Ibrahim no. 1.”


“Ha, betullah. Hari tu diorang tipu, kata kitorang dapat nombor last,” ceritanya.


“Memang diorang banyak tipu pun hari tu…” Aku tergelak. “No. 1 4A1, no. 2 4A2, no. 3 4A3 dan no. 4 4A1.”


Azim memanggilku, dan menunjukkan ayat yang aku tulis di dalam Tawajuh Cinta. Buku Ismail yang aku hadiahkan kepadanya sempena mendapat markah tertinggi PSI. Dia bertanya kepadaku, bagaimana aku boleh menulis. Aku katakan kepadanya yang aku minat menulis sedari kecil. Dia juga memuji-muji ayatku.


Sewaktu menjawab soalan Azim berkenaan bentuk cincin belah rotan dan bila digunakan, Ibrahim (ingat-ingat lupa) mendekatiku.


“Ustazah, kitorang kena turun ke dewan terbuka sekarang jugak,” beritahunya.


Aku tiba-tiba berasa sedih, kerana menyangka tidak akan dapat untuk bersama-sama mereka.


“Ustazah pun kena turun sekali,” tambahnya lagi. Aku mula rasa pelik.


“Eh, kenapa pulak ustazah nak kena turun sekali? Ustazah tak terlibat apa-apa,” balasku.


“Diorang suruh turun,” balasnya.


Tiba-tiba Ismail datang kepadaku, lalu meminta aku menandatangi buku yang aku hadiahkan kepadanya itu. Dia minta aku tandatangan pada gambarku di muka surat akhir buku itu. Aku tandatangan di situ, juga menulis sesuatu di halaman pertama buku itu. Semua mereka berkumpul mengerumuniku ketika itu.


Kemudian, kesemua mereka beratur panjang di koridor hadapan kelas dan menantiku. Aku jadi segan, seperti hendak mengiring puteri raja. Mereka mempersilakan aku untuk berjalan dahulu, tapi aku menyuruh seseorang menjadi ketua di hadapan. Ibrahim dan Hazwan pun sukarela berjalan di hadapanku.


Kami semua menuju ke dewan terbuka. Di belakang dewan itu, ada pondok rehat atau wakaf. Dari jauh, sudah terlihat ketua tingkatan mereka, Nasrullah bersama beberapa yang lain. Juga kelihatan makanan dihidangkan di atas meja di situ.


Aku sudah mengagak yang mereka akan adakan jamuan.


Kami semua duduk di bangku simen di situ, dan kemudian Hazwan bangun mempengerusikan majlis.


“Kami sangat mengharapkan agar ustazah dapat hadir ke Hari Keluarga esok,” katanya.


Aku tidak mampu berkata apa-apa, kerana ketika itu, abang, emak dan ayah sudah pun tiba di KL.


Kemudian, Nasrullah berucap mewakili kawan-kawannya. Dia meminta maaf sekiranya dia dan kawan-kawan ada berbuat salah atau bersikap nakal.


Ustazah Azmini pula, guru tingkatan mereka, tiba-tiba datang. Barulah aku tahu yang mereka berpakat dengan Ustazah Azmini untuk mengadakan jamuan untukku. Ustazah Azminilah yang banyak membantu menjayakan jamuan itu. Dialah yang tolong membelikan kek, membuat cendawan goreng, menggoreng cucur yang rasanya seperti nugget ayam, agar-agar laici dan air sirap.


Aku kemudiannya diminta berucap.


Aku mengatakan bahawa aku sangat terkilan dengan kelas mereka. “Dalam banyak-banyak kelas yang ustazah masuk, kelas inilah yang ustazah paling terkilan. Tahu sebab apa? Sebabnya… Ibrahim tulah selalu tak dengar cakap ustazah,” gurauku.


“Ha, Baem…” usik kawan-kawannya.


“Ha, mana Ibrahim ni?” kata Ustazah Azmini pula.


Aku tergelak. “Tak adalah… ustazah sebenarnya terkilan sebab masa dengan kamu sangat terhad. Kalau hari Isnin, waktu perhimpunan ambil banyak sangat masa ustazah, jadi ustazah rasa sangat sekejap dapat bersama kamu, tak tahulah kamu macam mana kan… Pasal kenakalan, biasalah. Ustazah pun ada adik, memang sebaya kamu. Kenakalan kamu samalah juga macam kenakalan dia. Nakal ni perlu ada juga, barulah ceria, kan? Standardlah…”


Mereka ketawa mendengar aku berkata ‘standard’.


Setelah itu, mereka meminta Ustazah Azmini menyampaikan cenderamata buatku daripada kelas mereka. Istimewa hadiah itu; tudung labuh. Macam tahu-tahu.


Kemudian, aku dijemput memotong kek. Kek coklat (patutlah Hafiz bertanyaku tentang perisa yang aku sukai Rabu lalu, dan dia meminta maaf kerana tiada kek keju). Mereka menyanyikan lagu perpisahan pengakap, ‘Bertemu dan Berpisah’:


‘Bertemu dan berpisah adat manusia biasa,

hilang di mata tapi di hati tidak lupa,

berdoalah kita agar aman dan sentosa,

moga panjang umur kita akan jumpa lagi…”


(sedih sangat dengar nyanyian mereka). Tapi kedengaran sayu di hatiku.


Kami menjamu selera bersama-sama.


Aku berbual-bual dengan ustazah. Aku bertanya perihal Ibrahim dan Ismail; adakah mereka boleh membaca al-Quran? Ustazah yang mengajar mereka PQS, mengatakan bahawa mereka berdua, juga adik mereka, Akmal di tingkatan 2, memang pandai membaca al-Quran. Malah Ibrahim dan Ismail itu pandai berzanji. Pernah memenangi anugerah sebagai rawi terbaik (jika aku tidak salah pendengaran).


Aku melihat Ibrahim yang kecil itu makan begitu berselera. Pinggan polisterinnya penuh.

Aku tersenyum.


Ketika aku bertanya mereka; sudah ada cita-cita dan impian selepas SPMkah? Ada yang menjawab ada, dan ada yang diam. Mukhlis mahu ke USIM, Azim mahu menyambung medik. Nasrullah pula tiba-tiba datang dan duduk berhampiranku, bertanya bagaimana mahu menyambung pengajian ke Timur Tengah, mengambil Usuluddin? Aku pun menjelaskan kepadanya; perlu ambil STAM. Mungkin sebagai calon persendirian. Dia tidak terlalu berminat menyambung pengajian di dalam negara. Ya, melihatnya, aku sudah tahu dia punya cita-cita besar dan mulia.


Kami bergambar bersama-sama, dan bersurai.


Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka, dan kami bersurai setelah bergambar.


Mereka kini aku tinggalkan…



Monday, June 7, 2010

Menguji Sayang


Rintik-rintik ujian

gugur mengguyur menimpamu

sejuk yang mencengkam

dingin yang menikam

gigil kau menggigil

mendakap tubuh

sendirian.


Tak terlihat dek mata

namun terasa di jiwa

kau tak dibiar sendiri

sejuk yang mencengkam

dingin yang menikam

bukan kerna benci

tapi menguji sayang.


Hujan ujian

guntur musibah

bila dipayungi sabar

bila kautadah pasrah

merentang jalan ke jannah.


DIA berimu hujan

DIA caturkan kilat

untuk sediakan pelangi indah

selepas hujan teduh.


DIA hanya mahu menguji sayang

dengan sedikit payah

kerana

semakin payah

semakin indah

semakin mudah ke jannah!



29 April 2010,

11.30 malam,

Kuala Nerang.


Thursday, June 3, 2010

Hati Hamba


Keluhuran hati itu
sesuci dan sebening air
tidak berkeladak
mutlak
sucinya menyucikan.

Memiliki kemurnian hati
persis mengintai cerlang mentari
di balik jujuhan hujan
musim tengkujuh.

Bila didatangi si fakir
kau menghulur tangan
namun hatimu
dikunjungi riak
ditandangi 'ujub;
lihatlah, aku seorang dermawan!

Saat kau dihampiri temanmu
yang diserkup segumpal susah
riak bertandang diam
berbisik tak sudah;
bantu dia, kau akan dipandang mulia!
'ujub berganti datang
mengusap hati tak lelah;
aku budiman dermawan!
terusanlah kau
dihanyut ampu si riak
dibuai pujuk si 'ujub.

Kau pandang sepi
terpaan hakikat yang
melontar hikmat;
kau tak punya sebarang
pada harta
pada apa pun
kau hanya hamba
yang berkongsi milik-Nya
kau sekadar 'pengagih'
hak kepunyaan DIA.

Bukalah pintu sedarmu
biarkan semilir tawaduk
bertamu di perdu hati
membersihkan habuk riak
juga debu 'ujub
yang terselit kotor
pada sekeping hati kehambaan.


3 Jun 2010,
10.29 pagi,
SMK Segambut Jaya,
Segambut, Kuala Lumpur.

Wednesday, May 26, 2010

Kelmarin Yang Kutunggu


Kelmarin yang telah pulang

masih tetap kucari

kutunggu datangnya lagi.


Hadirnya kelmarin

kunanti-nanti

kuburu-buru

kerana kelmarin itulah

telah membawa pergi

secebis rasaku

bersamanya.


Kelmarin yang kutunggu

yang pernah bertandang temui aku

moga benar tak muncul lagi

penantianku bukanlah suatu harapan

melainkan ingin sebuah pasti

agar ia tak datang lagi.


Kelmarin yang kutunggu

pasti sudah takkan bersua

kecuali sekali itu

kerana

kelmarin itu sudah mati!



26 Mei 2010,

10.46 malam,

Segambut.


Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com