Sunday, May 10, 2009

Aku, perempuan dan beruk

Aku budak perempuan. Budak? Atau perempuan sahaja? Perempuan. Aku budak perempuan yang kini kontang idea, miskin kata. Tengoklah aku sebagai perempuan ini. Teratak ini sudah lama tidak dikemas, kian bersawang. Bersimpul-simpul selirat kian menyerabutkan! Ah, pening sendiri melihatnya!

Mahu bicara? Ya.

Apa?

Tak tahu.

Bukankah banyak isu?

Ya, terlalu banyak. Tetapi pusarannya hanya dalam dada. Namun yang sering terdengar adalah omelan emak dan getus marah hatinya; beruk-beruk itu makin kurang ajar! Sudahlah mencuri hasil tanaman orang kampung, merosakkan pula kebun-kebun. Habis pagar diranap-ranapkan dengan konco-konco yang diajak berpakat.

Aku sendiri sebagai perempuan ini turut terbongkah amarah. Bersangatan! Mahu tumbuk muka beruk-beruk itu andai ada daya, mahu terajang, biar tungging tertiarap. Biar mampus! Akan kuajak teman-teman dan orang kampung untuk berjuang menentang beruk-beruk kurang ajar itu kala tiba saatnya kelak. Tunggulah beruk-beruk, akan kulumat-lumatkan pejal-pejal daging kalian, akan kukikis bulu-bulu tebal itu daripada menghiasi badan kalian! Tunggulah...

Belum pun reda gelegak marahku yang perempuan ini. Tadi emak berceloteh lagi. ‘Lihat, beruk-beruk itu sudah mula buat pakatan mahu mencuri cermin-cermin dari rumah seluruh orang kampung, kemudian menyoroknya.’ Gila! Mahu diapakan cermin-cermin itu? Mahu menyuluh badan penuh bulu dan muka hodoh itu? Bodoh!

Meski aku perempuan, akan kuajar beruk-beruk itu suatu hari nanti. Biar mereka tidak bisa mencuri lagi. Dan tidak akan menyorok lagi. Kalian perlu diajar!

Sunday, April 19, 2009

Kunjungan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (17-26 April 2009)



Berkawan dengan buku sungguh menyeronokkan, membuai-buai perasaan dan membawa kita menjejak ke alam lain! Sungguh. Justeru, menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 ternyata berupaya memuaskan hati kecil berjiwa besar ini! Terbawa-bawa pula ke alam mimpi, dan berlanjutan ke pagi hari.





Pagi kelmarin, aku bersama-sama dua orang rakan serumah telah berkunjung ke ‘rumah buku’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (Putra World Trade Centre)-PWTC. Seronoknya melihat buku-buku yang pelbagai jenis, serasa-rasa ingin memeluk kesemua buku-buku itu, mahu terjun ke dalam timbunannya. Seronok! Sedari awal memasuki pintu utama PWTC, aku telah mula mencari-cari gerai DBP. Tak sabar mahu mencari buku di situ. Di antara gerai-gerai yang paling menarik minatku di situ ialah gerai DBP Brunei, DBP Kuala Lumpur (yang ternyata besar dan gah), gerai-gerai universiti, terutamanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang banyak menjual buku-buku berkaitan sejarah Melayu, kesantunan dalam adat dan budaya Melayu, dan juga gerai-gerai yang meniagakan apa-apa sahaja buku mengenai sejarah, sama ada sejarah itu sejarah Islam, sejarah Eropah, sejarah Nusantara dan sebagainya.




Namun begitu, aku tetap lebih tertarik dan terpikat untuk berlama-lama di gerai milik DBP Kuala Lumpur. Kakiku terikat di antara rak-rak buku sastera di situ. Serasa mahu membeli semua buku yang ada! Wah, sabar! Ingat, poket kempis! Tetapi buku-buku sastera di situ sememangnya murah-murah, diskaunnya berganda daripada hari-hari biasa. (Adik Tuah, jangan cemburu!)





Bagi buku ilmiah pula, harganya lebih mahal sedikit daripada buku-buku kesusasteraan, tetapi kesemuanya lebih murah daripada harga pada hari-hari biasa, dan ada pemotongan harga.



Aku juga suka melihat pelukisan karikatur di gerai Creative Enterprise. Suka. Cantik. Aku meneliti bagaimana pelukis itu melukis wajah pelanggan di hadapannya. Bayaran RM 10 dikenakan bagi karikatur berwarna hitam putih, dan RM 20 (jika tidak silapku) bagi karikatur berwarna.









Paling memuaskan hati...cuba teka! Huh, seronok dapat berjumpa kali kedua dengan Faisal Tehrani, novelis tersohor tanah air itulah! Kali ini aku sengaja tidak membawa novelnya meskipun tahu beliau akan berada di situ kelmarin. Asyik nak minta autograf sahaja, tidak seronoklah! Tapi setelah bertemunya, terasa hendak minta ‘sesuatu.’ Aku pun menghulurkan buku nota yang sering kubawa bersama sebagai perakam perjalanan kepada beliau, sambil berkata: “Tulis sesuatu!” Lalu beliau pun menulis ‘sesuatu’ untukku. Panjang sedikitlah daripada sekadar menulis tinta untuk autograf. (Sudah, sudah. Jangan nak perasan sangat!)





Letih sungguh-sungguh kelmarin! Meskipun terpaksa bersesak-sesak dengan ‘kelkatu-kelkatu’ lain, tetapi seronok. Berbunga riang di hati!





Saturday, March 28, 2009

Catatan Sebelum Tidur


Tak sangka. Tak sempat. Segala-galanya… Kerehatan hanya dalam mimpi di malam hari.

Karya Ngugi-Sebutir Gandum, di sisi bantal tetap kugagahi meski dihimpit kantuk, kerana badan mulai menuntut haknya.

Mata ini sudah berpinar, juga menuntut haknya. Tetapi serasa ingin tetap menulis… Apa? Fikiranku sudah beku, jari-jemari juga mulai lesu. Tidak tertahan lagi!

Catatan sebelum tidur…

Masih degil. Terkenang Allahyarham Zubir Ali dengan pengajarannya, meski aku ponteng sehari ketika itu, dan merupakan hari terakhir pengajarannya (aku terkilan), aku sempat juga menyalin nota kuliah beliau-catatan sebelum tidur, tugasan yang diberikan kepada kami. Dan contoh yang diberi pada hari itu antaranya berkaitan dengan kematian. (Wah, jari kembali laju menaip!).


“Maut:

Ketika bersedia

Kau tak datang

Ketika alpa

Kau pun datang.”


Aku juga mahu menulis catatan sebelum tidur. Tentang apa? Hmm… Baik!


Kantuk:

Biar dipaksa apapun

Kau tetap teguh bermukim

Di pelupuk mata,

Bantal dan selimut

Ubatnya paling mujarab!


Skrin dipadamkan. Tutup!


2.47 a.m.,

28 Mac 2009.

Friday, March 27, 2009

Kopi Pahit


"sesekali, menelan kopi yang hitam pekat itu, meski pahitnya menyelar kerongkongan, namun biusnya bisa memanjangkan sebuah jaga."

Monday, March 23, 2009

Rakaman Hasil Nukilan

Alhamdulillah... kesemua ini merupakan hasil nukilanku yang pernah tersiar di dada-dada media, meskipun tidak semuanya dapat kurakamkan di sini kerana ada yang hilang (gara-gara dibakar fail-fail lama yang emak tak tahu aku sebenarnya menyimpan 'khazanah').

Jadi, yang ada dalam simpananku hanya ini. Sebagai kenang-kenangan dan alun semangat.

Sesiapa yang ingin membaca nukilan yang pernah tersiar ini, boleh mencarinya di blog Diari Ungu ini.










Friday, March 6, 2009

Belasungkawa Atas Pemergian Zubir Ali


“KUALA LUMPUR 6 Mac – Pencipta lagu-lagu puisi, Zubir Ali meninggal dunia pagi ini di Pusat Perubatan Damansara, Petaling Jaya akibat serangan jantung. – Utusan”

Ya Tuhanku! Membaca keratan akhbar itu sudah mulai melunturkan semangatku untuk terus menjejakkan kaki ke kelas puisi seterusnya tanpa beliau di hadapan mata. Guruku yang bercakap tentang kemanusiaan, sering mengungkapkan madah-madah falsafah, menyuntik semangat berpuisi dengan menceritakan kejayaan kepenyairan penyair-penyair agung, dia yang sering menggalakkan, malah jitu kesabarannya ketika mengajar tidak pernah termuntah amarah.

Guruku. Pemergianmu hanya meninggalkan sejuring wasiat kepenyairan untuk kami renungi, hayati dan aplikasi, meski engkau mengajar kami dalam tempoh waktu yang sekejap (2 bulan), tetapi kesannya pada jiwaku tertembus ke dasar paling dalam. Entah di mana lagi akan kucari guru sepersismu. Patah tumbuh, pasti hilangnya berganti. Namun ganti seorang guru di tempatmu pasti tidakkan serupa; ada kurang lebihnya di sana-sini.

Sungguh. Semangat ini kian sirna. Aku tidak tahu apa lagi yang harus aku lakukan. Meski aku reda, pasrah dan rela di atas pemergianmu, tetapi seperti patah batu hatiku ini lantaran menjadi ‘murid yang belajar separuh jalan.’

Takziah buat keluarga Allahyarham Guruku-Zubir Ali. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Wednesday, March 4, 2009

Seseorang



Seseorang

Menyapa di simpang hidup

Menyulam tegur

Memaknakan manis di hujung bibir.


Hati yang tulus

Menghulur budi

Di celah denai berduri

Sejuring belas

Tidak pinta dibalas.


Saling bertaut

Pada tali ikhlas

Jua mengerti rona lara

Yang menyerkup kelam diri

Dengan selam nurani.


Dialah seseorang

Bediri di lebuh hati

Di dadanya terpamer

Ukiran sebuah nama:

‘SAHABAT.’


JUWAIRIAH MD JAMIL,

(IEB 060036),

4 Mac 2009,

2.45 p.m.,

DK 2, APIUM.

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com