Wednesday, December 2, 2009
Meratah bahasa
Contoh 1: "Awak ngah wat per tew? Busy ker? Macam busy jew?"
Contoh 2: "Aper ni bro? Kitorang tak hingin ha nak wat bender-bender camtu!"
Sekali fikir, rasa hati mahu jadi guru bahasa Melayu. Berkali-kali fikir, hasrat itu semakin kuat pula. Tiba-tiba sahaja ada keinginan melonjak terinjak-injak untuk sambung pengajian dalam jurusan kesusasteraan Melayu (pendidikan juga). Wallahua'lam. Masa depan seringkali sukar ditelah.
Seorang teman yang pada suatu ketika sedang menjalani praktikal mengajar di sebuah sekolah di ibu negara menceritakan kepadaku berkenaan pelajar-pelajarnya yang sering mengirim sms menggunakan bahasa slanga. Contoh bahasa slanga yang aku bawakan ada tertera di atas. Rasa tergeliat lidah tak ketika menyebutnya?
Bahasa slanga merujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat ialah kata-kata yang terdiri daripada ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku, seringnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Ia juga boleh diertikan sebagai pertuturan yang menyimpang daripada norma sebutan atau tatabahasa.
Huh, geram! Apa hendak jadi dengan remaja hari ini, aku pun tidak tahu. Identiti Melayu kian terhakis sedikit demi sedikit akibat diratah westoksikasi (meminjam istilah Faisal Tehrani). Lihatlah sahaja perempuan-perempuan Melayu kita. Tiada lagi yang benar-benar 'Melayu Islamnya'. Tidak ada. Hendak cari wanita-wanita berbaju kurung sopan pun sukar sekali untuk ditemui, hatta di desa-desa. Mak cik-mak cik sendiri lebih gemar mengenakan baju sendat dan seluar ketat, sudah mulai berasa segan jika baju kurung yang disarung menampakkan 'kekunoan.' Mak cik, mak cik...
Westoksikasi ini juga turut menggerit bahasa ibunda kita; bahasa Melayu (sebenarnya seluruh aspek hidup) sehingga muncul pelbagai sebutan yang aneh-aneh dan janggal bunyinya. Semakin luas penggunaan teknologi dalam negara, maka negara menjadi semakin membangun. Duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, tetapi tidak sedar yang duduknya terlenyek tahi dan bangunnya terhantuk atap.
Andai nanti aku benar menjadi guru bahasa Melayu (ustazah pun boleh juga), aku ingin 'mencuci' hingga calat minda pelajar-pelajarku. Dan kalian! Kalian yang sudah dewasa, ayuhlah belajar menulis menggunakan bahasa Melayu baku yang sungguh santun, cantik dan menggugah jiwa (duhai...!).
Aku sangat tertarik dengan kata-kata Faisal Tehrani di bawah. Ia bukan ditujukan sebatas penulis atau bakal penulis sahaja, tetapi semua orang, khususnya orang Melayu:
"Bahasa slanga seelok-eloknya dielakkan. Bahasa slanga atau bahasa metropolitan adalah bahasa yang merosakkan citra bangsa kita. Ini terlihat pada novel popular, gaya bahasa tersebut tidak dapat menyumbangkan markah dalam peperiksaan subjek bahasa Melayu, maka dalam cerpen juga tentulah ia tidak dapat diterima. Janganlah juga anda memuatkan ungkapan-ungkapan atau bentuk perkataan yang biasa dilakukan dalam sms. Saya juga ingin menasihatkan anda menghindari penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang terlalu banyak. Anda boleh menguasai bahasa bukan bahasa ibunda, tetapi itu bukan bermakna anda perlu menggunakannya tidak kena tempat." Faisal Tehrani, Karya Nan Indah, hlm. 169.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Perhatian
Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com
2 comments:
moga impian terlaksana sebagai suatu kejayaan, bermula dengan angan akhirilah dengan senyuman, senyuman biarlah tidak sumbing tapi penuh keikhlasan. moga anda menjadi srikandi yang mampu memperjuangkan penulisan agar nilai bangsa tidak terhakis dengan norma duniawi...
alputra: Indah sekali bahasamu. Amin... terima kasih di atas doanya :-)
Post a Comment