Timbunan buku dan kertas memenuhi meja. Sebotol minyak Cap Kapak siaga berdiri di sisi. Pening dan sakit kepala sering benar bertamu. Itulah sahaja penawar sementara, sekalipun emak ada membekalkanku dengan untaian doa tulisan tangannya. Sesekali, aku buka lipatan doa yang ditulis di atas kertas putih bersih itu. Hangatnya kasih sayang emak.
Musim sesak begini (memandangkan minggu belajar atau study week), cembul kepala mula dihurung aneka fikiran, manca kenangan. Ada menyesakkan. Tak kurang juga yang mendamaikan. Sekarang ini, sewaktu sedang bergulat dengan buku-buku yang jenuh di hadapan mata, aku terimbas sesuatu. Sesuatu yang… erm, entah bagaimana mahu mentafsirkannya. Tetapi sesuatu itulah yang menjadi singgahan demi singgahan, hingga akhirnya aku berjaya tiba ke destinasi sekarang. Destinasi apa? Ya, sekaranglah. Destinasi sekarang.
Teringat hari-hari awal di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Betapa bersemangatnya seorang aku dan teman-teman lain di minggu-minggu Pilihan Raya Kampus (PRK). Tahun pertama, juga semester pertama. Tahun dan semester pertama itulah yang menyaksikan aku bersama-sama 4 orang teman ditangkap semasa PRK oleh Pembantu Mahasiswa (PM). Masih mekar di ingatan bagaimana aku yang kerdil ini melawan cakap dan pura-pura berani. Kata teman-teman; jangan tunjukkan kegentaran di hadapan musuh. Sebenarnya gugup juga. Sempat SMS ‘Fi Sabilillah’, beritahu: ‘Kami ditahan. Selamatkan kami!’ Dan ketika dibawa ke Pejabat Pengawal Keselamatan, kami metah terkejut. Wah, ramainya pahlawan-pahlawan! Serasa-rasaku, adalah 20 orang. Pahlawan-pahlawan ini dengan gagah beraninya cuba membebaskan kami, menunggu hatta di tengah hujan!
Aku sebenarnya tidaklah terlalu aktif berpersatuan. Melibatkan diri itu ada. Di UMKL, kali pertama penglibatanku dalam persatuan adalah ketika dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Akademik, Jabatan Sekretariat Wakil Fakulti, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Itu di tahun pertama. Tahun-tahun seterusnya, aku sekadar memegang jawatan semasa dan dalam kursusku sendiri – Timbalan Setiausaha Batch Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) 06/ 07. Hanya itu. Kemudian, aku sengaja membataskan gerak. Ada sebab dan alasan tersendiri, meskipun aku menyanjung nilai-nilai juang teman-teman seangkatan.
Biarlah aku bekerja di sebalik tabir. Tak mengapa jika ada yang mengatakan aku tidak bergerak. Tak mengapa. Biar hanya Dia yang Tahu. Tetapi, aku sangat berterima kasih kepada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) kerana memberikan aku peluang mengembangkan bakat dan potensi diri. Singgahan-singgahan itulah yang memberi yakin di hati ini, mengasah tajam kemampuan diri.
Sesekali, ada angin bertandang, membisik perlahan. “Apa sumbanganmu untuk Islam?” Ya, aku akui. Aku tidak banyak bergerak seperti rakan-rakan pejuang lain. Aku ‘mandom’, mungkin. Melalui lidah, aku tidak punya kekuatan bicara. Kalian yang kenal diriku pasti tahu. Aku masih ingat, sewaktu aktif berpersatuan di Nilam Puri, ada komentar daripada teman-teman, meminta aku mengasah bakat menulis. Puncanya, hadirku di dalam mesyuarat, sepatah kata pun tidak kedengaran. Yang aku tahu dan aku buat setiap kali perjumpaan – Menulis, menulis dan menulis! Aku menulis semuanya. Apa sahaja yang berlaku setiap kali perjumpaan, aku catat. Kata teman-teman; mungkin aku tidak miliki kekuatan komunikasi lisan, tetapi aku punya kekuatan lain – menulis.
Sebelum ini, aku tidak pernah merasakan itu kekuatan. Sekadar minat yang mendalam. Aku langsung tidak menyangka ada orang menganggap ianya sebagai kekuatan dan peluang. Sejak itu (tahun kedua di UMKL), aku mula mengasah pena dengan bekerja sebagai ‘setiausaha sulit’ (Wah, ada juga SU Sulit) di dalam GAMIS. Seterusnya, seorang yang berjawatan tinggi di dalam PMIUM turut mengambilku bekerja menjadi SU Sulitnya. Lebih kuranglah. Ketika bekerja sebagai SU Sulit inilah, aku asah dan terus gilap bakat dan minat yang tersemat dalam diri, sehingga aku berjaya menyemai keyakinan, sedikit demi sedikit.
Sekarang, aku di tahun empat. Tidak lagi menjadi SU Sulit kepada sesiapa. Aku tahu aku tidak bergerak seperti teman-teman lain. Tidak bermakna fikrahku berubah. Tidak pernah. Mungkin mekanismenya sahaja sedikit berbeza. Apapun, sampai mati, kita serupa.
Aku mahu jadikan penulisan sebagai landasan dakwahku. Ia wadah yang kupilih. Ia kekuatan, insya-Allah. Justeru, aku meminta agar kalian; para pencinta kebenaran, doakanlah agar karya sulungku berjaya diterbitkan. Antologi cerpen yang kini sedang dalam proses penelitian oleh Telaga Biru Sdn. Bhd., alhamdulillah mendapat respon positif. Aku harap, ia benar-benar diluluskan. Semoga penerbitannya menjadi salah satu amal jariahku buat umat. Amin…
6 comments:
Wah!!!!!!! Tahniah kak. Tak sabar mahu tatap penerbitan antologi sulung akak. Wah3. Dalam diam2, terus buat kejutan yang besar ya. Huhu. Cemburunya saya kak. Dah tahap tertinggi dah ni. Huhu.
hehe, akak sebelum menjadi tsu gamis juga bermula dgn su sulit seseorang juga.. rasanya mcm tahu adik jadi su sulit siapa..takpe2 live is moving forward. lets the secret remain a secret sis =)
everyone has their own strength. just live with it and utilize to the max
Aye: Hai, adikku ini asyik cemburu saja. Tak apa, nanti kita bergerak sama-sama, nak? Ajak sama si 'sifu' kita yang dah lama menyepi tu :-) (harap2 dia baca. hehe)
kak Munawirah: hehe, tahu tak apalah, kak. Rahsia tetap rahsia :-)
Dr. Rostam: selamat datang. terima kasih untuk respon 'pertama' ini :-)
Salam perjuangan ya Ukht :) Nanti ana nak beli buku antologi tu satu. Tapi nak tanda tangan special dari nti bleh? :)
Akhi Haafizuddin: Wah, terima kasih. Kalau nak beli nanti contact ana ya. Nanti siap dengan tandatangan :-)
Post a Comment