Thursday, May 14, 2009

Cintai Bahasa Melalui Buku

Pengenalan terhadap bahasa Melayu


Bahasa Melayu klasik tergolong dalam kategori lingua franca kerana bahasa ini telah digunakan oleh pelbagai bangsa dan negara dalam urusan perdagangan, terutamanya dalam perdagangan rempah di kawasan Asia Tenggara yang berpusat di Melaka, seterusnya Johor, Aceh dan zaman yang kemudiannya di daerah Johor-Riau.[1] Mengikut sebuah terbitan UNESCO di Paris pada tahun 1953, lingua franca diertikan sebagai sejenis bahasa yang biasanya digunakan oleh orang-orang yang bahasa ibunda mereka masing-masing adalah berbeza, bertujuan untuk memudahkan komunikasi antara mereka.[2]


Pada beberapa abad yang lain juga, bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan (contact language) untuk menyebarkan ajaran Islam di kawasan yang sangat luas, iaitu di Gujerat, India dan pantai Sri Lanka di bahagian barat sehingga ke pantai barat Irian Jaya di bahagian timur; dan dari Champa di Vietnam di bahagian utara hingga ke Banten, di Jawa Barat dan seterusnya ke Nusa Tenggara di bahagian selatan. Bahkan terdapat banyak kitab klasik Melayu yang dikarang di tempat yang jauh, iaitu di Tanah Haramain (Makkah dan Madinah). Bahasa Melayu juga menjadi bahasa serantau di Asia Tenggara untuk perhubungan antara negara dengan negara, raja dengan raja, penguasa dengan penguasa. Dengan lain perkataan, ia merupakan bahasa diplomatik.


Oleh yang demikian, Valentjin telah mengatakan bahawa jika terdapat orang di Asia Tenggara yang tidak mengetahui bahasa Melayu, kedudukannya adalah sama seperti orang Eropah Barat yang tidak mengetahui bahasa Perancis pada zamannya.[3]


Realiti hari ini, bahasa Melayu telah digunakan serta difahami oleh lebih daripada 100 juta manusia. Justeru, dengan sendirinya bahasa ini telah mengambil tempat sebagai salah satu bahasa yang terbesar dan penting di dunia, khususnya di ‘Dunia Melayu.’ Kini, bahasa Melayu telah pun menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan bagi dua buah negara yang luas sekali pengaruhnya, iaitu Malaysia dan Indonesia.[4]


Polemik dan permasalahan bahasa Melayu masa kini

Polemik semasa yang sering terpapar di media-media massa sekarang ini adalah berkenaan bahasa Melayu yang semakin mengecil penggunaannya, hatta dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran, malah juga pendidikan di negara ini.[5]

Merujuk kepada artikel berjudul ‘Cintai bahasa melalui buku’ yang ditulis oleh Mohd. Arif Atan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia keluaran 2 Mac 2009, penulis tersebut menyatakan bahawa ramai rakyat Malaysia tidak lagi cintakan bahasanya sendiri meskipun dalam masa yang sama, bangsa asing begitu tekun mengkaji dan mempelajari keindahan bahasa Melayu di universiti seluruh dunia, seperti di Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, Korea, Sepanyol, Itali, Jerman, Maldova, Republik Chez, Bosnia Herzegovina, Palestin dan Belarus, di mana para pelajar ini mampu menguasai bahasa kita dengan baik, seterusnya dapat mengungkapkannya melalui pidato pula. Keadaan ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu dicintai oleh bangsa-bangsa asing sehingga berupaya mewujudkan pengantarabangsaan dalam bahasa ini.


Pendapat beliau ada benar dan munasabahnya kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti-universiti masih lagi menjadi tanda tanya, di samping bahasa Inggeris yang masih lagi berkubu kuat dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.[6]


‘Adakah kita sudah tidak kenal lagi akan kepentingan dan kehebatan bahasa Melayu hingga tiada bibit cinta dan kasih akan bahasa sendiri? Tidakkah kita malu pada orang asing yang jauh lebih kenal dan cintakan keindahan bahasa kita sedangkan hakikatnya kedudukan bahasa Melayu di tanah air leluhurnya sendiri ibarat melukut di tepi gantang?’
Inilah di antara persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh penulis artikel tersebut untuk mencetuskan kesedaran dalam kalangan pembaca.

Jika diteliti keadaan ini, sememangnya ada benarnya pada kenyataan bahawa rakyat negara ini tidak lagi merasai cinta akan kehebatan bahasa Melayu. Sedangkan jika kita imbas kembali sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Malah jika diperhatikan, pada zaman Kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad 19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baru, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.[7]

Maka, tidaklah menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”[8]

Bagaimana pula orang-orang Barat boleh berasa kagum dan merasai hebatnya bahasa Melayu sehingga mereka dapat merumuskan bahawa sekiranya kita memahami bahasa Melayu dengan baik, pasti kita tidak akan kehilangan jejak disebabkan meluasnya penggunaan bahasa Melayu itu. Sebaliknya, apakah nilainya bahasa Melayu itu dalam dada rakyat di negara ini? Apakah martabatnya hanya di bawah tumit kaki?


Melihat tingginya martabat bahasa Melayu suatu ketika dulu sehingga berupaya mendominasi bahasa-bahasa lain di rantau Melayu ini, suatu kekecewaan dan kepedihan yang sukar digambarkan apabila kebitaraan bahasa Melayu kini semakin luntur. Buktinya jelas boleh dilihat di dalam negara sendiri, di mana peranan bahasa Melayu seolah-olah semakin mengecil dan terpinggir jauh, lebih-lebih lagi dalam konteks pentadbiran, undang-undang, perdagangan, hubungan diplomatik, penyiaran, malah kini semakin lenyap sedikit demi sedikit dalam aspek pendidikan yang merupakan nadi penting untuk memupuk penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. Sisa-sisa yang ada hanyalah di dalam aspek bahasa dan sastera itu sendiri.

Bahkan jika diperhatikan, rakyat negara ini, khususnya yang terlibat dalam profesion atau kerjaya profesional seperti doktor, peguam, jurutera, dan seumpamanya, bahasa Melayu jarang sekali meniti di bibir-bibir mereka, malah yang sering terpacul dari mulut mereka adalah bahasa asing yang telah ‘memangsakan’ bahasa Melayu di buminya sendiri.


Sesungguhnya inti persoalan yang masih dihadapi oleh bahasa kebangsaan kini ialah bahasa itu masih belum memainkan peranan hakikinya dalam segala lapangan kehidupan sebuah masyarakat dan negara moden (atau yang sedang dimodenkan). Para anggota masyarakat masih belum menggunakan bahasa itu secara meluas dalam interaksi sosial dan profesional mereka yang sebenarnya. Mereka tidak berfikir dengan bahasa itu dan tidak pula menyalurkan pemikiran mereka dalam bahasa itu dengan cara yang canggih, berkesan lagi kreatif.


Penggunaan sosial sesebuah bahasa itu seringkali tidak selaras dengan kedudukan undang-undangnya. Akan tetapi, kegunaan yang demikian itu amatlah penting bagi sebuah bahasa kebangsaan yang sedang mengalami proses pemodenan. Hanya dengan penggunaan tersebut barulah ribuan istilah yang secara abstrak dicipta oleh jawatankuasa-jawatankuasa istilah itu dapat diuji kesesuaiannya.


Pengujian dan penggunaan yang demikian itulah satu-satunya cara kemampuan sintaksis bahasa itu dapat dipastikan dan diperluas, dan dengan itu tradisi pengucapan intelektual bahasa itu dalam sesuatu bidang ilmu moden dapat dibentuk. Jika tidak, bahasa itu akan hanya merupakan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan secara rasmi-rasmian sahaja. Sebagai contoh, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mencipta sejumlah istilah kehakiman atau undang-undang yang secukupnya. Dari segi rasminya, bahasa perantaraan di mahkamah adalah bahasa Melayu, begitu juga dengan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) yang kini telah menawarkan pendidikan dan latihan kehakiman dalam bahasa kebangsaan.


Namun, itu hanyalah kedudukan rasmi bahasa itu dalam bidang kehakiman, sedangkan hakikatnya tidaklah dapat dikatakan bahawa bahasa kebangsaan telah menjadi bahasa perhubungan dalam kegiatan profesion kehakiman di negara ini. Secara umum, para peguam di negara ini lebih senang serta lebih mampu menggunakan bahasa kehakiman Inggeris yang indah, tetapi tidak mampu mengungkapkan pemikiran yang agak mudah dalam bahasa kebangsaan. Dokumen undang-undang masih digubal dalam bahasa Inggeris, dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan untuk tujuan rasmi.

Jika ditinjau kepada lapangan kehidupan moden pada masa kini, ternyata bahawa masalah pokok yang dihadapi oleh bahasa itu ialah tidak terdapatnya isian intelektual yang diperlukan untuk mengolah bahasa itu menjadi bahasa moden yang canggih. Hakikatnya, bukanlah bahasa itu yang sebenarnya tidak dapat dibentuk menjadi bahasa moden, tetapi sebenarnya tidak terdapat pengguna bahasa kebangsaan yang dapat menggunakan bahasa itu dengan cekap serta memberikan sumbangan yang bersifat intelektual terhadap proses pemodenannya.

Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan bagi Negara Malaysia yang dipengaruhi oleh sejarah perjuangan kemerdekaan yang telah dipelopori oleh gerakan nasionalisme Melayu. Namun demikian, tugas untuk memperkembangkan bahasa itu menjadi bahasa ilmu dan bahasa budaya yang moden dan saintifik merupakan tugas intelektual yang amat berat. Tugas inilah yang sehingga kini masih belum dilaksanakan dengan jayanya.[9]

Akan tetapi, belum pun selesai misi besar dalam menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu serta meninggikan martabatnya di negara tercinta ini, satu tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan, khususnya melalui bidang pendidikan, menjadikan martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.[10]

Dalam hal ini, golongan profesional yang berketurunan Melayu sendiri sering tidak dapat diharapkan. Bahasa Melayu mungkin merupakan bahasa ibundanya, tetapi bahasa Melayu yang dikuasainya hanyalah bahasa basahan yang digunakan untuk berbual-bual dalam percakapan harian, sedangkan bahasa Melayu yang harus dikembangkan sebagai bahasa kebangsaan moden adalah bahasa Melayu yang tepat, jitu dan canggih.

Kebobrokan intelektual merupakan masalah sebenar yang dihadapi oleh bahasa Melayu hari ini,[11] selain daripada pelaksanaan beberapa dasar oleh Kerajaan sehingga mengecilkan fungsi dan peranan bahasa Melayu di negara ini. Sebagai implikasinya, bahasa Melayu yang sememangnya semakin mengecil dari aspek penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan moden malah semakin tidak diminati dan dirasai peri pentingnya dalam pengekalan sebuah tamadun Melayu di rantau ini.


Faktor-faktor peminggiran dan kemerosotan bahasa Melayu masa kini

Sejak akhir-akhir ini, jelas kelihatan bahawa keyakinan terhadap peranan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini dan kedudukannya sebagai bahasa ilmu-ilmu moden sudah mulai menurun, hatta dalam kalangan pejuang bahasa itu sendiri.[12] Amatlah ganjil setelah lebih lima puluh tahun negara ini mencapai kemerdekaan, masih terdapat keresahan dan kebimbangan yang berleluasa terhadap masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.[13] Apakah sebenarnya tunjang utama kepada permasalahan ini?


Hakikatnya, tidak dapat tidak kelunturan martabat bahasa Melayu dan peminggirannya dalam arus pemodenan seperti hari ini berpunca daripada sistem kolonial penajajah Inggeris selama pemerintahan mereka di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Para penakluk tersebut telah menurunkan darjat bahasa Melayu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat dan bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India. Inggeris benar-benar telah melaksanakan dasar pecah belah dan perintahnya, dan pada waktu yang sama telah membenamkan bahasa dan budaya Melayu ke ‘lumpur pekat’ sehingga hilang sinar bahasa bitara itu di negaranya sendiri.[14]


Berasaskan kepada perancangan sistem kolonial inilah martabat bahasa Melayu pada hari ini menjadi semakin luntur dan hilang fungsinya di Negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kerajaan sekaligus bahasa kebangsaan. Hal ini demikian kerana penjajah Inggeris itu suatu ketika dulu tidak mahu anak watan bangkit sebagai bangsa berwibawa sehingga akhirnya berupaya membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman tangan mereka.[15]


Melihat pula kepada realiti hari ini, bahasa Melayu kian hari kian terhakis penggunaan dan fungsinya adalah disebabkan oleh ketiadaan rasa keyakinan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara. Sedangkan selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu sebenarnya telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah berhasil menjadi asas terbentuknya konsep negara berdaulat dan telah menjadi faktor pemersatuan rakyat yang ampuh sehingga terbentuk perpaduan kebangsaan.


Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana komunikasi rasmi yang menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai sektor. sektor utama negara seperti dalam pendidikan, pentadbiran, undang-undang dan kehakiman serta media massa telah mencapai tahap kemajuan dan kecekapan yang membanggakan melalui bahasa Melayu sebagai wahana utamanya.


Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeklusifan bahasa pengantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi tonggak pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Meskipun pada tahap pengajian tinggi, sebahagiannya memperoleh ilmu dalam bahasa asing, khususnya yang melanjutkan pengajian di luar Negara, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa sehingga peringkat menengah atau sekurang-kurangnya, iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran asas kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan.[16]


Rasa tidak yakin terhadap keupayaan bahasa Melayu itu adalah disebabkan oleh kurangnya pengkajian dan penelitian terhadap pencapaian-pencapaian yang telah digapai oleh bahasa Melayu itu sendiri, iaitu dengan menoleh sejenak memerhatikan rentetan sejarah silamnya sehingga mencapai kegemilangan dengan hanya menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana utamanya. Tidak dapat tidak, perkara ini haruslah dilakukan melalui pembacaan yang banyak berkenaan bahasa Melayu itu sendiri (seperti yang dicadangkan oleh penulis artikel Mohd Arif Atan). Namun hakikatnya, masalah utama kepada perkara ini ialah kurangnya minat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia, sehinggakan permasalahan bahasa yang semakin merudum dan hampir pupus penggunaannya ini tidak dapat dirasai oleh masyarakat, apatah lagi untuk berusaha memperjuangkannya.

Antara lain ialah tiadanya rasa cinta dan hormat[17] oleh sejumlah rakyat Malaysia akan bahasa kebangsaannya sehingga menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir di negara sendiri. Meskipun dalam Perlembagaan Persekutuan, dan bahagian khusus berkaitan dengan status bahasa Melayu ialah perkara 152, dengan menyatakan bahawa bahasa Melayu dengan rasminya diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan negara baharu, menjadi lambang kedaulatan negara, dan mengambil alih bahasa Inggeris yang sebelum ini memainkan peranan penting sebagai bahasa utama zaman pemerintahan penjajah,[18] namun kesemuanya ini tidak dapat dibuktikan dengan tindakan serta perlakuan secara keseluruhan. Buktinya ialah semakin banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing, seperti precinct, parcel dan boulevard.[19] Contoh lain ialah Justice of Palace, Mount Kiara, Petaling Street dan seumpamanya.

Di samping itu, kemerosotan bahasa Melayu dalam aspek mutu bahasa berkaitan dengan kurang pekanya sejumlah anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.[20]

Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sebilangan anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut:

1)Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, mengakibatkan masih banyak urusan rasmi seperti mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi dan sebagainya yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu seperti yang ditafsirkan sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan.

2)Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sector tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam (melibatkan pihak berkuasa tempatan), penyiaran (melibatkan Kementerian Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

3)Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kursus di IPTA dan juga pengecualian pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.

4)Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.

5)Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu pengukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi, misalnya dalam hal peluang pekerjaan. Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.

6)Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, melalui media juga, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit, lalu menyeru agar digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan, dan dengan tidak segan-silu atau berasa hormat kepada salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan, mengisytiharkan bahawa urusan di kementeriannya kebanyakannya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris.[21]

Selain itu, faktor yang sememangnya tidak dapat dinafikan pada alaf ini ialah cabaran globalisasi, di mana kemunculannya dipengaruhi oleh bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris. Pengecilan dunia kini menjadikan globalisasi semacam ‘perkampungan global’ dan kita semakin banyak berhubung dengan dunia luar. Untuk berhubung, kita perlukan satu bahasa perhubungan yang difahami oleh sebahagian besar penduduk dunia, dan bahasa yang memenuhi tuntutan itu buat masa ini ialah bahasa Inggeris.[22]


Namun demikian, bagi bahasa Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh penuturnya.[23] Ini kerana, era globalisasi sememangnya membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi persaingan dengan bahasa Inggeris, akan tetapi keadaan ini tidaklah menjadi satu cabaran besar sehingga menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perhubungan, bahasa pengantar dan bahasa berdaulat di negara sendiri, selagi mana rakyat Malaysia mempunyai sikap yang betul terhadap bahasa kebangsaannya. Tetapi, jikalau wujud sikap kurang yakin terhadap keupayaan bahasa Melayu dalam era globalisasi, jikalau wujud sikap taasub terhadap keupayaan dan kepentingan bahasa Inggeris dan keghairahan yang tinggi untuk menggantikan tempat bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, maka tercabarlah dan tergugatlah kedudukan bahasa Melayu di negaranya sendiri.[24]


Dalam dunia global seperti hari ini, bahasa peninggalan nenek moyang kita boleh mengalami kepupusan sekiranya kita tidak berhati-hati. Lebih menakutkan, ada pihak yang mendakwa bahawa jika dahulu bahasa yang mengalami kepupusan didapati binasa antara dua hingga empat generasi (50-100 tahun), tetapi sekarang dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan ini berlaku hanya dalam satu atau dua generasi sahaja.[25]


Cara-cara memartabatkan semula kebitaraan bahasa Melayu

Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek, dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara.[26]

Seperti yang dicadangkan oleh penulis artikel Utusan Malaysia tersebut, kita seharusnya memulakan usaha ‘berkenal-kenalan’ dengan bahasa Melayu bermula hari ini supaya kelak akan timbul rasa sayang terhadapnya. Bagi tujuan itu, buku-buku berkenaan sejarah, perancangan, kepentingan, perkembangan, kehebatan, kejayaan, masalah, cabaran atau masa depan bahasa Melayu merupakan alat penting untuk tujuan mendekatkan semula masyarakat dengan bahasa kita.

Namun demikian, perkembangan minda rakyat Malaysia masih lagi terkebelakang jika diukur dari sudut budaya membaca. Menurut perangkaan yang diperolehi oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1997, secara purata, penduduk Malaysia hanya membaca 2 buku setahun. Jika arah aliran ini berterusan, kedudukan daya saing Malaysia menuju ke arah wawasan menjadi negara maju mungkin akan tergugat. Perkembangan industri perbukuan didapati tidak seimbang dengan pertumbuhan ekonomi negara. Antara lain disebabkan permintaan terhadap buku yang tidak berkembang pada tahap sewajarnya. Semua ini berpunca daripada minat membaca rakyat Malaysia yang kurang memberangsangkan. Jika rakyat Malaysia gemar membaca, pastilah industri perbukuan di negara ini berkembang pesat selaras dengan negara-negara maju yang lain. [27]


Justeru, pemerkasaan penghayatan pembacaan perlu dilakukan. Ini bermakna, kita tidak lagi membicarakan membaca dalam pengertian mekanistik, tetapi lebih jauh mendalaminya memasuki ‘wilayah’ seni dan estetika membaca sehingga membuahkan pencinta buku. Seni dan estetika membaca pula akan memasuki ‘wilayah’ kedalaman membaca yang akhirnya membuahkan pencinta ilmu, yang mana akhirnya pula membuahkan tradisi menulis secara semulajadi, kerana itulah kesan sebenar daripada penghayatan budaya membaca. Maka, tidak timbul lagi persoalan minat membaca dan kesukaran menulis kerana budaya membaca dan budaya menulis adalah gabungan harmonis yang melengkapi dan tidak terpisah. Bahkan inilah matlamat akhir mewujudkan masyarakat membaca.[28]


Ditambah pula dengan perkembangan segala macam ilmu dalam pelbagai domain, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, sudah semestinya bahasa menjadi sebahagian daripada keperluan itu. Justeru, usaha penulisan dan penerbitan buku-buku ilmu, khasnya dalam bidang sains dan teknologi maklumat patut digerakkan sejajar dengan perkembangan ilmu dan pembangunan negara. Di samping itu, Malaysia telah mengambil inisiatif menterjemahkan karya-karya agung dunia ke dalam bahasa Melayu, di samping menterjemahkan karya-karya terbaik dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris dan sebagainya. Dalam hal ini, kita patut menjadikan Jepun dan Korea sebagai contoh kerana menterjemahkan sekitar 30 000 judul buku dengan pantas setiap tahun, khususnya buku-buku sains dan teknologi.[29] Perkara ini adalah penting untuk digiatkan secara intensif untuk memudahkan rakyat Malaysia merujuk buku-buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, selain bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia membaca bahan-bahan ilmiah berbahasa Melayu, sebagai membuktikan bahawa bahasa Melayu tidak pernah ketinggalan, selari dengan perkembangan globalisasi hari ini.


Selain itu, meskipun belum cukup usaha untuk mewujudkan suasana penggunaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat secara serius, kita selaku rakyat Malaysia seharusnya memikul amanah ini dalam usaha untuk mengembangluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang teknologi maklumat sekalipun dalam perkara yang mudah dan dianggap remeh. Sebagai contoh, menggunakan bahasa Melayu dalam dunia internet dan e-mel meskipun untuk berhubung sesama sendiri.[30]


Antara langkah-langkah lain yang perlu diambil dalam membitarakan bahasa Melayu di negara ini adalah melalui cara-cara berikut:

  1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu. Contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati, malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum.
  2. Pindaan dan peluasan peruntukan akta yang berkaitan. Pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
  3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu. Usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan baha ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara.
  4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan. Usaha ini perlu dimantapkan semula, bermula dari peringkat prasekolah sehingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Pertama, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek kedua, pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian, diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.
  5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara. Semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, K&P Kementerian Penerangan dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan professional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
  6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan. Setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program “kursus dalam perkhidmatan” masing-masing.
  7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa. Usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai agen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.
  8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan. Kerajaan melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seperti program Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuaratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi yang fungsi khususnya berkaitan dengan bidang bahasa dan sastera.[31]



Kesimpulan


Sebagai kesimpulannya, apa yang diperkatakan oleh penulis Mohd. Arif Atan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia keluaran 2 Mac 2009 adalah pendapat dan cadangan yang berkisar kepada realiti hari ini. Ia adalah polemik semasa yang sedang hangat dibincangkan kerana persaingan yang berlaku antara bahasa Melayu dan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan dalam dunia teknologi hari ini merupakan persaingan yang sengit, sehingga boleh dikatakan bahawa dengan kehadiran bahasa Inggeris itu telah menyebabkan ianya diangkat dan diagung-agungkan sehingga bahasa kebangsaan yang merupakan teras bangsa di Malaysia ini semakin terpinggir dan dipandang rendah. Justeru, kemunasabahan pendapat, ulasan dan cadangan beliau dalam hal ini adalah wajar dan sesuai diaplikasikan dalam kalangan rakyat Malaysia hari ini.


Namun secara keseluruhan, bahasa Inggeris itu tidaklah boleh dipersalahkan secara total. Hal ini demikian kerana masalah utamanya adalah terletak pada sikap penutur itu sendiri, yang memilih untuk membitarakan bahasa Melayu atau sebaliknya. Jika dilihat kepada sejarah bangsa Korea dan Jepun, meskipun bahasa Inggeris boleh dianggap ‘meraja’ dalam dunia, namun demikian, bangsa mereka tidak tergugat dengan pengaruh bahasa asing itu. Situasi ini dapat dilihat pada kecanggihan ilmu teknologi yang mereka miliki, dan sumbernya adalah daripada ilmu pengetahuan dalam bahasa mereka sendiri, Lantas, dalam hal ini, siapa yang perlu dipersalahkan?


Ketuk akal, tanyalah minda!


BIBLIOGRAFI

1. A. Aziz Deraman. (2004). Bahasa dan sastera Melayu dalam abad ke-21: Cabaran dan harapan. Dlm. Awang Sariyan (Ed.), Sumbangsih: Kumpulan esei mengenang jasa Asraf (Hlm. 37 & 38). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Abdul Razaq Ahmad & Shaharom TM Sulaiman. (2005). Buku dan pendidikan: Ke arah penghayatan membaca. Selangor: Fakulti Pendidikan UKM. Hlm. 197-199.

3. Awang Sariyan (2007). Membitarakan Bahasa dan Budaya Melayu dalam Konteks Peneguhan Tamadun Negara. Majalah VISI. (8), 19.

4. Darwis Harahap (2004). Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Haji Sha’ari Abdullah. (2005). Penerbitan dalam bahasa Melayu: Peranan Yayasan Pembangunan Buku Negara. Dlm. Mohd. Anwar Ridhwan (Ed.), Penerbitan buku dalam bahasa Melayu: Cabaran & Pengalaman (Hlm. 11). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. Hishammuddin Tun Hussein (2006). Bahasa Melayu Sentiasa Diperjuangkan Sepanjang Zaman. Dewan Masyarakat. (10), 57.

7. Ismail Hussein (1984). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

8.Laman DBP, http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=1029&IID, 3 Mac 2009.

9. Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu dan Cabaran Globalisasi. Dlm. Awang Sariyan (Ed.), Sumbangsih: Kumpulan esei mengenang jasa Asraf (Hlm. 219). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

10. Rustam A. Sani (1993). Politik dan Polemik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.



[1] Darwis Harahap (2004). Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 71.

[2] Ibid. Hlm. 70.

[3] Ibid. Hlm. 71.

[4] Ismail Hussein. (1984). Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. Vii.

[6] Darwis Harahap. (2004). op. cit. Hlm. 133.

[7] Awang Sariyan. (2007). Membitarakan bahasa dan budaya Melayu dalam konteks peneguhan tamadun negara. Majalah VISI. (8), 19.

[8] Ibid. Hlm. 20.

[9] Rustam A. Sani. (1993). Politik dan polemik bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Hlm. 55-57.

[10] Awang Sariyan. (2007). op. cit. Hlm. 22.

[11] Rustam A. Sani. (1993). op. cit. Hlm. 59.

[12] Ismail Hussein. (1984). op.cit. Hlm. 60.

[13] Ibid. Hlm. 54.

[14] Awang Sariyan. (2007). op. cit. Hlm. 20.

[15] Ibid.

[16] Ibid. Hlm. 21 & 22.

[17] Ibid. Hlm. 23.

[18] Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu dan Cabaran Globalisasi. Dlm. Awang Sariyan (Ed.), Sumbangsih: Kumpulan esei mengenang jasa Asraf (Hlm. 219). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[19] Awang Sariyan. (2007). op. cit.

[20] Ibid.

[21] Ibid. Hlm. 23 & 24.

[22] Nik Safiah Karim. (2004). Hlm. 223.

[23] Ibid. Hlm. 224.

[24] Ibid. Hlm. 226.

[25] Ibid.

[26] Awang Sariyan. (2007). op. cit. Hlm. 25.

[27] Haji Sha’ari Abdullah. (2005). Penerbitan dalam bahasa Melayu: Peranan Yayasan Pembangunan Buku Negara. Dlm. Mohd. Anwar Ridhwan (Ed.), Penerbitan buku dalam bahasa Melayu: Cabaran & Pengalaman (Hlm. 11). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[28] Abdul Razaq Ahmad & Shaharom TM Sulaiman. (2005). Buku dan pendidikan: Ke arah penghayatan membaca. Selangor: Fakulti Pendidikan UKM. Hlm. 197-199.

[29] A. Aziz Deraman. (2004). Bahasa dan sastera Melayu dalam abad ke-21: Cabaran dan harapan. Dlm. Awang Sariyan (Ed.), Sumbangsih: Kumpulan esei mengenang jasa Asraf (Hlm. 37 & 38). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[30] Nik Safiah Karim. (2004). Hlm. 227 & 228.

[31] Awang Sariyan. (2007). op. cit. Hlm. 25 & 26.

1 comment:

hamba said...

yg sedihnya.. kebanyakan mereka diatas tidak sukakan bahasa melayu ini... katanya minum susu cap PPSMI kita akan jadi SIHAT dan KUAT!

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com