Friday, February 27, 2009

Rinduku Pada Seorang Guru


Manik-manik hujan kedengaran jatuh bertaburan di luar bangunan SKET. Langit kelam dan awan sarat mengandung air. Kedinginan kian menggigit kulit. Ah, di manakah guruku? Belum pernah beliau selewat ini. Saya dan sahabat menanti penuh setia.

Tiba-tiba, seorang wanita berseluar jeans dengan baju hitam ketat membalut tubuhnya memasuki bilik kuliah. Melempar salam. Saya mula dijentik resah. Takkanlah wanita itu akan mengajar hari ini? Tidakkk!

"Semua tahu kan, Ayah Zubir tak sihat. Dia masuk wad. Jadi, dalam sebulan atau dua ni, saya akan gantikan Ayah Zubir."

Semangat saya mula merudum dan jatuh bertimpa-timpa, tergolek-golek di lantai hati. Aduh, tertekannya! Tak tahu nak gambarkan bagaimana tekanan itu menjerit-jerit dalam dada, kerana saya 'tidak dapat apa yang saya inginkan' dari kelas puisi itu. Betul. Saya bukan hendak merasakan diri hebat, tetapi saya betul-betul tidak mendapat seperti apa yang diinginkan.

Dua bulan? Ya Tuhan! Sehari ini pun saya sudah mulai lemah, inikan pula sebulan atau dua bulan! Hmm. Persepsi saya pada tutor Fakulti Bahasa dan Linguistik tersebut ialah beliau bukannya ahli dalam bidang ini. Apa yang 'diajar' (kalau boleh dikatakan mengajar) hanyalah membuka lembar-lembar puisi, membaca dan sekadar bertanya, "Apakah yang kamu faham?"

Entahlah. Minat saya sudah lesap. Entah melayang ke mana. Saya rasa tidak tahan kerana saya tidak mendapat apa yang diingini.

Guruku, aku rindu pada setiap pengajaranmu! Segeralah sihat dan lekaslah kembali mengajar kami!

No comments:

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com