Tuesday, July 7, 2009

Kerana 2 Cinta



Di mihrab ibadah
Hatinya bertaut cinta
Deburan jiwa setenang kali
mereguk kasih tiada bertepi
Sekalipun dibuang tersisih sendiri.

Benih cinta yang ditanam Tuhan
Di rahim sucimu
Kau tatang sabar
Dengan sulaman cinta kudus
Rahmat Tuhan merentang tulus.

“Dan goyangkanlah pohon kurma itu
Nescaya buahnya yang ranum
Akan gugur untukmu.”

“Tuhanku,
Sebelum sakit yang kurasa
Engkau kurniakan rezeki tanpa pintaku
Mengapa dalam lelah tak upaya
Kau menuntut keringat kecilku?”

Dan berbicaralah Tuhan:
“Sebelum kelahiran bayimu
Seluruh jiwa kau berikan hanya untuk-Ku
Namun kini
Ada dia dan AKU di hatimu.”


Juwairiah Bt Md Jamil
Kuala Nerang

Thursday, June 25, 2009

Ini Cikgu Saya!

Kira-kira jam 3.30 petang, saya tiba di sekolah. Sekolah lama yang sudah bertahun tidak dijengah. Bukan melupakan, bahkan wajah dan nadinya sentiasa hidup dalam desah nafas dan darah saya. Cuma kerana malas dan malu tak bertempat, sering saya tidak ikut serta dalam perjumpaan-perjumpaan bekas pelajar yang diadakan, meskipun ketika tahun-tahun awal berada di alam kampus, saya selalu menziarahi guru-guru di sekolah. Hendak kata teruk atau ‘kacang lupakan kulit’ pun boleh juga. Terserah. Tetapi saya tahu hati saya.

Saya kirimi sebuah SMS. “Cikgu, saya dah sampai.”

“Tunggu. Cikgu masih di rumah.” Jawapan balas daripada cikgu yang selamanya akan di hati dan jiwa saya-Cikgu Sharifah Zainon! Sehingga bila-bila, saya akan tetap mengingatinya sebagai guru Bahasa Melayu yang pernah melorongi dan mendorong saya ke ‘jalan ini’.

Saya memerhatikan khemah-khemah yang didirikan di hadapan bangunan sekolah. Di penjuru kiri dan kanan bangunan terdapat penjaja-penjaja menjual makanan ringan, juga pakaian. Tetapi tidaklah ramai. Saya membandingkan keadaan itu dengan kondisi zaman persekolahan saya suatu waktu dulu– meriah dengan kunjungan orang ramai dan penjaja-penjaja yang setia menjual sehingga ke malam hari. Hari Ihtifal (perayaan ulang tahun sekolah) musim ini tidak serupa lagi dengan musim-musim yang telah berlalu. Sewaktu zaman saya masih comot dengan baju kurung putih dan berkain hijau, malah dengan cermin mata pula (betul-betul seperti ulat buku), saya merasakan itulah di antara zaman-zaman kegemilangan sekolah, sama ada dari aspek pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, malah akhlak juga. Tidak seperti sekarang. Inilah realiti yang harus saya terima.

Cikgu belum datang. Suasana lengang. Saya kematian punca. Khemah-khemah hanya dihuni oleh kerusi-kerusi kosong. Saya ke bilik guru, sengaja mahu melihat kalau-kalau ada guru yang masih belum pulang. Tiada. Saya mengambil keputusan untuk menemani kerusi-kerusi kosong di bawah khemah. Memerhatikan pentas yang dibina khas untuk majlis penutup ihtifal dan anugerah pelajar cemerlang, saya kembali menyulam kenangan di kanvas memori. Suatu waktu dulu, saya juga pernah beberapa kali menaiki pentas itu sambil diperhatikan oleh emak dan ayah. Malah, pernah sekali bersama-sama emak mengambil hadiah. Indahnya kenangan!

Di pentas seperti itu jugalah dahulunya berlaku pelbagai peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Mengambil hadiah daripada tangan ‘seseorang’ (kerana ketika itu saya tidak tahu bahawa saya dapat tempat ketiga kategori terjemahan bahasa Arab. Kemudian terpaksa berlari-lari anak ke pentas) sambil direnung cemburu oleh ‘seseorang’. Sungguh lucu!

Saya teringat pula kepada teman-teman sekelas ketika itu. Antara yang memberi kesan besar dalam hidup saya ialah Rosmariati, Norshuhadah, Norliza, Siti Zaleha, Basiroh, Nurul Shahida, Suriani, Aniza, Sopiah dan teman-teman perempuan lain (sengaja menyebutkan) seperti Rashida, Suryati, Solehah, dan ramai lagi. Teman-teman sekelas lelaki pula amat ‘takut’ mahu menyapa saya, apatah lagi mahu rapat. Namun, yang turut mempengaruhi hidup saya ketika itu (dengan berkata jujur) ialah jejaka berwajah ala-ala Cina (Chinese look), iaitu Jamaludin, Safuan Fatih, Yusri, Shahril, Afwan dan Hafiz. Tetapi sekarang, yang mungkin baik (meskipun jarang sekali berhubung) dengan saya ialah Yusri sahaja. Apa cerita kalian selain daripada Wan Rahim yang baru bergelar ‘suami’?

Kenangan saya terhempas ke lantai hakikat.

“Cikgu sudah sampai. Datanglah ke pejabat!” Saya membaca SMS yang cikgu kirimkan. Ketika itu, saya sedang rancak berbual dengan seorang adik lelaki, bekas pelajar sekolah itu juga. Kami bubar.

Berjalanlah seorang saya ke pejabat sekolah. Melihat ada sepasang kasut. Menjenguk ke dalam, tiada sesiapa. Salam saya hulurkan. Ada sahutan kecil dari dalam bilik Penolong Kanan. Dan tiba-tiba, cikgu keluar dari bilik itu. Senyuman manis terpamer.

“Cikgu!”

Kami bersalaman dan berpelukan. Pertemuan ini sememangnya kami rancang, tetapi tidak akan terjadi juga tanpa keizinan daripada-Nya. Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah lebih hebat!

Mulailah kami berbual panjang. Menyentuh seputar sekolah, rakan-rakan lama, guru-guru, pencapaian sekolah, masalah sekolah, sastera– novel picisan, novel popular, novel berbudaya tinggi, puisi dan sebagainya, sehingga tidak sedar jam hampir ke pukul 5 petang. Emak kirimi SMS, bertanya; Sudah selesai?

Telefon bimbit bernyanyi nyaring. Ayah menelefon. “Sudah siap?” Dan saya mengiyakan. ‘Anak ini’, entah sampai bila mahu berkepit di bawah ketiak emak dan ayah?

Cikgu mengajak saya keluar melihat gerai-gerai jualan di hadapan sekolah sementara menanti ketibaan ayah.

“Ju minum air ais?” Soal cikgu.

“Minum! Saya bukan nak deklamasi puisi. Hehe.” Dan kami ketawa bersama.



Cikgu belanja saya minum. Air lengkong. Itu bahasa di sini. Jika bahasa standard– air bandung cincau, mungkin. Dan kami menikmati air sambil mengopek kulit kacang rebus di bawah khemah. Tidak lama kemudian, ayah tiba.

Saya dan cikgu berpelukan, dan kemudian kami berpisah. Entah bila akan saya jejak lagi ke sekolah ini? Sedikit terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan guru-guru saya yang lain– Ustaz Rejab, Ustazah Ramlah, Cikgu Ali, dan..... Saya sendiri tidak tahu apakah guru-guru yang pernah mencurah ilmu kepada saya suatu ketika dulu masih mengajar di situ. Cuma, jasa mereka akan saya kenang selagi jantung ini masih berdetak!



Tuesday, June 16, 2009

Inti Karipap

Seorang teman bertanya: Mengapa sudah agak lama tidak dipaparkan karya terbaru? Saya menjawab: Karyanya ada, tetapi tidak diposkan sebagai entri baru ke dalam blog ini.

Biar dahulu saya simpan karya itu di hati saya. Supaya tenang seketika. Saya digodam kecaburan, buat waktu ini saya kira. Saya masih belum miliki kekuatan untuk menggerakkan tangan menyusul tindakan terhadap karya saya itu. Bukan kerana tidak miliki keberanian, tetapi tidak punya kekuatan.

Supaya tidak bersawang teratak saya ini dek sawang, maka saya perturunkan sebuah tulisan yang saya kongsikan dengan 'adik-adik' tersayang. Intinya boleh dikutip bagi mereka yang berkeinginan mempelajari cerpen, berminat dengan cerpen, berhajat menjadi penulis atau sewaktu dengannya. Jika tidak, abaikan sahaja tulisan ini, atau mungkin ianya hanya cebisan sampah yang perlu dihumban kembali ke tempat asalnya- bakul sampah!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ketika mahu menunggang awan sebentar tadi, pantas sahaja tangan ini mencapai buku 'Penulisan Cerpen: Daripada Konvensi ke Inovasi' tulisan Othman Puteh. Ralit seketika, kemudian membatalkan niat mahu menunggang. Simpan dahulu awan di bawah bantal. Ada baiknya berkongsi tentang gagasan dalam buku ini dengan adik-adik.

Menyentuh berkenaan cerpen yang baik. Cerpen yang baik itu bagaimana? Untuk perbincangan ini, adalah baik andainya kita mula berkenalan terlebih dahulu dengan cerpen berbentuk konvensional, iaitu karya yang lazim disiarkan dalam kebanyakan akhbar dan majalah. Malah, suatu langkah yang bijak pula untuk kita memahami bentuk cerpen konvensional ini sebelum kita pergi lebih jauh untuk berkenalan dengan cerpen bentuk baru yang memperlihatkan kelainan daripada pelbagai aspek, sama ada daripada aspek struktur cerita mahupun langgam penceritaan.

Sebagai suatu ragam kesusasteraan yang konvensional, cerpen merupakan susunan kalimah yang mengongkong peristiwa-peristiwa cerita yang mempunyai tiga bahagian penting, iaitu:
* Bahagian permulaan cerita;
* Bahagian pertengahan cerita;
* Bahagian pengakhiran cerita.

Setiap bahagian daripada cerpen mempunyai fungsinya yang tersendiri. Bahagian permulaan akan bertindak sebagai memperkenalkan cerita. Dalam hal ini, termasuklah memperkenalkan watak, latar, suasana cerita, sikap watak atau perwatakan, membayangkan gagasan cerita dan semuanya itu dihantar dengan teknik penceritaan yang menarik.

Pada bahagian pertengahan cerita pula, watak-watak itu akan berkembang, bertindak, saling beraksi, mencetuskan pelbagai suasana, berhadapan dengan konflik, penuh kerumitan, permasalahan dan kesemuanya itu menjurus ke tingkat konflik yang tertinggi atau dikenali sebagai klimaks atau puncak.

Begitu cerita melewati bahagian pertengahan, maka cerpen berada dalam bahagian pengakhiran bagi penutup cerita ataupun penyelesaian semua konflik yang tercetus sebelumnya. Bagaimanapun, adalah tidak mustahil sekiranya konflik tidak dapat diselesaikan, watak-watak masih berada dalam kemelut hidup, tetapi cerita sudah pun berakhir. Jika ini yang terjadi, maka terserahlah kepada pembaca memberikan penyelesaiannya. Justeru, tidak mustahil pula penghayatan yang berkesan amat bergantung kepada latar pendidikan, pengalaman dan cita rasa pembaca sendiri untuk memberikan tafsiran dan tanggapan.

Haruslah diingat bahawa setiap cerpen yang dihasilkan mempunyai tema yang khusus. Tema merupakan inti cerita, atau bagi kakak-inti karipap. Ia merupakan gagasan utama yang ingin dihantar atau diucapkan oleh pengarang melalui ceritanya. Bagi pembaca, tema atau gagasan utama ini hanya diperoleh sesudah menghayati keseluruhan cerpen.

Kita pula harus menyedari istilah cerpen itu sendiri yang bermaksud cerita pendek. Dengan kata-kata lain, cerpen ialah ragam kesusasteraan yang dapat dibaca hingga selesai dalam jangka waktu yang relatif pendek. Tidak mustahil, dalam sekali duduk cerpen itu selesai dibaca. Justeru, bentuknya pendek- sekitar 8 hingga 12 halaman kertas berukuran A4- maka cukuplah daerah litupnya kecil dan terbatas serta tidak memungkinkan ia menemukan ruang lingkup yang luas seperti kategori novel. Apatah lagi, cerpen biasanya memusatkan ceritanya kepada seorang watak dengan satu permasalahan hidup yang dilaluinya. Lantas, ceritanya cukup padat, tiada bahagian yang longgar, apatah lagi menampilkan hal-hal yang remeh-temeh, yang tidak signifikan atau tanpa makna.

Setiap bahagian cerpen itu, sama ada pemilihan kata-katanya, pembinaan struktur kalimahnya, penyisipan majas atau kata kiasannya, tanda bacanya dan nada ceritanya tiada yang sesia, membazir dan boros. Jimat dan cermat. Kesemuanya itu ada fungsinya, sama penting untuk ikut menggerakkan perkembangan cerita, atau mengungkapkan watak dan perwatakan, menimbulkan suasana dan nada cerita serta menyerlahkan kemunasabahan dalam segala perilaku watak, sesuai dengan hukum sebab akibat.


Dapat disimpulkan di sini bahawa menulis cerpen merupakan cara menulis yang cukup terpilih dan paling ekonomis dalam banyak aspek. Di sinilah letaknya ciri-ciri cerpen yang baik. Justeru, setiap calon penulis, yakni cerpenis, wajarlah memberi perhatian kepada aspek dan ciri-ciri ini.

Di samping itu, sikap selektif amat penting. Ini kerana kita akan menceritakan hal-hal yang penting sahaja. Apatah lagi kita hanya ada masa yang singkat. ada ruang yang terhad, dan oleh sebab itulah, kita tidak boleh berkata-kata sesuatu yang tidak mustahak.

Pengalaman hidup dalam persekitaran yang kita saksikan atau alami, watak-watak manusia, binatang dan objek lain yang berada di jagat raya ini adalah fakta. Fakta itu tentunya sudah dipilih secara bijaksana dan tidak boleh ditulis atau dilaporkan begitu saja kerana ia tidak akan lahir sebagai cerpen. Justeru, fakta-fakta tersebut harus diadun dan dibaurkan dengan imaginasi. Pada tahap ini, seseorang haruslah kreatif dan inovatif. Daya imaginasi harus tajam dan berupaya mengolahnya dengan baik, indah dan menarik. Di sinilah pula pentingnya menguasai bahasa sebagai alat pengucapan pemikiran dan perasaan.

Sekiranya idea cerita sudah diperoleh, maka mulailah berusaha mendapatkan tema atau gagasannya (inti apa; inti daging? ayam?) Tanyalah kepada diri sendiri. Buatlah satu catatan ringkas dan padat bagi menggambarkan tema cerpen tersebut. Contohnya: Mencampuri orang yang rasuah akan merosakkan diri, lambat-launnya. Atau mungkin dalam bentuk majas: 'Rosak bawang kerana jambaknya.'

Catatan padat ringkas tentang tema ini akan banyak membantu dalam usaha memperkembangkan cerita. Cerita yang ditulis akan menjadi jelas dan tdak akan kesasar matlamat penceritaannya. Ia menjadi landasan atau panduan untuk terus berkarya hingga selesai. Sebagai pemula atau calon pengarang, adalah bijaksana dan munasabah untuk menyediakan kerangka cerita secara kasar sebelum memulakan penulisan. Sebaiknya ia merupakan satu perenggan yang terbina daripada 10 hingga 15 baris. Usah terlampau panjang. Yang penting, kerangka itu jelas memperlihatkan bahagian permulaan cerita, bahagian pertengahan dan bahagian pengakhiran cerita.

Kakak rasa, cukup sekadar itu dahulu. Akan bersambung di lain waktu.

Salam sayang.

Tuesday, June 9, 2009

Dalam Kenangan-Buat Yang Bergelar Teman

“Kami sering menyanyi bersama lagu “Dalam Kenangan”, suara halus akan tertebar ke seluruh langit, dibawa angin menderu ke bawah bukit, lalu hilang ditelan tanah-tanih subur di bawah sana. Kemudian puncak bukit disirami hujan. Gerimis yang berderai halus menjadi curahan lebat. Kami semua berteduh di bawah bangsal kecil. Seorang akan mengaku menjadi pelangi. “Selepas hujan teduh, pelangi akan bersinar untuk kamu, Salsabila.” Seorang lagi akan lebih mengusik, “Tetapi setelah hujan teduh, pelangi akan muncul lalu mesti ada matahari, dan akulah matahari untuk kamu.” – Petikan daripada Novel Tunggu Teduh Dahulu, karya Faisal Tehrani.

Mendengar halwa telinga ‘Dalam Kenangan’ dendangan Kumpulan Wheels, mengorakkan mindaku untuk mencantum semula cebis-cebis kenangan bersama teman-teman yang semakin ‘pergi’ meninggalkanku. Menyandang gelar mahasiswa tahun akhir merupakan tanda aras bahawa aku dan teman-teman sekursus menjadi pelajar Ijazah Sarjana Muda paling tua. Ditinggalkan teman-teman; jiran-jiran dari kursus lain yang mengikuti Sistem Pengajian Tiga Tahun (SPTT), sementara aku dan teman-teman sekursus terpilih ke Sistem Pengajian Empat Tahun (SPET).

Hakikatnya, terlalu banyak kenangan bersama kalian yang jika aku titipkan di sini, hanya membuatkan hatiku sebak. Diamnya aku bukan bermakna aku pergi. Bukan jua aku lari. Di hatiku, kalian masih teman-teman yang aku akui dunia dan akhirat. Teman yang benar.

Aku masih di jalan ini. Sehingga ke titik akhir hayatku.

Khas untuk kalian yang aku cinta selalu, dari dasar hati paling dalam, halwa telinga yang digilai oleh Salsabila Fahim, Kamil dan Lam Ping Hai dalam Novel Tunggu Teduh Dulu− Dalam Kenangan. Lagu ini merupakan kiriman seorang adik untukku ketika pertelingkahan kecil dengannya berkenaan beberapa metafora alam, dan katanya; ini bukan perdebatan antara Kamil dan Lam Ping Hai yang mahu menjadi pelangi dan mentari.

Dan lagu ini juga bukan untuk mengenang watak-watak tersebut, tetapi sebagai rasa penghargaanku memiliki sahabat dan teman seperti kalian yang sentiasa cuba membimbing, dengan menggalas payah dan mengendong sabar. Terima kasih!

Dalam Kenangan

Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendiri.

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan.

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan.

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu Teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan.

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya kan abadi dalam kenangan.
-Kumpulan Wheels


Thursday, May 28, 2009

Warkah Bisu Sekembalinya dari Desa PPMN

Untuk Adik-adikku: Nik Azri, Nurul Syifak, Muziru, Nuraini, Asilah, Shafiq Azli dan Amir.

Tika ini tiupan angin bagai mahu merebahkan pohon temak di hadapan rumah yang persis gergasi istana kacang. Hati sedikit goncang, bimbang jika ia benar-benar tumbang…? Ini lagi satu masalah apabila ‘seseorang’ tidak memikirkan maslahah ‘seseorang.’ Hujan sudah mulai menghunjam.


Lupakan tentang itu.


Adik-adik tersayang,


Ya, kalian tentu tidak sabar-sabar mahu tahu cerita atau pengalaman apa yang bakal kakak kongsi dari Perhimpunan Penulis Muda Nasional ’09 (PPMN ‘09). Adik Asilah, ketika kakak dalam perjalanan ke Melaka, dia sudah mulai SMS. Katanya, ‘Kakak, jangan lupa perkenalkan Asilah kepada penulis-penulis di sana. Sesiapa jua.’ Pastinya permintaan terhadap Faisal Tehrani (FT) adalah paling tinggi. Begitu juga Adik Muziru. Pesannya agar kakak dapat mengambil gambar FT sebanyak mungkin. Hehe. Tentu adik-adik kakak ini terkilan. FT tidak dapat menghadirkan diri. Beliau ke India. Boleh mengikuti perkembangan beliau di blognya.


Entah bagaimana mahu memulakan? Kakak kebuntuan. Beginilah, kakak langsung sahaja ke intinya. Kakak dan teman (seorang kakak berusia 25 tahun) bertolak ke DBP sekitar jam 7.45 pagi tanggal 22 Mei 2009, kerana kata mereka (pihak DBP), bas akan bertolak pada pukul 10 pagi. Menaiki teksi seorang pak cik yang baik hati. Tersilap mengambil jalan sehingga bayaran meter RM 16, tetapi disuruh bayar RM 10 sahaja. Alhamdulillah
.

Melihat bangunan DBP yang tersergam megah. Ketika itu, orang masih belum ramai. Berkelilinglah dua batang tubuh kami ke situ ke sini. Menanti hampir 2 jam. Lenguh sungguh berdiri! Dipendekkan cerita, bas DBP mulai bergerak sekitar jam 10.30 pagi. Antara yang menaiki bas tersebut ialah Kak Nasriah Abdul Salam dan adik-adik junior MPRnya (ehem!). Kebanyakan daripada mereka adalah pelajar-pelajar UIAM, seperti Kak Nasriah sendiri, Sayyidah Mu’izzah dan Azree Ariffin. Entahlah. Mungkin sudah lumrah begitu. Jika tempat pengajiannya sama, maka mereka akan lebih bergaul sesama mereka. Serupa juga dengan kakak. Kebanyakan AJK Pelaksana PPMN terdiri daripada pelajar-pelajar UM juga, dan mereka nampaknya lebih selesa menegur dan beramah mesra dengan kakak dan teman sekalipun tidak pernah bertemu atau berbual di UM (kerana berlainan fakulti). Kakak dan teman mengambil tempat duduk paling hadapan, iaitu betul-betul di belakang pemandu.


Encik Salleh dari DBP mengetuai perjalanan ke sana. Orangnya gempal, tetapi lucu. Di sepanjang perjalanan, kami ditayangkan dengan filem Siam yang penuh dengan aksi lawan, seperti tomoi (Ayah kakak juga dulu salah seorang pengamal ilmu seni tomoi ini). Pening kepala, kakak tidak memfokuskan sangat kepada tayangan tersebut. Gerun. Mereka beraksi sungguh-sungguh, sehingga ada yang patah leher (ditunjukkan pada akhir cerita) dan berdarah-darah. Kerana itu, filem mereka sungguh real kerana ia sememangnya real!

Pening dan pening. Bas asyik berhenti sahaja. Kata orang, fleksibel betul. Kalau ada yang nak buang air, atau nak beli apa-apa, beritahu sahaja kepada Encik Salleh. Bas akan berhenti. Geram juga. Sepatutnya boleh tiba lebih awal. Kakak mahu segera sampai di sana. Bosan sebab asyik naik bas. Pening lalat!


Kira-kira 2 jam kemudian, tibalah kami di Puteri Resort, Ayer Keroh. Resort, bukan hotel ya. Jadi, bukanlah hebat sangat. Biasa-biasa sahaja. Kakak sangka, sebaik sampai di sana bolehlah check in bilik, dan boleh melepaskan lelah seketika. Hampa. Entah kenapalah pengurusan DBP pada hari itu sungguh teruk dan buruk! Kakak memang berleterlah hari itu (berleter seorang diri). Tambahan pula dengan tidak dimaklumkan bahawa penyediaan makan tengah hari tidak ada. Ya Allah, serasa mahu pengsan (kakak jenis tak tahan jika makan tidak ikut waktu, nanti mulalah terketar-ketar dan sejuk satu badan). “Siaplah kau DBP. Aku akan komen!” Begitu getus hati kakak.


Terpaksa menunggu hampir 2 jam, iaitu setelah peserta-peserta lelaki balik daripada menunaikan solat Jumaat, barulah boleh check in bilik. Mujur kakak sudah menunaikan solat jamak qasar di surau yang disediakan. Bilik bernombor 105 (entah kenapa nombor ini begitu sinonim dengan kakak. Jika mengarang cerita, nombor ini juga yang akan terlintas di fikiran). Susun atur biliknya kemas, tetapi tidak sekemas dan seharum bilik di Rumah Universiti (UM). Betul tak Adik Azri? Haha, perasan! Katilnya ada 2. Katil bujang dengan warna selimut kehijauan yang sedikit lasam (banyak merungut! Sudahlah menginap percuma, masih tak tahu bersyukur). Jika berdiri di balkoni pula, dapat melihat kolam renang. Kemudian, datang 2 orang staf lelaki menekan loceng pintu. Mereka menghantar sebuah lagi katil kerana peserta PPMN ditempatkan 3 orang sebilik.


Setelah mengemas barang, kakak dan teman terus menuju ke dewan. Menurut tentatif (dapat tahu dari mulut AJK Pelaksana sahaja kerana tentatif masih belum dapat), majlis akan bermula pada jam 2.30 petang. Yalah tu. Betul sangat. Sebaik memasuki dewan, kakak dan teman di antara orang paling awal selain seorang artis bernama Shahriza Mahmud. Menanti dan terus menanti dalam kebuluran (suka guna istilah ini jika terlalu lapar). Tidak lama kemudian, datanglah beberapa orang mantan MPR yang lebih kurang sebaya, duduk di hadapan kami. Seorang daripada mereka tersenyum-senyum memandang kami (sejak dari dalam bas), kemudian memandang belakang dan menyapa: “Assalamualaikum, nak berkenal-kenal dulu dengan kakak-kakak.” Kami pun berkenalanlah. Nama si ramah dan murah senyuman itu ialah Hafiz, atau nama penanya-Ilham Hafiz. MPR 2002. Bila ditanya umur, katanya, dia adik, dan memanggil kakak sebagai ‘Kak Ju.’ Teman-temannya ketawa. Serasa hairan juga (lama-kelamaan dia menggugurkan istilah ‘kakak’ dan memanggil ‘Ju’ sahaja. Sebenarnya dia bukan adik, mungkin seusia). Seorang lagi temannya ialah Azree Ariffin. MPR 2005. Katanya: “Bukan Nik Azri ya?” Dan dia ketawa.


Majlis dimulakan sekitar jam 3.30 petang (kakak membuat agakan sahaja kerana tidak membawa pulang tentatifnya). Terlupa mahu memberitahu tema PPMN kali ini, iaitu ‘Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran.’ Program pada petang itu ialah pembentangan kertas kerja oleh Saudara Salman Sulaiman, Tuan Hj. Zulkifli Khair dan juga Saudara Lutfi Ishak. Rasanya kakak tidak akan membincangkan tentang kertas kerja mereka, kerana kakak sendiri belum hadaminya. Insya-Allah, di lain waktu, kakak akan menyentuh tentang itu. Buat sementara, adik-adik bolehlah merujuk berkenaan kertas kerja tersebut di blog MPR atau yang berkaitan.


Namun, sebagai sedikit perkongsian (supaya bicara ini tidak dibakulsampahkan), menurut Tuan Hj. Zulkifli Khair, seorang yang ramah, murah senyuman dan senang didekati (penulis novel ‘Di Batas Waktu’), lebih awal seseorang yang kreatif itu produktif, dia akan menjadi seorang yang semakin produktif. Kata-kata ini sebenarnya dipetik daripada Jane Piirto. Ini bermakna, sekiranya kita memulakan langkah menulis lebih awal, maka kita akan berupaya menghasilkan karya kreatif yang lebih berkualiti dalam usia yang muda. Sebagai contoh, jika adik Muziru atau Asilah sudah mula aktif menulis pada usia sekarang (17 tahun), adik-adik insya-Allah akan berjaya menghasilkan mahakarya ketika usia 27 tahun, mungkin. Jadi, berusahalah!


Sebuah lagi pesanan keramat daripada Tuan Hj. Zulkifli Khair ialah: “Tulislah buku kerana ramai penulis veteran menyatakan kekesalan, kerana mereka banyak sekali menulis, namun tidak menulis buku. 3 ‘income’ yang akan kita perolehi hasil daripada menulis buku, iaitu royalti, pahala dan akhirat.”


Alhamdulillah, seusainya pembentangan kertas kerja sekitar jam 5.40 petang, kami akhirnya dijamu makan. Menunya ialah mi goreng, sedikit kuih-muih, kek dan minuman kopi dan teh. Sambil mengambil makanan, tiba-tiba terlihat tampang Saudara Azman Ahmad, atau nama penanya-Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Sebelum ini kakak pernah bertemu dengannya sekali di Pejabat SUK Kelantan pada hujung tahun lepas (2008) kerana menghadiri Seminar Tulisan Jawi. Beliau menjadi pembentang kertas kerja dalam seminar tersebut.


Setelah melapik perut dengan mi goreng, kakak dan teman pulang ke bilik. Berkenalan dengan ahli bilik yang baru. Pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan dia mengkhusus dalam penulisan lirik lagu. Comel orangnya.


Setelah membersihkan diri dan solat, kakak dan teman bergegas ke dewan makan. Ketika itu orang sudah mulai ramai dan banyak meja makan yang sudah penuh. Gesit mencapai pinggan dan melayan diri. Antara menu pada malam itu ialah ayam masak lemak cili padi (ini lauk wajib orang Negeri Sembilan dan Melaka), sup ayam, sambal tumis, dan…..alamak, tak ingat. Hehe. Sebab kakak jenis yang makan paling banyak pun 3 lauk sahaja. Tak pandai makan banyak-banyak, cuma kerap makan. Ada banyak pencuci mulut juga seperti 2,3 jenis kek, puding, serta buah-buahan. Tapi malam itu kakak langsung tidak mengambilnya. Perut kecil. Haha!


Makan pula lambat. Teman kakak mula merungut. “Ju, cepatlah makan tu!” “Pi lah dulu!” Balas kakak dengan loghat Kedah (kerana dia juga Kedah). Hehe, Kakak kurang suka menunggu dan juga tidak suka ditunggu. Lalu, teman kakak pergi dahulu, meninggalkan kakak makan berseorangan. Apa lagi, kakak mula makan dengan kelam kabut. Membaca doa selepas makan, dan bergegas ke dewan.


Cis, ini yang nak marah ni! Belum ada orang pun. Haha, Kakak dan teman adalah orang yang sedikit kalut dan mahu cepat. Tetapi teman kakak itu terlebih lagi kalut. (^^,) Dipendekkan cerita, agenda malam itu juga ialah pembentangan kertas kerja. Para pembentang terdiri daripada Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, Nisah Haron, Sahrunizam Abd. Talib dan Khairun Nasriah Abd. Salam. Pengerusinya ialah Saudara Rahimidin Zahari. Di sini, kakak sekadar mahu berkongsi pesanan Kak Nisah. Katanya, tulislah buku (ramai penulis yang menganjurkan begini). Atau, tulislah cerpen banyak-banyak, kemudian bukukan (antologi). Jika tidak, anda tidak akan diperhatikan (maksudnya, karya sukar mendapat tempat di media). Jadi, apa kata adik-adik?


Malam itu, majlis berhenti kira-kira jam 10.30 malam, dan akan bersambung pula pada keesokan harinya. Malam itu juga, kakak masih ingat, beberapa orang teman mengirimi SMS. Sudah mula dipalu rindu-mahu tahu perkembangan di PPMN. (^^,) Orang yang jiwanya berbara semangat, begitulah. Syabas!


Adik-adik tersayang,


Kakak langsung sahaja ke aturcara keesokan harinya. Pagi itu, setelah bersarapan, kira-kira jam 8.30 pagi, bermulalah ucap utama yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Seterusnya diikuti oleh perbahasan ucap utama oleh Dr. Awang Azman Awang Pawi dan Saudara S.M. Zakir. Adik-adik boleh merujuk blog Datuk Anwar Ridhwan untuk melihat kertas kerjanya. Kakak kira, berbisa juga biusannya. Menurut beliau, karya yang hanya dipenuhi emosi akan menjadi karya popular sahaja, tidak karya sastera serius. Beliau seterusnya menggesa supaya perubahan drastik segera dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.


Setelah itu, majlis berhenti rehat kira-kira satu jam setengah untuk makan dan solat. Agenda berikutnya ialah pembentangan kertas kerja pada jam 2.30 petang, namun yang sebetulnya, ia bermula pada jam 2.45. Lari sedikit daripada waktu yang ditetapkan. Sebelum ke dewan makan, sempat bertegur sapa dengan Kak Ummu Hani Abu Hassan, penulis yang namanya semakin mencanak naik. Kak Ummu sedikit terkejut kerana ada juga pelajar-pelajar dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang datang. Menurut beliau, jarang budak-budak APIUM mahu datang dan berminat dengan program sebegitu. Bagus, katanya. Kak Ummu juga pelajar APIUM suatu ketika dahulu, dan sekarang merupakan pelajar postgraduate di sana. Kak Ummu kemudiannya meminta kakak dan teman bergambar dengan buku-buku yang dijualnya, serta turut serta ialah Ilham Hafiz, mantan MPR yang mesra dan ramah.


Pembentangan kertas kerja pada petang itu, bagi kakak, sungguh mengujakan! Sejak dari hari pertama di situ, kakak memang ternanti-nantikan pembentangan oleh Ali Bukhori Amir (editor Harakah yang sering kakak lihat tulisan beliau di media), Kak Ummu Hani, juga mahu melihat Saudara Nazmi Yaakub (ada rakaman nostalgia dengannya suatu ketika dahulu). Ahli panel pertama ialah Saudara Ja’afar Hamdan, penulis kelahiran Sarawak. Menurut beliau, perjuangan tidak melihat usia. Ingat! (Berkata kepada diri: Jangan terlalu perasan diri sudah tua). Kakak sungguh-sungguh mengkagumi Saudara Ja’afar Hamdan ini kerana kobaran api semangatnya yang kakak lihat menyala-nyala. Marak! Beliau merupakan pejuang bahasa dan sastera yang sungguh aktif di Sarawak suatu waktu dulu (sebelum dipindahkan ke DBP Wilayah Selatan), demi menyingkap tirai kebunian di sana. Ini kerana, menurut beliau, alam keilmuan di sana agak ketinggalan. Begitu juga, kakak teruja dan seronok mendengar pembentangan kertas kerja (sebenarnya lebih banyak menceritakan pengalaman menulis) oleh Saudara Ali Bukhori dan Kak Ummu Hani, yang bagi kakak, sangat membantu untuk memotivasikan diri menjadi seperti mereka. Sepotong kata daripada Kak Ummu Hani ialah: “Penulis perlu banyak bergaul dan berinteraksi dengan masyarakat. Tidak boleh syok sendiri.” Ambil perhatian ya pada kata-kata keramat ini. Jadikan ia sebagai azimat. Kakak juga sedang berusaha genggaminya.


Kakak mahu melompat terus ke agenda malam hari. Candle light dinner. Atau makan malam berlampukan lilin? Lokasinya di tepi kolam renang dengan simbahan cahaya lampu merah. Bukan lilin. Ketika kakak, teman, Kak Ummu Hani dan Kak Asiah (teman Kak Ummu Hani-juga lulusan dari UM) menikmati hidangan, belum ramai peserta yang turun. Yang ada pun ialah Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, Zulkifli Khair dan 2,3, orang lagi sahaja. Agaknya, kami yang awal ini terlalu lapar? Mungkin? (^^,)


Makan semeja dan bersebelahan dengan Kak Ummu Hani, sedikit sebanyak dapat berkongsi petua dan sedikit pengalaman penulisan daripadanya. Beliau juga merupakan mantan MPR. Tetapi katanya, tidaklah menulis sangat pun ketika itu. Berada di UM, dan sewaktu hampir tamat pengajian, barulah beliau aktif menulis. “Tulis sahaja. Yang penting, tulis!” Begitu pesannya.


Terlupa memberitahu. Malam itu, sambil makan malam, ada persembahan oleh peserta. Ada yang mendeklamasikan sajak, berlagu puisi dan bernazam. Persembahan pertama ialah lagu puisi yang didendangkan oleh seorang peserta dari Singapura, iaitu Saudara Herman Mutiara. Sedap sungguh! Beliau menyanyikan lagu tersebut sambil jari-jemarinya tangkas memetik tali gitar. Kak Nisah Haron pula bernazam dengan pusi Dharma Wijaya bertajuk ‘Harapan’, yang sering beliau dendangkan ketika si kecilnya menangis. Antara para peserta lain yang mengambil bahagian pada malam itu ialah Dato’ Baha Zain, Rahimidin Zahari, Salman Sulaiman, S.M. Zakir, Shahriza Mahmud dan Alumni MPR. Tidak semua peserta dapat membuat persembahan pada malam itu kerana majlis terpaksa ditamatkan pada waktunya, supaya tidak kelelahan keesokan hari.


Malam itu, kakak pulang ke bilik berseorangan kerana teman kakak mahu melayari internet di lobi. Di bilik, barulah kakak berpeluang bercerita panjang dengan teman baru itu. Seronok sekali mendengar pengalamannya menulis lirik lagu, yang kebanyakannya ditulis atas permintaan daripada pelbagai institusi. Menurutnya, baru-baru ini, sekolah di Putrajaya membeli lirik lagunya. Dan untuk Akademi Fantasia yang akan datang, dia turut terlibat menghasilkan lirik lagu bagi juaranya (jika kakak tidak salah faham).


Terus beranjak ke esoknya. 24 Mei 2009. Hari terakhir. Ketika bersarapan di dewan makan, sempat lagi berkenalan dengan kakak-kakak dari UNISEL. Mereka merupakan pensyarah di sana dan meminati sastera. Kak Nur Umar dan Kak Nita. Kak Nur Umar sememangnya mengkhusus dalam bahasa, dan pernah menulis tesis berkenaan pantun. Kakak bertanya: “Kakak, apakah ciri-ciri pantun yang baik?” Menurutnya, pantun yang baik itu mempunyai banyak ciri. Antaranya, ia mestilah mempunyai unsur-unsur alam sekeliling. Namun demikian, katanya lagi, sekarang ini pantun pun sudah disesuaikan dengan perkembangan semasa. Contohnya, memasukkan istilah atau nama-nama yang kedengarannya canggih, atau teknologi. Seperti: Proton Saga. Hendak dikatakan salah, tidak. Cuma sebaik-baiknya mengekalkan unsur-unsur alam semulajadi untuk melestarikan nilai-nilai ketimuran dan kemelayuan kita.


Masuk ke dewan seperti biasa. Pembentangan kertas kerja oleh Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir tentang sains tabii dan sastera, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dengan kertas kerjanya ‘Sastera ilmi sebagai pemangkin budaya intelektualisme dalam peradaban ummah: Satu renungan awal,’ dan juga perkongsian pengetahuan berkenaan sastera Inggeris oleh Saudara Nasirin Abdillah, dengan kertas kerja berjudul ‘Sains dan sastera dalam filem: Satu tinjauan terhadap sastera Inggeris.’


Ketika majlis berhenti rehat beberapa minit untuk minum pagi, kakak mengambil peluang itu untuk meminta autograf daripada para penulis. Sedikit kesal kerana tidak berbuat begitu pada awal program lagi, dan nah, padan muka! Justeru, kakak hanya sempat meminta autograf daripada Saudara Ja’afar Hamdan, Salman Sulaiman, Ali Bukhori Amir, Nazmi Yaakub, Rahimidin Zahari, juga S.M. Zakir dengan sedikit kata-kata perangsang daripada mereka. Kakak suka untuk berkongsi mutiara kata sarat makna daripada Rahimidin Zahari:


Saudari Juwairiah,

Mutiara tetap mutiara

Meskipun terpendam

Di perut tiram

Jauh di dasar

Lautan.

-Rahimidin Zahari


Seterusnya, majlis disambung dengan pembentangan kertas kerja terakhir oleh Ariff Mohamad, Salina Ibrahim dan Ridzuan Harun. Kata Ridzuan Harun: “Saya melihat, para penulis menjadi budiman kelmarin sewaktu perasmian (kakak sengaja tidak nyatakan tentang perasmian di sini). Kenapa tidak bangun sahaja dan keluar dari dewan?” Apa yang ada dalam perasmian tersebut ya? (^^,)


Baiklah. Setelah panjang lebar bercerita, membebel, mengomel dan membongkas jemu adik-adik sekalian, apakah resolusi hasil daripada PPMN itu? Antara yang sempat kakak catatkan ialah: 1) PPSMI hendaklah dimansuhkan segera. 2) Mewujudkan sekretariat tetap penulis muda. 3) Pemberian dana khas oleh Kementerian Belia dan Sukan kepada pertubuhan penulis setaraf dengan pertubuhan belia lain. 4) Mewajibkan mata pelajaran kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.


Adik-adik tersayang,


Maafkan kakak kerana mencuri masa emas kalian semata-mata mahu menatap warkah bisu ini. Kata seorang teman, warkah itu sememangnya bisu, namun terangkum makna yang mendalam. Sehingga berjumpa lagi.



Sayang selalu,

Kakak.



Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com