Thursday, June 25, 2009

Ini Cikgu Saya!

Kira-kira jam 3.30 petang, saya tiba di sekolah. Sekolah lama yang sudah bertahun tidak dijengah. Bukan melupakan, bahkan wajah dan nadinya sentiasa hidup dalam desah nafas dan darah saya. Cuma kerana malas dan malu tak bertempat, sering saya tidak ikut serta dalam perjumpaan-perjumpaan bekas pelajar yang diadakan, meskipun ketika tahun-tahun awal berada di alam kampus, saya selalu menziarahi guru-guru di sekolah. Hendak kata teruk atau ‘kacang lupakan kulit’ pun boleh juga. Terserah. Tetapi saya tahu hati saya.

Saya kirimi sebuah SMS. “Cikgu, saya dah sampai.”

“Tunggu. Cikgu masih di rumah.” Jawapan balas daripada cikgu yang selamanya akan di hati dan jiwa saya-Cikgu Sharifah Zainon! Sehingga bila-bila, saya akan tetap mengingatinya sebagai guru Bahasa Melayu yang pernah melorongi dan mendorong saya ke ‘jalan ini’.

Saya memerhatikan khemah-khemah yang didirikan di hadapan bangunan sekolah. Di penjuru kiri dan kanan bangunan terdapat penjaja-penjaja menjual makanan ringan, juga pakaian. Tetapi tidaklah ramai. Saya membandingkan keadaan itu dengan kondisi zaman persekolahan saya suatu waktu dulu meriah dengan kunjungan orang ramai dan penjaja-penjaja yang setia menjual sehingga ke malam hari. Hari Ihtifal (perayaan ulang tahun sekolah) musim ini tidak serupa lagi dengan musim-musim yang telah berlalu. Sewaktu zaman saya masih comot dengan baju kurung putih dan berkain hijau, malah dengan cermin mata pula (betul-betul seperti ulat buku), saya merasakan itulah di antara zaman-zaman kegemilangan sekolah, sama ada dari aspek pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, malah akhlak juga. Tidak seperti sekarang. Inilah realiti yang harus saya terima.

Cikgu belum datang. Suasana lengang. Saya kematian punca. Khemah-khemah hanya dihuni oleh kerusi-kerusi kosong. Saya ke bilik guru, sengaja mahu melihat kalau-kalau ada guru yang masih belum pulang. Tiada. Saya mengambil keputusan untuk menemani kerusi-kerusi kosong di bawah khemah. Memerhatikan pentas yang dibina khas untuk majlis penutup ihtifal dan anugerah pelajar cemerlang, saya kembali menyulam kenangan di kanvas memori. Suatu waktu dulu, saya juga pernah beberapa kali menaiki pentas itu sambil diperhatikan oleh emak dan ayah. Malah, pernah sekali bersama-sama emak mengambil hadiah. Indahnya kenangan!

Di pentas seperti itu jugalah dahulunya berlaku pelbagai peristiwa yang tak mungkin saya lupakan. Mengambil hadiah daripada tangan ‘seseorang’ (kerana ketika itu saya tidak tahu bahawa saya dapat tempat ketiga kategori terjemahan bahasa Arab. Kemudian terpaksa berlari-lari anak ke pentas) sambil direnung cemburu oleh ‘seseorang’. Sungguh lucu!

Saya teringat pula kepada teman-teman sekelas ketika itu. Antara yang memberi kesan besar dalam hidup saya ialah Rosmariati, Norshuhadah, Norliza, Siti Zaleha, Basiroh, Nurul Shahida, Suriani, Aniza, Sopiah dan teman-teman perempuan lain (sengaja menyebutkan) seperti Rashida, Suryati, Solehah, dan ramai lagi. Teman-teman sekelas lelaki pula amat ‘takut’ mahu menyapa saya, apatah lagi mahu rapat. Namun, yang turut mempengaruhi hidup saya ketika itu (dengan berkata jujur) ialah jejaka berwajah ala-ala Cina (Chinese look), iaitu Jamaludin, Safuan Fatih, Yusri, Shahril, Afwan dan Hafiz. Tetapi sekarang, yang mungkin baik (meskipun jarang sekali berhubung) dengan saya ialah Yusri sahaja. Apa cerita kalian selain daripada Wan Rahim yang baru bergelar ‘suami’?

Kenangan saya terhempas ke lantai hakikat.

“Cikgu sudah sampai. Datanglah ke pejabat!” Saya membaca SMS yang cikgu kirimkan. Ketika itu, saya sedang rancak berbual dengan seorang adik lelaki, bekas pelajar sekolah itu juga. Kami bubar.

Berjalanlah seorang saya ke pejabat sekolah. Melihat ada sepasang kasut. Menjenguk ke dalam, tiada sesiapa. Salam saya hulurkan. Ada sahutan kecil dari dalam bilik Penolong Kanan. Dan tiba-tiba, cikgu keluar dari bilik itu. Senyuman manis terpamer.

“Cikgu!”

Kami bersalaman dan berpelukan. Pertemuan ini sememangnya kami rancang, tetapi tidak akan terjadi juga tanpa keizinan daripada-Nya. Manusia merancang, Allah juga merancang, tetapi perancangan Allah lebih hebat!

Mulailah kami berbual panjang. Menyentuh seputar sekolah, rakan-rakan lama, guru-guru, pencapaian sekolah, masalah sekolah, sastera novel picisan, novel popular, novel berbudaya tinggi, puisi dan sebagainya, sehingga tidak sedar jam hampir ke pukul 5 petang. Emak kirimi SMS, bertanya; Sudah selesai?

Telefon bimbit bernyanyi nyaring. Ayah menelefon. “Sudah siap?” Dan saya mengiyakan. ‘Anak ini’, entah sampai bila mahu berkepit di bawah ketiak emak dan ayah?

Cikgu mengajak saya keluar melihat gerai-gerai jualan di hadapan sekolah sementara menanti ketibaan ayah.

“Ju minum air ais?” Soal cikgu.

“Minum! Saya bukan nak deklamasi puisi. Hehe.” Dan kami ketawa bersama.



Cikgu belanja saya minum. Air lengkong. Itu bahasa di sini. Jika bahasa standard air bandung cincau, mungkin. Dan kami menikmati air sambil mengopek kulit kacang rebus di bawah khemah. Tidak lama kemudian, ayah tiba.

Saya dan cikgu berpelukan, dan kemudian kami berpisah. Entah bila akan saya jejak lagi ke sekolah ini? Sedikit terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan guru-guru saya yang lain Ustaz Rejab, Ustazah Ramlah, Cikgu Ali, dan..... Saya sendiri tidak tahu apakah guru-guru yang pernah mencurah ilmu kepada saya suatu ketika dulu masih mengajar di situ. Cuma, jasa mereka akan saya kenang selagi jantung ini masih berdetak!



Tuesday, June 16, 2009

Inti Karipap

Seorang teman bertanya: Mengapa sudah agak lama tidak dipaparkan karya terbaru? Saya menjawab: Karyanya ada, tetapi tidak diposkan sebagai entri baru ke dalam blog ini.

Biar dahulu saya simpan karya itu di hati saya. Supaya tenang seketika. Saya digodam kecaburan, buat waktu ini saya kira. Saya masih belum miliki kekuatan untuk menggerakkan tangan menyusul tindakan terhadap karya saya itu. Bukan kerana tidak miliki keberanian, tetapi tidak punya kekuatan.

Supaya tidak bersawang teratak saya ini dek sawang, maka saya perturunkan sebuah tulisan yang saya kongsikan dengan 'adik-adik' tersayang. Intinya boleh dikutip bagi mereka yang berkeinginan mempelajari cerpen, berminat dengan cerpen, berhajat menjadi penulis atau sewaktu dengannya. Jika tidak, abaikan sahaja tulisan ini, atau mungkin ianya hanya cebisan sampah yang perlu dihumban kembali ke tempat asalnya- bakul sampah!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ketika mahu menunggang awan sebentar tadi, pantas sahaja tangan ini mencapai buku 'Penulisan Cerpen: Daripada Konvensi ke Inovasi' tulisan Othman Puteh. Ralit seketika, kemudian membatalkan niat mahu menunggang. Simpan dahulu awan di bawah bantal. Ada baiknya berkongsi tentang gagasan dalam buku ini dengan adik-adik.

Menyentuh berkenaan cerpen yang baik. Cerpen yang baik itu bagaimana? Untuk perbincangan ini, adalah baik andainya kita mula berkenalan terlebih dahulu dengan cerpen berbentuk konvensional, iaitu karya yang lazim disiarkan dalam kebanyakan akhbar dan majalah. Malah, suatu langkah yang bijak pula untuk kita memahami bentuk cerpen konvensional ini sebelum kita pergi lebih jauh untuk berkenalan dengan cerpen bentuk baru yang memperlihatkan kelainan daripada pelbagai aspek, sama ada daripada aspek struktur cerita mahupun langgam penceritaan.

Sebagai suatu ragam kesusasteraan yang konvensional, cerpen merupakan susunan kalimah yang mengongkong peristiwa-peristiwa cerita yang mempunyai tiga bahagian penting, iaitu:
* Bahagian permulaan cerita;
* Bahagian pertengahan cerita;
* Bahagian pengakhiran cerita.

Setiap bahagian daripada cerpen mempunyai fungsinya yang tersendiri. Bahagian permulaan akan bertindak sebagai memperkenalkan cerita. Dalam hal ini, termasuklah memperkenalkan watak, latar, suasana cerita, sikap watak atau perwatakan, membayangkan gagasan cerita dan semuanya itu dihantar dengan teknik penceritaan yang menarik.

Pada bahagian pertengahan cerita pula, watak-watak itu akan berkembang, bertindak, saling beraksi, mencetuskan pelbagai suasana, berhadapan dengan konflik, penuh kerumitan, permasalahan dan kesemuanya itu menjurus ke tingkat konflik yang tertinggi atau dikenali sebagai klimaks atau puncak.

Begitu cerita melewati bahagian pertengahan, maka cerpen berada dalam bahagian pengakhiran bagi penutup cerita ataupun penyelesaian semua konflik yang tercetus sebelumnya. Bagaimanapun, adalah tidak mustahil sekiranya konflik tidak dapat diselesaikan, watak-watak masih berada dalam kemelut hidup, tetapi cerita sudah pun berakhir. Jika ini yang terjadi, maka terserahlah kepada pembaca memberikan penyelesaiannya. Justeru, tidak mustahil pula penghayatan yang berkesan amat bergantung kepada latar pendidikan, pengalaman dan cita rasa pembaca sendiri untuk memberikan tafsiran dan tanggapan.

Haruslah diingat bahawa setiap cerpen yang dihasilkan mempunyai tema yang khusus. Tema merupakan inti cerita, atau bagi kakak-inti karipap. Ia merupakan gagasan utama yang ingin dihantar atau diucapkan oleh pengarang melalui ceritanya. Bagi pembaca, tema atau gagasan utama ini hanya diperoleh sesudah menghayati keseluruhan cerpen.

Kita pula harus menyedari istilah cerpen itu sendiri yang bermaksud cerita pendek. Dengan kata-kata lain, cerpen ialah ragam kesusasteraan yang dapat dibaca hingga selesai dalam jangka waktu yang relatif pendek. Tidak mustahil, dalam sekali duduk cerpen itu selesai dibaca. Justeru, bentuknya pendek- sekitar 8 hingga 12 halaman kertas berukuran A4- maka cukuplah daerah litupnya kecil dan terbatas serta tidak memungkinkan ia menemukan ruang lingkup yang luas seperti kategori novel. Apatah lagi, cerpen biasanya memusatkan ceritanya kepada seorang watak dengan satu permasalahan hidup yang dilaluinya. Lantas, ceritanya cukup padat, tiada bahagian yang longgar, apatah lagi menampilkan hal-hal yang remeh-temeh, yang tidak signifikan atau tanpa makna.

Setiap bahagian cerpen itu, sama ada pemilihan kata-katanya, pembinaan struktur kalimahnya, penyisipan majas atau kata kiasannya, tanda bacanya dan nada ceritanya tiada yang sesia, membazir dan boros. Jimat dan cermat. Kesemuanya itu ada fungsinya, sama penting untuk ikut menggerakkan perkembangan cerita, atau mengungkapkan watak dan perwatakan, menimbulkan suasana dan nada cerita serta menyerlahkan kemunasabahan dalam segala perilaku watak, sesuai dengan hukum sebab akibat.


Dapat disimpulkan di sini bahawa menulis cerpen merupakan cara menulis yang cukup terpilih dan paling ekonomis dalam banyak aspek. Di sinilah letaknya ciri-ciri cerpen yang baik. Justeru, setiap calon penulis, yakni cerpenis, wajarlah memberi perhatian kepada aspek dan ciri-ciri ini.

Di samping itu, sikap selektif amat penting. Ini kerana kita akan menceritakan hal-hal yang penting sahaja. Apatah lagi kita hanya ada masa yang singkat. ada ruang yang terhad, dan oleh sebab itulah, kita tidak boleh berkata-kata sesuatu yang tidak mustahak.

Pengalaman hidup dalam persekitaran yang kita saksikan atau alami, watak-watak manusia, binatang dan objek lain yang berada di jagat raya ini adalah fakta. Fakta itu tentunya sudah dipilih secara bijaksana dan tidak boleh ditulis atau dilaporkan begitu saja kerana ia tidak akan lahir sebagai cerpen. Justeru, fakta-fakta tersebut harus diadun dan dibaurkan dengan imaginasi. Pada tahap ini, seseorang haruslah kreatif dan inovatif. Daya imaginasi harus tajam dan berupaya mengolahnya dengan baik, indah dan menarik. Di sinilah pula pentingnya menguasai bahasa sebagai alat pengucapan pemikiran dan perasaan.

Sekiranya idea cerita sudah diperoleh, maka mulailah berusaha mendapatkan tema atau gagasannya (inti apa; inti daging? ayam?) Tanyalah kepada diri sendiri. Buatlah satu catatan ringkas dan padat bagi menggambarkan tema cerpen tersebut. Contohnya: Mencampuri orang yang rasuah akan merosakkan diri, lambat-launnya. Atau mungkin dalam bentuk majas: 'Rosak bawang kerana jambaknya.'

Catatan padat ringkas tentang tema ini akan banyak membantu dalam usaha memperkembangkan cerita. Cerita yang ditulis akan menjadi jelas dan tdak akan kesasar matlamat penceritaannya. Ia menjadi landasan atau panduan untuk terus berkarya hingga selesai. Sebagai pemula atau calon pengarang, adalah bijaksana dan munasabah untuk menyediakan kerangka cerita secara kasar sebelum memulakan penulisan. Sebaiknya ia merupakan satu perenggan yang terbina daripada 10 hingga 15 baris. Usah terlampau panjang. Yang penting, kerangka itu jelas memperlihatkan bahagian permulaan cerita, bahagian pertengahan dan bahagian pengakhiran cerita.

Kakak rasa, cukup sekadar itu dahulu. Akan bersambung di lain waktu.

Salam sayang.

Tuesday, June 9, 2009

Dalam Kenangan-Buat Yang Bergelar Teman

“Kami sering menyanyi bersama lagu “Dalam Kenangan”, suara halus akan tertebar ke seluruh langit, dibawa angin menderu ke bawah bukit, lalu hilang ditelan tanah-tanih subur di bawah sana. Kemudian puncak bukit disirami hujan. Gerimis yang berderai halus menjadi curahan lebat. Kami semua berteduh di bawah bangsal kecil. Seorang akan mengaku menjadi pelangi. “Selepas hujan teduh, pelangi akan bersinar untuk kamu, Salsabila.” Seorang lagi akan lebih mengusik, “Tetapi setelah hujan teduh, pelangi akan muncul lalu mesti ada matahari, dan akulah matahari untuk kamu.” – Petikan daripada Novel Tunggu Teduh Dahulu, karya Faisal Tehrani.

Mendengar halwa telinga ‘Dalam Kenangan’ dendangan Kumpulan Wheels, mengorakkan mindaku untuk mencantum semula cebis-cebis kenangan bersama teman-teman yang semakin ‘pergi’ meninggalkanku. Menyandang gelar mahasiswa tahun akhir merupakan tanda aras bahawa aku dan teman-teman sekursus menjadi pelajar Ijazah Sarjana Muda paling tua. Ditinggalkan teman-teman; jiran-jiran dari kursus lain yang mengikuti Sistem Pengajian Tiga Tahun (SPTT), sementara aku dan teman-teman sekursus terpilih ke Sistem Pengajian Empat Tahun (SPET).

Hakikatnya, terlalu banyak kenangan bersama kalian yang jika aku titipkan di sini, hanya membuatkan hatiku sebak. Diamnya aku bukan bermakna aku pergi. Bukan jua aku lari. Di hatiku, kalian masih teman-teman yang aku akui dunia dan akhirat. Teman yang benar.

Aku masih di jalan ini. Sehingga ke titik akhir hayatku.

Khas untuk kalian yang aku cinta selalu, dari dasar hati paling dalam, halwa telinga yang digilai oleh Salsabila Fahim, Kamil dan Lam Ping Hai dalam Novel Tunggu Teduh Dulu− Dalam Kenangan. Lagu ini merupakan kiriman seorang adik untukku ketika pertelingkahan kecil dengannya berkenaan beberapa metafora alam, dan katanya; ini bukan perdebatan antara Kamil dan Lam Ping Hai yang mahu menjadi pelangi dan mentari.

Dan lagu ini juga bukan untuk mengenang watak-watak tersebut, tetapi sebagai rasa penghargaanku memiliki sahabat dan teman seperti kalian yang sentiasa cuba membimbing, dengan menggalas payah dan mengendong sabar. Terima kasih!

Dalam Kenangan

Bila terkenang masa lalu rasa terharu
Segalanya masih kekal dalam kenangan
Tiba di persimpangan jalan berpisah jauh
Sekian lama di rantau bersendiri.

Tiada lagi seruling senja mendayu
Tiada lagi ketawa riang bersama
Bila sepi mengusik hati
Semuanya kini dalam kenangan.

Aku kirimkan restu pada ayah dan bonda
Budi dan jasamu tetap dalam kenangan
Teman seiring jalan kini jauh dariku
Kemesraan kita tetap dalam kenangan.

Tiada lagi suara ombak di pantai
Tiada lagi bayu Teberau membelai
Di saat sepi begini
Semuanya kini dalam kenangan.

Bila masanya tiba nanti aku kembali
Pasti ada yang berubah dan tiada lagi
Dan bila kutinggalkan lagi kampung halaman
Segalanya kan abadi dalam kenangan.
-Kumpulan Wheels


video

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com