Friday, February 20, 2009

Jom ke SIDANA '09




Info-info SIDANA '09:

Perasmian : Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris
(TNC HEPA Universiti Malaya)

3 Panelis untuk Forum 28 Feb 2009
Masa: 9 - 11 malam
Tajuk: "Mahasiswa Malaysia vs Mahasiswa Luar Negara"

1) Ustaz Ramadhan Fitri Elias (Mantan YDP PMIUM 2004/05)
2) YB Dato' Dr. Puad Zarkashi (MP Batu Pahat)
3) Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (Profesor UM)

Moderator : Sdr. Ridzuan Mohamad (YDP MPMUM)

4 Pembentang Kertas Kerja pada 1 Mac 2009
Masa: 9 pagi - 5 petang

1) YB Saifuddin Nasution (MP Machang)
Tajuk: "Mahasiswa Sebagai Elemen Sedar Masyarakat"

2) Prof Dato' Mohammad Abu Bakar (Dekan FSSS UM)
Tajuk: "Kampus, Keresahan Intelek dan Kebangkitan Mahasiswa"

3) Sdr Md. Hisommudin Bakar (Mantan YDP MPMUM 2001/02)
Tajuk: "Ke Arah Kesatuan Mahasiswa Islam Malaysia"

4) Dato' Mohd Nadzmi Mohd Salleh (Pengerusi Holding Berhad)
Tajuk: "Mahasiswa Islam Sebagai Pemain Ekonomi Penting Masa Hadapan"

Ucaptama : Datuk Paduka Ibrahim Ali (Presiden PERKASA)

Pendaftaran adalah percuma.

Friday, January 30, 2009

Dihimpit Bayangan



Qibtiyyah memandangnya aneh. Sebaik pulang dari hospital pagi tadi, adiknya itu berwajah murung. Tingkahnya juga bisu. Mukanya moyok sahaja. Terjentik juga butir-butir persoalan di nubari; apakah adiknya itu punya masalah? Sakitkah dia? Tetapi katanya, masih belum mendapat kepastian daripada doktor. Minggu depan dia perlu lagi ke hospital untuk rawatan susulan.

“Fikah, kenapa ni? Dari tadi asyik diam. Fikir apa?” Qibtiyyah menyentuh lembut bahu Syafikah dari belakang. Adiknya itu sedang termenung menjuntai kaki di kepala tangga.

Angin petang berkibar deras. Derunya seakan-akan di tepian pantai. Nyanyian bunyi wau di udara bergemersik di telinga. Anak-anak kampung leka bermain wau pada rembang petang begini kerana musim tiupan angin kencang.

Syafikah senyum hambar. “Tak ada apa-apalah, kak. Fikah rasa letih saja.” Matanya dikenyit-kenyit dirobek angin kencang yang membawa pepasir halus.

“Letih? Atau Fikah risau fikirkan keputusan pemeriksaan tu nanti?” Qibtiyyah menebak.

Syafikah mengerling kakaknya sambil menghambur lantunan ketawa anak. Terpamer barisan gigi yang rapi menyerlah. “Kakak ni, tak adalah. Kenapa Fikah nak risau? Tadi pun doktor tu dah cakap, kemungkinan besar tak ada apa-apa. Fikah tak rasa risau apa pun, kak. Betul.”

Qibtiyyah mengerutkan kening. Bercantum. “Hmm, kalau dah macam tu tak apalah. Kakak cuma risau tengok Fikah murung. Kalau letih, rehatlah. Turun ke bawah ambil angin petang. Kata Ibnu Qayyim, melihat warna hijau, tengok air mengalir, buah-buahan, dedaun serta sesuatu yang disukai boleh menerangkan penglihatan.” Qibtiyyah mengulum senyum, menyentuh lembut kepala adiknya sambil turun ke tanah.

Minggu berikutnya, Syafikah ke hospital lagi untuk mendapatkan rawatan susulan. Qibtiyyah berhasrat ingin mengikut, tetapi disebabkan hari itu hari Isnin; harinya mengajar, maka Syafikah meminta sahabat baiknya, Anis, untuk menemani. Tercalit tompok-tompok kesal di hatinya kerana tidak berupaya menemani adiknya pada saat-saat yang dirasakan genting seperti itu.

Sebaik pulang dari sekolah, dia bergegas ke bilik Syafikah, tidak sabar bertanya itu dan ini. Syafikah sekadar tersenyum di birai katil sambil mendakap bantal peluk berbentuk pensil panjang. “Macam mana? Lekaslah cerita,” gesa Qibtiyyah sambil menampar lembut paha Syafikah.

“Tak ada apa pun, kak. Alhamdulillahlah. Doktor kata tadi, ketulan kat ketiak Fikah tu cuma masalah kelenjar. Bukan barah. Tapi dia cakap, selepas period, ketulan tu lebih terasa. Sebelum ni dia rasa macam kepala tulang.”

Qibtiyyah melopongkan mulut berbentuk ‘O’ mendengarkan penjelasan adiknya. Terasa bagai semilir sejuk sedang mengusap-usap kerisauannya selama ini. “Alhamdulillah… Doktor bagi ubat?”

“Dah tak sakit. Buat apa nak ubat!” Syafikah mengekeh ketawa. Qibtiyyah tenang melihat senyuman manis adiknya itu. Dia tahu, Syafikah tentu sangat lega mengetahui hasil pemeriksaan tersebut. Dia tidak perlu gusar lagi.

Beberapa hari berlalu. Qibtiyyah diterpa keanehan sekali lagi. Syafikah dilihatnya asyik terperuk di dalam bilik. Hanya sesekali keluar untuk makan dan mandi. Drama bersiri Korea yang menjadi kegilaannya setiap Isnin hingga Jumaat itu pun tidak dilayannya. Selaku kakak, Qibtiyyah berasa tidak tenang, sementelah emaknya juga menyuarakan kehairanan tersebut kepadanya. Mereka hanya dua beradik, dan Syafikah rapat dengan kakaknya sahaja, berbanding dengan emak dan ayah.

Lima minit sebelum drama bersiri Korea yang digilai Syafikah bermula, Qibtiyyah mengetuk pintu bilik adiknya itu. Daun pintu dikuak, dan dia menjengah kepala memandang Syafikah sedang berbaring di katil sambil mencerlungnya dengan separuh kaget.

“Dik, drama Korea tu dah nak start. Tak nak tengok?”

Syafikah menggeleng laju.

“Ait, kenapa? Bukankah Fikah minat sangat dengan hero dalam drama tu?” Qibtiyyah menguntum senyum di bibir sambil mengangkat kening sebelah.

Syafikah tergelak. “Zaman Ziana Zain dah berlalulah, kak.”

Qibtiyyah merasakan soalannya tidak berjawab. Dia tidak puas hati melihat keanehan yang berlaku pada diri adiknya. Dia terus memboloskan diri ke dalam kamar kecil itu, lalu berteleku di bangku meja solek menghadap wajah ke arah Syafikah.

“Kenapa ni, Fikah? Cuba terus-terang dengan kakak. Kakak rasa Fikah mesti ada masalah. Selalunya tak macam ni pun. Dulu kakak tengok, Fikah mesti gopoh-gopoh makan malam sebab takut terlepas tengok cerita Korea tu. Tapi, kenapa sekarang kakak dah tak nampak semua tu? Bukan kakak saja, tahu? Tapi mak dan ayah juga.” Kening Qibtiyyah bertaut. Mata bundar itu menikam tajam anak mata adiknya.

Syafikah tunduk, tidak berani menentang tikaman tajam kakaknya. Jari-jemarinya dibelek-belek dan ditilik kosong.

“Fikah bergaduh dengan Adib ya?” Qibtiyyah melempar serkap untuk menebak. Dia tiba-tiba terfikir akan kemungkinan adiknya itu mempunyai konflik dengan tunangnya, Adib. Tempoh bertunang lazimnya sering dilanda ombak duga yang bergulung-gulung. Begitu fikirnya.

Syafikah geleng. “Eh, tak adalah, kak. Mana ada. Adib baik orangnya. Dia selalu bertolak ansur dengan Fikah. Kami jarang bergaduh.” Syafikah cuba meyakinkan kakaknya.

“Habis?”

“Entahlah, kak. Fikah pun tak tahu kenapa dengan Fikah ni. Tapi Fikah kadang-kadang jadi gerun bila fikir nak berumahtangga. Agaknya sebab tulah, kak. Fikah rasa semacam takut,” luahnya sambil membelek-belek lagi jemari yang runcing bagai batang serai itu.

Seulas senyum tersungging di bibir Qibtiyyah. Dia mulai mengerti mengapa adiknya seolah murung dan berkelakuan aneh sejak beberapa hari ini. Urusan hendak mendirikan masjid sememangnya perkara besar yang tidak boleh dipandang enteng. Dan, sewajarnyalah Syafikah bertingkah demikian. “Dik, lumrahlah begitu bagi orang yang nak jadi raja sehari. Walaupun kakak belum berpengalaman, tapi menurut pengalaman kawan-kawan kakak, begitulah. Jangan risau, dik. Segala-galanya akan baik,” ujar Qibtiyyah selaku menenangkan hati Syafikah.

“Ya, kak… Kakak, mak dan ayah janganlah risau. Fikah cuma nak mencari kekuatan saja buat masa ni.” Syafikah merenung lembut wajah persih Qibtiyyah sambil menangkupkan telapak tangan di atas tangan kakaknya.

Qibtiyyah mengangguk. Lega mendengar pengakuan adiknya.

Hujung minggu itu, Qibtiyyah tidak ke mana-mana. Dia hanya menghabiskan hari dengan menulis puisi dan menyemak buku-buku latihan para pelajarnya.

Tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menyanyikan nada dering ‘Azab Ilahi’ daripada kumpulan nasyid Irsyadee. Tertera nama ‘Adib’ pada skrin telefon, dia segera menjawab. “Ya, Adib? Ada apa?”

“Kakak sihat?” Adib berbasa-basi di hujung talian.

“Alhamdulillah. Kenapa telefon kakak ni? Jarang telefon. Kalau telefon, selalunya mesti ada masalah dengan Fikah. Betul tak?” Teka Qibtiyyah.

“Kakak memang tukang nujum.” Adib mengaku.

“Jadi, apa masalahnya?”

Adib lalu menceritakan perihal masalah yang sedang melanda hubungannya dengan Syafikah. Kakaknya begitu terperanjat apabila mendapat tahu Syafikah bersikap endah tidak endah apabila mahu menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perkahwinan mereka. Syafikah juga meminta Adib menangguhkan dahulu tarikh perkahwinan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kemudian.

“Saya tengah pening kepala, kak. Tak tahu kenapa dia macam tu.”

“Mm, sabar ya, Dib. Nanti kakak cakap dengan dia. Kakak rasa dia tengah runsing fikir urusan nak kahwin ni. Baru-baru ni pun dia ada cakap pada kakak yang dia tengah mencari kekuatan untuk membina hidup berumahtangga. Sabar ya. Nanti kakak cakap,” janji Qibtiyyah, berusaha melegakan gelombang tekanan yang bersipongang dalam dada Adib.

Fikiran Qibtiyyah serasa berkecamuk dan berselirat. Kenapa dengan Syafikah? Urusan perkahwinan melibatkan urusan antara dua pihak, iaitu dua belah keluarga pihak lelaki dan perempuan. Tindak-tanduknya begitu hanya akan mengundang rasa tidak puas hati pihak yang lain, dan ini tentu akan menimbulkan rasa amarah serta dendam. Keluarga juga akan mendapat malu. Tetapi dia perlu bersabar. Dia sendiri mungkin tidak mengerti apa masalah sebenar yang diperam adiknya.

Seusai makan malam, Qibtiyyah mengekor adiknya ke bilik. “Ada benda kakak nak cakap,” katanya. Syafikah memandangnya penuh tanda tanya.

Sebaik kedua-duanya melabuhkan punggung di tilam empuk, Qibtiyyah mencapai tangan adiknya, menggenggam sambil mengusap-usap. Matanya setentang menjunam ke dalam anak mata Syafikah. “Beritahu kakak dengan jujur. Apa masalah Fikah dengan Adib?”

Syafikah menelan liur. Pandangannya dijatuhkan ke cadar ungu yang membalut tilam tidurnya. Lidahnya kelu untuk berkata.

“Kenapa, dik?” Qibtiyyah cuba berlembut memujuk. “Kakak ada untuk menolong Fikah. Kakak bersedia mendengar apa pun masalah Fikah.” Qibtiyyah cuba meyakinkan. Dia memaut lengan kanan adiknya dengan melempar pandangan redup.

Syafikah menarik nafas dalam-dalam. Kemudian mengeluh perlahan. Dia masih ragu-ragu untuk memuntahkan apa sebenarnya yang bergalau di telaga hati. Tetapi melihatkan renungan kakaknya yang sering meneduhkan segala risau dan serabut itu telah melonjakkan alur rasanya ke paras bersedia dan rela. Maka kotak akalnya mulai menyusun irama bicara yang bakal terlantun dari kedua-dua bibirnya sebagai dendangan bernada untuk diterjemah sendiri oleh pendengaran Qibtiyyah.

“Kak… Mm, sebenarnya Fikah rasa tak tenang sekarang ni. Bukan sebab fikirkan tanggungjawab bila berumahtangga nanti, tapi ni tentang hal lain.”

“Hal apa, dik?” Qibtiyyah bertanya lembut.

Syafikah memakukan pandangannya ke mata Qibtiyyah. “Kak, perasaan Fikah sekarang ni terlalu kacau. Fikah rasa sangat terganggu hari demi hari. Semuanya bermula sejak Fikah ke hospital hari tu…” Dia diam, cuba melihat respon kakaknya.

Qibtiyyah mengerutkan kening, menuntut penjelasan lanjut.

Syafikah mula gugup. “Kakak tahu, masa Fikah ke hospital kali pertama, Fikah takut jugak kalau-kalau doktor yang periksa Fikah nanti doktor lelaki. Tapi Fikah doa, minta-mintalah doktor perempuan. Bukan apa, Fikah rasa malu.” Syafikah menelan liur sebelum menyambung. “Tapi permintaan Fikah tu tak dimakbulkan. Sebaik masuk ke dalam bilik rawatan, Fikah agak gementar bila tengok doktor yang akan rawat Fikah ialah lelaki muda belia. Mujur Anis temankan masuk sekali.”

“Doktor cek kat bahagian mana?” Qibtiyyah tidak sabar ingin tahu.

“Dia cek kat ketiak Fikah yang ada ketulan tu lah. Tapi dia cek juga kat tempat-tempat berkaitan.” Syafikah malu untuk menerangkan. Dia sekadar menunjukkan isyarat bahagian dada.

Qibtiyyah angguk. “Memanglah ada kaitan. Lepas tu?”

“Tu kali pertama. Waktu tu Fikah period, jadi doktor suruh Fikah datang lagi minggu depan. Masa kali kedua pula, Anis temankan masuk sekali juga. Tapi doktor tu bawa Fikah ke sebuah bilik rawatan lain sebab kat bilik yang mula-mula tak cukup peralatan. Waktu tu Anis tak ikut sekali sebab doktor suruh dia tunggu kat bilik rawatan pertama.”

“Nurse?”

“Nurse pun tak ikut sebab dia keluar sekejap urus sesuatu waktu Fikah mula-mula masuk tu.”

“Jadi, Fikah dengan doktor sajalah dalam bilik tu?” Teka Qibtiyyah.

Syafikah mengiyakan.

“Salah tu, dan membahayakan. Kalau ikut etika perubatan Islam pun salah berdua-duaan dengan pesakit kalau berlainan jantina. Antara syarat yang ulama Islam telah tetapkan untuk mengharuskan seseorang doktor lelaki merawat pesakit wanita ialah mestilah pesakit tu ditemani oleh mahramnya, suami, ataupun wanita lain yang dipercayai,” terang Qibtiyyah bersandarkan pengetahuan yang diterimanya sewaktu belajar di universiti dahulu.

“Yakah, kak?” Syafikah seolah-olah terkejut. Sebelum ini dia langsung tidak pernah ambil endah.

“Ya, betul. Satu lagi, doktor lelaki hanya boleh merawat pesakit wanita jika tidak ada doktor wanita lain yang dapat mengambil alih tugas seseorang doktor lelaki tu, sama ada dari segi ilmu atau pengkhususannya. Kenapa Fikah tak minta doktor perempuan?”

“Fikah tak tahu semua tu, kak.”

“Mm, yalah. Tapi kadang-kadang memang kita terpaksa diperiksa oleh doktor lelaki sebab tak ada pilihan. Kakak teringat sebuah hadis. Maksudnya begini: ‘Ummu Salamah telah meminta izin daripada Rasul untuk berbekam, maka Rasul pun menyuruh Abu Thaibah untuk melakukan bekam itu.’ Hadis ni diriwayatkan oleh Bukhari.” Qibtiyyah meneguk liur, dan meneruskan. “Dalam Kitab Al-Fatah, Al Hafiz telah berkata: ‘Diperbolehkan mengubati orang-orang yang berlainan jantina pada waktu darurat. Dan hal-hal yang berhubungan dengan melihat, memegang dengan tangan hendaklah dilakukan sekadar keperluan sahaja.’ Berkata pula Ibn Hamdan: ‘Jika tidak ada orang yang akan mengubati seseorang pesakit lelaki melainkan doktor wanita, dia boleh melihat kepada anggota pesakit yang perlu dilihatnya, walaupun pada kemaluannya.’”

Syafikah terdiam lama mencerna butir-butir maklumat yang baru diterimanya.

“Berbalik kepada masalah Fikah tadi. Kenapa Fikah rasa tak tenang dan kacau?” Qibtiyyah kembali melontar buah persoalan.

Syafikah merenung di kejauhan. Matanya tidak berkedip.

“Waktu berdua dengan doktor dalam bilik tu, doktor ulang cek tempat yang sama macam dia cek masa kali pertama. Tapi kali ni lebih ‘menyeluruh.’” Syafikah sengaja menggantung bingkai persoalan di benak kakaknya.

“Maksud ‘menyeluruh’?”

Syafikah mengunci bibir. Dia hanya mengisyaratkan bahagian leher sehingga lutut.

“Tempat-tempat tu ada kaitankah? Sebab syarat nak rawat ni mestilah dibuka dan dilihat anggota-anggota yang perlu dan berkaitan saja.” Qibtiyyah bingung dan hatinya mulai berwap panas.

“Doktor kata ada kaitan sebab kat bahagian-bahagian tu ada kelenjar. Kadang-kadang ada sangkut-paut dengan kelenjar-kelenjar lain. Untuk memastikan secara betul-betul, dia terpaksa cek seluruh badan yang terdapat kelenjar, dan juga di bahagian… err…” Syafikah diserbu malu untuk meneruskan kata-kata. Pipinya merona merah.

Qibtiyyah mengerti bahagian mana yang dimaksudkan oleh adiknya itu. Dia mengangguk.

“Sekarang ni masalahnya kalau kakak nak tahu, selepas kena cek kali pertama dan kedua tu, Fikah jadi macam terawang-awang. Bagai tak berpijak di bumi nyata.”

“Kenapa?”

“Fikah asyik teringatkan doktor tu saja, kak. Bukan Fikah nak macam tu. Tapi Fikah ni masih anak dara. Fikah rasa dihantui oleh bayangan dia saja, kak. Kakak faham tak macam mana?” Dia bungkam.

“Ya, kakak faham. Maksudnya, Fikah asyik teringat dan terfikir perbuatan doktor tu saja, kan?”

Syafikah angguk. “Sebab tu Fikah tertekan sangat, kak. Fikah jadi lupa pada Adib. Setiap masa, Fikah hanya akan ingat pada doktor. Fikah tak tahu macam mana nak jelaskan pada kakak.” Syafikah mengukir garis buntu dan celaru di wajahnya.

“Hmm, begitulah akibatnya kalau tak ikut panduan Islam sebenar. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tak kisah dirawat oleh siapa pun kerana tujuan hanya semata nak berubat. Tapi bagi orang yang memiliki perasaan yang halus dan sensitif macam adik kakak ni, boleh jadi trauma. Dan kakak tahu Fikah memang sedang trauma.” Qibtiyyah menggenggam jari adiknya yang dibalut dingin. Mungkin rasa gemuruhnya masih bergayutan di dahan hati.

“Fikah pun rasa macam tu. Tapi sekarang ni Fikah cuma rasa bersalah sangat pada Adib. Fikah bukan tak nak kahwin, tapi fikiran Fikah ni tengah serabut. Fikah tak boleh nak fikir hal perkahwinan lagi buat masa ni. Fikah cuma nak ambil sedikit masa untuk pulihkan semula diri Fikah,” luah Syafikah, mengharapkan simpati kakaknya.

“Tak apa, dik. Bertenanglah dulu. Ingat Allah banyak-banyak, tingkatkan amal ibadat dan berdoalah supaya dikuatkan hati. Mungkin ini ujian. Tempoh bertunang memang lagi banyak duga dan cabaran. Pasal Adib, biar kakak uruskan. Janganlah risau.” Qibtiyyah melirik senyum.

Syafikah lega. Hatinya mula ditiup damai dari perbukitan indah kata-kata kakaknya. “Kak, terima kasih.”


TAMAT

Thursday, January 29, 2009

Menunggu Di Batas Waktu



Pagi itu dia bangun awal sebelum cahaya putih bertompok di ufuk langit kelam. Sesekali ayam jantan berkokok nyaring bersahut-sahutan. Daun tingkap dibiar nganga terbuka. Dia berasa segar sewaktu angin dingin mengusap-usap lembut pipinya yang cengkung tidak berisi.

Cincin emas belah rotan di jari manis direnungnya. Dia memutar-mutar cincin itu seraya menciumnya. “Inilah tanda kasihnya kepadaku.” Bibir mungilnya mengucup lagi simbol kasih yang diulang-ulang sejak sekian waktu kala menatap batang tubuh cincin itu. Dia masih leka membelek-belek. Langsung tidak tahu erti jemu.

Setelah puas menilik, mencium dan membelek, dia menalakan wajahnya menghadap cermin di meja solek. Satu set lengkap alat solek telah sedia menanti di atas meja tersebut. Sejak lama dahulu, dia hanya kenal dengan alat solek jenama ‘Safi.’ Dia yakin tanpa was-was. Maka, jenama itulah juga yang disiapkannya sempena hari yang dinanti-nantikan.

Dia mula menyapu krim asas solek di kedua-dua belah pipi, dahi, hidung dan dagu. Dia merata-ratakan dengan hujung jari. Bedak kompak dibukanya, lalu dengan menggunakan puff, ditempek-tempek dan dipedap-pedapkan ke seluruh muka. Celak pensil berwarna coklat kehitaman digaris di bawah mata. Terakhir, dia mencalit bibir kusam dengan sedikit lipstick mengikut warna bibirnya. Selesai. Dia merenung dirinya di dalam cermin. Tersenyum. “Cantik.” Dia memuji sendiri.

Dia kemudian bangkit menuju ke almari baju. Sepasang jubah berwarna krim dengan kerawang biru muda di leher, dada, pergelangan tangan dan kedua-dua belah belahan jubah bahagian luar yang tersangkut rapi dicapainya. Jubah itu telah ditempah khas sejak tiga bulan lalu demi semata untuk menanti hari bahagia dalam hidupnya bergelar raja sehari. Tanpa lengah, dia menyarung persalinan tersebut ke tubuhnya yang tinggi gemalai.

Dia menggaya-gayakan badan seperti model di hadapan cermin. Dia menatap puas dirinya sambil tersungging-sungging senyum. Tiba-tiba angin kencang mulai membadai hatinya. Ada ngilu dan perit yang merobek-robek dalam dada.

Dia bersimpuh kembali di bangku meja solek dan menatap wajahnya di dalam cermin. Terpamer gurat-gurat luka yang berakar tunjang di ladang hatinya. Bagai litar pintas yang merenjat, kelukaan itu telah merayap-rayap memanjat relung-relung hati, kepala, dan seluruh tubuhnya.

Ada gugus manik jernih berjuraian tali-temali di birai pipinya.

“Maaf, Haura’. Bukan ini yang saya inginkan. Saya juga terluka, tapi begitulah keputusan keluarga saya.” Bibir itu bergerak-gerak sambil anak mata menjilat lantai.

Dia masih gamam. Kata-kata Aqil umpama belati yang membidas dan meremukkan seluruh jiwanya. Sedaya mungkin, dia cuba menahan benteng air mata daripada terbongkah.

Mulutnya terkumat-kamit sambil menahan getar dalam dada. “Kita nak akad saja dulu, tak bolehkah? Dua, tiga bulan lepas tu saya pun dah graduate. Bukan saya nak awak terus tanggung saya. Tapi tunggu saya graduate dulu. Lagipun, masa tu awak pun dah kerja.” Dia beranikan diri untuk meluah.

Aqil memandang matanya mulai berkaca. Dia kasihan pada gadis itu. Dia tahu bahawa Haura’ telah lama menunggunya, dan telah banyak pula melalui kegetiran bersama. Tetapi ketegasan emak dan ayahnya untuk tidak membenarkan dia mengahwini gadis itu selagi belum menamatkan pengajian, benar-benar membungkam suaranya.

“Bukan macam tu, Haura’. Sekarang ni ekonomi negara kita merudum. Pendapatan bulanan emak dan ayah pun tak seberapa. Mereka kata tak ada duit nak buat kenduri. Takkan saya nak paksa. Sebagai anak, takkanlah saya tak faham. Mak dan ayah suruh saya kerja dulu, sekurang-kurangnya setahun.”

“Saya cuma nak awak selamatkan saya. Saya sekadar nak kita akad saja, untuk menghalang saya daripada kena posting ke Borneo…” Dia mengukir mimik simpati.

Aqil diam. Lama. Kepalanya terasa berdenyut-denyut hendak meletup.
“Saya tak dapat buat apa. Keputusan ada di tangan mak dan ayah saya…”

Rohnya bagai melayang-layang, membawa jiwa raganya terbang bersama-sama. Kekecewaan yang menghempuk hatinya menjadikan dia cedera parah. Dia telah bertindak mengikut sepenuh emosi yang memandu akalnya ketika luka merabit di hati. Dia mahu membatalkan majlis pertunangan yang dirancang dalam tempoh tiga bulan lagi meski cincin tunang sudah dibeli dan persalinan juga sudah tersedia. Dia meminta kembali cincin tunang yang disimpan oleh emak Aqil dan membayar harga cincin itu kerana mahu menyimpan untuk dirinya. Aqil pada mulanya keberatan untuk memenuhi permintaannya, tetapi akhirnya akur lantaran sikapnya yang semakin dingin.

Fikirannya mulai berserabut, kusut dan berselirat. Dia sengaja mengambil keputusan untuk tidak meneruskan majlis pertunangan tersebut kerana dia sudah bosan dan jemu menjadi ‘penunggu.’ Hatinya remuk-redam apabila dirinya tidak dapat ‘diselamatkan’ oleh putera yang diharap-harapkannya selama ini. Dia rasa tiada apa-apa makna lagi meski dapat berkahwin dengan Aqil, tetapi mereka terpaksa berpisah sekurang-kurangnya selama lima tahun setelah berkahwin. Baginya, tiada erti sesebuah perkahwinan dengan berjarak dan berpisah begitu.

Dalam situasi apa pun, dia sedar yang dia sering menjadi ‘penunggu.’ Menunggu kawan, menunggu bermulanya sesuatu majlis, hatta menunggu untuk disunting. Dia sangat sakit menjadi ‘penunggu’ kerana orang yang ditunggu lazimnya tidak merasakan perasaan orang yang menunggu. Kata-kata bahawa ‘penantian itu suatu penyiksaan’ benar-benar satu realiti. Dia sendiri sudah mengunyah sehinggah hadam hakikat kata-kata itu.

Setelah melewati tempoh perpisahan dengan Aqil, dia semakin ‘tenat.’ Emosinya seolah-olah tidak mampu dikawal lantaran parahnya sebuah hati luka yang disimbah cuka. Berahinya pada makanan tidak ada lagi. Setiap apa yang ditelan akan termuntah keluar semula dengan linangan air mata. Malah, secara tidak sedar, dia sering menghentak-hentak betisnya pada meja berkaki rotan. Kesan lebam yang memanjat betis bagaikan tidak terasa lagi sakitnya kerana luka di hati lebih memakan diri.

Kewarasannya mula dirantai emosi. Dia seperti hidup dalam khayalan. Tindak-tanduknya sering menambahkan lagi sebuah siri duka. Mula-mula, dia menempah jubah pengantin dengan duit PTPTN secara senyap-senyap, takut dihidu emaknya. Kemudian, dia memesan cadar, sarung bantal dan pakaian-pakaian baru melalui katalog sebagai persiapan perkahwinan. Kesemua barangan itu disimpan secara sembunyi dalam almari berkunci.

Aqil sesekali datang ke rumah untuk menjengah setelah mendapat tahu daripada ibu dan abahnya mengenai perubahan sikapnya yang semakin menggusarkan. Tetapi dia tidak pernah melangkah bendul kamarnya ketika jejaka itu datang. Dia berasa dendam. Perasaannya sukar sekali untuk ditelah.

Dia juga tidak lagi ke universiti tempat dia belajar. Ibu dan abahnya telah membuat permohonan kepada pihak universiti untuk menangguhkan semester pengajian lantaran emosinya yang begitu mengekang. Segala-gala yang dilakukan hanyalah mengurus perihal perkahwinannya yang tidak kesampaian disebabkan ketidaksabaran serta kegoyahannya untuk setia menjadi ‘sang penunggu.’

Dia kembali merenung muka bujur yang cengkung, suram dan dilinangi air mata dalam cermin di hadapannya. Menyedari mukanya mulai berbahang hangat, cepat-cepat dia menyeka air mata yang berjujuhan di pipi. Segera dia bangun, mencapai kamera digital di atas rak buku dan menangkap gambarnya sendiri beberapa keping.

Puas. Dia menanggalkan jubah tersebut dan menggantikan dengan pakaian biasa. Jubah itu digantung dengan penyangkut, kemudian disimpan ke dalam almari untuk dipakai semula keesokan harinya, dan hari-hari seterusnya.


‘Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.’-Hamka

TAMAT

Sunday, January 25, 2009

Musim Menimba Dari Perigi Puisi...




Hari pertama minggu perkuliahan telah memberatkan kotak akalku. Dan minggu pertama itulah aku dilanda pening kepala dan kelelahan yang bertimpa-timpa. Semester ini merupakan semester yang mencabar buatku kerana aku mengambil 22 jam kredit; 8 subjek. Mujurlah ada 3 subjek tidak perlu menghadapi peperiksaan. Tetapi tugasan setiap satunya tetap berat. Memang semester yang paling menggugah!

Namun demikian, semester ini telah memberikan aku peluang untuk menimba ilmu kepenyajakan daripada penyanyi, komposer dan penyajak terkenal; Zubir Ali. Aku sudah 3 kali masuk ke kelasnya, dan setiap kali itulah aku bersemangat meski untuk menghadiri kuliahnya itu penuh cabaran lain yang terpaksa kutempuhi, dan ia benar-benar meletihkan.

Aku suka setiap bait kata yang keluar dari mulut beliau. Sesuai dengan jiwaku yang berdayung di tasik sastera ini. Kata-katanya berbunga indah, kritis dan dalam maknanya. Maka, setiap kali aku menghadiri kelasnya, meski kantuk sering bertandang, tetap cuba kutahan-tahankan. Aku tidak mahu terlepas setiap ilmu yang beliau 'hidangkan.' Akan aku cuba suap ke mulut akalku yang sedia ternganga kelaparan sejak sekian waktu. Lama dahulu.

Tuesday, December 9, 2008

Pembikinan Novel




Ini novel yang sedang saya karang. Entahlah dapat menjadi sebuah novel atau terbengkalai. Cuba kalian tengok, rasa-rasanya saya dapat tak menyiapkan ia menjadi novel?

Kalau ada sebarang cadangan untuk dimasukkan ke dalam cerita ini, ya, silakan menulis di ruangan komen. Terima kasih.



1

Angin berpuput lembut. Jari-jemarinya yang tidak terlihat dek pandangan membelai-belai pipi, menyentuh bucu tudung hitam di kepala. Damai. Mentari petang menyorok malu-malu di sebalik gumpalan mulus awan-gemawan. Cahayanya mengorak gelanggang petang dengan langkah sopan dan penuh kesyahduan. Kicau burung raja udang di dahan jambu batu amat memukau pandangan. Bulunya yang kekuningan berbaur dengan warna biru laut menjadikan binatang tersebut benar-benar cantik.

Subhanallah! Maha hebat karya Tuhan yang bersifat dengan al-Khaliq. Segala aturan-Nya tersusun indah penuh kerapian. Bukankah ia merupakan bukti kukuh terhadap kebijaksanaan Allah dalam mencipta, merancang, mengurus dan menyelenggarakan alam ini?

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang, demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan Keesaan Allah, Kekuasaan-Nya, Kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”

Maha Suci Allah! Setiap yang Dia jadikan adalah bersebab, dan Dia tidak pernah menjadikan segala sesuatu atas tujuan yang sia-sia. Maha Suci Allah daripada bersifat sedemikian sifat yang tidak layak dengan Zat-Nya.

Angin tiba-tiba terasa menyergah lembut. Serasa-rasa seperti bermain olok-olok. Bukankah angin jenis ini dirumpunkan dalam kategori angin yang bersahabat dengan manusia? Angin yang namanya sepoi-sepoi bahasa, antaranya berfungsi untuk memudahkan proses pendebungaan di antara tumbuh-tumbuhan dan memberikan kenyamanan. Bukanlah ia angin yang membinasakan seperti yang pernah menimpa Kaum ‘Ad, menghapus dan memusnahkan mereka sehingga yang tinggal hanyalah jejak-jejak dan bekas tempat tinggal mereka.

Senja kelihatan mulai merangkak-rangkak. Mentari sudah berbaring perlahan. Di antara tanda-tanda Kebijaksanaan dan Kekuasaan Allah juga adalah persilihgantian malam dan siang. Siang sebagai daerah untuk memerah keringat mencari rezeki, berhempas pulas berbakti dan melakukan budi. Malam yang menyerkup alam dengan kegelapannya dicipta sebagai mukim tempat berehat buat insan-insan, malah juga untuk haiwan-haiwan dan segala macam makhluk-Nya setelah berpenat lelah pada siang hari. Maha Pengasih dan Penyayang Allah! Dia memahami keperluan dan kemampuan hamba-Nya. Justeru, setiap yang diciptakan pasti ada sahaja manfaatnya buat manusia dan juga makhluk-makhluk lain.

Bagaimana kapal di lautan yang sarat dengan muatan ribuan tan boleh belayar tanpa tenggelam? Ya, tentu sekali kerana adanya sistem daya apungan yang Allah ciptakan. Lain dari itu, jika diperhatikan, badan kapal yang bergesel dan meluncur di permukaan samudera berbentuk seakan-akan dada seekor burung. Tujuannya adalah supaya kapal dapat meluncur di atas lautan dengan apungan yang stabil. Percikan air dan gelombang dapat diredah dengan lancar dan laju. Inilah ilham yang Allah berikan kepada Nabi Nuh ketika baginda diperintahkan untuk membina bahtera bagi menghadapi bencana banjir besar. Bagindalah merupakan arkitek kapal pertama, seterusnya dimanfaatkan oleh generasi terkemudian sehinggalah ke hari ini. Lihatlah pula bagaimana burung-burung yang berterbangan di udara sambil membelah sapaan angin. Dadanya sebegitu menyebabkan ia mampu meluncur berterbangan sambil mengepak-ngepak sayap yang berbulu indah. Dari sinilah penciptaan kapal terbang dicetuskan. Bukankah Allah sudah nyatakan bahawa setiap penciptaan-Nya akan membuka pengetahuan bagi orang-orang yang mahu berfikir?

“Hmm… Tak tersebut nikmat dan limpah rahmat Allah di dunia ini sahaja. Itu belum lagi di akhirat. Subhanallah.” Anis Farha menyungging senyum. Lapang dadanya memikir-mikir dan menghayati ciptaan Allah begitu. Angin menerpa lagi, menggoncang perlahan muncung tudungnya. Anis Farha menyedut nafas sambil menopang dagu. Dia tersenyum puas. Rasa puas menghirup udara petang yang permai.

Sebuah motosikal Honda Wave berwarna merah tiba-tiba memasuki perkarangan halaman yang mulai berwajah kelam. Burung-burung berdecit-decit berkicauan pulang ke sarang. Tayar motosikal menggilis sejemput hamparan rerumputan seperti permaidani hijau di halaman. Motosikal diletakkan di bawah pohon nangka yang rendang berhampiran tangga. Seorang lelaki muda turun dari motosikal, lalu melintas di hadapan Anis Farha yang sedang bersantai di tangga. Niat di hatinya mahu terus memanjat anak-anak tangga itu dan terus masuk ke bilik.

“Baru balik, Amir? Dari mana?” Anis Farha sengaja menegur sepupunya itu. Selepas Asar tadi, tampangnya langsung lesap entah ke mana. Dia memegang hujung tudung sambil menyusun simpuhan dengan tertib.

Amir menjeling sekilas. Ada gurat lesu pada wajahnya. “Discussion.”

“Mm, ada kuih buah Melaka kat dapur. Makanlah. Nenek ada tinggalkan kat bawah tudung saji.”

Diam. Amir lekas menaiki tangga dan terus meluru ke biliknya. Anis Farha mengelih dengan ekor mata dan mengeluh perlahan. Ada jarum ngilu yang mula mencucuk hati. Cepat-cepat dihapuskan. Dia menarik nafas, menghela, dan diulang lagi berkali-kali diiringi istighfar.

Jari mulai menggaru-garu lengan yang dihurung nyamuk. Merah. Berpintat. Anis Farha tersedar hari sudah senja benar. Tidak baik melongo begini, syaitan banyak berkeliaran. Dia bergegas masuk ke dalam rumah, gesit menutup pintu dan jendela.
Hari sudah malam. Mentari sudah lama berbaring.

Seusai makan malam, Anis Farha menemani neneknya berbual-bual di ruang tamu. Televisyen yang terpasang menayangkan sebuah drama Indonesia. Wajah neneknya berkerut-kerut mendengar dialog dalam bahasa Indonesia yang agak pekat. Mata pula rabun untuk membaca sari kata yang terpampang. Anis Farha tersenyum sambil memicit-micit betis kanan neneknya. Kaki kiri dilipat sila.

“Cerita apa, nek? Nenek fahamkah?”

“Entahlah, Anis. Pekat betul bahasanya. Nek tengok gambarnya saja.” Neneknya tertawa kecil. Pipi yang menggelambir ikut tergerak-gerak.

“Banyak betul cerita Indonesia sekarang ya, nek. Ceritanya pula meleret-leret. Tu sebab Anis tak berapa gemar.” Tangannya menumbuk-numbuk betis yang sudah tinggal tulang dengan kulit nipis yang berkedut. Kulit orang tua. Bertompok-tompok coklat kecil.

“Hmm…” Neneknya mengeluh kecil. “Amir buat apa kat bilik tu?”

Anis Farha terdiam. Buntu harus memberi jawapan apa. Dia malah tidak ambil tahu akan hal sepepunya itu. “Entahlah, nek. Ulangkaji agaknya. Petang tadi tengok dia macam sibuk. Katanya ada perbincangan.”

Nenek mencerlung anak matanya. Anis Farha buat endah tidak endah dan terus menumbuk-numbuk tempurung lutut neneknya. “Nek tengok, sejak sebulan lepas dia duduk di sini, Anis dengan dia macam tak berapa bercakap saja. Padahal dulu rakan sepermainan. Bila dah besar, rasa malu ya?” Nenek tersenyum simpul.

“Yalah, nek. Dah besar mestilah malu. Takkan nak main-main macam dulu.” Giliran Anis Farha mengenakan neneknya. Dia menekup mulut sambil berderai ketawa. Tersedar kehadiran Amir di rumah itu, dia berusaha mengawal ketawanya agar tidak tertembus hingga ke bilik Amir.

Nenek menepuk-nepuk bahunya. “Baguslah ada malu. Sesama sepupu pun mesti ada batasnya. Kita orang Melayu, kaya dengan adab sopan, dan yang paling penting, kita orang Islam. Ada tatatertibnya.” Nenek diam sebentar sebelum meneruskan, “Cuma, nek harap, Anis dengan Amir janganlah sampai tak bertegur sapa, masam muka dalam rumah ni. Tak sedap nek tengok.”

Anis Farha tersenyum kelat. Mengangguk. “Anis cuba, nek. Mungkin tak biasa lagi. Lagipun dah lama kami tak jumpa. Kena ambil masa sikit kan, nek?”
Nenek senyum. Angguk-angguk kecil.

“Okeylah, nek. Anis nak masuk biliklah. Ada kerja nak siapkan.” Anis Farha mengusap lembut peha neneknya.

“Pergilah.”

Anis Farha mengetik laju papan kekunci komputer ribanya. Sesekali keningnya bercantum, berkerut apabila menjumpai beberapa istilah pelik yang digunakan. Sejak memikul tugas sebagai pembaca pruf, seringkali dia menemukan perkataan-perkataan yang janggal dan tidak pernah didengari, lazimnya bahasa dan istilah Indonesia. Kebanyakan tesis yang diperiksa juga adalah milik para pelajar Indonesia.

“Ni nak kena rujuk kamus Indonesia-Malaysia ni. Sumur bor? pipa?” Senyum terlukis di bibir. Perkataan-perkataan itu dicatat kemas ke dalam sebuah buku nota kecil. “Kalau tak jumpa, kenalah aku interview orang-orang Indonesia pula.” Anis Farha berbisik sendirian. Jari pula cekatan membetulkan ejaan, tatabahasa dan me-Melayukan istilah-istilah asing yang tidak digunakan dalam bahasa Melayu.

156 muka surat. Sekarang baru masuk halaman 90. Dalam sehari, dengan sepenuh tumpuan, boleh menghabiskan kira-kira 30 muka surat. Mengedit dalam bentuk softcopy lebih memudahkan kerja, tapi memakan masa lebih lama berbanding mengedit dalam bentuk hardcopy. Sementara 50 muka surat boleh disiapkan sehari semalam jika tesis dalam bentuk hardcopy. Tapi bentuk softcopy lebih memuaskan hati kerana ia dapat dilakukan dengan lebih teliti dengan hasil kerja lebih berkualiti. Tahap kepuasan yang dinikmati pelanggan adalah amat bermakna dan ia harus diambil kira, bukan semata-mata menyemak, tetapi mutu kerja kurang.

Anis Farha berasa kasihan memikirkan orang-orang Indonesia yang sedang menyambung M.A. dan Phd. itu. Keluarga mereka di tanah air bukan semuanya orang senang, malah taraf hidup mereka lebih rendah berbanding rakyat di Malaysia. Jika sekali semak sahaja sudah memakan sehingga RM 150, kasihan, nanti mereka mahu makan apa? Ya Tuhan!

Anis Farha mendongak-dongak kepala yang terasa berat seolah dibeban dengan batu besar. Jarinya memicit-micit belakang tengkuk. Sakit kepala. Dicapainya sebotol minyak Cap Kapak di atas meja studi. Disapu ke daerah sakit. Ditekan-tekan. Kepala diteleng-teleng. Anis Farha menyandarkan badannya ke kerusi. Lengan kiri diletak ke atas dahi sambil kepala terdongak. Mata dipejam.

“Ya Allah, hilangkanlah kesakitan ini. Mudahkanlah urusanku,” detik suara hatinya. Dia membetulkan semula postur badan. Jari-jemari mulai cekatan menari.


2


Anis Farha tergesa-gesa mencapai beg sandang dan bergegas keluar dari bilik. Menjeling sekilas ke arah bilik Amir yang terletak berhadapan dengan bilik neneknya. Meninjau ke luar pintu, melihat motosikal Honda Wave merah masih tercatuk di bawah pohon nangka.

“Eh, Amir belum bangunkah? Ada kelas ni!” Dia mengelih jam tangan. Sepuluh minit sebelum pukul lapan. Lekas-lekas dia menuju ke bilik Amir dan mengetuk kuat pintu bilik. “Amir, kelas!”

Langkahnya terus pula ke dapur. Melihat nenek sedang membasuh periuk nasi.
“Nek, Anis pergi dulu. Dah lambat ni.” Anis Farha mencium tangan neneknya yang masih dirintik sisa air basuhan.

“Tulah, tidur lambat lagilah tu semalam.”

Anis Farha tersenyum, kemudian cepat-cepat ke pintu hadapan dan menyarung sepatu hitam.

“Baru nak kejut! Kan dah tahu ada kelas. Hi!!!” Suara Amir tiba-tiba bagaikan guruh menerjah gegendang telinga. Langkahnya menghala pantas ke bilik air.

Anis Farha pucat tiba-tiba. Jantungnya bagaikan hendak luruh ditempik begitu. Memandangkan dia sudah terlewat untuk ke kuliah, dia cuba menghapus kekagetan yang menghurung cepu fikir. Buru-buru dia ke jalan besar, lalu menahan sebuah teksi.

Sewaktu kuliah subjek Pengantar Usuluddin di Dewan Kuliah, Amir masuk lewat 15 minit. Mukanya mencuka dengan kemeja sedikit berkedut. Anis Farha tersenyum dalam hati. Dia tahu, Amir tentu marah benar kepadanya. Tetapi dia berasa lucu melihat Amir dengan kedutan di baju. Amir jarang begitu. Dia seorang yang kemas dan bergaya.

“Nis, aku tengok Amir datang lewat tadi, kenapa? Baju pun berkedut, bangun lewatkah?” Fitriah, sahabat baiknya tiba-tiba bertanya sewaktu mereka berdua menapak ke Kolej Kediaman Kedua Belas. Hajat di hati untuk makan tengah hari. Kuliah mereka usai awal pada hari itu.

Anis Farha mengekek ketawa sambil menekup mulut. Mukanya merona merah. “Dia terlewat bangun. Aku tersedar pun sebab tengok motor dia masih kat halaman, tu sebab aku kejut. Selalunya dia dah siap awal. Entah kenapa hari ni lambat bangun. Aku pun terlambat, sebab tu dia lagi lambat tadi. Apa lagi, mengamuklah dia!” Anis Farha menghurai jawapan berjela.

Fitriah menggeleng. “Kau orang ni aku tengok memang tak sebulu. Dah ada darah keluarga tu sepatutnya boleh bekerjasama. Ini tidak.”

“Ira, kami tak bergaduh.”

“Ya, memang tak bergaduh. Tapi hubungan tak baik.”

Anis Farha mengeluh. “Hmm, kau pun tahu sebabnya, Ira. Aku sendiri pun tak tahu kenapa Amir dingin macam tu dengan aku. Secara logiknya, kalau dulu kami rakan sepermainan yang baik waktu kecil, sekarang pun mesti hubungan kami paling tidak pun, boleh bertegur sapa dan diajak bicara. Ini tak…” Anis Farha berwajah kelat. Peluh mula berbintil-bintil di batang hidung.

Anis Farha mula terhimbau zaman silamnya. Alam kanak-kanak yang penuh ceria dan warna-warni. Dia, Amir, adiknya Amirah, Fathi, jiran sebelah rumah, dan beberapa orang sepupu lain berlari-lari di tanah lapang dalam kebun di belakang rumah. Jejeran pohon semalu habis dipijak menguncupkan diri. Kemuncup-kemuncup setinggi lutut diredah tidak dihirau. Lari-lari bermain tuju kasut. Masing-masing berlari sungguh-sungguh.

“Lari, Nis! Lari!” Jerit Amir. Fathi ingin membaling selipar Jepun kepada Anis Farha, tetapi sempat dielak. Selipar tersasar.

Fathi tiba-tiba berlari merentap lengan baju Anis Farha. Terleweh lengan baju tersebut hingga menampakkan bahu. “Isy! Apa ni!” Anis Farha mendengus kasar.

“Woi, jangan kurang ajar!” Jerkah Amir sambil menuding jari telunjuk ke arah Fathi. Fathi mengangkat kedua-dua telapak tangan, tanda memohon maaf.

Bahu ditolak. “Kau ni berangan!” Anis Farha terkejut metah. Dia mengurut-urut dada. “Kau ni, nasib baik tak sakit jantung.” Anis Farha sedikit geram.

“Kau tu yang berangan! Aku bercakap, langsung tak respon. Apa punya kawan, bukan pendengar yang baik!” Fitriah mengomel. Ada nada merajuk. Mukanya mula berbahang amarah.

Anis Farha melempar senyum. Kemudian ketawa anak. Fitriah menjegil, lalu menampar lengan. “Yalah, aku minta maaflah, Cik Fit. Aku tak sengaja. Janganlah merajuk. Aku tak reti pujuk orang merajuk ni.”

“Uh!”

“Okeylah, aku belanja makan sebagai tanda minta maaf, boleh? Kita makan dekat kedai ‘mak angkat’ kau tu.”

Fitriah tersenyum lebar menampakkan baris-baris gigi yang putih bersih. “Ha, macam tulah. Dah buat salah, pandai-pandailah pujuk.”

“Senyum lebar macam iklan Colgate… Kau ni kuat sangat merajuk. Kesian laki kau asyik nak kena pujuk nanti.”

“Biarlah, laki aku!” Meletus ketawa dari bibir Fitriah yang mungil.

“Kau balik mengundi tak, Fit?” Anis Farha menyuap nasi putih berlauk tom yam ayam dengan ayam goreng. Sambal belacan di bucu pinggan dicubit dengan hujung jari. Makan penuh selera.

Fitriah mengangguk. “Oh, mestilah! Gila kalau tak balik.” Dia leka menggetis isi ikan keli yang digoreng sambal.

“Mana tahu kan. Ramai juga kawan-kawan kita yang tak ada kesedaran tu. Tak kisah apa nak jadi pada negara. Aku cukup sakit hati. Aku tak dapat tahan rasa ni…” Anis Farha menggetap bibir. Suapan terhenti. Dada terasa marak berapi.

“Mm, tambah menggeramkan bila ramai yang belum daftar sebagai pemilih. Aku pun geram, Nis. Nama saja belajar di universiti, tapi tak ambil tahu dunia luar, tak kisah negara tergadai! Lebih baik orang-orang kampung di ceruk sawah nun yang lebih peka dengan semua ni.” Fitriah mematah-matahkan jari. Berderup-derap bunyinya.

“Memang betul tu, Fit. Orang Melayu ini hanya memikirkan kesenangan hidup, tidak fikir tentang hak Melayu, demokrasi, isu kemiskinan, pemimpin korup dan lain-lain… Ha, tu kata-kata seorang tokoh. Memang betul orang kita macam tu pun.” Pipi Anis Farha kembung mengunyah nasi. Terasa pijar pada lidah lantaran termamah cili padi yang tidak lumat.

Pelajar lalu-lalang di hadapan mereka. Kerusi dan meja di kafe tersebut sudah pun penuh terisi. Kala itu waktu makan tengah hari. Ramai pelajar yang memiliki waktu senggang antara kuliah akan pulang ke kolej kediaman untuk menyantap juadah tengah hari. Staf-staf kolej kediaman serta pihak luar juga ramai yang datang menjamu selera di situ. Mujur mereka tiba lebih awal. Tidak perlu beratur panjang di ruang yang sempit.

“Kita tak rasa kesempitan macam zaman penjajahan dulu. Jenuh orang-orang kita berjuang mempertahankan tanah air daripada cengkaman kuasa asing, nak merdekakan Tanah Melayu. Tok Janggut contohnya, berjuang sehingga syahid.” Anis Farha berhenti menyuap. Matanya dibutangkan memandang Fitriah yang mengunyah sambil mengais-ngais sayur kangkung di tepi pinggan. “Kenapa nak halau penjajah? Sebab mereka rasa cengkaman penjajah dalam segenap segi, dan kesannya selepas negara kita merdeka juga. Tengoklah, walaupun kita diiktiraf sebagai negara merdeka, tapi hakikatnya kita langsung tak lepas daripada belenggu penjajah. Sistem kita, hampir dalam segenap aspek bercorakkan acuan penjajah. Kita tak sedar penjajah melepaskan negara kita dengan meninggalkan pemimpin acuan mereka untuk memimpin kita pula.” Horlicks ais diteguk perlahan. Sejuk menikam ke dada.

“Ya, betul cakap kau. Orang kita zaman kolonial bangkit berjuang sebab ada sensitiviti, tak macam orang zaman sekarang. Tak rasa langsung hak dinafi, hidup rasa aman selamat, sebab tu mereka tunduk. Angguk saja macam belatuk selagi periuk nasi tak diketuk.” Fitriah menghela nafas, sebelum meneruskan, “Aku ada terbaca satu kajian. Orang di bandar lebih kurang sensitivitinya berbanding orang di kampung. Hairan juga aku kenapa macam tu. Padahal orang bandar lebih terdedah kepada maklumat dan kemodenan. Agaknya sebab orang di kampung lebih merasakan kesusahan dan terlatih dengan kesedaran.” Fitriah sudah menghabiskan nasi di pinggan. Tinggal tulang ikan terlentang. Sirap limau setengah gelas dihirup sehingga kering.

“Hmm… Entahlah. Paling menggeramkan bila ada yang berpendirian tidak mahu mengundi. Sebab apa ya? Nak kata tak faham agama, tapi alim sangat. Bila ditanya, kata tak mahu terlibat dalam politik. Masalahnya, ini tanggungjawab. Kewajipan. Senang cakap, fardu! Katakanlah negara berpindah tangan kepada pemerintah non-Muslim disebabkan satu undian kita itu, ha, jawablah nanti bila Tuhan tanya!” Anis Farha menggetap-getap bibir.

“Itulah. Ramai orang macam tu. Dalam bab lain, dia nombor satu. Cakap berdentum-dentam, pandai keluarkan hujah. Tapi bila bab politik ni walaupun sekadar mengundi, langsung dia tak faham. Tak mahu mengundi atas alasan dangkal macam tu, memang dia belum faham Islam betul-betullah. Kalau dia faham Islam tu meliputi semua aspek, hatta politik, dia akan sedar kewajipan mengundi. Tak tahulah pula kalau-kalau dia sedang mengkaji parti mana yang betul dan salah, takut mengambil risiko tersalah undi. Itu wallahu a’lam.” Fitriah bangun, diikuti Anis Farha. Mereka bersama-sama menuju ke singki dan membasuh tangan yang comot.

Anis Farha singgah sebentar di cyber café Perumahan Pantai Permai. Bas Universiti Malaya yang dinaiki berhenti di hadapan perumahan tersebut. Hajat di hati mahu mengemaskini blog dan menyemak kantung e-mel. Sudah beberapa minggu tidak dijengah.
Memilih PC nombor 20, Anis Farha klik pada pelayar Mozilla Firefox. Kantung e-mel dibuka. Ada 20 e-mel baru, termasuk e-mel sarat dan berantai dari Yahoo Groups. Difikir tidak bermanfaat seperti peluang niaga dan maklumat remeh-temeh berunsur jenaka, Anis Farha memilih untuk dibakulsampahkan sahaja. ‘Buat semak inbox,’ rungutnya di dalam hati. Anak mata tiba-tiba tertancap pada nama pengirim e-mel— ‘Busa Ombak’ dengan subject ‘Pohon cempedak di luar pagar...’ Aneh. Jari telunjuk pantas klik pada subject untuk membaca lebih rinci.

“Salam sejahtera,

Membaca lewat puisi saudari di dada rasmi akhbar tempatan menyentuh nurani untuk tadah mempelajari; bisakah saya, seorang manusia yang sedang belajar mengenal erti dunia dan segala isinya, saudari gelarkan sebagai ‘murid’? Kenalkan saya dengan ‘dunia’ itu, bumi tempat saudari berpijak. Hajat di hati dengan semangat untuk menjejak.

-Busa Ombak.”

Dagu ditongkat dengan telapak tangan. ‘E-mel sesatkah ini? Tapi memang ada puisiku tersiar. Apa nak hairan dengan itu? Nak jadikan dia sebagai ‘murid’? Ayat sudah puitis bukan main, nak ajar apa lagi? Nak mengurat?” Anis Farha berteka-teki sendiri. Dia menjungkit bahu.

Monday, November 24, 2008

Berbalas Pantun di Pantun Online


* Inilah kerja saya; membeli pantun-pantun yang dijual di Pantun Online. Ini jawapan-jawapan saya (beli pantun) yang dijual di situs tersebut:

Orang membakar kuih bahulu
Lemang dimakan dengan kari
Ramadan sudah melintas lalu
Apakah kesan terhadap diri?

Pergi ke laut menjala tenggiri
Enak digulai sedap dikari
Amal dikerja seikhlas hati
Mengharap kasih dari Ilahi

Kuih lapis berbelang-belang
Sempena nama Dayang Suria
Aidilfirti sudah menjelang
Banyakkah keluar duit raya?

Daging lembu digulai kawah
Ganding bersama lauk pajeri
Saya pelajar ditanggung ayah
Duit raya tak mampu diberi

Banyak buah di Pulau Satang
Dusunnya luas bagaikan taman
Terkala berbuka waktu petang
Apakah hidangan jadi idaman?

Berjalan mengitar Bazar Ramadan
Pandangan melilau mencari makan
Saya pelajar tiada pilihan
Nasi goreng kupaksa telan

Ke pasar minggu membeli arang
Untuk memasak kuih sepit
Benarkah seperti dikata orang
Amalan puasa menjimatkan duit?

Isi kelapa dikukur ditapis
Bekerjasama di hari kenduri
Duit dijimat poket tak kempis
Andai iman perisai diri

Sejuk manis si air tebu
Jadi hidangan bersama bingka
Badan berpuasa letih dan lesu
Perlukah melahap tika berbuka?

Ditumbuk dilesung biji lada
Hajat di hati nak goreng kerang
Makan dan minum biarlah berpada
Perut kenyang penyakit tak serang

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com