Saturday, August 23, 2008

Menelusuri Cerpen "Nangka 10 Tinggal 9"




Dalam kegersangan dan kekontangan ilham, rasanya agak baik juga andai aku merentangkan sebuah cerpen yang amat menyentuh hatiku. Bukanlah karyaku, akan tetapi sudah pasti karya seseorang yang lebih hebat dan berpengalaman luas dalam arena sastera. Karya yang tersiar itu kudapati daripada Berita Harian edisi Sabtu.

Sudah menjadi adatku apabila melihat karya-karya yang hebat begini untuk kucarik cermat, lalu disimpan dan dilipat kemas ke dalam buku ilhamku.

Karya cerpen yang begitu menyentuh hatiku itu begini. Semoga manfaat dan teladannya buat kita semua:


Oleh Sabri Hashim

AWANG berdiri diam. Terhendap-hendap memandang ke dalam surau. Tiada siapa perasan dia di situ. Di tepi pintu masuk. Suara kanak-kanak mengaji Muqadam riuh-rendah. Bising seperti di pasar ikan. Itu Awang tidak peduli. Dia begitu asyik melihat mereka mengaji Muqadam dan al-Quran. Dia berasa seronok dan terhibur. Dia teringin sangat hendak bersama mereka. Nanti dia akan khabarkan kepada ibu. Itu cita-citanya sekarang.

"Ibu, adik nak belajar baca Muqadam," kata Awang perlahan, tapi jelas lepas makan malam.

Tersentak si ibu mendengarnya. Mata perlahan-lahan tunduk merenung lantai rumah setinggan yang tidak bersimen itu.
"Awang... Awang.... manalah ibu mampu. Kita miskin. Serba-serbi kekurangan. Manalah nak cari duit. Kalau bapa adik masih hidup...." Si ibu berhenti bercakap di situ. Sedih. Awang satu-satu anaknya di dunia ini. Dialah intan. Dialah payung segala-galanya.

Sementelah Awang telah lama berhenti sekolah. Bantu si ibu bekerja. Bekerja di bandar. Basuh pinggan dan gelas di restoran nasi kandar. Usianya kini baru 10 tahun.

Terkebil-kebil mata Awang seperti cicak telan kapur.
"Tapi bu, bapa Hassan bagi pulut kuning je hari itu. Tiada duit pun boleh mengaji," kata Awang merajuk. Dia masih kecil. Tidak mengerti makna salam bersampul dalam kehidupan kini.

"Hmm... kita makan nasi pun tak cukup. Inikan pula nak kasi pulut kuning kepada orang."

Dua beranak itu diam seketika. Tiba-tiba Awang melompat ceria. Menerkam ibunya di muka. Terkejut si ibu.

"Apa kata bu, kita bagi nangka kepada Tok Guru sebagai...."
Belum habis Awang bercakap ibunya mencelah pantas.

"Hish! Tak pernah orang buat. Mana boleh. Malulah sikit. Sekarang zaman canggih. Ada duit semua beres."

"Belum cuba belum tahu. Awang cuma mahu keizinan daripada bu saja. Bolehkan?"

Entah daripada mana idea datang pun tak tahu. Kalau niat baik mesti ada jalan. Itulah terjadi ke atas Awang. Si ibu mengalah. Keinginan Awang terlalu kuat.

Esok awal-awal pagi lagi Awang sudah berada di bawah pohon nangka. Pokok itu terletak di belakang rumahnya. Dia tengok ada sebiji nangka sebesar bola bergayut di batang pokok. Bau harum semerbak mencucuk deria hidungnya. Dia tahu nangka itu sudah masak ranum. Boleh dipetik. Dia bawa masuk ke dalam rumah. Dia belah buah nangka itu. Dia lihat ada 10 ulas isi nangka. Dia beri seulas kepada si ibu untuk merasa. Baki sembilan habuan untuk Tok Guru.

Petang hari Awang siap sedia dengan baju Melayu lusuh. Songkok kelabu tertenggek di atas kepala. Di tangan sebungkus nangka. Dalam beg plastik hitam. Si ibu sediakan tadi. Dibalut dengan surat khabar. Awang tunggu semua kanak-kanak meninggalkan surau dulu. Baru dia masuk menemui Tok Guru. Awang bersila tertib di hadapan Tok Guru. Tok Guru memandang Awang dengan mata membulat.

"Assalamualaikum Tok Guru. Saya Awang. Tinggal di rumah setinggan sana. Datang sini ingin belajar dengan Tok Guru," kata Awang sedikit gementar, tapi yakin.

Tok Guru tak percaya dengan mata kepala sendiri. Dia bangkit. Tanpa haram sepatah kata pun dia tinggalkan Awang seorang diri. Tok Guru jalan ke paip. Kemudian terus menunaikan sembahyang fardu Asar bersama jemaah yang sedang menunggunya tadi.

Keesokan harinya, peristiwa serupa berlaku lagi ke atas diri Awang. Dia tidak marah. Apatah lagi putus asa. Dia pernah dengar orang kata: "Hendak menuntut ilmu Tuhan ini kena banyak sabar." Itu yang dia lakukan sekarang - sabar. Satu ujian.

Masuk hari ketiga baru Tok Guru ingin bercakap dengan Awang. Awang menanti. Tekun dan berdebar.

"Mana ayah kamu?" tanya Tok Guru keras.

"Ayah sudah meninggal. Eksiden," kata Awang jujur.

Terkejut Tok Guru. Rasa tiada daya lagi untuk menepis. Tok Guru terpaksa menerima Awang sebagai anak muridnya. Hatinya sungguh geram.

"Apa itu?" kata Tok Guru sambil menjuihkan bibirnya ke arah bungkusan sebelah Awang.

"Untuk Tok Guru. Nangka 10 tinggal sembilan," sambut Awang dengan penuh bangga.

Tok Guru pun mengambilnya. Dia buka bungkusan itu. Memang benar nangka. Hanya nangka. Tiada kertas not biru dan merah. Dia kecewa.

"Baik, Tok Guru ajar kamu petang ini. Ikut Tok Guru lepas bacaan ini," kata Tok Guru tegas.

Awang mengangguk kepala sekali sahaja sebagai tanda akur.

"Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan," sebut Tok Guru dengan penuh lagu.

Lepas sekali dengar, Awang pun sebut dengan penuh gaya dan semangat. Sampai terpejam mata. Ikut seperti Tok Guru buat. Dia disuruh ulang beberapa kali bacaan itu. Tanpa disedari, Tok Guru sudah lama meninggalkannya seorang diri.

Semenjak hari itu, ke mana Awang pergi dia akan mengalunkan lagu itu juga. Ada ketika orang tersenyum sinis kepadanya. Lebih-lebih lagi ketika membasuh pinggan di restoran - "Bismillahirrahmannirrahim , nangka 10 tinggal sembilan." Kerja siap sepantas kilat. Awang sungguh seronok. Hajat di hati tercapai sudah.

Apabila Awang berjalan di sekitar rumahnya, ada orang bertanya, "Dari mana adik belajar lagu itu?" Dengan penuh bangganya dia akan menceritakan kepada mereka dari A hingga Z. Dia tidak malu. Itu adalah usahanya.

"Tok Guru tak ajar komputer dengan adik?" tanya si ibu pada suatu malam.

"Apa bu!?" jawab Awang kuat seolah kurang dengar. Dia sedang asyik mengulang bacaan itu supaya menjadi lebih lancar dan sedap.

"Komputer... eh, apa tu....? Orang sekarang kata kom-pu-ter," ulang si ibu latah sambil menggaru epidermis kepala yang tidak gatal.

"Belum lagi. Tok Guru suruh pandai yang ini dulu."

"Ibu tengok adik bukan main seronok sekarang."

"Mestilah bu. Adik nak jadi pandai."

"Ikut suka hati kamulah adik. Ibu tumpang gembira."

Lepas itu, tidak lagi dengar suara Awang. Dia terlena dengan mulut terlopong. Perlahan-lahan si ibu ambil kain batik basahan menutup tubuh Awang yang tak berbaju itu. Si ibu menarik nafas lega sambil menggeleng-geleng kepala. Kemudian si ibu beredar meninggalkan Awang tidur seorang diri untuk esok.

Petang ini Tok Guru mengajar seperti biasa. Tapi dia rasa tidak sihat sikit. Badan seram sejuk. Nak kata demam, dia tak rasa panas. Kadang-kadang terasa kebas di hujung jari tangan. Peluh memanik di dahi. Dia mula buka kancing baju Melayu lima butir itu dari atas. Satu demi satu. Serban di kepala ditariknya turun untuk menyapu peluh di muka. Tiba-tiba dadanya dicengkam kesakitan. Dia mula sesak nafas. Tok Guru mengerang kuat kesakitan. Terkejut kanak-kanak yang hadir. Kemudian dia rebah pengsan tak sedar diri. Seluruh taman gempar.

Tok Guru dihantar ke hospital dengan kadar segera. Wayar berselerak di tubuh. Dada turun naik perlahan. Mata pejam rapat seperti orang tidur. Alat ECG berdecip lemah di atas kepalanya. Urat tangan kiri ditusuk dengan jarum Normal Saline dan Dextrose . Dia terkedang di atas katil. Tidak sedar diri. Tiada kepastian bila Tok Guru akan sedar. Begitu kata doktor yang merawatnya.

Isteri dan anak-anak silih berganti menemani Tok Guru. Siang dan malam mereka berada di sisi. Harap dan doa semoga dia kembali sihat. Tapi hampa. Tok Guru sedikit pun tak berubah. Keadaan seperti hari pertama masuk wad. Mata pejam. Badan terbujur kaku keras.

Walau bagaimanapun, Tok Guru dibawa pulang juga. Jasad sungguh uzur. Sudahlah kurus, tulang dada tersembul keluar. Mata cengkung dan hitam di sekelilingnya. Rambut jarang, gugur. Kuku jari dan kaki tumbuh panjang. Seluruh badan kelihatan lebam di sana sini. Dalam rongga mulut berkerak Candida tumbuh seperti orang mengidap AIDS .

Amat pelik sekali ialah badan Tok Guru berbau busuk macam mayat. Siapa yang datang melawat pasti termuntah. Tak boleh tahan lama. Mereka berpandangan antara satu sama lain dan bertanya dalam hati kecil masing-masing, "Kenapa begini? Macam orang mati!" Jawapannya tiada siapa tahu.

Kalut kawan-kawan Tok Guru baca Yasin di rumah. Tak cukup itu, sembahyang hajat beramai-ramai. Semua harap Tok Guru dapat pergi dengan tenang bertemu Tuhan. Tak sanggup lagi melihat Tok Guru menderita. Tapi nyawa Tok Guru liat. Ketegar tak mahu pergi meninggal badan. Entah apa lagi yang tak kena. Sungguh mereka bingung. Cari jalan tak ke sudah.

Kali ini mereka kumpul semua sanak saudara, handai taulan, jiran, kawan-kawan dan anak-anak muridnya. Mereka semua pakat menziarah Tok Guru. Semasa itu, kemaafan dibisikkan ke telinga Tok Guru. Masih begitu juga. Tiada perubahan. Dia terkedang di atas katil seperti diseksa. Semua orang bingung mati akal. Tidak tahu apa lagi yang harus dibuat. Akhirnya, lawan tengok sesama sendiri.

"Siapa lagi yang tak datang?" tanya seorang ustaz kepada sekumpulan orang taman.

"Rasa-rasanya semua dah dipanggil," jawab salah seorang daripada mereka.

"Apa lagi agaknya?" rungut ustaz dalam menungan.

Tiba-tiba.

"Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan."

Semua orang memanggung kepala seperti ayam memanggung kepala apabila nampak sewah dalam rumah itu. Cepat-cepat mereka pergi tengok di luar. Nun, di sana mereka nampak Awang. Terkedek-kedek seorang diri berjalan menuju ke bandar. Dia dipujuk datang cepat. Lepas itu, jenazah Tok Guru selamat dikebumikan. Tiada halangan lagi. Awang pun kembali bergerak seperti biasa. Yang tinggal hanya sunyi sepi. Sayup-sayup kedengaran, "Bismillahirrahmannirrahim, nangka 10 tinggal sembilan."

Monday, July 21, 2008

Di Kolam Renungan




Di tangga manakah
Martabat diriku bersimpuh
Kala lalat yang hurung berdengung
Di jelik kotoran sampah
Melafaz zikir cinta
Sedang aku hanyut di samudera alpa?

Martabat apakah
Selayaknya untukku
Bila berenga-berenga itu
Bertasbih memuji
Di dada-dada longkang yang tengik
Sedang aku terkinja-kinja
Di daerah simfoni leka?

Apa dan di mana
Tiada daya untuk kucerna
Sekadar merasa
Lalat dan berenga-berenga itu
Meski tapak hidupnya bergelumang jijik
Lebih hina letak diriku
Daripada muntah hijau meloyakan!


21 Julai 2008,
12.21 a.m.,
Kuala Nerang.

Kusorok Rindu di Birai Hati




Biar berjurai
Bergentayangan di pelantar rasa
Tali-temali mengikat diri
Menggigit nurani
Meski langkah dirantai ngilu
Dan tingkah dihurung hiba
Takkan kunaikkan
Tirai rindu di jendela
Tetap kusorok
Tersimpan di birai hati.


20 Julai 2008,
11.49 p.m.,
Kuala Nerang.

Wednesday, July 16, 2008

Tuah Sujana dan Kematangan Penulisannya






Kuliah yang dibatalkan di Fakulti Pendidikan menggamit aku dan sahabat untuk berkunjung ke pameran buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di tapak Kompleks Perdana Siswa (KPS). Inilah detik yang sering merantai nubari hingga kakiku payah sekali untuk berinjak melangkah ke tempat lain. Membelek-belek rencam buku dan majalah tidak pernah memualkan rasa.


Aku tertarik pada buku-buku sejarah tentang ketamadunan dunia, sejarah kesusasteraan, politik, malah beraneka majalah penuh kualiti bahasa dan kaya ilmu serta budaya segala-gala di kanvas dunia. Mataku tiba-tiba tertancap pada seraut tampang kelihatan agak matang pada salah satu helaian majalah Dewan Sastera keluaran Mei 2008. Aku semacam agak biasa dengan sebaris nama itu- Tuah Sujana! Hmm, pita ingatanku mula berputar, berusaha mencarik maklumat yang tepu di pelantar memori.


Tuah Sujana. Ya, Tuah Sujana. Seseorang yang pernah mengirimiku dengan dua buah e-mel lewat pengajianku di Kelantan tidak lama dahulu, malah alamat e-melnya masih kekal tersimpan dalam sekian ribuan e-mel yang tersisip di kantung ‘alamat.’ Aku tertarik untuk membaca tentangnya. Seseorang yang pernah kukenali, namun tidak pernah mengenal peribadi.


Malam ini aku mula dihenyak cemburu yang sukar untuk dicerna. Setelah menekuni penulisan Tuah Sujana dengan karya-karya hebat serta pengalamannya sebagai seorang penulis muda, aku sungguh-sungguh terasa kekontangan! Tidak kusangka. Umurnya kini baru setahun jagung-17 tahun. Aku terkejut dan sedikit terkedu. Sehari-hari ini aku asyik meneladeni fikiran. Aku terasakan cabaran maha hebat dengan seorang ‘adik’ bernama Tuah Sujana yang sangat kreatif dan matang dalam penulisannya. Entah kenapa cemburu ini masih belum reda. Cemburu pada asuhan keluarganya yang sejak kecil hanya menghidangkan santapan-santapan berupa buku-buku cerita dan bahan ilmiah, malah tidak langsung pernah dikenalkan dengan makhluk bermulut celupar, malah adakalanya penuh dongeng- si peti televisyen!


Membaca e-melnya dahulu, langsung tidak akan terdetik mengatakan dia hanyalah seorang adik. Penulisannya yang matang ala-ala Faisal Tehrani membuatkan aku sendiri kagum, sekadar menyangka mungkin dia sebaya denganku. Sedangkan ketika itu usianya dalam lingkungan 14 atau 15 tahun sahaja. Memetik kata-katanya dalam majalah Dewan Sastera tersebut:


“Khazanah sastera sememangnya luas, termasuk di alam siber. Saya pernah ‘berlakon’ sebagai orang dewasa, mengutusi e-mel kepada siswa-siswi universiti semata-mata untuk bertukar idea, terkadang menduga ‘cinta’- supaya dapat saya jadikan iktibar dan pengajaran hidup seterusnya.”


Tuk! Seperti dijentik jari sendiri.


Kerana kekontangan idea dan buntu untuk mendiskusikan apa, kami keputusan e-mel. Malah kesibukanku waktu itu tidak terlalu mengizinkan aku untuk berfikir jauh dalam arus sastera. Jika tidak, entah-entah aku juga sekarang ini sudah mengikut jejak langkahnya sebagai penulis muda. Aduh, terkilan sungguh aku tentang banyak perkara dalam kesusasteraan. Yalah, sedikit berang apabila keinginanku untuk menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) tidak kesampaian lantaran usiaku sudah menginjak alam dewasa. Sudah tidak bertitle ‘remaja.’ Sekian lama aku mengimpikan untuk menyertai MPR-sejak di bangku persekolahan. Tetapi nampaknya sudah tidakkan kesampaian. Lantaran itu aku menggesa mereka yang masih berpeluang agar jangan mensia-siakan perkara sebegini berharga.


Kini aku hanya mampu mengumpul maklumat dengan cara pembacaan dan sedikit perbincangan dengan penulis-penulis yang sudi berkongsi pengalaman. Tetapi dalam kecemburuan ini, aku mendapat kekuatan melalui desah cabaran Tuah Sujana.


Kepada adikku Tuah Sujana: Kalungan syabas dan tahniah di atas orakan langkahmu hingga ke takah ini!



Malam kelam diulit tenang
Rembulan tersenyum memandang
Angin menyapa membuai rasa
Tekunku pada karangan Lim Swee Tin
Berbicara puisi
Senyumku mekar
Membalas rembulan yang tersenyum
Mendeklamasi rasa
Pada angin yang menyapa
Kubisik:
“Aku mahu jadi pemuisi!”


14 Julai 2008,
11.50 p.m.

Friday, July 4, 2008

Mentari di Hujung Senja





“Tak teh, tak teh…”


Ketawa kecil terkekeh-kekeh berderai. Lengan yang masih dibalut kulit lembut putih bersih berpaut pada pergelangan tangan Nadiah. Lekas-lekas Nadiah menangkap tubuh si kecil ke dalam pelukan sambil membenam puncak hidung ke pipinya.


“Mm, sayang adik kakak… Sayang, sayang, sayang, sayang... Sayang-sayang Allah, sayang-sayang Nabi…..” Nadiah melagukan nasyid sambil menggeletek badan si kecil. Si kecil terus-terusan ketawa dengan mata yang mencerlang galak.


“Sayang Tehah…” Nadiah mencium lagi si kecil, kemudian turut berbaring di sebelah bayi bernama Fatihah yang berusia hampir satu tahun.


Letih. Letih sungguh-sungguh! Nadiah hampir terlelap ketika terdengar ketukan di pintu yang diiringi salam.


“Assalamualaikum. Nadiah, Nadiah…”


Nadiah mencapai tudung hitam tanpa corak yang tersidai di besi ampaian, lalu menyarungnya ke kepala. Dia bergegas membuka pintu.


“Waalaikumussalam. Oh, Suria. Ingatkan siapa. Jemputlah masuk.” Nadiah mempelawa.
Suria, jiran satu kursus dengannya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang tinggal di blok bersebelahan dengan blok kawasan perumahan tempat dia tinggal.


“Awalnya kau balik. Kau naik bas kan? Cepatnya sampai.” Suria duduk bersimpuh menghadap Fatihah yang sedang memandangnya dengan seulas senyuman. Suria mencubit lembut pipi Fatihah sambil mengacah.


“Ya, aku risaukan Tehah ni. Kawan-kawan lain pun ada kuliah. Tak ada siapa yang menjaga dia. Tak bolehlah nak berlengah-lengah. Habis saja kuliah, aku terus jumpa Kak Rossa, minta tolong hantarkan.” Panjang Nadiah menjelaskan.


Suria mengangguk. Tangannya tidak lepas memegang Fatihah yang comel dengan mata bulat beralis lentik hitam.


“Kesian aku tengok Tehah ni. Tak tahulah apa kesudahan masa depannya nanti,” luah Suria penuh simpati.


Nadiah sekadar melepaskan keluhan berat yang sekian lama terperam dalam dadanya. Dia mengangkat Fatihah ke atas ribaan.


“Aku bukannya apa, Nadiah. Kesiankan Tehah, kesiankan kau juga. Sanggup ya kau jaga Tehah dengan keadaan kau yang macam ni. Dahlah masih belajar. Lagi setahun. Lama lagi tu. Hidup pun dengan tanggungan duit PTPTN saja. Bayar yuran pengajian pun dengan duit tu, makan minum lagi, kos-kos pergi balik ke kuliah, assignment… Ni ha, lagi satu beban kau, terpaksa beli makan pakai Fatihah pulak. Ya Allah, aku…” Suria tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia memegang bahu Nadiah yang hanya mampu menunduk. Ada air hangat bergenang di kelopak mata. Seboleh mungkin dia menahan agar air matanya tidak tumpah. Dia tidak mahu menzahirkan hempedu rasa di hadapan Suria.


“Tak apalah, Suria. Inilah suratan takdir. Mungkin berat untuk kau terima. Ya, berat mata melihat, berat lagi pundakku yang terpaksa memikul. Tapi Suria, aku tak kesal dengan tindakanku ini. Aku sendiri merelakannya. Malah, aku sangat sayangkan Tehah. Aku tak boleh kehilangannya,” luah Nadiah sambil ditahan-tahankan perasaan sebak yang seakan menikam ulu hati. Perit.


“Nadiah…” Suria menggenggam tangan Nadiah, kelu tanpa kata.


Nadiah mengangguk. “Jangan risau, Suria. Terima kasih ya kerana keprihatinan kau. Aku hargai. Kau jangan risaukan aku ya?” Nadiah kembali menggenggam jemari Suria sambil merenung matanya yang berona coklat kehitaman.


Suria melakar senyum hambar yang sarat simpati.


Beberapa minit kemudian, Suria meminta izin untuk pulang. Dia sengaja tidak mahu mengganggu Nadiah yang kelelahan. Ketika bersalaman, dia menghulurkan not biru RM 50. Nadiah keberatan untuk menerima.


“Ambillah Nadiah. Tolonglah ambil jika kau tak mahu aku dilanda serba salah. Hanya ini yang mampu aku tolong,” pujuk Suria.


Nadiah mengangguk sambil tersenyum tipis. “Terima kasih, Suria. Kau dah banyak tolong aku. Allah saja yang mampu membalas jasa kau.” Suara Nadiah sedikit bergetar dihurung sebak. Dia terharu.


Sebaik Suria menapak pergi, Nadiah mengambil kesempatan berehat seketika di sisi Fatihah yang terlantar kekenyangan. Si kecil itu juga turut terlena melihatkan dirinya sepi tidak diagah manja oleh si kakak.



********************************************



Nadiah baru usai menunaikan solat Maghrib. Dengan al-Quran yang ditekapkan ke dada, dia melangkah ke rak buku. Mencapai telefon bimbit yang sebentar tadi nyaring menjerit.


“Ait, ada miss called dari mak? Mak nak apa pulak ni?” Hati Nadiah dikerumuni tanda soal.


Dia kemudian melihat ada satu mesej. Juga daripada emaknya.


“Nadiah, bila kau nak balik? Mak ada hal nak bincangkan. Tentang Tehah. Bawak budak tu balik.”


Gulp! Nadiah tertelan liur.


“Aduh, mak ni tak habis-habis. Hmm…” Nadiah mengeluh sambil tangannya memicit kepala yang mula terasa berat. Dia tahu maksud emaknya itu. Dia tidak menjawab soalan emaknya, juga tidak menelefon semula. Dia terus duduk bersila dan mula menekuni al-Quran.


"Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Aku kusut. Tenangkanlah hatiku dengan ayat-ayat-Mu…” Doa Nadiah di dalam hati, mendamba secebis ketenangan daripada Pemilik segala hati.


Kira-kira jam 10 malam, telefon bimbit Nadiah berdering lagi. Ketika itu Nadiah sedang menaip tugasan menggunakan komputer riba sambil si kecil Fatihah meniarap di sisinya. Leka bermain patung beruang panda yang sederhana besar. Nadiah mencapai telefon bimbitnya dan menekan punat ‘answer.’


“Ya, mak?”


“Hah, kenapa tak jawab panggilan mak tadi? Kau buat apa?” Suara emaknya agak tinggi.


“Tadi Nadiah solat, mak.”


“Bila kau nak balik? Mak nak bincang dengan kau ni.”


“Belum lagi cuti semester. Macam mana Nadiah nak balik? Tugasan pun banyak, tak siap-siap lagi.” Nadiah sengaja mereka alasan.


“Yalah, macam mana nak siap? Dah kau asyik melayan budak tu saja 24 jam! Dah, mak tak kira. Apa pun, hujung minggu ni kau balik!” Lantang suara emaknya, berbaur sedikit amarah. Nadiah terpukul.


“Mak, tapi Nadiah…..”


“Dah, mak tak mahu dengar lagi. Yang penting kau mesti balik, atau mak yang akan ke sana!” Tambah emaknya lagi, memberi kata dua.


“Mm, yalah mak. Nadiah akan cuba balik,” balas Nadiah lemah.


“Jangan lupa bawak budak tu sama!”


“Mm…”


Hati Nadiah mula diselirati rencam rasa. Dia memandang Fatihah yang masih leka bermain sambil diselang-seli ketawa kecil. Dia mengusap-usap belakang Fatihah. Tugasannya terus ditinggalkan. Dia buntu.


Sebagai menuruti permintaan ibunya, Nadiah terpaksa jua pulang ke kampung halaman yang terletak di Pantai Timur Semenanjung. Tetapi dia tidak pula membawa Fatihah bersama. Kawan-kawan serumahnya boleh diharap untuk menjaga Fatihah selama tempoh pemergiannya. Sengaja dia tidak memenuhi kemahuan emaknya itu. Dia tahu apa yang bakal berlaku sekiranya permintaan itu dipenuhi. Bukanlah niatnya mahu menderhaka, tetapi sebagai seorang manusia yang berperikemanusiaan, dia rasa perlu untuk terus memikul tanggungjawab yang sedang digalasnya.


Langkah Nadiah terhenti sebaik memasuki halaman rumahnya. Dia mengitari suasana petang yang redup. Indah dipandang mata. Mendamai resah dan menyejuk rasa. Namun, petang yang indah itu tidak dikibar angin seperti selalu. Mungkin menandakan musim kemarau sudah tiba.


“Kenapa kau tak bawak Tehah balik?” Emaknya bertanya ketika dua beranak itu duduk di ruang tamu.


“Susahlah nak bawak budak kecil naik bas, mak.” Nadiah menganyam sepotong alasan. Dia sudah menduga soalan apa yang bakal direjam kepadanya.


“Alasan kaulah, Nadiah. Bukan mak tak kenal kau.” Emaknya diam sejurus. “Nadiah, sebenarnya mak ni risaukan kau. Kau kan anak mak. Marah-marah mak ni pun sebab mak sayangkan kau. Mak tak sanggup tengok anak mak pikul beban orang lain,” luah emaknya bernada sayu.


Emaknya merenung wajah Nadiah yang semakin cengkung. Nadiah membalas renungan emaknya sambil menyungging senyum hambar.


“Nadiah tahu, mak," jawab Nadiah pendek.


“Bawaklah Tehah balik ke sini. Jangan biar beban tu makan diri kau, Nadiah.” Emaknya berusaha memujuk.


“Mak, Nadiah ni bukan apa. Kalau ada ahli keluarga kita yang sanggup menjaga Tehah, Nadiah terima, mak. Tapi Nadiah tak sanggup tengok Tehah dihantar ke rumah anak-anak yatim sedangkan dia masih ada ibu bapa. Dia masih kecil, mak. Dia perlukan kasih sayang yang cukup. Kalau ada orang yang nak ambil dia sebagai anak angkat, Nadiah tak mahu, mak. Nadiah takut kita akan terpisah dengan Tehah selama-lamanya.” Nadiah bertegas.


“Mampukah kau bagi kasih sayang yang cukup? Kasih sayang seorang ibu dan seorang ayah, mampukah Nadiah?”


Nadiah kelu tanpa kata. Dia sering tiada upaya menjawab persoalan emaknya.


“Lagipun, dah mak ayah budak tu sendiri yang tak mahukan dia, kita nak buat macam mana lagi? Kalau budak tu dihantar ke rumah anak-anak yatim, mak yakin hidupnya akan lebih baik.”


“Mak? Tak mahukah mak yang menjaga Tehah?”


“Nadiah, kalau ikutkan hati mak ni, ya, mak nak jaga Tehah. Mak pun sayangkan dia. Tapi kehidupan kita dengan sumber rezeki pun tak menentu, mak tak sanggup. Kesian budak tu, terpaksa menderita macam kita.”


Nadiah mengakui kata-kata emaknya. Ya, kehidupan mereka sekeluarga sememangnya susah. Ayahnya hanya seorang nelayan dengan pendapatan tidak menentu. Sebuah bot kecil untuk menangkap ikan, tidak menjanjikan kehidupan seindah impian. Sekadar mencukupi buat mengalas perut siang dan malam.


“Kurang ajar betul Kak Mia dengan Abang Sufi tu, mak! Nadiah geram, mak. Geram!” Meletus juga kemarahan Nadiah yang selama ini puas diperam-jeruk terhadap sepupunya suami isteri. “Tahu kahwin dan beranak saja. Lepas tu anak dibuang! Tak guna langsung!” Nadiah betul-betul mendidih.


“Sabarlah, Nadiah. Mak yakin, mereka pasti akan menyesal.” Emaknya cuba meredakan badai amarahnya.


“Mak, Nadiah tetap akan jaga Tehah. Biarlah apa nak jadi, jadilah!” Nadiah membulat tekad. Emaknya hanya mampu terpinga. Tiada lagi bantahan.


**********************************************



Dua tahun kemudian.


Langit cerah dipalit lukisan awan nipis. Kawanan burung bernyanyi ceria di dahan-dahan pokok mata kucing, pokok kekabu, pokok kuini, pokok rambutan dan pokok-pokok lain di sekitar kampung. Beberapa ekor ayam peliharaan hanya berdiri kaku tidak bergerak melainkan sesekali kepala sahaja mengitari suasana. Tanda ia sudah pasif. Sudah hampir menjelang waktu tidurnya kala alam mulai diserkup kelam.


“Tehah, dah. Masuk mandi cepat! Dah maghrib ni,” laung Nadiah dari muka jendela.


“Sekejaplah, kak. Tehah nak mandikan baby Tehah ni,” balas Fatihah sambil memangku anak patung perempuan yang comel. Sebesen baldi kecil mengandungi air bersih untuk jirusan pokok-pokok bunga dicelup dengan tangannya yang kecil. Tangan itu menyapu rambut anak patung di dalam pangkuan.


“Ha, sudah! Buat apa nak mandikan patung tu? Ee, ‘mak’ dia pun busuk tak mandi, ada hati nak mandikan ‘baby.’ Ee, Tehah busuk!” Nadiah mengusik.


“Alah, kakak ni! Yalah… Uh!” Fatihah berpura-pura merajuk sambil berlari lincah ke dalam rumah. Nadiah tersenyum.


Nadiah menutup jendela dan pintu yang ternganga. Senja-senja begitu tentu banyak ‘makhluk’ lain yang berkeliaran. Wajarlah baginda Nabi melarang umatnya berpeleseran di luar rumah pada waktu begini. Nadiah berbisik dalam sepi.


“Nadiah, mak nak beritahu sesuatu.” Tiba-tiba emaknya menyentuh lembut bahunya dari belakang. Nadiah sedikit terperanjat.


“Aduh, mak. Terkejut Nadiah.” Nadiah mengurut dada. “Kenapa mak? Nak beritahu apa?”


Emaknya tidak terus menjawab. Dia menyeluruhi wajah bujur Nadiah yang kian ceria. Tidak lama lagi Nadiah akan berkahwin dengan pemuda aturan keluarga.


“Nadiah, tadi Mia telefon.” Sepotong ayat ibunya benar-benar membuatkan air muka Nadiah keruh.



***********************************************




“Baru sekarang kakak dan abang ingatkan anak? Selepas kalian berjaya kumpul kejayaan dan kekayaan di atas derita orang lain?” Nadiah benar-benar marah. Dia ingin memuntahkan rasa marah yang telah lama meloyakan hatinya.


“Maafkan kami, Nadiah. Bukan macam tu. Nadiah tahu kan kami berkahwin waktu tengah belajar. Nak ambil M.A. Kami rasa tertekan dengan situasi masa tu.” Mia cuba menepis tuduhan Nadiah. Dia mengerling suaminya di sisi. Sufi mengangguk sahaja bagai belatuk.


“Ah, alasan kunolah, kak! Habis, saya ni tak belajarkah? Waktu saya menjaga Tehah dulu, saya tak belajarkah, kak? Abang?” Nadiah terus memulangkan paku buah keras.


“Ya, itu kami tahu. Tapi masa tu kami tak ada duit, Nadiah. Selepas bayar duit pengajian, duit hanya cukup untuk makan minum kami saja. Kami tak mampu.” Mia masih mempertahankan diri.


“Kakak, abang. Saya dulu pun tak ada duit. Saya menyara hidup dengan bantuan PTPTN saja. Kakak dan abang ingat banyak manalah sangat duit PTPTN tu? Sudahlah! Sebenarnya kakak dan abang tak layak jadi ibu bapa kalau tak sanggup menanggung susah. Habis, kalau ditakdirkan suatu hari nanti kakak dan abang jatuh papa, anak-anak kakak dan abang hendak dibuang sebab susah? Begitu? Hei, banyak lagilah orang yang lebih susah dari kakak dan abang. Kenapa mereka boleh pula menjaga anak-anak yang ramai?!” Nadiah bercekak pinggang.


“Nadiah, sabar!” Ayah Nadiah yang sedari tadi hanya melihat perbalahan itu mula bersuara. Dia bimbang akan terjadi tumbuk-menumbuk pula.


“Ayah, maafkan Nadiah. Nadiah dah lama terluka dengan perangai Kak Mia dan Abang Sufi ni. Tak berguna!” Nadiah terus masuk ke biliknya, meninggalkan Mia dan Sufi dengan perasaan benci.


Di bilik, dia duduk di samping Fatihah yang sedang nyenyak tidur. Seharian bermain membuatkan Fatihah keletihan. Nadiah merenung Fatihah dengan perasaan kasihan bercampur sedih.


Setelah kunjungan Mia dan Sufi pada malam itu, emak dan ayah Nadiah sering memujuk dan menasihatinya agar menyerahkan kembali Fatihah kepada ibu bapanya yang lebih berhak. Nadiah sering menangis disebabkan itu.


“Nadiah tak sanggup berpisah dengan Tehah. Nadiah yang menjaga Tehah sejak bayi. Nadiah yang bersusah-payah selama ni. Nadiah tak boleh, mak, ayah.” Air mata Nadiah berjuraian di pipinya.


Fatihah juga turut menangis melihatkan kakak kesayangannya yang kerap menumpahkan air mata sejak akhir-akhir ini. Dia seolah dapat merasakan kesedihan yang merajai atma Nadiah. Cuma dia masih belum mampu memahami.


Mia dan Sufi juga tidak putus-putus datang ke rumah Nadiah demi menuntut anak mereka kembali. Sehinggalah disebabkan keengganan Nadiah yang tersimpul mati, mereka terpaksa mengugutnya untuk membawa kes itu ke mahkamah. Melihatkan perkara yang bertambah rumit, emak dan ayah Nadiah bermati-matian memujuk Nadiah agar menyerahkan semula Fatihah ke pangkuan keluarganya.


Pernah ayahnya ‘naik darah’ pada suatu hari apabila Nadiah tetap berdegil.


“Kau bagi balik budak tu, Nadiah!” Marah ayahnya.


“Ayah tak fahamkah hati Nadiah?”


“Oh, nak faham hati kau? Hati mak ayah ni kau tak nak faham? Dah lama kami bersabar dengan kedegilan kau tu! Lebih baik kau serahkan balik Tehah. Kalau tak…..”


“Apa, ayah? Kalau tak, apa?”


“Jangan mengaku kami ni mak ayah kau! Kami tak ada anak yang degil, tak dengar cakap orang tua!”


“Ayah!” Nadiah terkedu mendengar kata-kata yang terluah dari bibir ayahnya. Dia menangis tersedu-sedu kerana merasakan telah berdosa menjadi anak derhaka. Apabila seorang ayah mengucapkan sedemikian kepada anaknya, maka tidakkah itu dinamakan telah menderhaka? Menderhaka kepada ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah!
Nadiah cepat-cepat mengucup tangan ayah dan emaknya. Dia meminta ampun.


“Maafkan Nadiah, ayah, mak. Ampunkan Nadiah… Ya, Nadiah berjanji akan serahkan Tehah kepada Kak Mia. Ampunkan Nadiah.” Nadiah memeluk ayah dan emaknya dengan terisak-isak. Bahunya turun naik dipalu sedu.


“Sudahlah tu, Nadiah. Kami maafkan,” ujar emaknya lembut sambil mengusap rambutnya yang menjurai.


Fatihah tiba-tiba muncul dari luar.


“Kakak, jom teman Tehah mandikan baby Tehah ni.”




TAMAT

Wednesday, June 4, 2008

Pantun Raja Sehari



Pantun Raja Sehari

(Buat pengantin baru-Basiroh dan suami pada hari menjamu nasi minyak 5 Jun 2008)

Disiram air ditabur baja

Rimbun nan subur si pohon ceri

Indah rasanya dibelai dimanja

Menjadi raja sepanjang hari.


Petang-petang menghadap kari

Enak dicecah bersama roti

Wajah disolek seindah seri

Biar menawan kekal di hati.


Berhari-hari naik lori

Arah tuju ke Inderagiri

Bukan mudah menjadi isteri

Hidup kini digenggam suami.


Biar ditetak ku takkan lari

Demi menawan si jantung hati

Walau terikat gerak dan geri

Ganjaran pahala di syurga menanti.


Buah cermai masam rasanya

Enak dicicip bila dijeruk

Namanya sudah berumahtangga

Pasti ada rajuk dan pujuk.


Rapuh rasanya mengunyah keropok

Dikirim orang dari Segambut

Bertolak ansur perlu dipupuk

Salah dan silap lenyap terpuput.


Menangguk di sungai harapkan keli

Tersauk pula serpihan baldi

Tanam dan suburkan cinta sejati

Insya-Allah bahagia kekal abadi.




4 Jun 2008,

8.36 p.m.,

Kuala Nerang.

Friday, May 30, 2008

Surat dan diari: Perakam sejarah kehidupan



Bagi para arkeologi atau sejarawan, surat dan diari tentunya merupakan penemuan paling berharga, kukira. Sumber primer. Sumber utama sebagai bahan bukti terhadap segala perkembangan yang telah berlaku dalam kehidupan, tentang sesuatu peristiwa atau sejarah lampau.


Zaman dahulu kala, surat merupakan bahan perantaraan penting di antara seseorang di sini dengan seseorang yang lain di pihak sana. Malah pada masa kini juga kepentingan surat masih lagi tertonjol dengan kewujudan pejabat pos yang semakin cekap dan bersistematik dalam setiap penghantaran surat dan perkhidmatannya yang lain. Cuma penggunaan surat secara tidak formal dalam kalangan generasi hari ini, pada telahanku, semakin berkurangan. Yalah, dengan kecanggihan teknologi, dunia seolah dianggap tiada sempadan. Yakah tiada sempadan? Mmm…


Ya juga. Aku sendiri sudah langsung tidak menyentuh batang pena dan lembaran kertas untuk menulis surat. Sebetulnya langsung tidak pernah menulis surat sejak beberapa tahun ini. Berbeza dengan aku ketika di bangku sekolah rendah hingga sekolah menengah dahulu; hantu tulis surat! Aku gemar mengumpul surat pada masa lalu. Entah. Mungkin sebab pengaruh bahasa novel, aku jadi mengidam hendak menukil ayat-ayat indah yang merakam cerita kehidupan. Bercerita tentang pengalaman, tentang dunia… Lalu aku pun menujukan surat-suratku buat kakak-kakak angkat, adik-adik angkat, kawan-kawan dan juga bapa saudaraku yang ketika itu sedang mengikuti latihan polis di Pulapol. Paling seronok apabila menerima surat daripada Pak Cikku itu. Dia bercerita tentang kehidupan di kem Pulapol. Menjalani hidup sehari-hari dengan peraturan yang ketat dan berdisiplin tinggi. Surat yang ditulisnya pula panjang, jadi aku sangat gembira.


Aku sendiri gemar menulis surat dengan panjang dan bahasa yang indah. Sengaja aku ingin melatih diri menggunakan bahasa melalui surat. Pernah juga aku mempunyai seorang kenalan berbangsa Cina. Aku sudah lupa namanya. Aku yang mula-mula menulis surat padanya berdasarkan alamat dan gambarnya yang disiarkan dalam Majalah Dewan Siswa yang kulanggan saban bulan pada waktu itu. Seronok juga. Menurut gadis yang berasal dari Melaka itu, aku merupakan teman berbangsa Melayu yang pertama ingin berkenalan dengannya. Dia juga mengajarku bahasa Cina. Yang masih kuingat: Wo= Saya, ai= cinta, ni= awak, dan ni= awak, hao ma= apa khabar? Manisnya kenangan lalu. Tetapi kini semuanya sudah berakhir. Masing-masing tidak lagi berkirim surat. Semuanya dengan haluan sendiri. Sepi khabar berita. Surat-surat yang dahulunya kukumpul juga sudah dibakar oleh emak dan ayah. Sejak aku merantau ke negeri orang untuk belajar, surat-surat dan diari-diari lamaku langsung sudah tidak diurus dan dijaga dengan baik. Kata emak, ular bersarang. Sebab itu emak membakarnya. Huh, gerun juga!


Jika malas hendak menulis surat (walaupun boleh menulis melalui e-mel), jangan sia-siakan bakat berbahasa dengan langsung tidak menulis. Menulis itu perlu diasah. Perlu menulis walaupun tidak ada apa-apa untuk ditulis atau tidak tahu apa yang hendak ditulis. Bukan susah. Tulislah sahaja: “Aku tidak tahu apa yang hendak ditulis di sini. Cuma aku sengaja menulis kerana aku ingin membiasakan diriku menggunakan bahasa…” Lihat! Itukan sudah terjadi satu luahan hati yang menarik dengan bahasa yang baik? Jadi, tulislah diari jika bosan menulis surat. Diari itu bagiku suatu alat perakam riwayat dan sejarah hidupku. Siapa tahu, diari yang ditulis itu akan bertukar menjadi novel dengan sedikit pengolahan dan penambahbaikan pada suatu hari nanti?!


Jika benar-benar tidak mahu menulis, maka banyakkanlah membaca. Kerana membaca itu jambatan ilmu. Ia akan menambah pengetahuan dan pengalaman baru. Lama-kelamaan, tangan kita akan mula ‘gatal’ untuk menulis. Seperti Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Beliau lebih banyak membaca daripada menulis, hingga akhirnya beliau akan mula ‘gatal’ tangan kerana tidak sabar-sabar hendak menulis.


Mm… Jadi, membaca dan menulislah!

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com