Sunday, December 2, 2007

BAGAIMANA SASTERA ISLAM MENEPATI KONSEP DAKWAH



DEFINISI DAN KONSEP DAKWAH

Dakwah berasal daripada perkataan Bahasa Arab da’a yang bermaksud menjemput, mempelawa, mengajak. Dari segi istilah, dakwah didefinisikan oleh Doktor Abdul Karim Zaydan dalam bukunya Usul al-Da’wah sebagai “pelawaan, ajakan dan jemputan untuk mengikuti ajaran Islam.”

Dalam al-Quran dan Hadith, terdapat beberapa konsep yang mempunyai hubungan yang kuat dengan konsep dakwah contohnya al-jihad fi sabil Allah (berjihad di jalan Allah), al-amr bil ma’ruf wa al-nahi ‘an al-munkar (melakukan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan yang salah), al-Islah (memperbaiki), al-tadhkir (memperingati), al-tabligh (menyampaikan), al-ta’wun ‘ala al-birr (bantu-membantu ke arah kebenaran) dan lain-lain.

Bertitik-tolak daripada itu, sastera Islam seperti yang telah dihuraikan sebelum ini dilihat sebagai menepati konsep-konsep di atas. Dalam kertas projek yang terhad ini, kami akan cuba menghubung-kaitkan teori sastera Islam dengan salah-satu konsep dakwah iaitu amar ma’ruf nahi munkar (mengajak melakukan amalan kebaikan dan meninggalkan amalan kejahatan) bagi menjelaskan lagi kaitan antara kedua-dua konsep ini.

HUBUNG-KAIT ANTARA SASTERA ISLAM DAN KONSEP AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR

Pendekatan sastera Islam seperti yang ditekankan oleh A.Hasjmy dan Shahnon Ahmad adalah lebih kepada pendekatan amar ma’ruf nahi munkar. Sastera Islam cuba merangkumkan ilmu dan amalan agama dalam konteks kesusasteraan serta mengambil kira konsep amar ma’ruf nahi munkar yang terkandung dalam ajaran Islam untuk diterapkan dalam karya sastera. Ini amat berbeza dengan konsep sastera Barat yang cuba memisahkan kesusasteraan daripada agama.

Untuk melihat dengan lebih jelas lagi hubung-kait antara sastera Islam dan konsep amar ma’ruf nahi munkar ini, kami akan cuba menghuraikannya dengan merujuk kepada beberapa aspek penting dalam sesebuah karya sastera iaitu penulis, mesej serta bahasa dan teknik penceritaan.

.1 Penulis

Dalam konsep dakwah amnya dan amar maruf nahi munkar khasnya, setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan amalan kebaikan dan mencegah segala amalan kejahatan dan kemaksiatan. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110:

Anda adalah umat pilihan, yang ditampilkan untuk manusia (Dengan ketentuan agar anda) menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar dan beriman kepada Allah...

Sehubungan dengan itu, penulis yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya juga adalah tergolong dari kalangan umat pilihan ini yang turut sama memikul tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah amalan kejahatan menerusi karya dan tulisan-tulisannya. Ciri-ciri penulis atau sasterawan Muslim seperti yang telah diperincikan oleh A.Hasjmy menunjukkan betapa sastera Islam tidak mengabaikan keperibadian penulis. Ini kerana, penulis yang mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan pasti akan menampilkan kebenaran dan kebaikan dalam karya-karyanya.

Sastera Islam adalah hasil ilham penulis yang dikurniakan oleh Allah kepada penulis. Oleh sebab itu, penulis harus menggunakan dan memanfaatkan kurniaan Ilahi ini dengan rasa tanggungjawab, ikhlas, jujur dan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dengan tidak menghasilkan karya yang memaparkan kisah-kisah yang dibenci Allah, sebaliknya menghasilkan karya yang dapat mengajak para pembaca untuk melakukan amal kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan kemaksiatan. Ini adalah selari dengan konsep amar ma’ruf nahi munkar yang tidak menggunakan kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita ke arah jalan yang menyimpang dari landasan-Nya.

Selain itu, berbalik kepada firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110 seperti yang disebutkan tadi, konsep amar ma’ruf nahi munkar ini hanya dikhususkan kepada umat Islam sahaja. Maka bertitik-tolak dari inilah, sastera Islam mestilah dihasilkan oleh umat Islam sendiri supaya kebenaran Islam itu dapat dilihat dalam karya mereka secara jujur dan jelas. Sebaik-baiknya sastera Islam adalah hasil penulis yang kuat berpegang kepada ajaran Islam dan mempraktiskannya dalam penulisan.

Para penulis Islam juga disarankan untuk membentuk organisasi atau kelompok dari kalangan mereka serta bekerjasama dan saling membantu bagi memastikan misi dakwah melalui karya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104:

Perlu ada di antara anda, satu kekuatan organisasi, yang tugasnya mengajak ke jalan kebaikan, menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar. Mereka itulah yang berjaya.

2. Mesej

Hubung-kait yang paling jelas antara konsep amar ma’aruf nahi mungkar ialah pada mesej yang dibawa oleh sastera Islam. Mesej utama yang dibawa oleh kedua-dua konsep ini ialah mesej Tauhid. Dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar khasnya dan dakwah amnya, mesej yang ingin dibawa ialah mengimani kewujudan Allah, mengimani keesaan-Nya serta mengimani bahawa Dialah Tuhan sekalian alam selain menyeru sekalian manusia untuk mengikuti ajaran Islam. Justeru, setelah mengimani kewujudan Allah ini, maka segala amalan kebaikan yang kita lakukan akan menjurus kepada satu niat iaitu dilakukan hanya kerana Allah begitu juga kita menghindari diri daripada kejahatan adalah jua kerana Allah.

Sastera Islam juga turut meletakkan konsep Tauhid ini sebagai asasnya. Oleh sebab itulah, Shahnon Ahmad mendefinisikan sastera Islam sebagai Sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia, kesusteraan berakhlak yang telah ditetapkan oleh Khaliq, karya yang jelas dan satu ibadah.

Apabila mesej sastera Islam dihubungkaitkan dengan konsep Tauhid ini (sastera kerana Allah), maka penulis bakal merasakan adanya hubungan dengan Allah. Penulis yang menjiwai Islam dan mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, tidak mungkin akan menghasilkan karya yang bertentangan dengan ajaran Islam sebaliknya akan menghasilkan karya amar ma’ruf nahi mungkar.

Hubungan antara penulis dan Penciptanya inilah yang telah memperlihatkan keistimewaan dan keunikan konsep sastera Islam berbanding konsep sastera bukan Islam.

Setelah perhubungan antara penulis dan Penciptanya jelas, maka karya yang dihasilkan dalam sastera Islam tentulah akan menepati konsep amar ma’ruf nahi mungkar, sejajar dengan firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 71:

Mereka menyuruh mengerjakan amar ma’ruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Radul-Nya.

Salah satu isi penting dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar ialah prinsip akhlak dan moral. Prinsip ini harus disuburkan dalam karya sastera Islam. Karya sastera Islam harus tampil sebagai satu karya moral dengan jalan pilihan ke arah kebaikan yang jelas. Justeru, karya-karya sastera yang tidak ada nilai dan etika serta moral, picisan dan sia-sia, dan membawa kepada kerosakan tidak termasuk dalam kategori Sastera Islam. Bahkan karya sastera yang mendorong lahirnya masyarakat yang tidak bermoral dengan menampilkan kehidupan watak yang bergelumang dosa dan penulis pula tidak menjelaskan bahawa kehidupan sebegitu adalah bertentangan dengan Islam bahkan memuja watak tersebut juga tidak termasuk dalam Sastera Islam.

Penulis sastera Islam yang berpegang kepada konsep amar ma’ruf nahi mungkar ini tentu sahaja akan menyebarkan nilai-nilai keIslaman, membanteras kejahatan, membongkar ketidakadilan, penindasan, korupsi dan memperjuangkan kebenaran melalui karya-karyanya supaya kebenaran ini dapat ditegakkan dalam masyarakat seperti yang dikehendaki dalam Islam. Penulis haruslah menegakkan ajaran Allah dengan menampilkan watak-watak yang beriman dan beramal soleh dalam karya-karyanya, karyanya berterusan membenarkan yang benar dan mengharamkan yang haram, mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur serta tidak memberi hak kepada watak-wataknya untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsunya sebaliknya berlandaskan hukum dalam Islam.

Justeru dapat kita simpulkan di sini bahawa sastera Islam meletakkan mesej di tempat teratas. Di samping itu, sekiranya penulis mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, atau dengan kata lain, penulis menjiwai Islam dalam kehidupan sehariannya, maka keimanan dan keperibadian penulis ini akan terjelma dalam karya-karyanya yang bakal mengajak pembaca melakukan amal kebaikan dan mencagah amal kemaksiatan dan kemungkaran.

3. Bahasa dan Teknik Penceritaan

Dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar khasnya dan konsep dakwah amnya, terdapat beberapa metodologi dakwah yang telah diberi garis panduan oleh Islam. Imam Fakhrul Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghaib telah menggariskan tiga metod dakwah berdasarkan ayat 125 daripada Surah al-Nahl yang bermaksud:

Ajaklah ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan dengan cara yang baik dan berdebatlah dengan baik.

Melalui ayat ini, dapat kita simpulan tiga metod atau cara dakwah yang berbeza iaitu hikmah, mau`izah dan mujadalah.

Menurut Imam Fakhrul Razi, hikmah ialah cara menyampaikan dakwah yang pertama dan ia merupakan cara yang harus disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh dan bebas daripada sebarang kecacatan serta kontradiksi. Manakala mau`izah pula ialah cara menyebarkan dakwah secara menyebarkan dan memberi nasihat. Caranya boleh dikatakan sebagai suatu cara memujuk. Mujadalah pula ialah cara menyampaikan dakwah dengan berdebat dan berdiskusi.

Maka di sini letaknya persamaan antara metod atau ‘kaedah menyampaikan’ dalam kedua-dua konsep. Seperti juga dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar yang menyampaikan sesuatu dengan cara yang jelas dan menyediakan hujah-hujah yang kukuh, Shahnon Ahmad mengatakan bahawa sastera Islam juga bukanlah suatu hasil karya yang kabur, boleh mengelirukan pembaca dan hasilnya tidak menjelaskan petunjuk yang benar.

Selain itu menurutnya lagi, penggunaan bahasa dalam sastera Islam haruslah mudah supaya maksudnya tepat dan tidak mengelirukan. Gaya bahasa yang berputar-putar ditentang oleh Islam begitu juga dengan teknik penceritaan yang melampau atau berlebih-lebihan contohnya menceritakan secara terperinci perbuatan munkar seperti zina dan khalwat dalam karya.

Justeru, dapat kita simpulkan di sini bahawa bahasa dan teknik menulis dalam sastera Islam haruslah mudah dan jelas supaya mesej yang bersifat kebenaran dan bermanfaat yang ingin disampaikan dalam karya sastera Islam itu dapat sampai dengan mudah kepada pembaca dan tidak mengelirukan mereka. Dikhuatiri, andai bahasa yang digunakan dalam sastera Islam itu sukar difahami, penuh dengan kata-kata yang kabur dan janggal, maka mesej kebenaran yang ingin disampaikan itu tidak dapat memberi kesedaran kepada pembaca sebaliknya menyesatkan mereka pula.


Kesimpulannya, keindahan sastera Islam yang meletakkan hubungan penulis dan Tuhan serta mesej dan matlamat di tempat teratas menjadikannya istimewa, unik dan mempunyai ciri-ciri dan konsep tersendiri berbanding sastera bukan Islam. Harus disebutkan di sini, mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak hanya dilakukan dengan lisan tetapi mungkin lebih berkesan melalui tulisan sepertimana sumber utama umat Islam, al-Quran yang megajarkan ayat-ayat Allah dalam kaedah cerita contohnya kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa.

Sastera Islam yang mempunyai kaitan akrab dengan Tuhan, seharusnya membawa mesej yang tidak menyesatkan pembaca sebaliknya mengutamakan kebaikan daripada kejahatan seperti yang disarankan dalam Islam.

Selain itu, sastera Islam turut mementingkan keperibadian menulis dan mengangkat prinsip moral dan akhlak. Penulis yang berperibadi mulia tentunya tidak akan menghasilkan karya-karya yang melanggar batasan agama, moral dan akhlak sebaliknya menghasilkan karya yang mengajak pembacanya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

Kesimpulannya, asas, konsep dan prinsip yang dibawa oleh sastera Islam menepati konsep dakwah daripada semua sudut; penulis, mesej, bahasa serta teknik penceritaan dan seharusnya semua penulis Muslim menyimpan hasrat untuk sedaya upaya cuba menepati konsep sastera Islam ini dalam karya-karya mereka.


Sumber: http://ghafirah-idris.blogspot.com/

No comments:

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com