Saturday, May 3, 2008

Sajen: Sejenis Makhluk Apakah Ia?



Dulu, sebagai seorang yang agak suka ‘menyelidik’ (mungkin satu kebertuahan, kerana aku bakal seorang guru, dan guru itu antara tugasnya selain daripada mengajar ialah untuk melakukan penyelidikan dalam bidang pendidikan), aku kerap melayari internet untuk mencari sumber-sumber rujukan yang sukar kudapati daripada buku-buku. Dan, antara laman-laman maya yang kerap ku kunjungi ialah laman-laman sastera ala-ala puitis, termasuklah laman sifu tidak rasmiku; Faisal Tehrani (kerana pernah mengkritik karyaku), juga Zaid Akhtar, A. Ubaidillah Alias (kedua-duanya pernah memberi komen dan mengkritik karya-karyaku), laman-laman puisi seperti Nimoiz T.Y., dan lain-lain penulis atau pencinta sastera sejati.

Dan, pernah sekali aku terjumpa satu laman web (aku kira ia sebuah laman web) yang dinamakan ‘Taj Mahal Kata,’ di mana laman ini sebenarnya memaparkan nukilan-nukilan seorang penulis yang bergelar ‘suami’ kepada seorang penulis lain bergelar ‘isteri.’ Laman tersebut dibina untuk merakamkan rasa kasih sayang dan penghargaan seorang suami (penulis bernama Irwan Abu Bakar) terhadap isterinya tercinta; Hasimah Harun. Kebanyakan karya yang dimuatkan adalah dalam bentuk sajak, pantun dan syair yang menarik.

Kemudian, aku tiba-tiba tertarik pada beberapa rangkap kata dinamakan ‘sajen’ berbunyi begini:

Makin Birthday Makin Muda
(Happy Birthday Drirwan)


"Abe... Abe...
tulong ajar adik lukis bule, lukis bite
adik nok hantar kepada oghe
yang kucintai."

"Kucing taik?"

"Hihihi... dok eh,
nok hantar untuk oghe
yang adik saye
siye male terbaye-baye."

"Nenek kebayan?"

"Hihihi... dok eh
kkecek standardlah, mudoh sikit
Adik dedikasikan hati dan perasaan
bulan dan bintang
buatnya yang tersayang
siang malam terbayang-bayang
dan yang kucintai itu
tidak lain dan tidak bersalahan lagi
abanglah jantung
abanglah gunung
kad mahu kuutus
sempena hari jadi."

"Hihihi... cair hati abang mendengar penjelasan
hari ini 11 Mei, hari jadi abang
kad ini, UNTUK ABANG?!!!"

"Abe... happy birthday ke-53? 35?"

"35... baru 35. Umur Abe undur ke belake."

"Eh, Abe kkecek Kelate?"

"Hihihi... abang berjiwang ditindih perasaan."



Setelah membaca rangkap-rangkap ‘sajen’ yang ditulis oleh si isteri sempena hari jadi suaminya itu, aku asyik terfikir. Adakah itu sajak? Kenapa dinamakan ‘sajen’? Mungkin ya, ianya sajak, cuma ia menggunakan bahasa dialek. Mungkin kelihatannya langsung tidak formal dengan tidak menggunakan bahasa baku, dan aku sendiri tidak tahu apakah sajak begini boleh diterima sebagai sajak, atau sajak itu hanya boleh dikatakan ‘sajak’ apabila menggunakan bahasa baku? Entahlah. Aku sendiri baru menjinakkan diri dan sedang belajar-belajar menulis sajak, jadi pengetahuanku tentangnya masih kurang.

Sebenarnya, aspek yang sangat menarik perhatianku pada sajak tersebut kerana ia sangat melucukan. Aku belum pernah membaca sajak-sajak bernada lucu melainkan pantun. Kemudian, aku terbaca pula tentang ‘Tujuh Rangkap Sajen Cinta’ karya Nimoiz T.Y. berbunyi begini:

Cinta itu sebenarnya buta
sebab cinta tak pakai cermin mata.
Cinta itu hembusan bayu pagi
masih kemaruk walaupun si dia tiada gigi.
Cinta itu bersulam naluri
kata ‘engineer’ tapi sebetulnya drebar lori.
Cinta itu mencantum dua hati
kerana cinta ‘save budget’ makan roti.
Cinta itu tertanam dalam batin
putus cinta sanggup makan berlauk sardin.
Cinta itu siang malam merindu
tiada sardin makan nasi dengan budu.
Cinta itu adalah sajen
kerana cinta penyajak menjadi penyajen.


Aku mulalah tak boleh ‘duduk diam’ apabila terbaca istilah ‘sajen’ yang tidak aku ketahui maksudnya. Semangat inkuiriku sangat tinggi untuk mengetahui setiap makna bagi sesuatu istilah baru atau istilah yang belum pernah ku temui. Tangan mula ‘gatal’ hendak mencari apa yang dimaksudkan dengan ‘sajen’? Akhirnya, aku terjumpa penerangan mengenainya, juga dalam laman web Nimoiz T.Y.

“Jika kali pertama anda mendengar perkataan sajen sekaligus sudah merasakan kelucuan cara menyebutnya, tahniah sekali lagi kerana anda semakin hampir dengan dunia kepenyajenan. Dunia yang agak unik dan kompleks. Dunia yang penuh dengan kegirangan, warna-warni, kelucuan dan gelak tawa.” Begitu menurut Nimoiz sebagai mukadimah penerangannya.

Aku terus membaca penerangan tentangnya dengan penuh minat. Ya, akhirnya aku dapat tahu apa itu ‘sajen.’ Sajen itu sebenarnya terdiri daripada akronim dua perkataan, iaitu ‘sajak’ dan ‘jenaka.’ Jadi, secara mudahnya, ‘sajen’ itu ialah sajak jenaka, ataupun sajak yang berunsur jenaka. Jika menurut penerangan yang diberikan oleh Nimoiz, ia berbunyi begini:

“..........Konotasi diksi-diksi biasa yang kadang-kadang menjengah ke galur puitis dan gramatis, kadang-kadang juga dalam bentuk satira, naratif atau erotik, yang tujuannya adalah untuk menghasilkan suasana lawak dan ceria, lucu, tidak membosankan serta menggelikan hati sehingga boleh menyebabkan pembaca atau pendengar tidak kering gusi..........”

Begitulah. Akhirnya aku dapat memahami serba sedikit tentang sajen yang sebenarnya masih agak baru dari segi perkataan dan maksud. Cuma, aku masih belum berkesempatan untuk cuba menghasilkannya. Kerana bukankah dengan cuba-cuba itu akan menjadi satu kebiasaan yang akhirnya menghasilkan kemahiran?

Tuesday, April 15, 2008

Kaca Matakukah Yang Retak Seribu?



Saya sering berasa tidak puas hati terhadap orang Melayu Islam kita. Yalah, mungkin biasa. Banyak perkara yang biasanya tidak memuaskan hati berlaku dalam masyarakat bak wabak yang mungkin tak dapat diubati lagi. Sebati benar dalam daging! Mengapa saya menyimpul demikian? Begini…..

Tadi ke pasar malam bersama-sama emak, ayah dan adik. Saya sengaja mahu mengekor meski tiadalah sangat yang mengidam di hati. Sekadar ingin menghirup angin malam. Jumantara alam. Wah…! Hmm, puas dapat menghirup udara di kampung yang bugar.

Saya tidak tahu hendak membeli apa sebenarnya. Lagi pula, tidak banyak barang jualan yang tinggal memandangkan kami pergi agak lewat, mungkin. Lalu, saya membeli empat lidi ketam goreng bersalut tepung. Serasa-rasa saya, peniaga tersebut membuatnya sendiri memandangkan bentuknya yang lain dan belum pernah saya lihat sebelumnya. Disalut pula tepung seperti yang ‘biasa-biasa’ kita lakukan di rumah.

Di dalam kereta, apa lagi! Saya, adik dan emak menggetisnya dengan rasa enak yang ‘bolehlah tahan.’ Emak menghulur kepada ayah. Ayah hanya menggeleng tidak mahu. Emak hairan dan sengaja bergurau mengatakan ayah ‘sudah tua.’

“Bukan tak mahu, tapi terfikir…” Balas ayah sambil diam sejenak. “Entah dari mana bahan-bahan tu dibeli, kita pun tak tahu. Mesti beli secara borong. Mungkin beli daripada Cina. Kalau berniaga di pasar-pasar malam macam tu, jangan harap mereka nak beli jenama-jenama seperti ‘Ramly’ sebab mereka terpaksa beli secara pukal. Jadi, kita tak tahu siapa yang memproses bahan-bahan tu. Kemudian, kita pula beli. Makan tanpa langsung berfikir sumber-sumbernya…” Terang ayah. Saya terdiam, begitu juga emak dan adik. Tak terfikir pula saya sampai ke situ! Selalunya begitulah ayah. Apa-apa yang dia tidak makan, mesti bersebab, yang kalau dihuraikannya, saya hingga terkedu.

Lalu saya pula berfikir dan mengaitkan kata-kata ayah tadi dengan kelaziman masyarakat Melayu Islam kita. Sebenarnya dari dulu lagi saya tidak berpuas hati. Sebabnya? Beginilah…jika anda melihat ibu-ibu bertudung labuh, atau secara mudahnya-Islamiklah, menjual bihun sup umpamanya, dan satu lagi, mamak-mamak menjual nasi beriani yang bercampur-baur titik-titik peluh, yang mana akan anda pilih? Saya yakin tentulah ibu-ibu penjual bihun sup, bukan? Aroma yang menjentik-jentik tangkai selera, ditambah pula dengan cara kerja yang rapi dan bersih, pastilah kita tidak lagi mahu berfikir panjang, terus sahaja membelinya. Ini realiti. Realiti inilah yang sering mengasak-asak kotak rasa saya sejak sekian dulu.

Entah kenapa saya tidak pernah bersetuju kala melihat ‘orang-orang kita’ memasak menggunakan bahan-bahan yang sememangnya diragui, atau syubhah. Setelah ditegur dan diberitahu pun tetap ‘menulikan’ diri. Contohnya, saya pernah memakan bihun sup di sebuah gerai di mana peniaga-peniaganya terkenal Islamik; menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Namun, setelah mengetahui bahawa sup yang saya hirup itu menggunakan bahan perencah jenama ‘Knorr’-sejenis bahan berbentuk kiub untuk menyedapkan rasa, saya terkedu. Ah, hati ini mula meronta-ronta hendak memprotes! Sabar sahajalah kerana saya hanya suka memprotes dalam hati.

‘Kalau orang yang kita sendiri anggap sudah ‘terlalu Islamik’ menggunakan bahan-bahan seumpama ini, maka tidak hairan langsung jika makanan hari ini (kebanyakan makanan) sering diragui. Sudah orang kita sendiri langsung tak mempedulikan halal haram sesuatu bahan yang diguna bagi menumbuh daging-mendarah daging, tak tahulah hendak cakap apa lagi.’ Begitu monolog saya dalam hati.

Tentang kiub berjenama Knorr itu, saya langsung tidak berani hendak telan kerana orang Cina zimmi sendiri mengakui bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkannya terdiri daripada sumber-sumber tidak halal. Meski kita tidak tahu, tapi jangan jadikan itu alasan. Setelah diberitahu pun masih tetap begitu juga. “Saya yakin ianya halal.” Begitu jawapan yang akan diterima selanjutnya.

Hah, sudah begitu, lantaklah! Saya malas lagi hendak melayan.
Teringat kata-kata guru saya sewaktu saya masih di sekolah menengah-Cikgu Ali: “Orang kita kalau nampak saja tanda ‘Halalun,’ balun!” Dulu saya masih belum dapat menangkap maksudnya, tapi kini sudah sangat jelas lagi bersuluh.

Biarlah. Bagi saya, jika masih ada pilihan bagi kita sebagai orang Islam dalam memilih sesuatu barang yang tidak diragui, atau yang dikeluarkan oleh orang-orang Islam sendiri, lebih baik kita memilihnya walau mungkin terdapat kekurangan yang sangat ketara. Tetapi itu lebih baik asalkan tidak wujud keraguan.
Entahlah. Dalam hal ini, sayakah yang terlalu cerewet? Atau mata sayakah yang tersalah menyorot?

Monday, April 14, 2008

Simfoni Rasa Sang Mawar



Mekarnya kelopak
Menzahirkan kuntum senyuman
Aroma haruman tersebar
Hembusan pawana nyaman, menyegarkan.

Debaran bertingkah
Detak jantung nyaring berirama
Titis embun merenik, dingin.

Tancap
Sulaman nan indah, memukau
Tambah gegar nubari
Kian getar rasa, nuansa.

Janji dihulur
Kicau burung berdansa ceria
Hati kian tunduk
“Syukur, Tuhan!”

14 April 2008,
12.00 p.m.
Kuala Nerang.

Khabar Indah Dari Mandala Hijau




Hati ini mula dihembus dingin kenyamanan dari lautan kesyukuran kala khabar indah itu kuterima. Seunggis senyum terlakar di bibir mengecap nikmat hakikat keindahan. Alhamdulillah... Kupohon doa jua restu-Nya dikurnia buat seharum mawar di daerah pergunungan sana. Moga kabus kenyamanan yang terapung-apung di puncak sana membawa bahagia di hatinya...

Thursday, April 3, 2008

I'll be back soon

Terasa 'berkurun' pula tidak menjengah ke teratak ini. Entah apa yang disibukkan hingga tidak menyempatkan aku untuk 'menyusun' dan 'merapikan' rumahku ini? Tapi, buat sementara, rasanya aku memang belum sempat untuk berbuat demikian. Tunggulah seminggu, dua lagi. Aku pasti akan 'menggubah' sedikit isi dan perhiasannya...

Mm... I'll be back soon (^^,)

Saturday, March 1, 2008

Belia sebagai 'Kesateria Putih'




Pilihan raya merupakan suatu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai bagi mewakili rakyat di Parlimen. Mekanisme inilah yang digunakan oleh Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi demi menegakkan keadilan sejagat. Masyarakat dunia bakal menyaksikan sekali lagi proses pendemokrasian kedua belas dijalankan di Malaysia, iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 nanti. Pada saat itulah kita dapat melihat sejauh mana kesedaran berpolitik dalam kalangan rakyat Malaysia, iaitu apabila mereka menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan membuang undi.

Sehingga April 2007 tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan bahawa seramai 4.9 juta penduduk yang layak belum mendaftar sebagai pengundi. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 21 hingga 30 tahun. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman telah menggesa dan memperingatkan rakyat Malaysia, khususnya belia, supaya mendaftar sebagai pemilih selewat-lewatnya pada Ogos 2007 bagi mengelakkan risiko tidak boleh mengundi. Hal ini demikian, golongan belia lazimnya merupakan majoriti yang tidak keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya berlangsung. Namun, adakah kita peka dengan gesaan tersebut?

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Institut Pembangunan Belia Malaysia membuktikan bahawa generasi muda berumur 21 hingga 25 tahun adalah paling ramai belum mendaftar sebagai pemilih. Sekiranya telah mendaftar, ramai daripada mereka menyatakan tidak mengundi dalam pilihan raya yang lalu. Selain itu, hasil kajian juga menunjukkan bahawa belia di kawasan luar bandar lebih tinggi kesedaran berpolitik berbanding dengan belia di bandar. Begitu juga belia yang mempunyai pendidikan pasca SPM lebih peka mengenai perkembangan politik berbanding yang mendapat pendidikan lebih rendah. Dari segi jantina pula, belia lelaki adalah lebih cenderung terhadap sosialisasi politik berbanding belia perempuan. Kesemua hasil kajian ini tidak lain dan tidak bukan menunjukkan betapa kurangnya kesedaran mengundi dalam kalangan belia Malaysia.

Malah, berdasarkan hasil pemerhatian di beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam kalangan mahasiswa mendapati wujudnya budaya ‘tidak pedulisme’ terhadap PRU yang akan berlangsung beberapa minggu sahaja lagi. Sesetengah mahasiswa memberi alasan tiada cuti yang diperuntukkan oleh pihak universiti, sedangkan tarikh pilihan raya kali ini jatuh pada hari cuti, iaitu hari Sabtu. Ada juga yang masih berbelah bahagi untuk pulang mengundi atau pun tidak, malah lebih mengecewakan apabila ada sebahagian mahasiswa yang langsung belum mendaftar sebagai pemilih, padahal umur mereka sudah melayakkan mereka untuk mengundi. Hal ini merupakan satu kerugian yang amat besar dan bakal memberikan dampak negatif kepada masa depan negara.

Seandainya golongan belia masih berpendirian berkecuali dalam PRU akan datang, maka fikir-fikirkanlah natijah yang bakal ditanggung. Antaranya ialah kestabilan politik negara akan terjejas kerana ramai daripada kita yang tidak mahu terlibat dalam sosialisasi politik. Di samping itu, sebagai sebuah negara demokrasi, perkara ini sangat membimbangkan lantaran golongan belia merupakan pelapis negara pada masa akan datang. Jika belia tidak peka dengan sosialisasi politik bermula dari sekarang, diragui proses pengurusan dan pentadbiran negara pada masa depan akan terjejas. Selain itu, negara berkemungkinan bakal melahirkan para pemimpin, penggubal undang-undang dan pembuat polisi yang hanya mementingkan ‘periuk nasi’ sendiri. Ini mungkin terjadi sekiranya belia masih bersikap tidak cakna dengan hal-hal yang berlaku dalam negara, dan sikap ini akan terbawa-bawa jika mereka memegang tampuk kepimpinan kelak.

Persoalan yang harus direnung selaku belia ialah: mampukah kita menjadi white knight (kesateria putih) dalam memperjuangkan masalah-masalah masyarakat dan bersikap pragmatik sekiranya deria peka kita masih ‘tuli’ terhadap tanggungjawab sebagai warganegara? Hal ini kerana kualiti aktivisme belia merupakan kayu ukur kepada harapan masa depan negara. Justeru, bersama-samalah kita mengorak langkah melakukan perubahan dengan turun mengundi pada PRU akan datang.

Dunia Memerhati (sempena Hari Valentine)



Dunia Memerhati
(Sempena Hari Valentine)

Di rekahan kelam malam
Kuntuman bebunga layu di laman
Diunggis kumbang-kumbang
Dicemar kotor
Haruman pudar
Lenyap.

Pesona kian sirna
Bersama gugurnya kelopak-kelopak
Rebahnya batang nan berduri
Gontai mencium tanah
Gersang, kontang
Tiada upaya menyuburkan.

Dunia memerhati
Meski kelam tidak bersuluh
Meski buta tidak bermata.

15 Februari 2008,
10.35 p.m.,
Perumahan Pantai Permai.

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com