Sunday, November 29, 2009

Emmmm...!




Hari raya korban. Maka banyaklah binatang-binatang yang dikorbankan. Ada lembu, kambing, unta, dan menurut sepupuku di Mesir sana; ada juga khuruf. Menurutnya, khuruf itu binatang berkaki empat, tetapi bagi yang tidak tahu mungkin menganggapnya berkaki lima – terkeliru dengan ekor atau bahagian kemaluannya. Jika dilihat rupa binatang ini persis kambing gurun sahaja. Tetapi rasanya tidak. Sepupuku, betulkah? (“,)

Banyak binatang korban, maka banyaklah juga daging korban yang keluargaku terima. Syukur. Disebabkan lama sangat memendam gejolak rasa mahu makan sup (di KL berjimat cermat), dan atas permintaan emak, lantas aku pun membikin sup daging.

Selepas membaca ‘buku resipi’ huluran tangan seorang adik, aku jadi tergiur tak habis-habis mahu angkat senjata di dapur. Dengan ramuan wajibku untuk sup, seperti Hang Lepat juga – serai (setelah mendengar seorang mak cik memasukkan bahan ini kelmarin ketika berkunjung ke rumahnya), halia, rempah ratus, ditambah beberapa biji si kecil cili padi buat menghangatkan rasa, juga sebiji tomato (teringat pernah melihat bahan ini di kedai-kedai makan), maka jadilah sup dagingku kurang lebih seperti di atas.

Putera bongsu asyik menjenguk di dapur. “Kak, cepat. Lapar,” katanya. Putera bongsu ini tabiatnya kala menghirup sup bikinanku, terlebih dahulu akan menapis rempah-ratus yang telah kutumbuk-tumbuk dengan lesung menggunakan penapis teh. Geli hati aku dibuatnya. “Banyak sangat sampah,” omelnya.

Rempah-ratus dan aku tidak dapat dipisahkan. Biarlah nak tapis pun, tapislah… J

Ha, sesiapa yang rasa dirinya bakal bergelar ‘isteri’, ayuhlah kita berpencak di dapur. Jangan tunggu kahwin baru nak kelam-kabut salin resipi. Aktif di luar, sesekali jom ke kamar masak (“,)

Tuesday, November 24, 2009

Laskar Pelangi dan Aku


Usai menonton Laskar Pelangi, filem bermutu penuh makna hidup made in Indonesia. Sekolah daif dengan pelajar seramai 10 orang (yang akhirnya menjadi 11 orang).

Serasa-rasa aku persis terbang ke alam persekolahan lalu. Ya, aku sendiri pernah mengalami situasi yang sama seperti anak-anak dalam Laskar Pelangi. Sehingga sekarang, masih jelas di ingatanku jumlah murid-murid sekelasku pada tahun 1998. Ketika itu aku di Tahun 6. Jumlah kami 10 orang- 4 lelaki dan 6 perempuan.

Persekitaran sekolahku kurang lebih seperti sekolah agama dalam filem tersebut, cuma bangunan sekolahku (jika boleh dikira bangunan) lebih baik. Bangunannya batu bercampur papan, bukan semata-mata papan seperti sebuah 'kandang kambing' (bukan bertujuan menghina) dalam Laskar Pelangi. Tetapi bayangkanlah. Laskar pelangi itu mungkin boleh diterima kerana latar masanya sekitar tahun 1970-an, tetapi dalam tahun 1990-an pun, sekolahku- sebuah sekolah rendah agama swasta tidak pernah merasa untuk belajar di atas kerusi dan meja seperti kebanyakan murid sekolah kebangsaan. Aku dan teman-teman hanya merasa duduk di atas lantai dengan sebuah meja kecil bertulis nama kami masing-masing. Meja kayu berupa bangku.

Lagu Negaraku tidak pernah dinyanyikan ketika perhimpunan. Yang kami tahu-lagu Panji Islam. Malah, sehingga masuk ke sekolah menengah jua, maaflah, aku tak pernah tahu lagu Negeri kedah (sehingga sekarang).

Serupa Laskar Pelangi, murid-murid sekolah kami akan hanya dapat mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah lain. Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang. Di situlah tempat aku berjuang menggunakan pensil dan kertas.

Juga seperti Laskar Pelangi, masyarakat sekeliling kurang yakin dengan potensi sekolah kami. Aku dan teman-teman hanya menyaksikan kawan-kawan yang semakin berkurang lantaran berpindah ke sekolah kebangsaan. Aku ketika itu punya semangat mahu berjaya. Aku sudah pandai berfikir-aku pasti akan membuktikan pelajar sekolah agama boleh berjaya!

Aku marah andai sekolah daifku dihina. Aku melenting. Aku geram bila mana orang-orang yang berstatus 'ustaz' sendiri tidak pernah yakin untuk menghantar anak-anak ke situ. Tidak bersedia menerapkan ilmu-ilmu al-Quran, hadith, sirah dan fikah di situ. Mereka lebih rela mendaftar anak-anak mereka di sekolah kebangsaan. Sehingga hari ini aku melihat perangai-perangai 'ustaz' banyak yang begitu. Majoriti murid-murid di sekolah kami hanyalah anak penoreh getah, pesawah, peniaga, dan aku anak guru bahasa Inggeris.

Enam tahun setia di sekolah penuh daif, aku mungkin sedikit lemah dalam subjek akademik. Tetapi aku senang sekali dan terasa 'ringan' melayang-layang bila belajar subjek-subjek agama di sekolah menengah, kerana kebanyakan yang diajar sudah aku pelajari di sekolah rendah. Aku sudah biasa menghafal al-Quran, hadith, sirah, fikah, khat dan seumpamanya. Aku tersenyum sahaja kala kawan-kawanku didenda ustaz dan ustazah kerana tidak dapat menghafal dengan baik. Dalam hati, aku bersyukur kerana aku sudah diberi pendedahan awal tentang itu di sekolah rendah.

Persis Laskar pelangi juga, ketika di sekolah menengah, aku pernah hadapi saat-saat perpindahan guru-guruku ke sekolah rendah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan. Aku sering berfikir waktu itu; kenapa nasib sekolah agama seperti ini? Kenapa tidak ada yang mahu membelanya? Bertakunglah air mata seorang aku lantaran menghitung peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya berbaki 2, 3 bulan, sedang kami 'ditinggalkan.'

Mujurlah aku tidak patah semangat. Langsung! Alhamdulillah, bukan aku sahaja rupa-rupanya, tetapi teman-teman lain juga.

Akhirnya.... keputusan peperiksaan pada tahun itu menggemparkan satu daerah, hatta para Yang Berhormat (YB). Mereka sendiri datang ke sekolah memberikan pelbagai 'anugerah'.

Kini, aku mendapat tahu, daripada seramai 10 orang murid-murid sekelasku pada Tahun 6 dahulu, hanya 3 orang berjaya ke menara gading. Alhamdulillah, lebih baik daripada Laskar Pelangi yang hanya seorang.

Sekolah agama; benarkah tiada masa depan, atau kita sendiri yang tiada yakin?

Saturday, November 21, 2009

Jemu

Jemu.

Sudah lama kalimah itu menyerkup diri.

Jemu sungguh melihat kaler blog yang merah macam darah. Yarkhh!

Ee... Jemu!

Lantaran kejemuan itu, aku menukar template blog ini kepada warna ungu, sekalipun designnya mungkin lebih simple. Yang penting, ia mampu menyejukkan alur rasaku.

(^^,)

Thursday, November 19, 2009

Kulit Depan Tawajuh Cinta



Jika diizinkan Allah, beginilah rupa karya sulung (bukan pertama) saya, yang jika diizinkan Allah juga, bakal diterbitkan. Doakan saya!

Tuesday, November 10, 2009

Mengenang Si Adik


Tiada apa. Sekadar mahu melahir rasa.

Selamat hari lahir buat Adik - Nik Azri atau Tuah Sujana (gambar atas: paling muda, sebelah kiri) yang ke-18, pada 8 November lalu.

Semoga semakin dewasa (sekalipun dirimu sudahpun matang daripada usia), dan teruskan berkarya!


*Gambar dicuplik daripada laman Mohd Dahri Zakaria.

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com