Friday, October 30, 2009

Destinasi Sekarang – Aku dan Penerbitan Buku


Timbunan buku dan kertas memenuhi meja. Sebotol minyak Cap Kapak siaga berdiri di sisi. Pening dan sakit kepala sering benar bertamu. Itulah sahaja penawar sementara, sekalipun emak ada membekalkanku dengan untaian doa tulisan tangannya. Sesekali, aku buka lipatan doa yang ditulis di atas kertas putih bersih itu. Hangatnya kasih sayang emak.

Musim sesak begini (memandangkan minggu belajar atau study week), cembul kepala mula dihurung aneka fikiran, manca kenangan. Ada menyesakkan. Tak kurang juga yang mendamaikan. Sekarang ini, sewaktu sedang bergulat dengan buku-buku yang jenuh di hadapan mata, aku terimbas sesuatu. Sesuatu yang… erm, entah bagaimana mahu mentafsirkannya. Tetapi sesuatu itulah yang menjadi singgahan demi singgahan, hingga akhirnya aku berjaya tiba ke destinasi sekarang. Destinasi apa? Ya, sekaranglah. Destinasi sekarang.

Teringat hari-hari awal di Universiti Malaya Kuala Lumpur. Betapa bersemangatnya seorang aku dan teman-teman lain di minggu-minggu Pilihan Raya Kampus (PRK). Tahun pertama, juga semester pertama. Tahun dan semester pertama itulah yang menyaksikan aku bersama-sama 4 orang teman ditangkap semasa PRK oleh Pembantu Mahasiswa (PM). Masih mekar di ingatan bagaimana aku yang kerdil ini melawan cakap dan pura-pura berani. Kata teman-teman; jangan tunjukkan kegentaran di hadapan musuh. Sebenarnya gugup juga. Sempat SMS ‘Fi Sabilillah’, beritahu: ‘Kami ditahan. Selamatkan kami!’ Dan ketika dibawa ke Pejabat Pengawal Keselamatan, kami metah terkejut. Wah, ramainya pahlawan-pahlawan! Serasa-rasaku, adalah 20 orang. Pahlawan-pahlawan ini dengan gagah beraninya cuba membebaskan kami, menunggu hatta di tengah hujan!

Aku sebenarnya tidaklah terlalu aktif berpersatuan. Melibatkan diri itu ada. Di UMKL, kali pertama penglibatanku dalam persatuan adalah ketika dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Akademik, Jabatan Sekretariat Wakil Fakulti, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Itu di tahun pertama. Tahun-tahun seterusnya, aku sekadar memegang jawatan semasa dan dalam kursusku sendiri – Timbalan Setiausaha Batch Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPI) 06/ 07. Hanya itu. Kemudian, aku sengaja membataskan gerak. Ada sebab dan alasan tersendiri, meskipun aku menyanjung nilai-nilai juang teman-teman seangkatan.

Biarlah aku bekerja di sebalik tabir. Tak mengapa jika ada yang mengatakan aku tidak bergerak. Tak mengapa. Biar hanya Dia yang Tahu. Tetapi, aku sangat berterima kasih kepada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) kerana memberikan aku peluang mengembangkan bakat dan potensi diri. Singgahan-singgahan itulah yang memberi yakin di hati ini, mengasah tajam kemampuan diri.

Sesekali, ada angin bertandang, membisik perlahan. “Apa sumbanganmu untuk Islam?” Ya, aku akui. Aku tidak banyak bergerak seperti rakan-rakan pejuang lain. Aku ‘mandom’, mungkin. Melalui lidah, aku tidak punya kekuatan bicara. Kalian yang kenal diriku pasti tahu. Aku masih ingat, sewaktu aktif berpersatuan di Nilam Puri, ada komentar daripada teman-teman, meminta aku mengasah bakat menulis. Puncanya, hadirku di dalam mesyuarat, sepatah kata pun tidak kedengaran. Yang aku tahu dan aku buat setiap kali perjumpaan – Menulis, menulis dan menulis! Aku menulis semuanya. Apa sahaja yang berlaku setiap kali perjumpaan, aku catat. Kata teman-teman; mungkin aku tidak miliki kekuatan komunikasi lisan, tetapi aku punya kekuatan lain – menulis.

Sebelum ini, aku tidak pernah merasakan itu kekuatan. Sekadar minat yang mendalam. Aku langsung tidak menyangka ada orang menganggap ianya sebagai kekuatan dan peluang. Sejak itu (tahun kedua di UMKL), aku mula mengasah pena dengan bekerja sebagai ‘setiausaha sulit’ (Wah, ada juga SU Sulit) di dalam GAMIS. Seterusnya, seorang yang berjawatan tinggi di dalam PMIUM turut mengambilku bekerja menjadi SU Sulitnya. Lebih kuranglah. Ketika bekerja sebagai SU Sulit inilah, aku asah dan terus gilap bakat dan minat yang tersemat dalam diri, sehingga aku berjaya menyemai keyakinan, sedikit demi sedikit.

Sekarang, aku di tahun empat. Tidak lagi menjadi SU Sulit kepada sesiapa. Aku tahu aku tidak bergerak seperti teman-teman lain. Tidak bermakna fikrahku berubah. Tidak pernah. Mungkin mekanismenya sahaja sedikit berbeza. Apapun, sampai mati, kita serupa.

Aku mahu jadikan penulisan sebagai landasan dakwahku. Ia wadah yang kupilih. Ia kekuatan, insya-Allah. Justeru, aku meminta agar kalian; para pencinta kebenaran, doakanlah agar karya sulungku berjaya diterbitkan. Antologi cerpen yang kini sedang dalam proses penelitian oleh Telaga Biru Sdn. Bhd., alhamdulillah mendapat respon positif. Aku harap, ia benar-benar diluluskan. Semoga penerbitannya menjadi salah satu amal jariahku buat umat. Amin…

Sunday, October 25, 2009

Hanya Dia Seorang

Selamat Hari Lahir buat Ayah. Semoga dianugerahkan sihat tubuh dan jiwa, umur yang panjang, disirami iman dan dihujani takwa sepanjang musim kehidupan. Amin…”

Tepat jam 12.00 malam 25 Oktober, aku kirimi ayah pesanan ringkas itu. Sejak akhir-akhir ini, tampang emak dan ayah sering benar mewajah di benak. Lebih-lebih lagi kala menonton drama tv bertemakan kekeluargaan, khususnya tentang ayah (Emak tidak pernah dilupakan). ‘Kerana Dia Ayahku.’ Aku tonton drama ini pagi Jumaat lalu. Air mata berhamburan. Benarkah kerana aku perempuan, maka air mata menjadi teman setia? Betul? (Terpulang kepada persepsi masing-masing). Tetapi, butiran jernih yang mengalir di pipiku saat itu lantaran mengenangkan ayah (juga emak) di kampung. Rindu. Ya, rindu sering mengusap kalbu, dan aku menjadi beku dalam dakapan cinta dan rindu. Cinta dan rindu.


Manik-manik jernih – kenangkan ayah dengan tulang empat keratnya itu mencari nafkah membesarkanku. Mencari rezeki, dia seoranglah. Menyuap mulut-mulut kami, dengan tangan tuanya itulah (tetapi ayah tetap muda bagiku).

Gerimis di wajah – terbayang susuk tubuhnya yang seorang itu (dengan bantuan emak yang setia) mengangkat batu-bata, membina tembok, memanjat bumbung, dengan renjisan peluh yang tak pernah kering di tubuh, gigitan si mentari yang tak mengenal kasihan pada seorang ayahku, sehingga kulitnya memerah persis disalai. Ayah mahu bina syurga terindah buat kita (pesan buat adinda-adindaku). Lihat, diperahnya keringat tak sudah! Tak jemu, tak kira ketika. Oh, ayah!

Duhai angin, berhembuslah. Tiuplah damai di hati seorang ayahku. Sempena hari lahirnya. Dan sepanjang waktu!



Friday, October 23, 2009

Kahwin dan Aku


Aku leka di dapur. Tangan cekatan bekerja. Telinga kupasang dengar bual emak ayah di meja makan.

“Kalau nak buat kenduri, ayah nak sembelih seekor kambing saja,” kata ayah. Dia menyungging senyum.

Aku renung mata ayah. Ayah berguraukah?

Emak mengelih dengan tautan kening di dahi. “Mengarutlah. Seekor kambing mana cukup. Habis tu, adik-beradik saya di Melaka tu tak payah panggil?”


Ayah pandang aku dan emak dengan kembang senyumnya. “Tak payahlah panggil. Kita beritahu yang kita buat kecil-kecilan. Buat kenduri di surau saja. Lepas orang sembahyang Asar, kita akad. Lepas tu, terus edar hidangan. Hah, nanti balik rumah dah boleh minum kopi.” Ayah bersandar selesa di kerusi makan.

Aku ketawa kecil. Tetap berpencak di gelanggang dapur.

“Apa pulak orang kata nanti? Macam susah sangat pulak,” balas emak, kurang setuju.

“Bukan masalah apa orang nak kata. Tapi keberkatan. Ada saja orang kaya yang buat macam tu. Bukan nak menunjuk. Selalunya, kita niat buat kenduri untuk dapat pahala, nakkan berkat, tapi lain yang kita dapat. Bila rasa megah atau riak dapat buat kenduri besar-besar, kan dah jadi lain. Apa pun tak dapat. Dapat rugi saja sebab banyak keluarkan duit. Membazir satu hal.”

Emak diam. Menimbang-nimbang. “Betul ke ni, bang?” Emak minta kepastian.

Aku senyum melihat telatah dua pasangan bahagia yang sesekali persis anak-anak remaja sahaja. Sering juga membuatkan aku kegelian, lantas ketawa ingkak.

“Betullah. Kita kena faham konsep kenduri kahwin ni. Buat kenduri cuma nak maklumkan kepada orang ramai yang anak-anak kita dah kahwin. Dah berumahtangga. Kalau fikir macam tu, senang. Tak berlakulah hutang sana, hutang sini sebab nak buat kenduri besar-besar, nak lawan kenduri orang lain yang lagi besar. Kan dah jadi berdosa macam tu.”

Ada benarnya pada lontaran kata-kata ayah.

“Betul juga kan, bang? Mm, tapi anak kita bukan nak kahwin lagi. Lambat lagi.” Emak akhirnya akur.

Ayah masih senyum dengan ulas bibirnya yang merah. Geli hati barangkali.

Aku tahu ayah berlelucon. Tetapi aku sudah jelas kenduri kahwin bagaimana yang dia mahu.

Tidak. Kalian salah. Bukan niatku menceritakan bual emak dan ayah untuk beritahu aku sudah mahu berkahwin (Maklumlah, cuti semester dan cuti sekolah tidak berapa lama sahaja lagi. Kad jemputan kahwin yang diterima berlambak-lambak. Dah bertimbun tinggi separas gunung. Hehe…). Tapi ada yang tersirat di sebalik suratan tulisanku ini.

Carilah sendiri. Tiada makan suap dengan tangan orang lain. Dengan tangan sendiri juga kan? (^^,)

Perhatian

Info: Kepada teman-teman pengunjung, dijemput untuk melawat teratak kedua saya di http://diariungu.com